Fokus Pada Kebajikan Merentas Sempadan dan Pemberdayaan OKU


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mempergiatkan usaha kebajikan yang merentasi sempadan bangsa, agama, dan politik, dengan memberi fokus khusus kepada pemberdayaan golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Maliaman Kassim, menegaskan bahawa parti itu komited dalam menyantuni semua golongan masyarakat tanpa diskriminasi. 

“Alhamdulillah, di pihak Lajnah kebajikan negeri Terengganu, kita telah membuat beberapa perubahan dengan mengoptimumkan dan memperkasakan golongan OKU. Insya-Allah, kita akan tubuhkan skuad upaya untuk mengetengahkan OKU dalam program kita.

”Kita turun bersama oku bawa barang sumbangan untuk kita pergi sasaran tengok orang susah dan sakit terlantar,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional negeriberkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Fatimah Azzahra di Dewan Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai, Jumaat, 2 Ogos lalu.

Tambahnya, usaha ini bertujuan mengubah minda masyarakat agar melihat OKU bukan sekadar penerima bantuan tetapi juga sebagai penyumbang aktif dalam kebajikan. 

Ustaz Maliaman juga menekankan bahawa kebajikan merupakan senjata utama untuk mendekati dan memahami keperluan masyarakat.

“Musim banjir, musim kebakaran, jentera kita sentiasa bersiap sedia, terutamanya jentera Muslimat yang sentiasa turun ke bawah menyantuni pengundi.

“Sesi penggal pertama PAS memerintah pada tahun 2018, kita tengok bagaimana ahli-ahli kita sama ada peringkat atasan atau jpkk, muslimat sentiasa ziarah kebajikan.

“Pengalaman PAS di Kelantan, yang telah memerintah negeri itu selama 34 tahun, menunjukkan bahawa tumpuan kepada kebajikan dan kerja-kerja akar umbi seperti ini membantu mengukuhkan pemerintahan,” ujar beliau.

Oleh itu, PAS Terengganu berharap pendekatan sama akan membawa manfaat yang besar kepada masyarakat dan mengekalkan sokongan rakyat.

Ulasan