Ambil Iktibar Sejarah Hadapi Cabaran Politik


Oleh : Rohayati binti Ripin 


DUNGUN - Pesuruhjaya PAS Terengganu, menegaskan bahawa PAS perlu mengambil iktibar daripada sejarah politik yang pernah dilalui, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.


Dato' Hussain Awang, menekankan pengajaran dari sejarah politik, pentingnya ekonomi dalam politik, serta keperluan untuk memperkukuhkan tarbiyah dan pendidikan bagi menambat hati rakyat.


Katanya, cabaran besar yang dihadapi PAS dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, iaitu di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Nenggiri, memberi gambaran jelas mengenai keutamaan pengundi.


"Kita sedang berhadapan dengan cabaran menyebabkan kita terasa bimbang dan gerun, takut sejarah yang pernah berlaku di Terengganu berulang.


"Dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kita hadapi, satu di Sungai Bakap, Pulau Pinang, kawasan yang masih belum terjamin untuk parti PAS, namun alhamdulillah kita berjaya meraih kemenangan. 


"Namun, di Nenggiri, kawasan yang pada pandangan dan keyakinan kita mungkin sukar dimenangi pada masa ini, kita mengalami kekalahan dan bukan sahaja kekalahan tipis, tetapi kekalahan yang besar dan ketara," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Liqa Fikri anjuran Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu (BPPNT), pada semalam.



Katanya, ini memberikan gambaran jelas bahawa isu-isu timbul dalam negara dan penderitaan yang dihadapi rakyat kebanyakannya tidak memberikan kesan kepada mereka.


"Sejarah titipan yang telah pun disampaikan oleh Almarhum Tuan Guru Nik  Abdul Aziz Nik Mat, beri gula kacau beri kain pakai dan sejarah itu pada tahun 80an sudah dilupai oleh rakyat pada ketika ini.


"Oleh itu, kita mempunyai pengalaman di mana kita pernah menang pada tahun 1999 tetapi kalah pada tahun 2004. 


"Bukan kerana kekuatan senjata yang menyerang atau menjatuhkan kita, tetapi kerana kita tidak mampu memenuhi manifesto dan janji kita kepada rakyat.


"Rakyat pada waktu itu tidak dapat menilai keupayaan kita dalam mentadbir dan mengurus, kerana mereka kurang faham dari sudut ekonomi dan hal-hal lain yang berkaitan," ujarnya.


Justeru itu, beliau menyeru kepada semua ahli PAS agar membuktikan keupayaan dalam menambat dan mengukuhkan keyakinan serta kefahaman masyarakat, terutama di kalangan golongan muda. 


"kita  mesti ambil pengajaran dan berusaha bagaimana untuk kita menambah hati, perasaan dan pemikiran mereka menerusi  menerusi tarbiyah, pendidikan, ilmu, budi  bicara itu yang mana itu sahajalah senjata yang ada pada kita selain daripada berdoa kepada Allah SWT," tambah beliau lagi.

Ulasan