TASTI Akan Beroperasi di Setiap Daerah Di Terengganu


KUALA TERENGGANU -  Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) yang merupakan inisiatif pendidikan sebelum Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)  akan beroperasi di setiap daerah di Terengganu 

Untuk memberi pendedahan kepada pihak pengurusan, guru dan pengasuh tentang organisasi dan 
pengurusan, kurikulum, hal ehwal kanak-kanak dan aktiviti-aktiviti TASTI, Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga (LPIKK),telah mengadakan kunjungan ke TASTI As Solihin. 

Pengerusinya,  Norhayati Mohd berkata TASTI  merupakan nurseri di bawah kelolaan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dan TASTI As Solihin telah dianugerahkan Naib Johan TASKA Negeri Pahang. 

"Walaupun TASTI ini merupakan 'Pilot Project' Indera Mahkota, namun ia telah menjadi sebagai satu model yang baik untuk taska negeri Pahang dan menerima Penarafan Empat Bintang  TASKA Negeri Pahang 2022," katanya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam mengulas Kunjungan Sambil Belajar ke TASTI As Solehin, Kotasas, Indera Mahkota, Pahang pada  26 Julai lalu. 

Norhayati turut mengetuai rombongan seramai 17 orang yang juga disertai Ketua Muslimat Setiu, Ustazah Wan Ramlah Wan Abdul Rahman dan  disambut  oleh antaranya  Pengarah TASTI Malaysia,  Rashidah Arbain, Ketua Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Puan Salwani Salleh dan Pengurus TASTI As-Solihin, Norhafsah Omar. 

Menurutnya, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu bercadang untuk membuka TASTI di setiap daerah di negeri itu. 

"Sehingga kini kita ada TASKA As-Salam di Bukit Payong, Marang yang diluluskan pihak berwajib bulan Mei baru-baru ini, dengan dua pengasuh dan  sembilan anak asuhan yang berusia dua hingga empat tahun, 

" Insya Allah akan menyusul di Setiu dan Kemaman, " jelasnya lagi

Ulasan