Kerajaan PAS Negeri Terengganu Tidak Goyang Kaki....

 


Oleh : Eikhwan Ali


Hari ini MB sekali lagi buat pendedahan terbaru mengenai status semasa bayaran Royalti Petroleum kepada Kerajaan Negeri. 


Secara anggaran, sepatutnya Kerajaan Negeri dibayar RM1.524 bilion.


Tetapi, setakat ini diluluskan hanya RM792.32 juta, iaitu separuh sahaja. 


Namun, hanya RM425.17 juta sahaja yang betul-betul dibayar, atau lebih tepat, “...direkodkan sebagai terimaan dalam akaun Kerajaan Negeri...”.


Sebab apa MB guna frasa ini? 


Kerana, kebanyakan bayaran yang dibuat adalah terus kepada kontraktor dan pembekal, atau melalui agensi Persekutuan seperti JKR dan JPP; bukannya langsung kepada Kerajaan Negeri. 


Inilah yang disifatkan oleh MB sebagai “...memelikkan, ajaib dan tidak pernah berlaku...”.


Kerajaan MADANI macam tak sedar diri, layan Kerajaan Negeri semacam Kerajaan Negeri pun jabatan / agensi Persekutuan. Padahal, negeri-negerilah yang membentuk Persekutuan. Jadual Kesembilan dah gariskan senarai masing-masing Persekutuan, Negeri dan bersama. Sepatutnya ia dihormati.


Menariknya juga, MB menempelak pihak-pihak yang mempertikaikan “kebergantungan” Kerajaan Negeri kepada hasil minyak dan gas; minta Kerajaan Negeri segera jana hasil baharu. Kata MB, “...itu adalah tindakan yang ‘absurd’...” (tidak munasabah, tidak logik).


Minyak dan gas adalah anugerah Allah kepada Terengganu; dan undang-undang juga memberikan hak kepada Terengganu. Justeru, terimaan bayaran daripada hasil minyak dan gas ini telah distrukturkan sebagai komponen hasil bagi Kerajaan Negeri.


Sama juga kita pun tidak mempertikaikan Kerajaan Persekutuan yang “bergantung” kepada cukai pendapatan syarikat dan individu; kerana undang-undang membenarkan kerajaan mengutip cukai tersebut dan ia menjadi salah satu komponen hasil Kerajaan Persekutuan.


Kerajaan Negeri pun tidaklah goyang kaki, sentiasa merancang dan berusaha untuk meningkatkan hasil janaan negeri – antaranya, tingkatkan kecekapan kutipan hasil, nilai semula bayaran / cukai berkaitan tanah, teroka pembangunan industri nadir bumi dan tenaga boleh diperbaharui. 


Cumanya, semua pihak pun harus realistik, janganlah harap hasil Kerajaan Negeri akan berganda hari esok juga. Banyak aktiviti dalam pelbagai aspek yang perlu digerakkan oleh Kerajaan Negeri dan memerlukan sokongan dan dukungan daripada rakyat, pihak swasta dan Kerajaan Persekutuan.

Ulasan