PH Dan Umno Gagal Kerjasama Dengan DAP


 Kenyataan daripada DAP terhadap urusan agama Islam adalah satu langkah yang silap mengikut sempadan masyarakat majmuk, kerana ia sangat dijaga oleh penganut Islam walaupun mereka yang paling jahil.

Sifat tersebut masih terpelihara dalam diri masyarakat Melayu Islam sejak beberapa abad lamanya di Nusantara, termasuk pada zaman penjajah. Sehinggakan, tidak mudah untuk seseorang mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan salah faham. Walaupun Islam dengan tegasnya dinyatakan sebagai agama bagi persekutuan, namun hak kebebasan beragama tetap terpelihara kepada semua pihak.

Baru-baru ini, tercetusnya kenyataan yang menimbulkan salah faham sekali gus menandakan berlakunya ketidakfahaman terhadap adab Islam. Sehingga menimbulkan kekeliruan sejak berlakunya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan DAP, yang kemudiannya disertai oleh beberapa kepala UMNO dalam kerjasama tersebut.

Keadaan yang berlaku seperti sudah tidak mengenali sempadan perbezaan agama yang wajib dijaga, sehingga DAP boleh melanggar sempadannya. Lebih malang lagi, ada daripada kalangan Melayu Islam yang jahil agamanya sendiri bertindak mempertahankan kenyataan yang salah daripada DAP.

Allah menegaskan betapa sempadan halal dan haram wajib dijaga oleh penganut Islam dengan firman-Nya:

وَلَا تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلۡسِنَتُكُمُ ٱلۡكَذِبَ هَٰذَا حَلَٰلٞ وَهَٰذَا حَرَامٞ لِّتَفۡتَرُواْ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ ١١٦   

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya, orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak akan beruntung.” [Surah al-Nahl: 116]

Ayat ini ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ، ومَنْ وقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَقَعَ فِيهِ، أَلَا وإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وهِيَ الْقَلْبُ.

Sesungguhnya, yang halal itu terang dan nyata, dan yang haram itu juga terang dan nyata. Antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah (tidak nyata halal dan haramnya) yang tidak diketahui oleh orang kebanyakan. Maka, sesiapa yang memelihara dirinya dalam perkara syubhah itu bermakna dia dapat memelihara dirinya dari segi agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Hal ini laksana seorang penggembala yang membawa haiwan ternakannya di sempadan larangan (ladang yang dilarang daripada memasukinya). Sesungguhnya, setiap raja yang berkuasa ditetapkan sempadannya dan sempadan Allah ialah perkara yang diharamkan. Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia itu ada segumpal daging yang mengawal dirinya. Jika segumpal daging itu baik, maka baiklah seluruh jasadnya; sekiranya segumpal daging itu buruk, maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah jantungnya (yang menggerakkan kehidupan dan perasaannya).” [Muttafaq Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Buyu‘, No. 2051 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Musaqah, No. 1599, daripada al-Nu‘man bin Bashir. Lafaz hadis bagi Muslim]

Bagi melaksanakan perkara di atas, Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA menegaskan:

إنَّ ‌اللَّهَ ‌يَزَعُ ‌بِالسُّلْطَانِ ‌مَا ‌لَا ‌يَزَعُ ‌بِالْقُرْآنِ.

Sesungguhnya, Allah memberikan hak kepada pihak pemerintah (kerajaan) yang berkuasa untuk menentukan perkara yang tidak dinyatakan oleh al-Quran.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 2, Hlm. 12]

Para ulama’ telah menetapkan suatu kaedah:

تَصَرُّفُ ‌الْإِمَامِ ‌مَنُوطٌ ‌بِالْمَصْلَحَةِ.

Budi bicara dan tindakan pemerintah mestilah bertujuan memelihara atau membawa kemaslahatan (kebaikan) kepada rakyat.”

Ada yang menyebutnya sebagai Siasah Syar‘iyyah.

Antara perkara tersebut ialah menyatakan tanda halal bagi maslahat penganut Islam ke dalam perkara haram dan syubhah. Sekalipun ia tidak menyentuh urusan masyarakat bukan Islam sedikit pun, seperti tidak mewajibkan mereka meletakkan tanda haram kepada makanan mereka.

Namun begitu, semua pihak dapat memahaminya tanpa adanya kenyataan yang bersifat provokasi sehingga berani menyentuh perkara yang berkait dengan penganut Islam yang tidak ada kaitan langsung dengan masyarakat bukan Islam. Melainkan adanya tujuan niat jahat untuk memudahkan penganut Islam jatuh ke dalam perkara yang haram atau syubhah. Sehingga mengheret ke arah pluralisme yang melanggar sempadan agama Islam yang wajib dipertahankan oleh penganut Islam.

Semua pihak sama ada raja-raja atau rakyat yang menjaga kedudukan Islam yang wajib dimuliakan, hendaklah membuat kenyataan terbuka menentang kemungkaran yang mencabar pihak yang menjaga agama Islam. Jangan diam membisu membiarkan  perkara agama dipermainkan sehingga dihina martabatnya.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 7 Rabi‘ al-Awwal 1446 / 11 September 2024

[Bil: 39 / 2024]

Ulasan