19 Jun 2008

Terengganu Juara SUKMA, PM Tidak Umumkan Apa-apa

SUKMA kali XII Edisi Terengganu 2008 ditutup dengan rasminya oleh Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi . Tuan Rumah Terengganu mencapai pungutan

pingat terbanyak dan menjadi juara, namun PM tidak membuat apa-apa kenyataan politik atau khabar berita gembira tentang royalti.

Sehingga kelmarin sudah dua minggu UMNO Terengganu terumbang-ambing umpama kapal hilang haluan apabila pengerusinya sebelum ini, Dato’ Seri Idris Jusoh meletakkan jawatan pada 29 Mei 2008 lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Rosol Wahid dan Ketua Penerangan Umno negeri, Dato’ Ahmad Shabery Chik turut melepaskan jawatan masing-masing, mengikut jejak langkah Idris.

Walaupun begitu, tindakan Dato’ Wan Hisham selaku Bendahari, yang mengisytiharkan tidak akan meletakkan jawatan dua hari lalu dilihat kerana beliau banyak memegang amanah ‘harta dan wang ringgit’ UMNO Terengganu.

Sekiranya Wan Hisham ingin mengundur diri, beliau perlu memindahkan ‘harta benda dan wang ringgit’ tersebut terlebih dahulu kepada sesiapa yang bakal menggantikannya.

Oleh yang demikian beliau akan menunggu sehingga proses pelantikan Pengerusi UMNO Terengganu selesai.

Menurut sumber dalaman UMNO Terengganu, bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris amat ‘kecewa’ dengan tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menyokong perlantikan Dato’ Ahmad Said sebagai MB Terengganu bagi menyesaikan masalah pentadbiran negeri dua bulan lalu.

Pergolakan ‘dalaman’ UMNO Terengganu masih berterusan meski pun Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 telah berlalu lebuh 100 hari,

”Ia adalah kerana pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu bersikap ego dan angkuh”, kata sumber berkenaan.

Majoriti pemimpin akar umbi UMNO Terengganu semasa dipimpin oleh Idris takut untuk bersuara dan tidak berani berkata benar terhadap para pemimpin.

Kini, setelah bekas pengerusi dan setiausahanya melepaskan jawatan masing-masing barulah ada pihak yang berani tampil bersuara serta membela rakyat.

Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang turut mendesak agar Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi segera melantik Ahmad Said sebagai pengganti Idris dengan segera.

“Kita harap Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Malaysia jangn tangguh perlantikan baru memandangkan semua pihak sedia maklum bahawa kebiasaannya Menteri Besar secara tidak langsung berperanan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri,” tegasnya.

Katanya, Dato’ Ahmad layak memegang jawatan tersebut kerana merupakan ‘orang lama’ dalam parti yang dipilih sebagai MB Terengganu.

Pelantikan itu penting kerana sejak lebih 100 hari yang lalu (selepas PRU) UMNO Terengganu gagal mengadakan mesyuarat.

Jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak harus dibiarkan kosong terlalu lama kerana ia akan menjadikan ahli-ahli bawahan bertambah keliru.

Sebelum ini, Ketua UMNO Kuala Nerus, Dato’ Nasir Ibrahim memecahkan kesunyian sekian lama UMNO Terengganu dengan mengatakan ahli-ahli bawahan menjadi keliru akibat wujudnya dua puak dalam UMNO, puak Idris Jusoh dan puak Ahmad Said.

Selepas mesyuarat Exco minggu lalu, Ahmad Said mengatakan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO dan mengharapkan Abdullah Ahmad Badawi akan memberikan jawapannya samada berkenaan pengganti Pengerusi UMNO Terengganu atau perihal Royalti Minyak semasa kedatangan beliau ke majlis penutup SUKMA pada 9 Jun (semalam).


Surau Tidak Penting Di Kompleks Sukan

Memang tidak dinafikan ramai yang memuji keindahan senibina dua buah stadium di Kompleks Sukan Gong Badak, dimana kedua-dua stadium tersebut, stadium utama dan stadium tertutup yang menelan belanja setengah bilion ringgit.

Namun, dalam keasyikan orang ramai membicarakan keindahan itu, pihak yang bertanggungjawab sebenarnya gagal menyediakan tempat beribadah (solat) yang sempurna di kawasan kompleks tersebut.

Amat malang, satu kawasan paya yang dibangunkan dengan nilaian mencecah setengah billion ringgit, cahaya dari lampu-lampu neon yang bergermelapan di waktu malam, yang memukau mata memandang, namun tidak mampu membangunkan sebuah surau yang secanggih dan terbaik secocok dengan kompleks sukan itu.

Tinjauan wartawan Buletin Online mendapati, keadaan surau di stadium utama, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan kawasan bilik persalinan padang hoki dan boling padang amat menyedihkan.

Suasana dalam ‘tempat’ yang dinamakan surau itu amat kotor dan tidak terurus dengan sempurna sebagaimana mereka menguruskan ‘venue’ sukan dan pertandingan dengan baik.

Seorang sukarelawan, Wan Mohd Syawali ketika ditemui selepas selesai solat asar kelmarin menyatakan kekesalannya di atas keadaan surau yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘teruk’ itu.

“Suasana dalam surau begitu menyedihkan. Lantai simen hanya dilapik dengan beberapa keping karpet dan tidak ada sejadah,
“karpet yang memerangkap pasir pula kelihatan amat kotor dan berbau busuk. Namun, bagi umat Islam yang mahu melaksanakan solat, mereka terpaksa juga menggunakannya,” katanya kepada Buletin Online.

Rakannya (yang tidak mahu dikenali) berkata, sepatutnya pihak yang menguruskan kompleks tersebut mementingkan tempat beribadah melebihi keperluan lain di situ.

Tetapi disebabkan bimbang akan mendapat malu yang tidak bertempat, mereka hanya mementingkan kawasan pertandingan sahaja berada dalam keadaan bersedia.

“Apa salahnya habiskan dua tiga ribu ringgit untuk makmurkan surau ini. Bagi kita umat Islam, perkara sebegini memang tidak masuk akal dan memalukan,
”malah, jika pihak kerajaan negeri prihatin, sepatutnya di sini mesti dibuat sebuah mini masjid untuk kemudahan pengunjung dan atlet sukan, bukan hanya menjadikan stor bilik persalinan sebagai surau” katanya lagi.

Sehingga kini, tiga laporan tidak puas yang telah dibuat oleh pihak media terhadap kemudahan surau yang terdapat di Kompleks Sukan Gong Badak.

Buletin Online sebelum ini dalam berita perasmian SUKMA XII pada 31 Mei lalu telah menyampaikan suara pihak Jawatankuasa Hal Ehwal Ulamak Kuala Nerus yang memohon supaya kemudahan surau di tingkat dua Stadium Sultan Zainal Abidin di perelokkan sepanjang SUKMA bagi kemudahan orang ramai untuk beribadat.

Corat-coret wartawan Utusan juga mencatatkan permasalahan yang sama. Catatan rakan media tersebut adalah seperti berikut;

”Jika empat hari lalu, jemaah yang ingin menunaikan solat di surau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak mengeluh kerana terpaksa bersolat dalam keadaan panas, namun semalam semuanya sudah berakhir.

“sejak pukul 2 petang, semalam pendingin hawa surau berkenaan telah dihidupkan oleh kontraktor yang bertungkus lumus menyambung pendawaian elektrik di surau yang terletak di tingkat dua berhampiran Pusat Media Sukma XII itu.

“kini, jemaah yang ingin bersolat di surau itu boleh melakukan ibadah dengan selesa tanpa perlu berpeluh ketika bersolat.

“namun, disebabkan ketiadaan tikar sembahyang, ada jemaah bermurah hati untuk meletakkan tikar sembahyang mereka di surau itu bagi kegunaan orang ramai”.


Akhirnya Peniaga Lari Tinggalkan Karnival SUKMA

Tidak tahan menghadapi pelbagai masalah, akhirnya para peniaga meninggalkan karnival SUKMA walaupun mereka telah membayar deposit diantara RM 1000 hingga RM 2000.

Daripada hampir seratus buah khemah yang didirikan pada 25 Mei lalu, tinjauan Buletin Online hari ini mendapati tinggal hanya 10 gerai/khemah sahaja yang terus bertahan di tapak Karnival SUKMA berhadapan dengan stadium utama, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tindakan tersebut adalah ekoran dari kegagalan penganjur karnival berurusan dengan Sekretariat SUKMA dan kerajaan Negeri Terengganu yang dilihat oleh para peniaga ‘tidak membantu’ mereka dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Penganjur bukan sahaja gagal menyediakan bekalan air dan elektrik, bahkan status penyewaan tapak karnival tersebut juga dipertikaikan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Beberapa peniaga yang terus bertahan ditemu Buletin Online menyatakan sehingga kini mereka masih belum ‘pulang modal’

Mereka terpaksa mencari sumber lain bagi bekalan elektrik pada malam hari, selain mengeluarkan tenaga mengangkat air.

”Kami terpaksa menanggung kerugian, nak buat macamana, kami orang berniaga, terpaksa tunggu sehingga habis lah ….,” kata salah seorang dari mereka.

Buletin Online telah dua kali menyiarkan permasalahan yang dihadapi oleh para peniaga sepanjang SUKMA berlangsung.

Namun mungkin kerana terlalu sibuk dengan SUKMA dan mengejar kemasyuran dengan status ‘Juara SUKMA’ , kerajaan negeri tidak menghiraukan langsung rayuan para peniaga terbabit.

”Kami harapkan dengan negeri Terengganu menjadi tuan rumah SUKMA dapatlah kami mencari ‘se sen dua pitih’ tapi nampaknya ‘gelap gambor’,’ tambah peniaga berkenaan.

Gelanggang Boling Padang ‘beralun’ – Pegawai/Pemain

Jadual pada laman rasmi SUKMA Edisi Terengganu diantara jam 8 hingga 10 malam semalam (2 Jun) memaparkan permainan boling padang pusingan ke 9 disiplin WTAI/WTRI yang menyaksikan 12 perlawanan di gelanggang A dan B Kompleks Sukan Gong Badak.

Tinjauan Buletin Online ke gelanggang yang baru seminggu disiapkan itu mendapati permainan sedang rancak berlangsung dengan penglibatan hampir semua pemain wanita kontinjen negeri-negeri.

Belum pun beberapa lama menyaksikan perlawanan di gelanggang tersebut, pemerhatian Buletin Online mendapati para pemain terpaksa menggunakan hayunan yang agak kuat untuk meleretkan bola.

Padang beralun (tidak rata)” jawab salah seorang pegawai kontinjen skuad Perak secara spontan apabila diajukan kepadanya persoalan mengenai padang tersebut.

Dari pemerhatian yang dibuat, boleh dilihat dengan jelas bola yang dileretkan oleh para pemain ‘melompat-lompat’.

”Macamana padang ?” soal wartawan Buletin Online kepada salah seorang pemain dari kontinjen Pahang.

”Tak licin, kurang” jawab pemain wanita yang sopan bertudung dan memakai ‘track suite’ itu.

Nampaknya semua persiapan SUKMA kali ke 12 Edisi Terengganu tahun 2008 semuannya ‘tidak licin’.

Janji Mad Said, Menteri Besar Terengganu untuk menganjurkan satu SUKMA yang hebat, ‘jauh panggang dari api !’

Peniaga Karnival dakwa ditipu – Kerajaan Negeri, Sekretariat SUKMA tidak membantu

Setelah ‘tenang’ pada hari pertama yang menyaksikan atlet negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menjadi ‘perangkul’ pingat emas pertama,SUKMA dipanaskan dengan cerita pengajur karnival lari menghilangkan diri

Buletin Online dimaklumkan terdapat dua penganjur karnival, bagi dua tapak karnival di perkarangan stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sempena SUKMA kali ke 12 edisi Terengganu.

Bagi peniaga yang berniaga ditapak karnival di belakang stadium utama itu, tidak menghadapi apa-apa masalah dengan penganjur.

Namun, peniaga yang mendaftar dengan penganjur ‘Evolution Plan Resources’ bertapak di hadapan stadium menjadi begitu marah dengan sikap penganjur yang lari meninggalkan tanggungjawab dan membiarkan mereka menghadapi pelbagai masalah.

Para peniaga terkejut dan merasa tertipu apabila pemilik khemah memaklumkan bahawa khemah-khemah yang telah dipasang akan dirobohkan kerana pihak penganjur tidak membayar wang pendahuluan kepada mereka.

Setelah perbincangan dibuat diantara peniaga dengan pemilik khemah yang dikenali sebagai ‘Cikgu Zul’, para peniaga mengucapkan rasa syukur kerana mereka dibenarkan terus berniaga atas dasar ihsan Cikgu Zul yang kasihan melihat nasib para peniaga.

Walaupun begitu, lebih 60% peniaga telah membuat keputusan untuk menutup perniagaan dan meninggalkan karnival SUKMA, kerana ‘serik’ dan tidak tahan menghadapi masalah ketiadaan bekalan air, elektrik dan kekurangan pengunjung .

Seorang peniaga tempatan yang berasal dari Kedai Buluh, Bukit Payung, Encik Abd Rahim Embong merasa kesal kerana kerajaan negeri Terengganu sebagai tuan rumah SUKMA ke 12 tidak langsung mengambil peduli nasib mereka yang teraniaya.

“Sekretariat SUKMA, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan kerajaan negeri langsung tidak peduli dengan nasib kami,

“kami telah membayar deposit sebanyak RM 1500 dan dijanjikan karnival akan berlangsung dari 25 Mei hingga 9 Jun,
”tapi hari ini baru 2 Jun, kami berniaga dalam gelap, tak ada bekalan air dan penganjur telah hilang tidak dapat dihubungi,” jelas Abd Rahim.

Seorang lagi peniaga tempatan yang berasal dari Kg Sungai Ikan, Tepoh, Encik Zulkarnain Ismail berkata penganjur telah gagal menunaikan janji-jani mereka.

”Dengan bayaran RM 3500 bagi tapak tersebut, kami dijanjikan dengan segala macam aktiviti dan promosi, namun hari ini terbukti penganjur tidak mengotakan janji-janjinya,” kata Encik Zul.

Beliau turut merasa hairan dengan pengurusan SUKMA dan pihak MBKT yang membiarkan sahaja mereka masuk berniaga bermula 26 Mei lalu sedangkan beliau dimaklumkan pihak penganjur karnival hanya mendapat surat kebenaran pada 1 Jun.

Selain itu, seorang peniaga yang berasal dari Pulau Pinang, Encik Fauzi Abu Hasan tidak menyangka penganjuran SUKMA edisi Terengganu menghadapi pelbagai masalah.

”Masalah saya berniaga macam ni lah, tapi saya akan terus berniaga biar pun bergelap tak apa kerana saya berniaga baju,

“delegasi kontinjen negeri lain mengadu pada saya, mereka datang membawa peralatan komputer dan lain-lain tetapi tidak ada meja dan bekalan elektrik untuk kemudahan pengurusan mereka,” jelas Encik Fauzi.

Buletin Online dimaklumkan, para peniaga sedang menunggu pihak Evolution Plan Resources yang dikatakan akan sampai dari Kuala Lumpur pada malam ini.

Sekiranya penganjur tidak muncul, mereka akan membuat laporan kepada pihak polis pada pagi esok.


Tuanku Mizan Rasmi SUKMA Ke-12, Ulama’ Kuala Nerus Kesal Sekretariat Tidak Hormati Waktu Solat

Tuanku Mizan Zainal Abidin Sultan Terengganu yang juga Yang DiPertuan Agong mencemar duli merasmikan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Kompleks Sukan Gong Badak semalam. Acara perasmian yang dilihat sebagai kemenangan ‘ politik total’ Ahmad Said, yang turut berucap dalam majlis perasmian tersebut.

Kompleks Sukan dikatakan oleh Ahmad Said sebagai ‘yang terbesar, tercanggih dan termoden di pantai timur’ telah diusahakan pembinaannya oleh Bekas Menteri Besar, Idris Jusoh.

Namun nama Idris seolah-olah tenggelam dalam hiruk pikuk jeritan manusia dan dentuman kuat tembakan bunga api dimajlis semalam.

Hajat Idris untuk berdiri di podium ‘berkain kuning’ bersama Tuanku Sultan bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan tempat beliau diganti oleh individu yang pernah cuba ‘dicantas’nya pada pilihanraya umum yang lalu.

SUKMA kali Ke 12 Edisi Terengganu 2008 kali ini menampilkan 14 kontinjen dari Malaysia dan Brunei dengan hampir 7,000 delegasi pegawai dan ahli sukan yang bertanding merebut 404 pingat emas dalam 31 acara.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, menghantar jumlah peserta yang paling ramai sebanyak 700 atlit dan pegawai manakala tuan rumah Terengganu membariskan 549 peserta.

Brunei, dengan 88 peserta, merupakan kontinjen paling kecil hanya mensasarkan satu pingat emas sahaja.

Negara kecil yang kaya dengan sumber minyak itu menyertai SUKMA kali ini bukan untuk capaian pingat namun untuk mengukuhkan hubungannya dengan Malaysia.

Negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat Selangor, yang telah menjadi juara keseluruhan sebanyak tujuh kali mungkin masih dilihat sebagai jaguh yang akan terus mempertahankan kejuaraannya pada SUKMA kali ini.

Sementara itu, Majlis Perasmian SUKMA yang diadakan semalam sedikit tercalar kerana dimulakan pada waktu azan solat Isya’ berkumandang.

Majlis yang menurut jadual dimulakan pada 8.30 malam hanya 4 minit sahaja dari masuk waktu solat Isya’ sepatutnya boleh dilewatkan 30 minit kepada jam 9.00 malam.

Ketua Urusan Ulama’ Kuala Nerus, Ustaz Ismail Che Dagang ketika menghubungi Buletin Online menyatakan rasa kesalnya terhadap majlis perasmian yang dianggap beliau sebagai tidak menghormati waktu solat.

Beliau menasihati Sekretariat SUKMA agar dapat memberikan ruang waktu untuk penghormatan kepada agama, yang dinyatakan oleh beliau ‘sebagai lebih penting’ kepada masyarakat Kuala Nerus dan negeri Terengganu yang majoriti penduduknya adalah Melayu dan Islam.

Saya juga merayu supaya kemudahan surau di Stadium Sultan Mizan di sempurnakan secepat mungkin dalam waktu SUKMA berlangsung bagi memberikan keselesaan peserta dan pengunjung menunaikan solat mengikut waktunya.” kata Ustaz Ismail.

”Selain itu, kedudukan tandas di stadium tersebut perlu di kaji semula. Agak kurang sopan sekiranya lelaki dan perempuan masuk pada pintu yang sama, walaupun ruang tempat ‘qada hajat’ adalah terpisah dengan dinding yang sama,” tambah beliau.

Perlawanan Hoki Wanita diTunda - Penganjuran SUKMA Makin ‘Berserabut’

Selepas menghadapi situasi kelam kabut sepanjang persiapan SUKMA ke XII, menjelang majlis perasmian hari ini (31 Mei 2008), pihak penganjur dilihat semakin berserabut dengan masalah jadual pertandingan pula.

Terkini masalah penjadualan pertandingan melibatkan permainan hoki wanita. Ketika bahang saingan semakin membara untuk dimulakan, perlawanan hoki wanita yang akan dilangsungkan di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu pada 1 Jun 2008 (Ahad) terpaksa ditunda lewat sehari daripada jadual asal berikutan masalah tiada bekalan air pancut menyirami padang

Ketika taklimat ‘post-mortem’ perlawanan pembukaan hoki lelaki di padang hoki Kompleks Sukan Gong Badak, Setiausaha Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Hashim Mohamed Yusof berkata, beliau terpaksa menghadapi serangan pihak media akibat perlawanan di Batu Burok terpaksa ditangguhkan.

Menurut beliau, perkara itu tidak dapat dielakkan akibat pemancut air yang akan digunakan, gagal disiapkan oleh pihak kontraktor yang berkenaan.

Secara keseluruhannya, kecacatan tersebut telah mencemarkan imej Terengganu sebagai tuan rumah SUKMA kali ini, sedangkan perkara remeh tersebut sepatutnya sudah diselesaikan sebulan lebih awal.

Kegagalan itu turut disahkan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said ketika ditemuramah oleh RTM selepas majlis menaikkan bendera hari ini.

Tinjauan Wartawan Buletin Online tiga hari sebelum majlis perasmian, turut menggambarkan betapa daifnya persiapan yang dilakukan di Stadium Hoki Batu Burok itu (lihat gambar).

Manakala tinjauan juga dilakukan di stadium utama Kompleks Gong Badak, kira-kira 9 jam sebelum majlis perasmian diadakan, kelihatan pekerja kontrak masih bertungkus lumus menyiapkan garisan dan nombor di atas trek.

Segala kepincangan dan masalah teknikal yang berlaku disepanjang penganjuran SUKMA kali ini menunjukkan betapa pihak bertanggungjawab gagal menyelesaikan masalah tersebut pada mengikut jadual yang sepatutnya.
Semuanya itu akan menjadi catatan dan buah mulut semua orang termasuk delegasi dan kontinjen negeri-negeri yang hadir dan cerita tersebut akan dibawa balik ke negri masing-masing.

SUKMA Kelam kabut - kesan kelewatan menubuhkan kerajaan Terengganu

Penganjuran SUKMA 2008 edisi Terengganu yang akan dibuka secara rasminya hari ini seolah-olah ianya ‘baru dirancang kelmarin’. Walaupun keputusan memilih Terengganu sebagai tuan rumah kali ke 12 sukan itu telah dibuat dua tahun yang lalu,

kelemahan menguruskan acara sukan terbesar tersebut menjadikan penganjuran kali ini agak kelam kabut.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (Department of Art, Culture and Sport – DACS), Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Wan Mohd Hadib Wan Zain, ketika dihubungi Buletin Online hari ini.

Beliau berkata menguruskan kejohanan sukan bersepadu yang melibatkan pelbagai acara dan pertandingan memerlukan komitmen banyak pihak termasuk kerajaan negeri.

“Walaupun ada penafian bahawa sukan itu dipengaruhi oleh politik, namun pengalaman di Terengganu kali ini menunjukkan ada benarnya,

“penubuhan kerajaan yang agak terlewat selepas PRU 12 yang lalu, sedikit mengganggu kelancaran persiapan Sukma,” kata Wan Hadib.

Beliau berkata, perlantikan Exco sukan yang agak lewat ekoran kelewatan menubuhkan kerajaan mengakibatkan kerja-kerja penyudahan (finishing) kemudahan Sukma terutamanya Kompleks Sukan Gong Badak tidak diperhalusi.

”Kesan sebenarnya adalah apa kita lihat hari ini, pekerja kontrek masih sibuk dilapangan sewaktu para atlet sibuk memanaskan badan,
”kredibiliti Majlis Sukan Terengganu ‘sedikit’ tercalar apabila pengurusan bagi menyiapkan ‘venue’ pertandingan menghadapi pelbagai masalah,” kata Wan Hadib.

Sehubungan dengan itu beberapa persiapan lain yang sepatutnya boleh dibuat lebih awal juga mengahadapi sedikit masalah.

Karnival SUKMA – Hanya Sebuah Pasar Malam

Tinjauan Buletin Online ke tapak Karnival SUKMA malam ini (29 Mei) jam 9.30, tidak lebih 20 orang peniaga sahaja yang menjalankan perniagaan mereka.

Karnival yang bermula pada 25 Mei lalu dijadualkan bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 12 malam pada setiap hari.

Apa yang kelihatan pada malam semalam Karnival SUKMA XII edisi 2008 (Karnival) di Terengganu hanyalah umpama sebuah pasar malam sahaja.

Banyak khemah-khemah tapak perniagaan yang kosong samada tiada penyewa atau ada yang telah menarik diri.

Buletin Online menyaksikan khemah-khemah tersebut kini hanya dijadikan tempat parking motorsikal dan kereta sahaja!

Keluhan peniaga dan beberapa penaja Karnival di Kompleks Sukan Gong Badak kedengaran apabila pihak Sekretariat SUKMA dikatakan bersikap lepas tangan dan gagal menangani pelbagai masalah yang timbul.

Masalah bermula apabila pada 24 Mei lalu anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan supaya khemah-khemah yang telah dipasang dan bersedia memulakan operasi, dialihkan ke lokasi lain.

Beberapa peniaga dan penganjur kesal dengan sikap angkuh MBKT yang bertindak tanpa sebarang notis.

“Mereka mengugut dan mengancam akan merobohkan khemah,” ujar salah seorang dari mereka

Para peniaga merasa benar-benar teraniaya dan tertipu, seolah-olah penganjuran karnival tersebut disabotaj oleh pihak tertentu.

Umpama jatuh ditimpa tangga, walaupun selepas memindahkan khemah peniaga dan penaja terus menghadapi masalah apabila bekalan elektrik dan air tiada.

Ketiadaan bekalan elektrik mengakibatkan peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan dan mengalami kerugian kerana peniaga terpaksa membayar sewa tapak sedangkan hasil tidak ada.

Akbar Sinar melaporkan Pengarah karnival berkenaan, Mohd Khairul Yusri Mohd Yusof, pelbagai aktiviti untuk pengunjung karnival terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan.

Keadaan tersebut menyebabkan karnival kurang daya tarikan, pengunjung berkurangan dan dilihat seumpama sebuah pasar malam.


Kelam Kabut SUKMA - ‘Pekerja Kontrek’ Dan Atlet Jalan Beriringan

Selamat Datang para atlet ke Sukma XII Terengganu !

Biarpun secara tidak rasmi Sukma telah bermula sejak 29 Mei lalu dengan acara bola sepak pusingan awal, kerancakan sebenar sukan dwi tahunan

itu semakin ‘menyerlah’ dengan gandingan pekerja dan ahli sukan yang berjalan beriringan di sekitar Kompleks Sukan Gong Badak !?

Buletin Online sempat meninjau sekitar kompleks tersebut dan mendapati tanggapan orang ramai bahawa penganjuran Sukma kali ini ‘bermasalah’ adalah benar.

Senario yang dapat dilihat disekitar kompleks adalah kesibukan para atlet yang sedang melakukan ‘dry run’ (memanaskan badan) di setiap ‘venue’.

Namun, dalam masa yang sama para ‘pekerja kontrek’ pula turut sibuk dan melakukan kerja-kerja akhir yang entah bila akan siap sepenuhnya.

Senario paling lucu (janggal), terdapat sekumpulan pekerja dan sebuah ‘tren’ yang sibuk membaiki atap di Stadium Utama.

Masa yang terlalu hampir dengan pembukaan Sukma sepatutnya tidal lagi kelihatan senario pekerja kontrek yang masih sibuk dengan kerja-kerja pembinaan.

Seorang Ahli Jawatan Kuasa Sukma, Watie Abd. Rahman ketika ditemui berkata sepatutnya semua kerja-kerja sudah dibereskan sebulan atau dua bulan sebelum bermulanya Sukma.

Kenyataannya bagi Sukma ke XII Edisi Trengganu 2008 kali ini, walaupun dua hari menjelang Sukma dibuka secara rasmi (31 Mei 2008), masih terlalu banyak kerja yang tidak disempurnakan.

“Saya tak tau nak kata apa dalam soal ini, sepatutnya Terengganu akan menjadi penganjur Sukma terbaik sebagaimana diumumkan Menteri Besar, Ahmad Said,
”tetapi dengan situasi sekarang, ianya mungkin menjadi igauan buruk kepada negeri ini,” katanya sambil menuding jari ke arah sekumpulan pekerja di atas bumbung stadium utama.

Buletin Online telah mengulas permasalahan atap stadium utama seawal keesokan hari selepas perasmian Stadium Sultan Mizan tersebut pada 11 Mei lalu.

Walaupun pada malam 10 Mei, stadium tersebut dirasmikan oleh DYMM Agong Tuanku Mizan, pada pagi keesokkannya, atap stadium yang tidak selesai terus di perbaiki.

Pada 25 Mei lalu juga Lensa Buletin Online merakamkan scenario dua buah kren dan berpuluh pekerja sedang sibuk membaiki atap stadium tersebut.

Buletin Online juga difahamkan, masalah bekalan air untuk disalurkan ke padang hoki juga masih belum selesai.

Pegawai Pengurusan Acara Hoki, Cik Jawahir dikatakan mnemui jalan buntu bagi menguruskan masalah air di situ justeru keengganan pihak SATU menyediakan tangki untuk mengatasi masalah takungan air berhampiran padang tersebut.

Siasatan Buletin Online mendapati sesuatu yang pelik berlaku dalam pembinaan paip air bagi kemudahan menyembur padang hoki di kompleks itu.

Saiz paip (keluar) yang digunakan untuk menyalurkan air bagi menyembur padang hoki, berukuran 5 hingga 6 inci, manakala saiz paip saluran masuk pula hanya berukuran 3 inci.

Ini menyebabkan pihak pengurusan padang terpaksa menunggu sehingga 20 minit pula setiap kali untuk melakukan semburan seterusnya ekoran terpaksa menunggu air penuh semula di dalam tangki.

Selain stadium utama dan padang hoki, masalah juga dikatakan timbul di kawasan letak kereta utama kompleks sukan yang berharga setengah billion ringgit itu.

Kawasan tersebut difahamkan telah didirikan khemah untuk dijadikan kawasan jualan bagi Karnival Sukma, sedangkan ianya adalah kawasan kemudahan letak kereta yang penting kerana paling hampir dengan stadium utama.

Permasalahan yang lebih besar akan timbul apabila majlis pembukaan dan penutup Sukma diadakan nanti. Para pengunjung mungkin terpaksa meletakkan kereta di merata tempat dan berhadapan dengan saman penguatkuasa atau polis.

Fakta yang lebih menarik dari kelam kabut penganjuran Sukma edisi Terengganu adalah; kawasan letak kereta itu dijadikan tapak ‘Karnival Sukma’ kerana campur tangan individu yang berpengaruh dalam penganjuran Sukma XII.

Mereka yang tidak bertanggungjawab itu, mengambil kesempatan menjalankan perniagaan ‘atas angin’ dan mengaut keuntungan dengan mengenakan sewa ke atas setiap khemah yang didirikan.


SUKMA – Sejarah Yang di Gelapkan

Dungun – Sukan Malaysia (SUKMA) XII akan berlangsung di Terengganu bermula 29 Mei hingga depan 9 Jun depan. SUKMA yang bermula sejak 1986 telah melakar sejarah melahirkan ramai ahli sukan dan para atlet negara, namun sejarah SUKMA itu sendiri telah di’gelap’kan bermula dari tahun 1998.

Demikian dinyataknan oleh Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (Department of Art, Culture and Sport – DACS), Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Wan Mohd Hadib Wan Zain, ketika dihubungi Buletin Online hari ini.

Beliau berkata seluruh warga sukan di Malaysia, ahli sukan dan para atlet yang mewakili kontinjen negeri-negeri khususnya bagi tuan rumah Terengganu perlu mengetahui sejarah sebenar penganjuran SUKMA.

Beliau berkata ramai yang tidak mengetahui bahawa pengasas kepada SUKMA adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjadi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).

”Cadangan menganjurkan SUKMA telah dibuat Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 1984, iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim,

”malangnya sejarah ini telah dipadamkan walaupun dalam Portal Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Laman Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Wan Hadib.

Beliau berkata ini membuktikan bahawa sukan juga ada kaitannya dengan politik, kerana sejarah SUKMA telah dihilangkan sejak dari 1998, apabila Anwar dipecat oleh Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohammad.

Menurutnya DACS-DPPNT amat kesal dengan sikap kerajaan khususnya KBS yang telah menafikan sumbangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap kemajuan sukan negara.

”Penafian sumbangan Anwar adalah satu penipuan kepada warga sukan dan rakyat dan perbuatan menggelapkan sejarah SUKMA adalah satu jenayah terhadap sukan tanahair, ” jelas Wan Hadib

Sehubungan dengan itu beliau akan mencadangkan kepada DACS-Dewan Pemuda PAS Pusat supaya diadakan suatu program yang besar di Terengganu sempena SUKMA ke 12 dan diharapkan Pengasas SUKMA Dato Seri Anwar Ibrahim dapat turun ke Terengganu.

”Selain meraikan kontinjen yang datang dari negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) pihak DACS InsyaAllah akan merangka satu himpunan untuk menyambut kedatangan Pengasas SUKMA ke Terengganu,’ tambah Wan Hadib

Buletin Online difahamkan SUKMA XII Terengganu tahun ini dijangka dihadiri oleh seramai 7,316 atlet dan pegawai daripada 15 buah negeri termasuk Brunei.

Jumlah tersebut merangkumi 3,652 atlet lelaki dan 2,390 atlet wanita, selain 1,091 pegawai lelaki dan 183 pegawai wanita.

Negeri Perak dijangka menghantar jumlah teramai iaitu 523 atlet, diikuti Selangor (510 atlet) dan Wilayah Persekutuan (509 atlet), sementara Terengganu pula menghantar 483 atlet.