Kejayaan Gemilang Bakat PASTI


Oleh : Syahida Mohd

KUALA NERUS – Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) PASTI Kawasan Kuala Nerus 2024 melabuhkan tirainya dengan kejayaan gemilang, menonjolkan bakat sukan yang semakin berkembang dalam kalangan pelajar PASTI. 

Katanya, program tahunan ini menjadi platform penting untuk mengasah kemahiran sukan dan memupuk semangat kesukanan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias bin Razak berkata, penganjuran program PASTI seperti ini merupakan acara yang sudah lama diadakan namun kurang diketahui umum.

“Kita (PASTI) sudah lama adakan program seperti ini tapi tidak diketahui kerana bilangan pelajar dahulu sedikit dan kurang dikenal.

“PASTI sekarang sudah semakin bertambah bilangan pelajar dan semakin diterima masyarakat tidak mengira latar belakang,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan BSBJ Peringkat Kawasan Kuala Nerus baru-baru ini.

Menurutnya, PASTI sudah diterima diseluruh negara sekarang dan permintaan kemasukan ke PASTI semakin tinggi. 

“Ibu bapa yang bukan Islam juga ada yang menghantar anak mereka ke PASTI.

“Ada ahli sukan yang mewakili Terengganu ke SUXMA XXI, di Sarawak adalah keluaran PASTI,” ujarnya.

Sementara itu, bagi kategori bola sepak sebanyak 16 pasukan telah berentap untuk merebut gelaran juara. Antara pasukan yang bertanding adalah Bukit Tunggal 2, Buluh Gading A, Buluh Gading B, dan Seberang Takir 6. Kejohanan ini menyaksikan Bukit Tunggal 2 muncul sebagai juara sekaligus melayakkan pasukan tersebut untuk mewakili acara bola sepak PASTI Kawasan Kuala Nerus ke Kejohanan Sukan NSNJ Peringkat PASTI Negeri Terengganu.

Selain itu, Pemain Terbaik dalam kategori Sukan Bola Sepak dirangkul oleh adik Mohd Zafran dari pasukan Bukit Tunggal 2. Manakala adik Uwais Al Qarni bin Mohd Faizal, dari pasukan Bukit Tunggal 2 yang telah mencuri tumpuan dengan menjaringkan bola sebanyak 8 gol,sekaligus menjadi penjaring gol terbanyak kejohanan tersebut.


Bagi kategori bola jaring pula, sebanyak 15 pasukan telah mengambil penyertaan untuk menonjolkan kemampuan mereka. Antara pasukan yang bertanding termasuk Buluh Gading Jr (A), Seberang Takir (1), Bukit Tunggal Jr (B), dan Buluh Gading Jr (B). Pasukan Buluh Gading Jr (A) telah menunjukkan prestasi yang luar biasa dan akhirnya dinobatkan sebagai juara.

Adik Rania Sumayyah dari pasukan Buluh Gading Jr (A) telah mencuri tumpuan juri apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik dengan ketangkasan dan kepintaran beliau dalam setiap perlawanan. Manakala, penjaring terbanyak dalam kategori sukan Bola jaring telah disandang oleh adik Hana Humaira dari pasukan Buluh Gading Jr (A) .

Dengan kemenangan ini, pasukan Buluh Gading Jr (A) akan mewakili acara bola jaring PASTI Kawasan Kuala Nerus ke Kejohanan Sukan BSBJ Peringkat PASTI Negeri Terengganu.

Ulasan