03 Januari 2009

Demokrasi ’Tertutup’


Kuala Terengganu - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demokrasi yang diamalkan di negara ini agak tertutup dan terhad tidak sebagaimana di negara barat.

Beliau berkata rakyat hanya mendapat maklumat sebelah pihak sahaja iaitu secara bebas dari pihak parti pemerintah manakala maklumat dari parti bukan kerajaan dikongkong.

“Kita (PAS) melihat, rakyat di negara barat yang mengamalkan demokrasi walau pun di sana (barat) ada perkara yang kita (PAS) tidak setuju dengan barat, kebebasan yang meruntuhkan moral dan masyarakatnya.

“Tetapi di sana (barat) ada amalan-amalan politik yang diambil daripada Islam tetapi ditinggalkan oleh orang Islam dan ini memalukan kita umat Islam,” ujarnya pada Majlis Peristiharan Calon PAS P.36 Kuala Terengganu, di Stadium Negeri.

Katanya oleh yang demikian berlakulah amalan demokrasi yang tertutup serta terhad kepada rakyat bagi mendapat maklumat sebenar.

“Maka, berlakulah amalan demokrasi yang tertutup, yang terhad. Rakyat mendapat maklumat yang bebas dan luas dari satu pihak dan pihak yang bukan kerajaan tidak mendapat maklumat yang seluas-luasnya.

“Kelemahan kerajaan ditutup, bukan sahaja melalui media tetapi juga melalui undang-undang, ISA, OSA, Auku,” tegasnya.

Katanya undang-undang menahan tanpa bicara (ISA) digunakan dengan sewenang-wenang keatas mereka yang berani mengancam keselamatan kerajaan dan bukan keselamatan negara.

“Undang-undang menangkap tanpa bicara (ISA) kepada mereka yang berani mencabar kerajaan sekiranya mengancam keselamatan kerajaan dan bukan keselamatan negara.

“Undang-undang yang menghukum siapa yang berani mendedahkan ‘rahsia-rahsia’ kerajaan walau pun kerajaan yang melakukan kesalahan tidak boleh dirahsiakan.

“Undang-undang yang menghalang pusat-pusat pengajian tinggi, orang cerdik pandai, pensyarah-pensyarah dan mahasiswa dan mereka dibelenggu seperti rakyat biasa,” ujarnya.

Beliau berkata suasana politik dalam negara hari ini sudah berubah setelah kejayaan Pakatan Rakyat menghapuskan majoriti kerajaan BN dua pertiga di peringkat pusat.



Wahid Akan Senarai dan Dedahkan ’Pengkhianatan’ Kerajaan UMNO/BN

Kuala Terengganu - Calun PAS bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu berkata beliau akan mengumpulkan semua ucapannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendedahkan segala kepincangan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Dari tahun 2000 – 2005 sebanyak RM 200.34 juta wang royalti kerajaan Terengganu telah diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain, ia meningkat sebanyak RM 600 juta lagi sehingga tahun 2008,”kata Mohd Abdul Wahid selepas ceramah pengenalan calun di Gong Pauh dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pihak media tentang ucapannya dalam ceramah tersebut yang menegaskan beliau akan menyenaraikan segala penyelewengan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh UMNO/BN.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam berkata, beliau pernah mengusulkan beberapa usul dan sidang DUN termasuk hal yang berkaitan royalti minyak.

Namun hasrat baiknya meminta kerajaan mendedahkan scara terperinci kemanakah wang royalti tersebut ‘lesap’ tidak menjadi realiti kerana usul beliau ditolak oleh Sidang DUN.

Beliau berkata kerajaan negeri yang dikuasai oleh UMNO/BN sepatutnya mempunyai dasar dan praktik yang jelas berkaitan ketelusan, pertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik.

“Biar dia(kerajaan) jelaskan, rakyat ingin tahu berapa banyak yang kerajaan perolehi dari wang royalti yang diterima dari kerajaan pusat,”tambahnya.

PAS pilih ADUN Wakaf Mempelam Jadi Calon

Kuala Terengganu - Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat di hadapan kira-kira 10,000 ahli dan penyokong PAS dalam majlis peristiharan calun yang diadakan di Stadium Negeri dekat sini, semalam.


Beliau berkata beliau sendiri yang memilih Mohd Wahid, 51, dan ia telah mendapat restu Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya dalam pemilihan calon itu, beliau mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mengadakan isytisyarah (pandangan daripada orang ramai)dan istiqarah (sembahyang dan minta petunjuk).

"Sangat susah pilih calon PAS kerana calon-calon yang diketengahkan semuanya baik-baik... tiada rasuah, tiada politk wang dan tiada penyelewengan politik," katanya.

Wahid, sebaik sahaja diumumkan sebagai calon kelihatan ‘sebak’ (gambar bawah) dan terus memeluk sahabat-sahabat seperjuangan sebelum tampil untuk berucap.

http://buletinonline.net/images/berita15/wahidsebak.jpgBeliau menyatakan rasa terharu atas pemilihan beliau dan berjanji akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh pimpinan.

Katanya prinsip beliau dalam politik tidak akan mencari musuh namun apabila bertemu dengan musuh, beliau tidak akan lari.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas itu, Abdul Hadi berkata Mohd Abdul Wahid dipilih berdasarkan kepada ketokohannya sebagai ADUN Wakaf Mempelam selama lima penggal.

Katanya Abdul Wahid menjadi Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Negeri semasa PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2003, justeru beliau mampu menarik sokongan pengundi dari setiap lapisan masyarakat.

"Calon kami (PAS) mempunyai banyak pengalaman sebagai wakil rakyat... tidak pernah kalah dalam lima pilihan raya umum lepas, dan dia menepati kehendak ramai," katanya.

Beliau berkata Abdul Wahid juga adalah Bendahari Badan Perhubungan PAS Terengganu merangkap Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu yang memiliki Ijazah Sains Marin dan Perikanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM – dulu Universiti Pertanian ).

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Abdul Wahid berkata beliau mempunyai banyak isu yang hendak ditimbulkan semasa berkempen dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Tunggu. Banyak masa lagi untuk berkempen. Bila tiba masanya saya akan kupas satu persatu ikut keperluan semasa," katanya.

Mohd Abdul Wahid berkata beliau juga tidak akan menyerang peribadi lawannya ketika berkempen untuk pilihan raya kecil itu.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang merupakan pemimpin peringkat nasional, Mohd Abdul Wahid berkata kedudukan itu tidak menjamin kemenangan seseorang calon.

Istisyarah Dan Istikharah

Kuala Terengganu - Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah mendapatkan istisyarah daripada pimpinan PAKATAN RAKYAT dan melakukan solat istikharah dalam membuat keputusan pemilihan calon PRK P036 17 Jan ini. Tuan Guru berkata, terlalu sukar untuk beliau membuat pemilihan kerana semua calon yang ada mempunyai kewibawaan masing-masing, tidak memiliki rekod buruk samada jenayah atau rasuah


Beliau sangat berharap agar rakyat di P036 dapat menebus kekalahan yang dilakukan pada PRU12 yang lalu. Walaupun ini hanya pilihan raya kecil, tetapi ia membawa impak yang besar kepada kerajaan negeri mahupun pusat.

Rakyat di Kuala Terengganu seharusnya sedar apa yang telah dilakukan oleh kerajaan UMNO selama mereka memerintah, jangan asyik mempersoalkan apa yang telah diberikan oleh PAS dalam masa 1 penggal memerintah. Rakyat harus sedar, walaupun tanpa royalti PETROLEUM, PAS mampu mentadbir negeri dengan baik dan dapat menurunkan paras kemiskinan daripada tempat 2 ke 3. Malah PAS juga telah menghapuskan cukai pintu rumah kediaman, tetapi telah dikenakan semula setelah UMNO mengambil alih pimpinan negeri Terengganu.

Kerajaan Terengganu hari ini begitu bangga dengan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, tetapi sedarkah rakyat Terengganu semua dari manakah sumber pembiayaan tersebut diperolehi ? Pembinaan lapangan terbang sebenarnya adalah dibawah kuasa kerajaan pusat, tidak ada sangkutan dengan peruntukan kerajaan negeri. Wang royalti yang digunakan itu sepatutnya disalurkan bagi membantu kehidupan rakyat negeri ini. Tetapi sedarkah, kita telah diperbodohkan oleh kerajaan UMNO dengan penggunaan wang royalti atau dana khas ini yang sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat seperti peniaga-peniaga kecil dan petani-petani. Bukan itu sahaja, pembaziran turut dilakukan dengan penganjuran MONSUN CUP dan pembinaan TAMAN TAMADUN ISLAM yang sedikitpun tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat Terengganu. Masjid Kristal yang dibinakan hanya sebagai simbol kebanggaan bukan tempat beribadat.

Tuan Guru juga turut menyelar tentang salahlaku amalan demokrasi yang dipraktikkan oleh kerajaan Malaysia sekarang ini. Dimanakah kebebasan rakyat untuk bersuara ? Sedangkan semuanya dikawal kerajaan BARISAN NASIONAL, bila ada yang lantang bersuara mempertahankan kebenaran ISA datang menerjah. Itukah yang dikata demokrasi terpimpin yang diwar-warkan oleh BARISAN NASIONAL ? Mantan pengerusi SPR dengan beraninya mencadangkan agar kuasa otonomi diberikan kepada SPR. Cuba kita fikirkan secara rasioanal tujuan kuasa tersebut diberikan kepada SPR, siapa yang akan mendapat keuntungannya nanti ?

Rakyat keseluruhannya sangat mengharapkan agar pilihanraya kecil ini dijalankan secara telus dan adil. Pemilihan calon adalah berdasarkan kepada kemampuannya untuk berdebat dan membawa masalah rakyat ke parlimen. Semua calon yang dikemukakan semuanya berwibawa dan berkemampuan membela nasib rakyat, sebab itulah Tuan Guru mengadakan istisyarah dan istikharah agar calon yang dipilih adalah yang terbaik daripada kalangan yang terbaik. Bukan senang untuk memilih dan memenuhi keinginan semua pihak, ada yang mahukan calon daripada golongan muda dan ada yang mahukan golongan veteran. Jadi, Tuan Guru Hj Hadi dengan persetujuan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah memilih calon pertengahan.

Calon yang dipilih merupakan seorang yang berpengalaman dan mesra rakyat. Beliau merupakan rakyat tempatan dan telah menjadi wakil rakyat selama 4 penggal. Sepanjang penglibatan beliau dalam arena politik ini, beliau mempunyai rekod yang cemerlang. Beliau adalah Tuan Hj Mohd Abdul Wahid Endut, ADUN Wakaf Mempelam. Sama-samalah kita mengembleng tenaga bagi memastikan kemenangan calon kita ini. Layakkah kita mengatakan buku bertemu ruas dalam pertandingan ini, antara YB Wahid dan Dato' Wan Farid ?




31 Disember 2008

Pondok Polis Untuk Lindungi Pengundi atau ‘Hantu’ Hendak Pergi Mengundi ?


Terengganu – Petugas pilihanraya dan pemerhati politik memandang ‘sinis dan curiga’ terhadap pondok-pondok polis yang dibangunkan begitu banyak dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Perasaan curiga mereka semakin menebal apabila calun Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh sendiri yang mengeluarkan kenyataan berkenaan situasi keselamatan pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Buletinonline telah dihubungi oleh seorang pemerhati lewat semalam yang mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh ‘orang yang sudah ditentukan’ untuk menjadi calun BN.

“Mengapakah Wan Farid yang membuat kenyataan, bukannya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa ? walaupun masih berstatus Timbalan Menteri Dalam Negeri, keputusannya menjadi calun BN menjadikan dia ‘bias’,”katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

Manakala seorang penyokong Pakatan Rakyat, Najib Mahfuz, 24, menggesa supaya pihak polis yang mengawal keselamatan sepanjang pilihanraya kecil bertugas dengan penuh professional dan bertanggungjawab.

Beliau berkata melalui pengalaman pilihanraya umum Mac lalu polis telah digunakan untuk melindungi ‘pengundi hantu’.

“Polis digunakan untuk melindungi bas-bas yang begitu banyak, membawa penumpang yang tidak dikenali, disyakki ‘pengundi hantu’,”katanya yang ditemui di Markaz Besar Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kampung Ladang, dekat sini semalam.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ketika ditemui berkata para petugas PAS DUN tersebut mempunyai pengalaman berhadapan dengan ‘pengundi hantu’ dalam pilihanraya umum lalu.

“Istilah (pengundi) hantu ni, maknanya orang yang datang dari luar yang tidak ada nama tapi datang mengundi,

“dan pengalaman yang lepas memang kita dapati ada berlaku di Batas Baru, kita pernah menahan sebuah kereta yang keluar daripada kem Pasukan Polis Simpanan Perseketuan (FRU),” katanya yang ditemui pada hari Khamis (25 Disember).

Menurutnya, para petugas PAS mendapati sebuah bas asing tiba dengan iringan oleh pihak polis masuk ke dalam kem FRU.

Beliau berkata tidak berapa lama kemudian beberapa buah kereta telah keluar dari kem tersebut membawa pengundi yang cuba mengundi di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2.

“Kebetulan kita tahu dan menahan mereka dan mereka mengundur diri, mereka tidakberani kerana mereka menyedari bahawa kita tahu mereka bukan pengundi yang sah,”kata Dato’ Tengku Hassan.

Wan Farid dalam siaran berita
Utusan Online yang disiarkan jam 6.02 petang semalam memberi jaminan tentang keselamatan para pengundi yang akan keluar mengundi pada 17 Januari depan.

Pada 6 Mac, 2008, dua hari sebelum hari mengundi pilihanraya umum lalu, berpuluh-puluh buah bas yang sarat dengan penumpang datang dari pelbagai arah telah masuk ke negeri Terengganu.

Para penyokong PAS dibeberapa lokasi telah menahan bas-bas tersebut kerana mereka yakin, penumpang bas tersebut adalah ’pengundi tidak sah’ yang akan mengundi di negeri Terengganu.

Pihak polis yang seolah-olah menjadi jurucakap kepada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional menafikan wujudnya pengundi hantu dan menuduh PAS sengaja mencetuskan ketegangan.

Namun begitu, media yang juga cuba memburuk-burukkan PAS akhirnya mengesahkan dalam laporannya bas-bas tersebut membawa pengundi yang tidak sah.

Menyampaikan Seruan Islam di Parlimen - Misi PAS PRK Kuala Terengganu

Kuala Terengganu - PAS bukan sahaja bertanding dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu sekadar untuk memenangi kerusi, bahkan berhasrat menyampaikan seruan Islam ke Parlimen


Pengarah Operasi Jentera Pilihanraya PAS, Dato’ Wan Mutalib Embong berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya DUN Bandar, di Masjid Hiliran semalam.


“Seruan akan kite sampaikan di parlimen (bagi) membentuk keimanan dan akhlak umat Islam, yang telah pun dicemari pada hari ini, dengan budaya-budaya dan ajaran yang menyesatkan,”ujarnya.


Beliau berkata PAS mesti menambahkan suara di parlimen bagi menyedarkan rakyat kegagalan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional selama 50 tahun.

”Dan inilah suatu contoh yang kita lihat, kenapa kite mesti menambahkan suara kite di parlimen, yang boleh menyedarkan (rakyat) bahawa kegagalan pemerintahan di Malaysia selama 50 tahun ini menghancurkan harapan ummah, menghancurkan harapan untuk menegakkan agama Allah,”katanya.

Katanya menjadi kewajipan setiap individu Islam dan bukan Islam untuk melihat keadilan ilahi kerana keadilan ilahi merentasi etnik kaum, bangsa dan agama.

“Tidak diutuskan Muhammad melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam” tak kira bangsa, kaum, keturunan, dan apa sahaja, sehinggalah unggas dan binatang yang melata di bumi juga akan mendapat rahmat daripada Islam,”tambah beliau.

Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya DUN Bandar semalam telah di sempurnakan oleh Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru dato’ Nik Abd Azizi Nik Mat.

30 Disember 2008

Akan Sampai Masanya, Hudud Akan Di Terima

Kuala Terengganu – Suatu masa nanti, akan tiba masanya dimana semua pihak akan menerima perlaksanaan undang-undang Islam termasuk Hudud dan Qisas.

“Tak apalah, akan sampai masanya, kita tanam ubi kalau ubi setela kan, ubi keledek ni tiga bulan boleh makan, tapi kalau tanam kelapa sepuluh tahun boleh makan,

“projek besar kita tengok, Islam ni projek besar, sepuluh tahun dua puluh tahun, nabi Muhammad 23 tahun, saya ni dua puluh tahun doh, pelik apa kalau lambat sikit,” kata Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat kepada para wartawan selepas Majlis Pelancaran Jentera Bantuan dari Negeri Kelantan bagi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, di Masjid Hiliran, di sini semalam.

Beliau berkata setiap undi yang diberikan kepada PAS akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT kerana PAS adalahsebuah parti yang memperjuangkan Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

”Kita tak boleh beri pahala, pahala mari dari Allah, Allah berikan siapa yang ikhlas kepada dia (baca ayat Quran) berabdi dengan penuh ikhlas kalau abdi tidak ikhlas tak boleh pahala,

“UMNO awal-awal lagi tolak Islam, ambil kebangsaan, sudahlah begitu dia lawan pulak PAS parti yang terang-terang sebut al-Quran dan Hadis, macamana boleh pahala,

“Sebab itu dia bagi duit, dia ganti dengan duit, ganti duit dengan pahala,”katanya ketika menjelaskan kenyataan dalam ucapannya dalam majlis tersebut yang menegaskan bahawa paa pengundi yang mengundi PAS akan diberi ganjaran pahala.

Sehubungan dengan itu beliau berkata tidak ada sebab bagi orang-orang Melayu Islam mengundi calun UMNO kerana UMNO terlalu banyak kelemahan dan tidak patut wujud.

“Tentulah (UMNO beri duit untuk minta sokongan), kalau tak beri duit kerana apa nak sokong dia, (buat) pembangunan, PAS boleh buat pembangunan, Pakatan Rakyat boleh buat pembangunan, nak jaga Melayu, dia jaga PAS lebih jaga lagi, kerana PAS ni jaga (Melayu) dari dunia sampai akhirat,

“UMNO dia tolak Islam, dia tak sampai akhirat, dia jaga setakat dunia sahaja, ini kelemahan-kelemahan UMNO, dia tak patut wujud atas muka dunia ni,”kata beliau yang turut yakin dengan kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Keyakinan beliau adalah berdasarkan kepada sokongan semua pihak yang semakinmeningkat kepada PAS kini berbanding dengan beberapa tahun lalu.

”Tentulah (menang), kalau menang kita boleh dua, pahala pun dapat, negeri kita memerintah, kalau tak menang, kita dapat pahala, tak apa tak rugi (baca ayat Quran) hei orang kafir, mu nak tunggu apa kami, tunggu satu daripada dua baik, kalau kita menang AlhamduliLlah, negeri kita perintah, kalau kita tak
menang, kita boleh pahala tak apa lah tahun depan kita dapat lain,”

“benda-benda hok (yang) PAS kata sekarang ni banyak dah orang terima, dulu, ni cerita (pasal) Hudud lah kan, terima Hudud, dulu usahkan Hudud, sebut kata politik Islam pun orang tak boleh terima, sekarang ni Melayu PAS pun terima, Melayu UMNO banyak sokong PAS dah sekarang ni, Cina pun sokong,”katanya.

Justeru beliau berharap semua warga Parlimen Kuala Terengganu akan mengundi calun PAS pada 17 Januari depan.

“Saya berdoa kepada Allah dan minta rakyat semua, Cina Melayu PAS dan UMNO sokong calun PAS, usahkan orang PAS, UMNO pun saya minta untuk sokong (calun PAS),”tambahnya


Klik untuk Dengar Ucapan Tok Guru Nik Aziz di Majlis Pelancaran Jentera MTD Bandar di Masjid Hiliran, 28 Disember, 2008



AMK Mengalu-alukan Kehadiran Ezam Bersama 6 Kotak

Kuala Terengganu – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Terengganu mengalu-alukan kehadiran Bekas ketuanya, Ezam Mohd. Nor untuk berkempen dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan turut membawa 6 kotak rahsia besarnya.

Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ezam yang dikatakan telah dijemput oleh calon Barisan Nasional YB Senator Wan Farid Wan Salleh bagi membantunya kerana pertarungan yang sengit dalam pilihanraya kecil kali ini.

”Kita (AMK Terengganu) meminta supaya Ezam datang bersama 6 kotak yang pernah didakwa oleh beliau berkaitan rasuah dan penyelewengan pimpinan UMNO dan BN.”

“rakyat seluruh Malaysia pernah diberitahu oleh beliau sewaktu menjadi Ketua AMK Malaysia mempunyai 6 kotak bukti rasuah dan penyelewangan UMNO /BN,”ujar Farizketika ditemui Buletinonline semalam.

Beliau berkata sekiranya Ezam masih konsisten dan serius dalam menentang rasuah PRK Kuala Terengganu adalah medan yang terbaik untuk beliau mendedahkan rahsia 6 kotak masih menjadi tandatanya.

“Integriti dan kredibiliti Ezam akan kembali pulih selepas menyertai UMNO semula dengan mendedahkan 6 kotak dokumen rasuah dan penyelewengan UMNO / BN,

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah pun dibentuk dan diluluskan oleh Parlimen seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mendedahkan kekotoran dalam UMNO / BN,”cabar Fariz kepada Ezam.

Ezam pada Mei lalu, menyertai semula UMNO setelah menjadi pemimpin PKR selama satu dekad dengan alasan kononnya menyokong Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi menentang rasuah.

29 Disember 2008

Situasi tidak stabil, sukar laksana hudud – Presiden PAS



SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui sukar untuk melaksanakan undang-undang hudud dan qisas di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

Malah, beliau juga mengakui bahawa bukan mudah untuk melaksanakan hukum hudud memandangkan negara dan rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah.

Kata Ustaz Abdul Hadi, situasi ekonomi semasa dan pengangguran di kalangan rakyat negara ini menghalang hudud daripada dilaksanakan.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya.

Katanya, kebimbangan yang dilahirkan oleh segelintir rakyat negara ini sama seperti mentaliti kampung ketika era 1950-an.
Mentaliti kampung tahun 1950-an menyaksikan orang ramai khuatir untuk ke hospital kerana mereka bimbang sebaik sahaja melangkah ke hospital, mereka akan dibedah.

Terdahulu beliau merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam di sini hari ini lapr akhbar mStar

Kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Beliau berkata, golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya.


Pilihan raya adalah ‘perang’ demokrasi

Kuala Nerus - Pilihan raya di negara ini adalah umpama ‘perang’ secara kaedah demokrasi yang boleh diterima oleh jemaah dan syariat Islam.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan antara gerakan Islam yang tertua menyertai proses demokrasi melalui pilihan raya meski pun masih banayak kekurangan dan kepincangannya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan antara gerakan Islam yang tertua menyertai proses demokrasi melalui pilihan raya meski pun masih banayak kekurangan dan kepincangannya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus Perguruan Pasti Negeri Terengganu Peringkat Asas dan Sijil 2008, di Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring, dekat sini, hari ini.

Katanya, PAS menyertai pilihan raya adalah ‘perang’ secara aman melalui sistem demokrasi yang dibenarkan oleh syariat Islam.

“Kita (PAS) masuk pilihan raya ini macam masuk ‘perang’ tetapi secara aman dan melalui system demokrasi yang dibenarkan dalam Islam.

“Jika kita (PAS) menang, kita (PAS) boleh memerintah negeri dan negara untuk melaksanakan syariat dan mendaulatkan Islam,” jelasnya.

Menurutnya, PAS antara gerakan Islam yang paling lama menyertai pilihan raya di dunia dan berjaya memerintah negeri.

Beliau menjelaskan, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini masih banyak kepincangan yang berlaku dan perlu diperbaiki sebelum rakyat menolaknya.

Justeru itu, katanya PAS tetap akan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) P.36 Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan meski pun berhadapan dengan demokrasi yang ‘tempang’.

Biden Tandatangani Tindakan Eksekutif ‘Menterbalikkan’ Dasar Trump Pada Hari Pertama

  Beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai presiden A.S. ke-46 pada hari Rabu, Joe Biden menandatangani serangkaian tindakan eksekutif...