Pengundi Bukan Melayu Muak Dengan PHBN


Oleh ; Rohayati Ripin 


MARANG – Pengundi bukan Melayu yang sudah muak dengan janji-janji palsu kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PHBN) adalah antara faktor kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap minggu lalu.


Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), To’ Puan Hajah Zarani berkata, perubahan sokongan pengundi Cina dan India dikesan melalui program rayu undi rumah ke rumah sepanjang kempen PRK tersebut.

Katanya, mereka menyatakan kekecewaan terhadap janji-janji dimungkiri PHBN sejak nengambil alih kerajaan sejak setahun setengah lalu. 

"Kami melihat pengundi Melayu memberikan sokongan kuat kepada PN disebabkan isu-isu semasa oleh Kerajaan Persekutuan seperti kenaikan harga diesel, barangan dan perkhidmatan.

"Melalui temubual petugas kempen  mendapati pengundi bukan Islam sudah muak apabila janji yang ditaburkan tidak dilaksanakan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Pengucapan Awam kawasan Marang, pada Isnin 8 Julai lalu.

Justeru itu, beliau berharap momentum yang ada hari ini akan berterusan hingga PRU ke-16.

Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua rakyat yang mengundi calon PAS, Abidin Ismail yang kini bergelar sebagai ADUN Sungai Bakap.

Menurutnya, Abidin menang dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Mengulas lanjut beliau berkata, PN menguasai tujuh daerah  mengundi dengan memenangi kesemua sembilan saluran di Sungai Duri dengan meraih 3,101 atau majoriti 2,056.

"Mungkin dalam masa terdekat, kita akan melihat peralihan kerajaan yang dibuat oleh orang-orang memang cintakan Malaysia dalam keadaan damai dan harmoni, tanpa perbalahan.

"Orang mahukan pemimpin yang amanah, yang bercakap dan melaksanakan," ujar Zarani.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas, khususnya Muslimat dan Wanita BERSATU yang telah berusaha bersungguh-sungguh memenangkan Abidin. 

"Allah telah memberi kemenangan kepada PAS dan insya Allah, kita akan bertemu semula di PRK Nenggiri yang akan diadakan di Kelantan," tambah beliau lagi.

Ulasan