Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.
Tanggal keramat Dua September 1998 meninggalkan parut yang agak besar kepada tanah leluhur ini. Lahan kotaraya menggelegak hangat , adrenalin dengan getaran berganda terutama kepada anak-anak muda aktivis politik. Pagi ini, isnin yang malas serta sendu aku mula menyedari tiada kata- kata cerdas untuk memperingati tarikh keramat pemecatan DS Anwar Ibrahim. Yang ada terpapar dimedsos hanyalah luahan kemarahan , carut marut sumpah seranah rakyat yang merasa tertipu dan dinodai karomah insaniah oleh para politikus!. Demokrasi yang semakin sempit, kebebasan berekspresi semakin ditindas, kesenjangan sosial yang semakin melebar, kos kehidupan yang mencanak, perlecehan kepada agama semakin menjolok mata serta seribu satu masalah yang merimaskan nurani rakyat.
Walhal , lazimnya tarikh 2 September selepas tahun 1998 setiap tahun akan diperingati sebuah mercutanda perjuangan gerakan rakyat ,paling kurang kepada aktivis politik zaman reformasi 1998. 26 tahun dahulu tanggal 2 September adalah titik mula gelombang kesedaran politik terbesar di tanahair ini selepas gerakan anti Malayan Union 1946. Tarikh keramat itu disebut sebagai kemuncak pertembungan Anwar dan Dr Mahathir. Kami anak-anak muda di Lembah kelang menjadi terpancing emosi dengan seruan untuk melakukan unjuk rasa besar-besaran, segalanya tak keruan dan menggelegak. Penyokong -penyokong fanatik Anwar daripada aktivis NGO peliharaannya, team Anwar dalam Umno dengan pantas memanfaatkan emosi dan sentimen anti kerajaan dengan menganjurkan bantahan awam dengan jenama " reformasi".
Anwar sinonim dengan bantahan awam sejak zaman mudanya sebelum menyertai kerajaan pada tahun 1982 .Namun segalanya berubah dizaman Anwar menjàdi Menteri Pendidikan, kami pelajar kampus dekad 90an yang mendokong fikrah PAS merasa jengkel dengan cara gaya Anwar mengendalikan kampus, termasuk isu-isu panas seperti isu Salman Rushdi, kekangan kepada gerakan pelajar Islam, kroni kapitalisme dan sebagainya. Seorang pensyarahku dikampus , Prof Mohamad Abubakar merakamkan aktivisme pelajar dalam dekad 1970an dalam bukunya " Mahasiswa Menggugat ". Anwar Ibrahim yang pernah memahat nama besar dan penting dalam gerakan anak muda dasawarsa 70an dengan memimpin ABIM, mendekam dalam tahanan ISA, menjadi jurubicara ummah yang dikagumi dalam gelombang kebangkitan Islam. Nilai murni zaman Anwar muda inilah yang sering dipuja oleh NGO-NGO Islam hari ini yang terkenal dengan sikap " playsafe" dan manipulatif di tanahair ini.
Anwar dipancing kedalam UMNO diawal Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, perjalanan politiknya lincah dan mudah. Bermula tahun 1982, menyaksikan ABIM juga terpecah kepada tiga kelompok ,bahkan terpecahnya juga gerakan mahasiswa di kampus-kampus akibat tindakan Anwar menyertai UMNO. Anwar menjalankan kempen Islamisasi dengan jenama Penerapan nilai-nilai Islam (PNI) , juga sebagai langkah memintas pengaruh PAS akibat' Islamic revivalism' yang jika tak dikawal maka PAS akan memperolehi labanya.
Pasca 2 September 1998 yang membidani gerakan reformasi juga menyebabkan aku menatap potret perjuangan Anwar daripada dekat, sebagai Exco Dewan Pemuda PAS, tanpa diarah dan disuruh,aku hadir ke Bukit Damansara mendengar wejangan Anwar serta figura politik lain yang menyokong Anwar. Bukit Damansara adalah markas rakyat yang peduli dan aku yakin sebahagian besar penjilat-penjilat Anwar hari ini tidak pernah memijak tanah Bukit Damansara saat era reformasi 1998!. Rajin juga aku turun ke kompleks Sogo, Kampong Baru dan jalan Tunku Abdul Rahman. Bantahan awam yang sentiasa berakhir dengan gas pemedih mata, sepak terajang FRU serta disorong ke black Maria yang bengis. Tempat tinggalku di Flat UDA Jalan Pantai Bharu menjadi markas reformasi kerana Sekolah Yayasan Anda Akademik terletak disitu dan Anwar adalah pengasasnya. SB yang sentiasa berkeliaran dikawasan dua blok bangunan,mematai dengan tajam gerak geri anak-anak muda yang begitu obses dengan perkembangan politik.
Aku sempat juga menulis buku berkaitan Anwar dan Reformasi, ada sisi hitam dan putih pada ikon reformasi ini. Wajarlah , Anwar sebagai manusia bukan malaikat!. Anwar tetap menjadi sebahagian sejarah negara ini semenjak dekad 70an. Beliau mendampingi PAS saat disergap kesusahan dan diserang pasca 2 September, pimpinan PAS terutama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membela Anwar dengan pelbagai cara,termasuk menulis buku tentang Qazaf. Hari ini dengan secubit kuasa ,segunung seranah dan penghinaan Anwar muntahkan kepada Tuan guru. Dizaman Anwar Ibrahim menjadi PM, serban dan jubah diejek , menuduh Tuan Guru berbohong tentang konspirasi sulit antara Zahid dan Anwar!. Cukup ironis sikap dan wajah Anwar bila berkuasa.
Pentaksub Anwar tak memahami realiti sejarah, mereka berjuang dalam era kemewahan , bukan " parti derita" seperti era pasca reformasi. PAS adalah kawan yang membantu Anwar dan parti deritanya. Jangan tanya saya, bagaimana rupa Lokman Adam era itu kerana aku salah seorang yang menguruskan ceramah di Markas Tarbiah Taman Melewar. Pasca 2 September 1998, Anwar melancarkan Reformasi, dengan pantas menjadi fenomena baru dalam belantara politik Malaysia. Himpunan demi himpunan politik anti kerajaan, buku dan majalah dicetak mencecah ratusan ribu naskah,bahkan akhbar Harakah mencapai jualan 400 ribu naskah. Jualan CD seperti goreng pisang panas , bahkan ada yang menjadi kaya raya dengan laba jualan sentimen reformasi. Segalanya tentang Anwar dan kebangkitan politik menentang regim yang korup.
Anwar dengan paparan wajah bermata lebam mengundang simpati rakyat negara ini terutama orang-orang Melayu, beliau kemudiannya terpenjara di dalam tahanan ISA. Termasuk pemimpin - pemimpin NGO ABIM, JIM,PKPIM yang pro Anwar turut ditahan dibawah ISA.
PAS yang dipimpin oleh Ustaz Fadhil Noor telah menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) pada April 1999. Majlis pelancaran GERAK diadakan di Markas Tarbiah Taman Melewar KL dengan ratusan ribu manusia yang hadir. Aku saat itu menggalang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, kami anak-anak muda membuat persiapan sebelum dan selepas pelancaran GERAK. Kesan hilirannya sokongan kepada PAS dan parti pembangkang menjàdi semakin popular.
Bertolak daripada kebangkitan rakyat, sdr Tian Chua yang memimpin Gagasan Demokrasi Rakyat (Gagasan) manakala isteri Anwar, DS Wan Azizah mengepalai Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL), sebuah NGO yang membawa aspirasi perjuangan Anwar. Kelompok kelas menengah dan juga pengikut Anwar seperti Dr Chandra Muzaffar bergabung dalam ADIL.
Tindakan politik seterusnya ialah, seorang penyokong Anwar telah 'membeli' parti IKATAN dari Terengganu lalu dinamakan Parti Keadilan Nasional (PKN), juga sebagaimana GHB membeli parti Pekerja Malaysia yang akhirnya menjadi PAN pada tahun 2015. Tindaklanjut selepas itu, PKN telah bergabung dengan PAS, DAP dan PRM untuk membentuk Barisan Alternatif (BA). Barisan Alternatif telah menjadi buah mulut rakyat dengan mencabar hegemoni BN, koalisi politik ini telah membuahkan hasil dalam PRU tahun 1999. Dikawasan majoriti pengundi Melayu , BN telah ditolak dan PAS telah mendapat laba politik paling besar daripada pemuafakatan politik pembangkang itu.
Panjang untuk ditinta sejarah politik DS Anwar, PKR, gerakan reformasi, perpecahan dalaman PKR, intriq dan polemik diantara pendokong asal gerakan reformasi . Belum lagi dibedah sikap Anwar terhadap PAS selepas 2015,namun Anwar jelaslah pemimpin paling gagal dalam menjawat jawatan PM sejak 25 November 2022. Apa penambaikan kepada tanah watan ini?, kelompok B40 semakin membesar, limpahan warga asing tidak terkawal , rakyat hanya membekap dada melihat Anwar menaiki Bentley dan juga Heli. Negeri- negeri jantung hati orang Melayu dilayan seperti pariah , dinafikan royalti penuh seperti Terengganu yang puluhan tahun dibayar royalti minyak dan gas. Kata- kata muluk tentang reformasi mengislah negara telah dibawa lari angin semilir , bersama sumpah seranah rakyat jembel terhadap politikus yang berkuasa !.
( Penulis ialah AJK PAS Pusat , mantan Ketua DPP Wilayah Persekutuan)
Ulasan