Reinkarnasi Komunisme Dan Pelencongan Sejarah Dalam Komik Bekas Ahli DAP


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor


Minggu ini tanah watan ini gegak gempita rakyat dengan isu - isu politik rentetan PRK Nenggiri, juga memanas hangat isu izin terbit kembali komik seorang pemimpin DAP yang berdoktorat daripada Universiti di Hong Kong, komik " Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama". Kelihatan dengan megah dan tolol sekali kata pengantar oleh Lim Guan Eng kepada komik kontroversi ini. Negara ini berkecamuk  dengan pelbagai isu yang menekan kehidupan pasca PRU 15 turut mengheret kepada pelbagai isu komunal yang semakin menjarakkan keharmonian kaum. Negara ini sangat rapuh hubungan kaum, dengan sedikit kesilapan menggores perasaan antara kaum maka boleh meledak menjadi pergaduhan kaum. Antara perbalahan antara kaum dan agama yang pernah berlaku di tanahair ini, seperti pergaduhan kaum 14 hari pengosongan kuasa pasca kekalahan Jepun 1945, tragedi 13 Mei 1969, tragedi Kampong Rawa, perbalahan kampong Medan, dan lain-lain lagi.


Bulan Ogos  dengan euforia keterujaan memperingati kemerdekaan tanahair, maka kelihatan satu usaha untuk mengangkat sejarah pejuang kemerdekaan. Segelintir daripada kalangan  kelompok penguasa juga antara yang cuba-cuba berani untuk menukar naratif perjuangan kemerdekaan seperti usaha mengiktiraf perjuangan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Elit penguasa berfikrah sosialis ini mahukan rakyat percaya bahawa MPAJA juga adalah pejuang Perang Dunia II, menentang penjajahan Negara matahari terbit selama tiga tahun lapan bulan di tanahair ini.


Sejarah perkembangan Partai Komunis Malaya di negara ini berkait rapat dengan perkembangan komunisme di luar negara seperti di Tanah Besar China (PKC ). Ideologi komunis disebarkan melalui kesatuan buruh, kesatuan sekerja serta melalui sekolah-sekolah persendirian Cina sehingga British memantau dengan ketat ketiga elemen yang disebutkan tadi.  


Partai Komunis Malaya ditubuhkan pada tahun 1930 dengan mendapat bantuan dan pengarahan antarabangsa. Terdapat juga segelintir orang Melayu yang berjaya dikaderkan oleh mereka seperti Mokhtaruddin Lasso serta kader komunis Melayu yang datang ke Tanah Melayu untuk merekrut anak watan,namun mereka kurang berjaya . Masyarakat Cina di negara ini agak terdedah dengan pengaruh komunis kerana kemenangan  PKC di Tanah Besar China menubuhkan kerajaan republik komunis serta era penjajahan Jepun yang menindas etnik ini.


Pembantaian Sook Ching adalah kemuncak pertembungan tajam tentera Jepun keatas masyarakat Cina. Sejarah etnik Cina di Tanah Melayu yang menentang Jepun disebabkan Jepun mula-mula menakluki Manchuria,  bahagian Timur Laut China sebelum meletusnya Perang Dunia II sekitar tahun 1939. Etnik Cina yang sebahagian besar dilahirkan di Tanah Besar China mempunyai semangat patriotik yang tinggi,menurut Dr Cheah Boon Ken, generasi kedua migran Cina di Malaya mula berpartipasi dengan fahaman komunis.


Di Tanah Melayu, segelintir orang-orang Cina yg datang sebagai imigran ini ada yg telah kembali ke China utk bersama rakyat menentang Imperialis Jepun. Kekejaman tentera Jepun terhadap bangsa Cina dan Korea telah menjadi api yang membakar kemarahan etnik Cina di Malaya. Mereka juga telah bertindak, membentuk solidariti dengan  menghantar bantuan kewangan untuk menentang imperialisme Jepun.


Kedatangan penjajah Jepun ke Tanah Melayu membuka pintu pembalasan dendam tentera Jepun kepada etnik Cina, ribuan yang mati dibunuh, disiksa, diperkosa. Di Tanah Melayu PKM telah membuka satu front perlawanan rakyat, militia awam atau dikenali pasukan bersenjata Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Kolaborasi PKM dengan British telah berlaku dalam era penindasan Jepun ini, termasuk bantuan risikan, juga sebahagian persenjataan MPAJA telah dibekalkan oleh British sebagai pasukan gerila. 


Jepun telah menyerah kalah akibat ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945, maka pemerintah tentera  Jepun di Tanah Melayu juga telah menyerah kalah dengan acara penyerahan kuasa telah diadakan di perkarangan Victoria Institution Kuala Lumpur. Sebaik saja Jepun menyerah kalah, agen-agen komunis telah berpesta pora meraikan kemenangan, masa untuk membalas dendam terutama apa yang disifatkan sebagai talibarut Jepun. Anggota MPAJA, juga disebut anggota Bintang Tiga telah mengambil kesempatan dalam keadaan  "vacum power" atau kekosongan kuasa di Malaya. Reaksi balas akhirnya berlaku dan menyebabkan pergaduhan kaum di Batu Pahat Johor, Sungai Manik Perak dan tempat-tempat lain di Malaya.


Situasi balas dendam, pertembungan kaum, mahkamah rakyat tanpa hak bela diri ini  ini adalah gambaran kerakusan  pejuang MPAJA atau bintang tiga apabila mendapat segenggam kuasa. Tempoh kekacauan massa ini  berlaku Tanah Melayu selama 14 hari. Kegawatan ini kembali reda apabila Malayan British Army (MBA) kembali ke Tanah Melayu, mereka cuba membetulkan kondisi kekacauan awam. Tempoh untuk menenangkan orang Melayu seperti yang berlaku di Batu Pahat Johor akibat kebangkitan gerakan Selempang Merah (Gerakan Kiai Haji Salleh).  


MBA mahukan supaya  MPAJA dilucutkan senjata yang dibekalkan kepada mereka diera perlawanan dengan Jepun. Namun MPAJA enggan tunduk kepada British dengan hanya menyerahkan sedikit alatan peperangan dan merasakan agenda mereka untuk menegakkan republik komunis belum berakhir, sehinggalah PKM akhirnya menerima arahan komunis antarabangsa untuk melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1948. Apa yang berlaku antara 1948 sehingga 1960? siapakah Lai Teck.? Bagaimana Ong Boon Hwa atau Chin Peng menaiki takah kekuasaan dalam PKM? . Layakkan komunis diwirakan di tanah leluhur orang Melayu ini, namun dengan segenggam kuasa yang mereka perolehi PRU 14 yang lalu, segelintir anak cucu Min Yuen berusaha untuk  memposisikan komunisme dan PKM dalam sejarah negara.


Sekarang kalian sudah melihat  dengan mata lendir kalian sendiri, betapa pentingnya sejarah dalam politik dan kekuasaan. Teringat penulis ungkapan tolol " kita nak memilih pemimpin,bukan nak memilih agama!", inilah hasil tuaian kalian yang hari ini mulut dipenuhi dedak penguasa. Dengan secubit kuasa ,pemilikan tanah bertukar, mimbar masjid mampu diredam malah bermanis muka dengan jahiliah moden seperti isu menolak boikot kepada jaringan ekonomi kuffar!.


Ingat teman-teman semua betapa pentingnya kita  mempertahankan naratif sejarah Tanah Melayu ini, jika kita leka maka maka generasi baru dan mentah akan disuntik normalisasi terhadap komunisme. DAP selain bersungguh dalam isu kewarganegaraan , juga cuba mengubah naratif sejarah negara ini. 


Komik dan bahan bacaan adalah senjata dan mesin propaganda komunis dalam menghasut para pelajar sekolah yang masih hijau , bagi bersimpati kepada perjuangan komunis, termasuk cuba melahirkan rasa simpati pada etnik tertentu seolah dikucilkan sejarahnya. " Superman Hew" seolah menggambarkan  Pengganas komunis  sebagai 'mangsa' dan tertindas dalam rakaman sejarah. Ironinya, Pengganas komunis juga diwajahkan sebagai 'pejuang kemerdekaan' daripada penjajahan British.


Empat tahun dahulu, sangat wajar sekali tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah pun mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur  dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' serta versi bahasa Inggeris 'Belt and Road Initiative For Win-Winism' dan versi bahasa Cina melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019. KDN menerusi kenyataan berkata, warta Perintah Larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).


Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang. Tahniah kepada  Tun Mahathir, PDRM, KDN, Saya yakin Tun Mahathir bukanlah " harimau kertas", dia bersiaga dengan reinkarnasi komunisme sebagai generasi lama yang pernah merasai kejerihan kebangkitan komunisme dalam dekad 1940an ditanah leluhur ini. Saya ingin bertanya jika komik yang dituang oleh pemimpin Dap dibenarkan kembali menerjah pasaran awam dan dibincangkan diruang publik maka apa tujuannya kita riuh geger memperingati kemerdekaan dibulan Ogos ini?


(Penulis adalah AJK PAS Pusat ,Pengerusi LESTARI)

Ulasan