Pemimpin Bertanggungjawab Beri Kesejahteraan Rakyat


 Tidak senang duduk pemimpin DAP apabila tersebar kenyataan bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland jika PAS diberi kepercayaan untuk menerajui Pahang. 


Reaksi DAP ini agak melucukan apabila ia seolah- olah bertindak bagi pihak pemilik pusat perjudian tersebut. Lebih memualkan apabila DAP dengan tidak beradab cuba mengaitkan judi sebagai sumber ekonomi orang Islam. Hal ini dinyatakan oleh Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen dalam MalaysiaKini bertarikh 15 September 2024 yang melahirkan rasa terkejut dengan perancangan PAS yang dikatakan boleh menjejaskan ekonomi, termasuk sumber pendapatan umat Islam.


Penutupan premis judi ini telah berlaku seawal tahun 1990-an, pada era Al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) menjadi Menteri Besar Kelantan dan telah menutup premis judi. Menjadi suatu kehairanan apabila TGNA yang selalu disanjung oleh pemimpin DAP dan acapkali menjadi sebutan YB Jelutong, RSN Rayer dalam Persidangan Parlimen, tidak bersetuju dengan tindakan menutup premis judi ini.  


Sepatutnya tindakan ini perlu disokong dan dituruti oleh semua Kerajaan Negeri. Mencegah judi ini bukan hanya obligasi agama semata-mata, tetapi ia adalah tanggungjawab sosial Kerajaan agar rakyat tidak terus menghadapi masalah peribadi, kewangan, dan sosial yang serius akibat aktiviti perjudian ini. Ini termasuk kemuflisan kewangan, kehilangan pekerjaan, isu undang-undang, dan tekanan emosi. Adakah DAP mahu rakyat Malaysia terus dibebani masalah sosial?


Kini negeri Terengganu, Kedah dan Perlis, negeri yang berada di bawah pemerintahan PAS juga telah mengambil langkah yang dimulakan oleh Kerajaan Kelantan. Maka, DAP cuba mengheret rakyat agar bimbang dengan langkah ini. Walhal, ia sebenarnya menimbulkan kebimbangan sebahagian pimpinan PH terhadap PAS andainya menerajui Pahang, persoalan adakah pusat perjudian Genting akan ditutup, tidak timbul kerana Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Haji Andansura menegaskan bahawa ianya adalah tertakluk kepada peraturan dan undang-undang sedia ada. 


Tentunya larangan bagi umat Islam dan rakyat negara ini memasuki premis Kasino Genting perlu dipertingkatkan dan kegagalan premis mematuhi peraturan akan mendedahkan tindakan diambil kepada pemilik premis tersebut. Selain itu, kesedaran awam perlu ditingkatkan selain penguatkuasaan undang-undang sedia ada. Harus diakui, kita sekarang berada dalam zaman kemajuan teknologi. Bererti cabaran dalam sektor perjudian ini bukan hanya secara fizikal (kedai dan pusat judi), tetapi ia juga melibatkan judi atas talian (online). Maka tentunya Kerajaan perlu menguatkuasakan sekatan dan larangan agar ianya dapat dibendung.


PAS ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab utama pemimpin untuk menjaga kesejahteraan rakyat dengan membendung mereka dari terlibat dalam aktiviti yang boleh merosakkan nilai-nilai moral mereka. Pemimpin yang bertanggungjawab bukan sekadar bimbang rakyatnya tidak cukup makan, namun pemimpin juga patut dukacita dan resah andai rakyatnya memakan makanan dari sumber yang haram yang boleh merosakkan jiwa dan sifat insaniah mereka. Ayah yang baik tentunya tidak akan membiarkan anaknya melakukan sesuatu yang buruk. Seorang ayah yang merokok, pasti tidak suka anaknya merokok. Jika merokok boleh merosakkan kesihatan, perjudian pula merosakkan ekonomi keluarga dan masyarakat. 


Menariknya tiada agama membenarkan perjudian dan semua tokoh agama memandang ianya tidak bermoral. Ia telah ditegaskan oleh para tokoh agama Kristian, Buddha serta Hindu dalam beberapa siri perjumpaan yang dianjurkan oleh PAS. 


Hakikatnya, Allah yang menciptakan semua makhluk Maha Mengetahui baik buruk sesuatu perkara terhadap hamba-Nya. Kesan aktiviti perjudian ini kepada manusia telah ditegaskan Allah di dalam Al-Quran.  Allah menegaskan bahawa arak dan perjudian adalah tindakan yang boleh menimbulkan perkelahian, permusuhan, kebencian dan merosakkan hubungan sesama manusia dan menjauhkan manusia dari mengingati Allah. 


FirmanNya,


‎‫إِنَّمَا یُرِیدُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ أَن یُوقِعَ بَیۡنَكُمُ ٱلۡعَدَ ٰ⁠وَةَ وَٱلۡبَغۡضَاۤءَ فِی ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَیۡسِرِ وَیَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَهُونَ﴿ ٩١ ﴾‬‬


“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”- (Al-Māʾidah, Ayah 9)


Ketika urusan Islam kini semakin cuba dicampuri oleh pihak tertentu, saya mengharapkan agar pimpinan agama samada Mufti, Tokoh Agama di setiap negeri serta badan-badan NGO berasaskan dakwah menyokong dan mendokong tindakan Kerajaan Negeri yang menutup premis perjudian dan menghadkan penjualan minuman arak termasuk semua aktiviti yang merosakkan akhlak. Kita perlu bersatu untuk mendokong perintah Allah demi kesejahteraan rakyat Malaysia.


Gerakan yang merosakkan ini akan bermula dengan perlakuan mungkar yang dibiar sehingga masyarakat menormalisasikan amalan mungkar tersebut berleluasa dalam masyarakat, yang akhirnya membawa kepada amalan yang merosakkan aqidah ummah, samada terlibat dengan ajaran sesat atau aqidah yang songsang.


Mudahnya menyuruh yang makruf berbanding mencegah amalan mungkar. Menyuruh yang makruf haruslah seiring dengan mencegah kemungkaran, kerana tiada makna tanaman dibaja, dan diwaktu yang sama dibiarkan serangga merosakkan tanaman tersebut.


YB DATO' SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Timbalan Presiden PAS 

Ahli Dewan Negeri Cheka

17 September 2024

Ulasan