Tokoh Aktivis NGO Tidak Pernah Bosan Bantu Orang Susah


 KUALA TERENGGANU - Tokoh Aktivis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslimat PAS Negeri Terengganu, tidak pernah berasa bosan membantu masyarakat malah sentiasa ringan tulang menghulurkan tangan menawarkan bantuan.


"Jiwa saya adalah jiwa sensitif, mudah kasihan, mudah membantu bila diminta hatta jika tak dimintapun jika perlu bantuan, saya akan bantu.


"Saya banyak menyertai misi kemanusiaan kerana setiap misi memerlukan sukarelawan dan saya sentiasa persiapkan diri  untuk kerja-kerja sukarelawan ini dalam apa bentuk seadanya yang saya mampu," jelasnya. 


Beliau yang dikenali sebagai Azizah Mahmood merupakan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Kuala Terengganu mula terlibat dalam parti sejak 36 tahun yang lalu.


"Dari situ saya menyelusuri kerja-kerja jemaah dari bawah sekadar hadir program sehingga dilantik menjadi Ketua Muslimat PAS Cawangan  Gong Pauh. 


"Bermula dari situ saya bergerak seiring arus parti, jatuh bangun bersama kerana saya yakin dengan parti yang saya dukung.


"Dari satu peringkat ke satu peringkat, parti memberi saya kepercayaan. Alhamdulillah, saya berada di landasan tepat, bekerja dengan kekuatan jemaah yang hebat dan semua tenaga  bersedia menyumbang untuk kerja-kerja Islam.


"Seikat bak sireh serumpun bak serai, patah sayap bertongkat paruh, apa yang jelas setiap arahan parti tidak terpisah dari setiap langkah urusan kerja kita di manapun kita berada," ungkap anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang itu. 



Di samping itu, beliau merupakan petugas tetap perbekalan dan kempen setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK) Negeri diadakan, ziarah kebajikan dan misi banjir serta jurumandi jenazah perempuan. 


"Tidak meletakkan halangan di depan antara sebab saya mampu memikul tugasan yang diberikan dan yakin apa yang penting  buatlah sekadar kemampuan selebihnya serah pada Allah untuk membantu permudah urusan kita, " ujar muslimat waja, ibu kepada sebelas orang anak itu. 


Penerima Anugerah Wirawati Perdana Negeri Terengganu yang diadakan sempena Hari Sukarelawan Terengganu 2021 itu juga merupakan anggota Skuad Khidmat Malaysia (KHIDMAT) turut  menerajui beberapa Badan Bukan Kerajaan(NGO)  iaitu Persatuan Kebajikan Cakna Kuala Terengganu ( KT Care) dan  Pertubuhan Kebajikan Khairul Ummah Negeri Terengganu (Khairul Ummah).


Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Kebajikan dan Timbalan Ketua Dan Perunding Skim PAS  Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) merangkap Setiausaha Pertubuhan Prihatin DUN Wakaf Mempelam (WAM Care), Persatuan Kebajikan Wanita Terengganu ( KEKWA) turut aktif bersama Kelab Aktivis Media Aspirasi (KAMI), Persatuan Gabungan Anak Terengganu insaf (GANTI) , Pertubuhan Didik Ummah Terengganu (PADU), Sekretariat Gerakan Menuntut  Royalti Negeri Terengganu (R) dan Sahabat PAS Relief Malaysia. 


Beliau mengakui terkejut bercampur terharu kerana anugerah yang disifatkannya cukup besar buatnya di usianya 60 tahun  memandangkan masih ramai lagi di luar sana hebat dan sentiasa menyumbang. 


"Alhamdulillah mengucapkan syukur dan terima kasih kepada DMPNT atas pemilihan sebagai Tokoh Aktivis NGO. Beliau juga berterima kasih kepada suami, Mudzaffar Ali, anak-anak, sahabat di DUN Wakaf Mempelam, dan wakil-wakil rakyat yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan kewangan.


"Semoga anugerah ini tidak sekadar di terima tapi  menjadi asbab untuk saya terus bekerja di jalan Allah, selama ada kudrat dan menjadi peniup semangat semua NGO mahupun masyarakat.


"Untuk terus menjadi mereka yang sentiasa bersedia menghulur bantuan walau dalam apa bentuk sekalipun harta, tenaga dan masa di saat ruang yang ada memihak pada kita, teruslah bekerja untuk fisabilillah." ujarnya  yang dikenali ummi Zah tidak dapat menahan sebak apabila ditanya.


Beliau juga dilantik sebagai , Pengerusi Lajnah Kebajikan, Penolong Setiausaha Lajnah Hubungan NGO & Seranta, PAS kawasan Kuala Terengganu dan setiausaha Lajnah Hubungan NGO &  Seranta dan AJK Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), Ketua Hubungan NGO dan Seranta, Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu (DMPKKT),  Ketua Kebajikan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam dan Ketua Penerangan Muslimat MTD Wakaf Mempelam.

Ulasan