05 Jun 2009

Kolam Renang Batu Burok bocor?

(Video Diakhir Laporan)

KUALA TERENGGANU - Kompleks Akuatik Terengganu yang terletak di Batu Burok, dekat sini, menempatkan kolam renang yang dikenal pasti sebagai projek ‘merbahaya’ serta boleh mengancam keselamatan orang awam.

Ia adalah antara tiga projek mega yang akan disiasat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atas arahan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said selepas tragedi bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, pada 2 Jun 2009 lalu.

Tiga belas buah gerai makanan dan minuman yang dibina di sisi Kompleks Akuatik terletak dibawah kolam renang, merupakan kawasan paling berisiko.

Tinjauan Buletinonline, ke kawasan tersebut mendapati bahagian belakang gerai terbabit digenangi air.

Para peniaga yang mengusahakan gerai-gerai berkenaan mendakwa, air yang bertakung itu adalah air dari kolam renang yang meresap turun melalui dinding.

Encik Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, berkata gerai-gerai berkenaan mula dibuka kepada orang ramai sejak bulan April lalu.

Menurutnya, pada awal perniagaan tidak terdapat tanda-tanda ‘kecacatan’ (rosak) tetapi ia berlaku sejak sebulan lalu.

“Saya bimbang juga sejak sebulan ini terdapat limpahan air yang meresap masuk memenuhi ruang kaki lima di belakang gerai kami.

“Saya yakin dan percaya itu air limpahan dari kolam renang yang berada di atas gerai kami yang sedang menjalankan perniagaan ini,” ujarnya kepada Buletinonline, semalam.

Beliau menggesa kerajaan negeri segera menyiasat serta memaklumkan status keselamatan bangunan kepada para peniaga di sini.

Katanya, kebimbangan jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, pada 2 Jun lalu.

Seorang peniaga lain, Cik Siti Hajar Nadia, 23, berkata mula-mula menjalankan perniagaan tidak berlaku limpahan air tersebut.

Katanya, sekarang semakin ketara dan membimbangkan para peniaga di gerai terbabit.

“Saya minta pihak kerajaan atau yang bertanggungjawab segera melihat masalah ini sebelum terjadi sesuatu,” ujarnya.

Beliau yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman berasaskan ‘seafood’ (makanan laut) turut menggesa supaya kerajaan membuat perisytiharan segera berkaitan status keselamatan kawasan berkenaan.



04 Jun 2009

Tragedi Bumbung Stadium Runtuh Mula Mengundang Persoalan

KUALA TERENGGANU - Tragedi bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pagi semalam semakin mengundang pelbagai persoalan apabila Jabatan Kerja Raya negeri Terengganu mengesahkan bumbung yang runtuh itu, tidak memiliki Sijil Siap Kerja.

Kenyataan Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ghazali Hashim yang mengesahkan perkara itu, bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said, yang mengatakan stadium tersebut mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

Ahmad dalam sidang media di Wisma Darul Iman petang semalam 2 Jun, berkata Sijil Layak Menduduki sementara telah dikeluarkan oleh JKR sebelum perasmian pada 10 Mei, 2008.

Sedangkan Ghazali pada petang ini berkata bumbung terbabit adalah antara kemudahan di stadium tersebut yang belum diberikan sijil tersebut.

Ghazali berkata, mengikut amalan kerja, JKR akan mengeluarkan Sijil Siap Kerja terhadap bangunan milik kerajaan yang sudah siap dibina.

"Hanya kemudahan seperti trek, padang selain beberapa tempat di luar stadium telah diberikan sijil itu. Sijil ini telah dikeluarkan semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada 31 Mei tahun lepas.

"Bumbung stadium masih belum diberikan sijil tersebut kerana masih dalam tempoh kecacatan (jaminan)," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek meninjau stadium berkenaan hari ini.

Justeru, persoalan yang timbul adalah, bagaimana CF boleh dikeluarkan keatas bangunan Stadium Sultan Mizan, sedangkan bumbungnya belum ada sijil siap kerja?



Pengeluar CF Stadium, Adalah Penjenayah Yang Mesti Di Hukum


KUALA TERENGGANU
– Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu telah membuat satu laporan polis keatas tragedi Stadium runtuh dibalai polis Kuala Terengganu disini semalam.

Ketuanya, Cikgu Fariz Musa berkata pihak polis mesti melakukan siasatan dengan segera dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab meluluskan Sijil Layak Menduduki (CF) Stadium berkenaan.

“Nasib baik tidak berlaku pada hari ini (semalam), 3hb hingga 6hb, (yang) sepatutnya berlaku acara sukan staf universiti peringkat kebangsaan yang bermula hari ini sehingga 6hb,

“bayangkan, kalau berlaku hari ini atau pub dalam masa tempoh ini, maknanya kita sedang sibuk mengeluarkan mayat-mayat yang berada dalam runtuhan dan timbunan stadium tersebut,”ujarnya.

Beliau berkata mereka yang meluluskan CF keatas stadium yang belum siap itu adalah satu jenayah yang sangat besar.

Beliau mempertikaikan dan mengesyakki telah berlaku penyelewengan dalam proses pengeluaran CF.

Katanya, setiap pengeluaran CF keatas sesuatu bangunan hanya boleh dibuat sekiranya ia mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya, Bomba dan lain-lain.

Namun menurutnya, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dirasmikan pada 10 Mei, 2008 belum siap dan tidak layak dikeluarkan CF.

“Kami mempertikaikan dan mengesyakki timbul perkara yang tidak betul berkaitan pengeluaran CF atau Sijil Layak Menduduki,

“pelbagai aspek (termasuk) keutuhan (kekukuhan) dan keselamatan bangunan mesti diambil kira oleh pihak berkuasa, barulah (sebelum) CF dikeluarkan,

“semua orang tahu bangunan (stadium) tersebut belum lagi siap sepenuhnya ketika dirasmikan,”tegasnya dalam sidang media yang diadakan selepas laporan polis dibuat.

Laporan polis dibuat setelah sebuah akhbar media perdana yang melaporkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said mengatakan Stadium tersebut memiliki CF.

Ahmad dilaporkan berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Wima Darul Iman pada jam 4.30 petang 2hb Jun, 2009.

Ahmad Arah Periksa 3 Projek Idris, Sudah Tahu Masalah Bumbung Tahun Lalu

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega di sini iaitu bangunan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kompleks Renang dan Stadium Tertutup di Gong Badak.

“Hari ini kita juga telah membuat keputusan untuk meminta JKR menyiasat bangunan-bangunan lain, termasuk stadium tertutup, lapangan terbang, dan kolam renang,

“benda-benda yang baru belaka, nampak ada benda-benda yang tak kena, kasar satu, benda yang tak betul, kita bimbang,”katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, beliau telah mengarahkan Exco Infrastruktur (JKR) supaya menghubungi Pengarah Jabatan Kerja Raya supaya membuat siasatan berkenaan.


Ketiga-tiga projek tersebut adalah antara projek mega yang pernah disebut oleh Ahmad sebagai projek mega yang akan dikaji semula.

Ketiga-tiga projek terbabit juga adalah 'flagship' Impian Menjadi Realiti yang dilaksanakan pada zaman bekas Menteri Besar Idris Jusoh.

Dalam sidang media yang sama, Ahmad turut mendedahkan, keadaan tidak selamat pada bumbung yang runtuh semalam telah dikesan semasa perasmian Sukma tahun lalu.


Katanya, acara majlis pembukaan melibatkan ‘gimik’ komando polis turun dengan tali dari bumbung, terpaksa diubah kepada turun dengan tali dari helikopter.

Ia adalah kerana, katanya, ketika pasukan tersebut cuba memasang tali untuk turun dari bumbung itu, ia bergegar dan bergoyang.

“Semasa hendak perasmian Sukma, peringkat awal, hendak diadakan acara turun dengan tali dari bumbung ke bawah,

"tapi saya dimaklumkan, semasa membuat tinjauan, dia (polis) kata dia tak yakin, tak selamat bila dia pasang dia nak turun, benda (bumbung) itu bergegar, bergoyang,

“sebab itu kita tukar (kepada) turun dari helikopter,”jelasnya.

Beliau berkata sebelum acara pembukaan Sukma juga, beliau melihat bumbung stadium itu tidak sama rata seolah-olah ada yang tidak betul.

03 Jun 2009

Stadium Sultan Mizan, Runtuh Dalam Mengejar ‘Impian Menjadi Realiti’


KUALA TERENGGANU
- Seluruh Negara di kejutkan dengan tragedi Stadium Sultan Zainal Abidin yang runtuh, walaupun baru berusia 367 hari setelah dirasmikan pada 11 Mei, 2008.

Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, telah bergegas ke lokasi stadium yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Gong Badak, sebuah kompleks yang penuh kontroversi sejak pembinaannya dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada era bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1995.

Shaziman berkata tragedi bumbung stadium runtuh itu memalukan Negara walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Katanya ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.

(Klip Video Lawatan Lokasi Di bawah)


"Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa," katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Zaman Pemerintahan PAS

Pada zaman kerajaan PAS memerintah Terengganu pada 1999 hingga 2004, pembinaan projek stadium telah dengan kos asal RM200 juta itu ditangguhkan.

Bekas Exco kanan kerajaan Terengganu, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong berkata projek tersebut bukan ditolak tetapi tidak diteruskan kerana ia adalah projek yang besar belanjanya dan tidak memberi manfaat kepada rakyat, pada ketika itu.

“Masa kita ambil alih kerajaan pada tahun 1999, kita tangguhkan pembinaan stadium kerana belanjanya besar,

“kita juga mendapati (pada masa itu) tanah tapak pembinaan tersebut tidak sesuai kerana apabila kerja-kerja menanam cerucuk dilakukan, tidak jumpa tanah yang keras,

“pasal apa kita nak buat,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali turut menyokong kenyataan Dato’ Wan Abdul Mutalib.

Beliau yang juga bekas Exco Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri berkata kerajaan Barisan Alternatif Terengganu pimpinan PAS telah menangguhkan pembinaan stadium dan kompleks sukan Gong Badak kerana ia tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Dulu projek tersebut sudah ada, tapi kita tangguhkan kerana belanjanya besar dan tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri,”katanya.

Namun penangguhan projek mega tersebut telah di jadikan propaganda oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Ia menjadi salah satu daripada ‘wirid’ kempen Idris semasa pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 dan propaganda tersebut berterusan apabila beliau merampas kerajaan Terengganu daripada PAS.

Roslan Abdul Rahman dalam tulisannya yang bertajuk ‘Bukan Omong Kosong’ menyatakan;

“Lapangan Terbang Baru, Stadium Baru! Lebuh Raya Pantai Timur...ia bukan omong-omong kosong bagi menyedapkan kata-kata IMPIAN MENJADI REALITI seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Sebenarnya apa yang diucapkan oleh pimpinan Kerajaan Negeri adalah benar dan tiada ada yang tidak benar melainkan benar belaka.

“Lihat gambar bukti tentang bagaimana pembinaan lebuh raya kini sedang rancak dijalankan, begitu juga pembinaan atau pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Stadium/Kompleks Sukan di Gong Badak.

“Tahniah Kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Haji Idris Jusoh yang sentiasa mendapat kepujian YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.” tulisnya dalam Laman Web UMNO Terengganu pada 13 September, 2006.

Pembinaan Stadium Utama yang kemudiannya di namakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dimulakan pada 27 Mac, 2005.

Ia mengambil tempoh setahun untuk mengagih-agihkan projek tersebut kerana kegiatan lobi melobi yang berlaku diantara ‘kontraktor kroni’ setelah Idris merampas kerajaan Terengganu.

Masing-masing menuntut ‘faraid’ projek-projek yang dijanjikan oleh Idris sekiranya PAS berjaya di’nyah’kan dari Wisma Darul Iman.

Semua projek-projek yang ditangguhkan pelaksanaannya oleh kerajaan Pusat apabila PAS menang, di’struktur’ semula, digelar oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said sebagai projek-projek ‘contractor driven’.

Projek-projek tersebut termasuklah pembinaan stadium bukan dicadangkan oleh kerajaan negeri tetapi ‘melayang’ dari kerajaan Pusat dengan diongkosi oleh wang royalti Petroleum.

Akhirnya projek stadium terpaksa dianugerahkan kepada tiga pihak; Emarcon, Bina Struktur dan Genggam Mercu yang terpaksa berkongsi bagi memuaskan hati semua pihak.

Perbelanjaan pembinaan stadium tersebut yang dibenarkan kerajaan adalah RM 500 juta. (syiling)

Manakala projek kembarnya ‘stadium tertutup’ diserahkan kepada bekas Bendahari UMNO Terengganu Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) yang benilai RM 115 juta.

Semasa Era Ahmad Said.

Beberapa hari selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Dato’ Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar menggantikan Idris pada 30 Mac, 2008, beliau telah membuat kenyataan yang mengejutkan.

Ahmad yang dilantik dengan penuh kotroversi berkata, beliau akan mengkaji perlaksanaan projek-projek mega yang dimulakan pada zaman Idris.

Projek yang dimaksudkan oleh Ahmad Said termasuklah pembinaan Kompleks Sukan Gong Badak yang termasuk pembinaan stadium utama.

Namun Ahmad terpaksa menelan ‘air liurnya’ sendiri apabila tidak ada pilihan, terpaksa meneruskan projek-projek yang telah diprogramkan oleh Idris.

Idris yang tidak pernah termimpi diturunkan ‘takhta’ sebagai Menteri Besar telah menyiapkan pelbagai pelan, bukan untuk rakyat, tetapi demi mengejar wawasan dan janjinya ‘Impian Menjadi Realiti’.

Impian Idris adalah untuk melihat kompleks sukan Gong Badak disiapkan dengan segera kerana beliau telah membuat komitmen membawa Sukan Malaysia (SUKMA) ke negeri Terengganu pada tahun 2008.

"Kompleks Sukan kita akan siap dan dapat digunakan pada awal tahun 2008. kemudahan-kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya untuk SUKMA 2008. Saya percaya kegiatan dan tahap pencapaian sukan kita akan meningkat berikutan siapnya Kompleks Sukan yang indah dan hebat ini. "kata Idris ketika membentang Bajet 2008 sekitar November 2007.

Anak didik Idris, Dato’ Din Adam, yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu menjadi pelaksana impian Idris membawa SUKMA ke Terengganu.

Din Adam, diakhir hayatnya sebagai Exco turut menjadi pengejar impian Idris dan menyatakan keyakinan, kontraktor ‘kroni’ yang terbabit menyiapkan kompleks sukan akan menyiapkan pembinaan menjelaang SUKMA.

“Kontraktor terbabit sudah menambah tenaga pekerja dan bekerja 24 jam untuk memastikan projek ini siap dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengundian Sukan Berpasukan Sukma di sebuah di Kuala Terengganu, pada bulan Februari, 2008.

Namun, ketidaktentuan semasa peralihan kuasa antara Ahmad dan Idris telah menyebabkan pembinaan kompleks sukan Gong Badak terlambat.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengakui pembinaan Kompleks Sukan Negeri mengalami kelewatan ketika melawat prasaran sukan itu pada 12 April, 2008.

Disebalik pengakuan itu, Ismail berkata kelewatan menyiapkan projek kompleks sukan yang akan menempatkan Stadium Utama dan Stadium Tertutup tidak akan menjejaskan persiapan SUKMA yang akan berlangsung 29 Mei hingga 9 Jun 2008.

Sedang, tarikh siap kerja pembinaan stadium utama yang dimulakan pada 27 Mac, 2005 sudah pun berakhir pada 27 September, 2007.

Dan wang berjumlah RM300 juta daripada syiling RM500 juta sudah pun dibayar kepada kontraktor berkenaan.

Penangguhan projek terus diberi sehingga 30 April, 2008, oleh kerana kontraktor adalah dikalangan ‘anak beranak UMNO’.

Hari SUKMA – Impian Menjadi Realiti

Ahmad Said tersenyum lebar apabila Tuanku Sultan merasmikan stadium pada 10 Mei, 2008, walaupun beliau cukup tahu, ia adalah binaan yang separuh siap.

Paparan televisyen dan media arus perdana tidak langsung memfokuskan kamera masing-masing kepada seribu satu masalah yang ada dalam ‘batang tubuh’ Stadium Sultan Mizan.

Ketiadaan lampu limpah (spotlight) diatasi dengan memanggil ‘Event Management’ dari Kuala Lumpur, membawa apa sahaj peralatan, asalkan ‘ongkosnya’ beres.

Simpang siur wayar bekalan elektrik dari punca luar dibawa oleh ‘treler’ penjana kuasa elektrik yang di datangkan khas oleh Tenaga Nasional Berhad kerana mungkin stadium belum mempunyai bekalan elektrik yang cukup.

Atau mungkin pendawaian yang masih belum selesai, justeru bekalan elektrik kepada bahagian-bahagian tertentu dihadkan.

Terdapat beberapa bilik kompatmen di bahagian belakang stadium yang telus pandang ke lelangit konkrit, yang masih belum dikemaskan dengan syiling.

Air meleleh, mengalir ikut anak-anak tangga, tak tahu datangnya dari mana dan tandas stadium yang pelik, kerana hanya ada satu lubang pintu masuk untuk lelaki dan perempuan berkongsi bersama.

Yang paling membimbangkan, jelas kelihatan retak pada struktur utama paling tinggi, yang menyambungkan konkrit dengan besi tiang bumbung stadium.|

Tetapi semua itu tidak ada masalah, semuanya akan dibaiki menjelang perasmian SUKMA, kira-kira 20 hari lagi, pada 31 Mac, 2008.

Semua mata bertumpu kepada Diva tanahair, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang dipancari lampu sorot, bergedik-gedik atas pentas utama.

Buruh-buruh Indonesia, Bangla serta Pakistan mencuri-curi keseronokan, turut hadir dalam majlis perasmian Stadium yang tecanggih di pantai Timur itu.

Hilang segala masalah pembinaan stadium yang tergesa-gesa dan seribu masalah kerja yang akan timbul keesokkan harinya apabila dentuman kuat meriam memancarkan selerakan ‘bunga api’ di ruang udara!

Ahmad Said tersenyum lebar dan ketawa, apabila dirinya merealisasikan ‘impian’ Idris untuk mengiringi Tuanku Sultan berangkat ke pentas Diraja, merasmikan Stadium yang memahat sejarah itu.

Upacara perasmian dan perjalanan SUKMA juga tidak kurang hebatnya.

Walaupun atlet dan pekerja Indonesia berjalan seiringan diatas trek olahraga, namun atlet Terengganu menempa kejayaan dan pekerja Indonesia berjaya membaiki kerosakkan sini dan sana.

Stadium Sultan Mizan mengukir sejarah peribadi kepada Ahmad Said sehingga mengalirkan air mata kerana terlalu gembira.

Terengganu ditabalkan sebagai juara baru SUKMA sekaligus menjadi ‘Kuasa Baru’ sukan tanahair.

Tidak ada sesiapa yang menyangka sebelas bulan kemudian bumbung stadium akan runtuh !

Dan ketika Ahmad Said membuat tinjauan, melihat keseluruhan bumbung stadium yang runtuh semalam, Ahmad Said masih tersenyum dan ketawa….he..he…

Mungkin ‘Impian Menjadi Realiti’ kepada Ahmad, kerana bukan beliau yang membina stadium itu, tetapi Idris!

02 Jun 2009

Stadium Sultan Mizan Runtuh - PAS Gesa Siasatan Menyeluruh

KUALA NERUS - Stadium Sultan Mizan sebahagian daripada Kompleks Sukan Gong Badak, berharga RM 450 juta yang dirasmikan pada 10 Mei tahun lalu, runtuh pada jam 9.30 pagi hari ini

Keseluruhan bumbung 'grand-stand' membabitkan bumbung sepanjang 80 meter meliputi pentas di Raja. stadium yang menjadi kebanggaan itu telah runtuh sama sekali.

Runtuhan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa namun sebuah kenderaan dan empat buah motosikal yang diletakkan betul-betul dibawah bumbung yang runtuh itu ranap.


Menurut saksi Hanafiah Osman, 27, kira-kira jam 9.30, beliau mendengar bunyi 'krak' dibahagian belakang stadium tersebut dan terus bergegas meluru ke bahagian itu kerana kereta beliau diletakkan di bawah bumbung.Malangnya, runtuhan yang berlaku terlalu cepat menyebabkan beliau hanya terpaku dan melihat kereta 'kancil'nya dihempap oleh kepingan atap dan keluli yang jatuh.

"Dalam pukul 9.30 begitu, mula-mula dengar bunyi 'krak' (prak) macam patah gitu, (kemudian saya) tengok tu, (atap) terus jatuh, tak sempat buat apa-apa, saya agak dah, kereta saya akan kena, kerana kereta saya duduk bawah ni,"kata Hanafiah sambil menunjukkan tempat keretanya ranap.

"tengok (pagi tadi) nampak macam lendut dah, kemudian baru saya bercakap sesama kawan-kawan, tiba-tiba atap itu runtuh," tambahnya.

Seorang lagi saksi, Razali Ibrahim, 37, berkata beliau hanya dapat melihat sahaja, motosikalnya ditimpa atap yang runtuh kerana menurutnya kejadian berlaku terlalu cepat, antara seminit hingga dua minit.

"Saya tengoklah kejadian (atap) jatuh tu, dia bermula dari depan tu,"katanya menunjukkan bahagian tengah belakang stadium dimana beliau mendakwa kejadian mula berlaku.

"Dia bunyi (kejadian) sekejap saja..... prak.....prak..... terus jatuh selalu (serta merta),

"saya sedang baiki lampu (stadium) disebelah sana, tak sempat (selamatkan motosikal), tengok ajalah,"ujar Razali.

PAS Gesa Siasatan Menyeluruh

Timbalan Pesuruhjaya PAS Trengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong ketika dihubungi terkejut mendengar kejadian malang yang menimpa binaan yang menjadi kebanggaan kerajaan dan rakyat negeri Terengganu itu.

Beliau berkata Stadium tersebut yang tersergam indah, menjadi pesona kepada sesiapa yang melihatnya, malah ia jelas dapat dilihat oleh mereka yang datang melalui udara kerana berhamitran dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

"Malangnya baru hanya setahun ia telah runtuh,"katanya spontan.

Justeru beliau menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya kerajaan negeri Terengganu mengadakan satu 'inquiry' secara menyeluruh bagi mengenalpasti apakah punca sebenar yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

"Kita minta kerajaan dan pihak berkenaan mengadakan satu 'inquiry, thoroughly, semua pihak yang terlibat mesti dipanggil dan disoal siasat, bagi mencari punca sebenar dan terperinci, apakah masalah yang menyebabkan kejadian tersebut berlaku,"

"laporan mesti di bentangkan dalam Dewan Undangan Negeri," katanya ketika dihubungi Buletinonline.

Stadium yang dianggap 'tercanggih' di Pantai Timur itu dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu dengan upacara gilang gemilang menandakan 'impian menjadi' kenyataan sebagaimana yang dibangga-banggakan oleh bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh.

Terengganu - Indah Khabar Dari Rupa ??

Pengayuh Beca Menuntut Pembelaan Kerajaan Negeri

KUALA TERENGGANU - Para pengayuh beca di sekitar bandar ini menuntut kerajaan negeri prihatin terhadap masalah yang mereka hadapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sesuai dengan slogan ' rakyat didahulukan'.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa, mereka tidak mampu untuk menyara kehidupan keluarga terutamanya dalam situasi ekonomi yang tidak menentu masakini.

Ditambah lagi dengan usia yang semakin meningkat dan mengalami masalah kesihatan, kehidupan mereka semakin tertekan.

Kebanyakan mereka yang masih mencari rezeki dengan mengayuh beca berusia lebih 60 tahun, yang sudah tentu kekuatan ‘tulang empat kerat’ mereka terbatas. (Gambar - Ngah dan rakan pengayuh beca.)


Dalam pada itu, persaingan dengan teksi dan bas yang memberikan khidmat lebih cepat dan selesa menyebabkan pelanggan beca semakin berkurangan.
Dengan bayaran minimum sebanyak RM2, walaupun mereka ‘menggatih’ beca dari awal pagi sehingga lewat petang, masih tidak dapat menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita5/becaHAJI%20ALI.JPGBeberapa orang pengayuh beca yang ditemui memberitahu, mereka tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan termasuk bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Haji Ali Abu Bakar, 62, (gambar kiri) berkata, pendapatan harian pengayuh beca sekitar bandar ini hanya dalam lingkungan RM20 sahaja yang bermula dari awal pagi hingga tengah hari.

Beliau yang mengayuh beca sejak lebih 30 tahun lalu pernah tidak mendapat seorang penumpang pun dalam sehari.

“Saya pusing dalam bandar di beberapa tempat tapi tak ada orang yang nak naik,” ujarnya yang pernah menjadi ahli persatuan pengayuh beca.

Namun begitu, beliau kesal kerana persatuan gagal membela ahli sepertinya apabila tidak disenaraikan untuk menerima bantuan basikal subsidi kerana dikatakan penyokong PAS.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita5/becaMOHAMAD%20ABDULLAH.JPGTambahnya, para pengayuh hari ini juga menghadapi kesulitan untuk membaiki kerosakan beca kerana sukar mendapat alat ganti.

Rakannya, Mohamad Abdullah, 65, berkata dengan adanya kemudahan pengangkutan lain seperti bas dan kereta sewa selain kenderaan sendiri, semakin ramai yang tidak lagi menggunakan perkhidmatan beca.

Ini, katanya menyebabkan ramai pengayuh beca yang mencari rezeki semakin sukar untuk memperolehi pendapatan sekitar RM15 sehari.

“Saya kadang-kadang dapat RM5 sehari, adakalanya sampai RM10 hingga RM15 tapi umumnya pendapatan tidak menentu,” ujarnya yang mengayuh beca sejak 40 tahun lalu.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita5/becaNGAH%20SAID.JPGBagi Ngah Said, 70, masalah kesihatan yang dihadapinya menyebabkan lebih banyak berehat di atas beca daripada mengangkut penumpang.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ngah memulakan kerja mengayuh beca selepas “zaman Jepun” kerap mengalami sakit badan setelah membawa penumpang beberapa ketika.

“Saya rasa sakit badan selepas mengayuh beca, tapi bekerja juga untuk mencari rezeki. Kadang-kadang dalam satu hari saya langsung tak ada penumpang,” ujarnya yang sering meminta rakan-rakan membaiki kerosakan becanya.

Sementara itu, Noraziah Kadir, 50, mendakwa program beca elektrik yang dilaksanakan pada zaman Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu gagal membawa sebarang kemajuan kepada kehidupan penarik beca.

Beliau berkata program yang pernah digembar-gemburkan itu, kini menjadi bebanan kepada para pengayuh beca.

Katanya enjin elektrik yang selalu rosak itu, kini tidak dapat dibaiki lagi kerana tidak ada tempat untuk dibaiki.

“Dulu, walaupun selalu rosak, ada tempat baiki, di bawah ‘gertak’ (jambatan) dekat Hiliran, boleh baiki dengan percuma atau harga murah.

“sekarang enjin tak dapat digunakan kerana tempat baiki dah tak ada,”ujarnya.

Katanya ramai antara pengayuh beca terpaksa membelanjakan wang saku sendiri untuk menanggalkan kembali enjin tersebut kerana menambahkan beban berat ketika mengayuh.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri hari ini dapat berbuat sesuatu bagi membantu meringankan pengayuh beca untuk meneruskan kehidupan.


Apa Jadi Dengan ‘Night market’ Anjuran YPU?

KUALA TERENGGANU – Penganjuran ‘Night Market’ atau Pasar malam di Pusat Dagangan Terengganu (Terengganu Trade Centre) gagal menarik pengunjung dan hanya bertahan beberapa hari sahaja.


http://www.buletinonline.net/images/stories/berita5/nightmarketadvertisement.jpgProgram yang dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu juga telah mengalami kerugian puluhan ribu ringgit membeli segala kemudahan seperti kanopi serta gerai yang disediakan kepada para peniaga.

YPU mula menganjurkan pasar malam bermula 1 Mei lalu dilaporkan sebagai usaha memberi peluang kepada usahawan di negeri ini menjual barangan mereka pada waktu malam.

Pengurus Besar YPU, Azmi Razik berkata (gambar bawah), ‘night market’ itu dibuka bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi setiap hari kecuali Isnin di kawasan tempat letak kereta di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bertujuan memeriahkan kembali Terengganu yang sebelum ini dilihat suram dan sunyi.


“Saya percaya, usaha yang dilakukan ini turut memberi peluang kepada pelancong membeli barangan dengan harga murah.

“Pasar malam ini, saya percaya, ia juga dapat mengatasi masalah sosial dalam kalangan belia di negeri ini,” katanya.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita5/azmirazik.jpgNamun begitu seramai 53 pengusaha terbabit menjual barangan mereka di pasar malam berkenaan terpaksa ‘gulung tikar’ kekurangan pelanggan.

Tinjauan Buletin Online mendapati orang ramai yang ditemui tidak tahu tentang kewujudan pasar malam ‘dinihari’ yang dianjurkan kerajaan itu.

Seorang pesara kerajaan terkejut apabila diajukan pertanyaan tentang ‘pasar malam’ sehingga jam 4 pagi berkenaan dan berkata ianya adalah diluar dari ‘tabiee’ masyarakat Terengganu.

Haji Mohamad Said, 65, berkata, walaupun pernah diadakan Ekspo peringkat Nasional di Kuala Terengganu seperti Hari Petani, Penternak dan Nelayan, jualan hanya setakat jam 12 malam sahaja.

“Selepas 12 malam, tak ada siapa yang akan membeli, kalau di Kuala Lumpur lain, banyak perniagaan dan aktiviti ekonomi bergerak 24 jam,

“orang bekerja siang dan malam, sudah tentu ada pelanggan kerana ada yang tidak tidur malam kerana bertugas,

“ini Kuala Terengganu, tak ada satu pun kilang yang beroperasi selama 24 jam,”katanya yang menyifatkan tindakan YPU sebagai sesuatu yang pelik.

Seorang suri rumah turut memberikan respon yang sama, tidak tahu kewujudan pasar malam berkenaan.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Kak Siti berkata, sekiranya ia masih wujud sekalipun, beliau tidak menyokong tindakan kerajaan itu.

“Saya rasa ianya bukan mengurangkan masalah sosial, malah akan menambahkan gejala kurang sihat, anak-anak muda berpeleseran sehingga dinihari, tentu menimbulkan masalah,

“waktu tengah malam untuk berehat, bukan untuk membeli belah,”tambahnya


31 Mei 2009

Kes Felda Kerteh, Rakyat Di Dahulukan…..?

KUALA NERUS – Tindakan pihak pengurusan Felda menyodok tanah rakyat, menebang dan mencincang pokok Sawit dalam tanah peneroka tidak mencerminkan kehendak Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang menggagaskan 1Malaysia, Rakyat didahulukan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, beliau tidak akan percaya kepada slogan ‘rakyat didahulukan’ kerana apa yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah sebaliknya.

“Saya tidak percaya, kalau (kerajaan) kata rakyat di dahulukan,

“Kalau rakyat didahulukan, dia (kerajaan) kena layan rakyat dengan baik, mesra rakyat, ini bukan mesra rakyat, dia berkasar dengan rakyat,”katanya ketika berucap di Majlis Penerangan PAS Cawangan Taman Permint Makmur, disini semalam.

Menurutnya, Felda sepatutnya membenarkan peneroka untuk menanam sendiri apabila cukup tempoh tanam semula kerana peneroka berkenaan tidak menandatangani perjanjian penyerahan semula ladang mereka kepada pihak Felda.

Katanya peneroka mempunyai hak samada untuk menanam sendiri atau menyerahkan proses penananaman semula kepada Felda.

Namun apabila beberapa orang peneroka yang telah menanam sendiri berjaya, Felda mula mengambil tindakan tidak mengikut peraturan.

“Apabila peringkat pertama (peneroka) Kerteh 1 buat, Kerteh 2 buat , (mereka) berjaya, (seramai) 20 orang, (peneroka) Kerteh 5 berjaya (seramai) 36 orang,

“(dan) dengar kata peringkat ketiga akan datang ni naik (meningkat kepada) 60 orang pula nak buat tanam sendiri tak mahu serah kepada kerajaan, tidak mahu serah kepada Felda,

“Tiba-tiba Felda jadi naik angin nak marah ugut nak sodok ladang rakyat yang tanam sendiri tidak serah kepada Felda,”katanya menjelaskan apa yang berlaku di Felda Gugusan Kerteh baru-baru ini.

Katanya, Felda tidak perlu bertindak kasar dan sepatutnya mengikut peraturan serta memberi hak peneroka untuk membuat pilihan.

“Dah kalau pilihan di beri kepada peneroka, nak tanam sendiri pun boleh, nak serah kepada kerajaan, lepada Felda pun boleh, apa nak marahnya?,”soalnya.

Katanya, berlaku penyelewengan di Felda Kratong, Pahang, dimana peneroka tidak diberikan pampasan yang sepatutnya menjadi hak peneroka.

Katanya peneroka yang mahu menanam semula sepatutnya menerima duit pampasan RM17,000 seorang,hasil dari tabungan mereka wang mereka sendiri.

“Selama ni kita (peneroka) akan menabung, dia panggil tabung tanaman semula,

“apabila nak tanam semula perlukan kos, dia akan ambil duit tabung, balik semula kepada peneroka yang menabung, setiap seorang dapat RM17,000,

“sampai hari ini, ada (peneroka) yang belum dibayar (oleh Felda),”jelasnya.

Pada 25 Mei lalu, sekumpulan peneroka Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya telah berhimpun secara aman berhampiran ladang sawit mereka kerana membantah tindakan pihak pengurusan Felda.

Bantahan tersebut diadakan kerana pihak Felda telah menebang dan mencincang serta membersihkan ladang peneroka tanpa keizinan pemilik.

Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Bantu Golongan Terkesan PKP

  KUALA TERENGGANU- Khidmat Malaysia Kawasan Kuala Terengganu telah mewujudkan lima pusat pengumpulan sumbangan barangan dan kewangan bagi m...