Lebih Separuh Golongan Dewasa Di Terengganu Obesiti


 KUALA NERUS - Sebanyak 51 peratus daripada golongan dewasa di Terengganu mengalami masalah obesiti atau lebih berat badan.


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, data itu hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun lepas.


Beliau berkata, kadar obesiti di Terengganu juga didapati meningkat iaitu daripada 47.5 peratus pada 2015 kepada 49 peratus pada 2019.


"Masalah obesiti atau lebih berat badan paling tinggi dalam kalangan individu berusia 25 hingga 50 tahun.


"Boleh dikatakan satu daripada dua dewasa di Terengganu berdepan masalah berkenaan.


"Situasi ini agak merisaukan kerana boleh membawa risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi yang turut mencatatkan peningkatan kes setiap tahun," katanya selepas merasmikan Sambutan Funwalk 10,000 Steps & Wellness Hub Open Day di Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.


Seramai 1,000 peserta termasuk warga JKNT dan komuniti setempat menyertai acara itu yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat melalui senaman serta pemakanan.


Dalam perkembangan lain, Dr Kasemani berkata, setakat ini tiada jangkitan cacar monyet (mpox) di negeri ini.-SH

Ulasan