Hari ini berlangsungnya program Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri atau State Government 4 (SG4) yang dihadiri oleh empat Menteri Besar (Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis), dua panel penasihat, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat DUN dan Ahli Parlimen, serta jemputan khas. Jumlah kehadiran pimpinan negeri dan jemputan daripada seluruh negara adalah sekitar 500 orang.
2. Objektif sidang kemuncak ini adalah untuk membina satu
jaringan Kerjasama antara Kerajaan Negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan
Perlis dengan pihakpihak berkepentingan yang terdiri daripada kalangan sektor
awam, swasta, pelabur tempatan dan antarabangsa serta pihak berkepakaran
pelbagai bidang bagi pembangunan sosio-ekonomi rakyat negeri-negeri berkenaan.
3. Potensi negeri-negeri SG4 amat besar merangkumi
bidang-bidang pembangunan baharu seperti sumber asli dan mineral kritikal,
pertanian dan keterjaminan makanan, teknologi hijau dan kredit karbon,
perdagangan dan eko-pelancongan, industri halal dan teknologi kewangan
(fintech) syariah dan pendidikan.
4. Pembangunan negeri-negeri Pantai Barat yang menuju ke arah saturasi dan kekangan
sumber membuka ruang kepada negeri-negeri SG4 yang masih memiliki zon industri
yang lebih luas dan kos yang lebih efektif untuk menarik pelaburan-pelaburan
berpotensi tinggi.
5. SG4 diuruskan oleh Majlis Menteri Besar SG4 yang
dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu dan dianggotai oleh 3 lagi
Menteri Besar serta Setiausaha Eksekutif. Di bawah Majlis Menteri Besar SG4 ini
pula diwujudkan lima kluster utama yang menjadi platform kerjasama exco-exco
negeri SG4 iaitu Kluster Infrastruktur dan Logistik, Kluster Perdagangan,
Pelaburan dan Industri, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Kluster
Pendidikan dan Modal Insan serta Kluster Sumber dan Pendapatan Baharu.
6. Sebuah entiti korporat SG4 juga telah ditubuhkan di bawah
Majlis Menteri Besar ini untuk menyelaras dan membawa masuk pelaburan-pelaburan
baharu rentas negeri SG4. Entiti korporat ini dimiliki dengan pegangan hakmilik
yang sama rata setiap negeri dan berkerjasama dengan GLC sedia ada
7. Keberhasilan kerjasama SG4 adalah peningkatan
kesejahteraan hidup rakyat menerusi pentadbiran yang berintegriti dan cekap,
kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan, serta pembangunan lestari yang
berimpak tinggi. Secara langsung, agenda ini akan turut menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.
Sekian. Terima kasih. Wassalam.
YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan
Setiausaha Eksekutif SG4
Ulasan