Wanita Terengganu : Bukan Memilih, Tetapi Patuh Ketetapan Terbaik

 


Merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini baru-baru ini, yang mendakwa bahawa penggunaan agama telah digunakan untuk mengawal kaum wanita dalam sukan serta pelbagai aspek kehidupan, kami Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin menjawab artikel yang ditulis oleh Puan Mariam dari Green Bean Army dan Perak Liberation Organisation.

Negeri Terengganu merupakan negeri terawal yang menerima serta mengamalkan Islam di Malaysia. Islam telah membawa ajaran serta cara hidup yang meliputi aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti makan, minum, ke tandas hinggalah kepada sebesar-besar perkara seperti kenegaraan dan pemerintahan.

Kami sebagai orang Muslim yang beriman tidak memilih. Kami patuh kepada Allah SWT kerana Allah telah memberikan pilihan yang terbaik, dan sebagai wanita Muslim, kami Wanita Terengganu tidak memilih, tetapi kami komited untuk mengamalkan Islam dalam semua aspek kehidupan kami.

Tanggungjawab melindungi dan mengangkat maruah wanita telah bermula semasa kedatangan Islam melalui Nabi Muhammad SAW kerana pada zaman jahiliah, wanita dipandang rendah serta menjadi objek pemuas nafsu semata-mata. Dengan kedatangan Islam, kaum wanita diberi hak dan ruang untuk sama-sama terlibat dan menyumbang selagi mana pekerjaan yang dilakukan mengikut syarak dan menjaga adab muslimah.

Masyarakat juga diingatkan tentang tanggungjawab untuk melindungi dan memelihara hak golongan wanita seperti firman Allah SWT yang bermaksud “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (al-Nisa', 4:34).

Isu pengasingan dan kerusi khas bagi tempat duduk kaum wanita di stadium Terengganu juga adalah sama dengan langkah pengasingan koc wanita untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Konsep pengasingan untuk menjaga hak, keselamatan dan maruah wanita di Terengganu ini telah dilaksanakan di peringkat :

1.Program persembahan kebudayaan, kesenian dan hiburan meliputi penonton dan mereka yang membuat persembahan

2.Pawagam dan Stadium

3.Peruntukan masa khas atau ruang untuk wanita sahaja di premis sukan, gym dan kolam renang

Langkah ini bertujuan memastikan keselesaan dan privasi wanita terjaga dalam setiap aktiviti yang mereka ceburi dan BUKAN menafikan hak kaum wanita untuk terus melakukan aktiviti yang disukai.

Ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Negeri Terengganu amat prihatin terhadap isu-isu yang melibatkan wanita, dan sentiasa berusaha untuk memastikan golongan wanita mendapat perhatian dan perlindungan yang sewajarnya. Oleh itu, kami ingin menegaskan bahawa tuduhan kami berada dalam kelas kedua di Negeri Terengganu adalah tidak benar sama sekali.

Sejak PAS mengambil-alih Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2018, pelbagai inisiatif dan program telah dirancang dan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan wanita di negeri ini.

Inisiatif Kesejahteraan Wanita Terengganu

1.Pelantikan ADUN Wanita : Hajah Zuraida Md Noor telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 29 November 2018. Dengan adanya ADUN Wanita dapat mengukuhkan portfolio kebajikan dan pembangunan wanita di Negeri Terengganu. Malah, dalam Pilihanraya Negeri ke-15 pada tahun 2023, YB Hajjah Zuraida telah diberikan kerusi di DUN Ladang dan terus meraih kepercayaan rakyat.

2.Pemandu Wanita Di Terengganu : Jawatan pemandu wanita yang pertama di Terengganu juga telah diwujudkan bagi menjamin keselesaan penjawat awam wanita dan mengelakkan fitnah serta menjaga adab dalam bekerja.

3.Kejohanan Sukan Wanita Terengganu 2022 (SUKWA) : Kerajaan Negeri Terengganu juga telah menganjurkan Kejohanan Sukan Wanita Terengganu (SUKWA) pada tahun 2022. Kejohanan ini merupakan platform penting untuk memperkasakan wanita dalam bidang sukan, sekaligus mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan wanita negeri ini. Ini juga menunjukkan Islam tidak melarang kaum wanita untuk bersukan tetapi bersukan dalam lingkungan yang selamat dan selesa.

4.Hari Sayyidatina Aishah : Program ini diangkat sebagai sebuah program khas bagi mengiktiraf jasa dan peranan Wanita Terengganu dalam bidang masing-masing.Ia juga dianjurkan bagi memberi nilai tambah serta menyuburkan penerapan elemen keilmuan, kepimpinan dan kemahiran yang harus dikuasai oleh seorang wanita.

5.Cuti Bergaji Penuh 30 Hari Bagi Kematian Suami : Sejak 2019, kerajaan negeri telah menyediakan cuti bergaji penuh selama 30 hari kepada wanita (kakitangan kerajaan) yang kehilangan suami. Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga emosi wanita yang mengalami kehilangan orang tersayang.

6.Dasar Wanita : Pada sambutan Hari Sayyidatina Aishah 2022, Dasar Wanita Negeri Terengganu telah dilancarkan. Dasar ini dirangka untuk memelihara, melindungi, memperkasakan, dan membangunkan wanita di Terengganu, berlandaskan syariat Islam serta selari dengan perundangan negara.

7.Program Saringan Percuma Mammogram dan Pap Smear : Tanda keprihatinan dan langkah pencegahan, Kerajaan negeri melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kesihatan telah memperkenalkan program saringan percuma untuk mencegah penyakit kritikal di kalangan wanita, yang telah berjalan sejak 2018.

Kerana Kerajaan PAS Negeri Terengganu ini telah banyak menjaga kebajikan wanita di Negeri Terengganu, maka ketakutan menguasai parti lawan menyebabkan royalti yang menggerakkan aktiviti kebajikan rakyat disekat. Dan Malaysiakini seperti biasa selalu membawa dan mengangkat naratif memburukkan usaha yang baik ini.

Sekian, terima kasih.

YBhg. To’ Puan Hajah Zarani Othman

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu

17 Ogos 2024

Ulasan