PAS Tegas Tolak Ideologi Lawan Islam

 


KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan penolakan terhadap ideologi yang bertentangan dengan Islam dan mengekalkan prinsip beristiqamah dalam akidah dan syariat.

Presiden PAS,  Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata,  Kemunculan ajaran baharu yang menggunakan jenama Islam, iaitu Islam liberal, dipengaruhi oleh liberalisme Barat dan berkonsepkan kebebasan daripada ikatan agama dan akhlak.

Katanya, liberalisme bermula dari Zaman Pencerahan di Barat setelah era kegelapan mereka, dipengaruhi oleh Tamadun Islam, namun memisahkannya daripada agama Islam yang sempurna.

“Konsep liberalisasi hari ini telah menghilangkan harga diri manusia di negara yang beramal dengannya. Runtuhnya harga diri manusia dan musnahnya hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan, sehingga manusia menjadi lebih hina daripada binatang.

“Mereka membenarkan perkahwinan sejenis atas nama kebebasan setelah mereka mengizinkan hubungan tanpa perkahwinan yang telah merosakkan institusi kekeluargaan.

“Bukan sahaja pakaian dan makanan yang tanpa peduli akan halal dan haram, bahkan telah membawa penyakit roh dan jasad,” jelasnya.



Beliau berkata demikian membentangkan kertas kerja bertajuk “Islam Liberal: Cabaran Gerakan Islam”, dalam Liqa’ Fikri PAS Pusat, di Dewan Wawasan Majestic International Convention Centre, Cheras, Kuala Lumpur, pada semalam.

Katanya, PAS yang berpegang kepada akidah dan syariat Islam menentang perubahan berkonsepkan progresif, liberal, atau sekular.

“Konsep ini nyata mencabar Islam dan konsep kepimpinannya, sama ada oleh satu parti seperti DAP dan sepertinya ataupun kerjasama gabungan seperti Pakatan Harapan dan komponennya walaupun berjenama Islam.

“PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dalam titik persamaan yang tidak mengheret PAS keluar dari prinsip beristiqamah, beraqidah Islam, dan berkonsepkan Islam memimpin bukan dipimpin,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau berkata, PAS membatalkan kerjasama dengan parti-parti yang mengheretnya keluar dari sempadannya apabila nyata memusuhi Islam, menafikan kedaulatan dan kepimpinannya seperti sekularisme, atau memesongkan dari dasar dan hala tujunya dengan menggunakan istilah yang menarik dan bahasa yang menggoda seperti liberal, progresif dan madani.



Ulasan