Komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ adalah jarum halus DAP untuk mengelirukan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu serta usaha untuk menormalisasi perjuangan komunis.
Sebagai contoh, karikatur menggambarkan Ko Min Tang, Bintang 3 dan Komunis terlibat sama dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu.
Persoalannya, mengapakah DAP cuba mempopularkan kembali fahaman komunis di negara ini sehingga membuat rayuan ke mahkamah untuk membatalkan pengharaman komik propaganda tersebut? Sedangkan rakyat Malaysia yang sememangnya cintakan keamanan dan menghargai nikmat kemerdekaan menolak fahaman komunis.
Banyak laporan polis telah dibuat berkenaan komik ini oleh rakyat khususnya orang Melayu Islam bagi menolak tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan komik ini di sekolah-sekolah. Kerajaan juga pada tahun 2019 telah memberi perhatian serius terhadap isu ini dengan mengharamkan Komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ atas dasar menggugat sensitiviti majoriti rakyat Malaysia.
Selepas ianya diharamkan, kini pengharamannya digugat kembali. Adakah pemimpin Melayu khususnya UMNO hanya mampu berdiam diri sahaja sebagaimana pemimpin AMANAH selama ini? Adakah Presiden UMNO sudah selesa dengan norma baharu ini? UMNO yang dulu kelihatan tegas dalam memperjuangkan ABATA, kini layu tidak bertenaga.
Kerajaan perlu konsisten meneruskan keputusan sebelum ini, agar tidak dilihat ‘flip flop’ dalam isu yang sensitif seperti ini. Kerajaan harus menepis gambaran umum bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan ‘U-turn’.
Amat malang bilamana Kerajaan tidak mempedulikan sensitiviti pejuang kemerdekaan khususnya anggota tentera dan rakyat terutamanya orang Melayu yang menderita di-era kekejaman komunis.
DATO' SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian
Ulasan