13 Mei 2008

Perbahasan - Sidang DUN Hari Ketiga

DUN Wakaf Mempelam Bentang Usul Royalti

ADUN Wakaf Mempelam, YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut telah membentangkan satu usul agar Dewan Undangan Negeri yang bersidang hari ini mengambil ketetapan menyokong supaya Royalti Petroleum dikembalikan semula kepada Kerajaan Negeri Terengganu

Usul tersebut dibentangkan setelah DUN Terengganu bersidang selama sejam yang bermula pada jam 9.30 pagi. Walaubagaimana pun DUN berhenti untuk berehat seketika pada jam 10.45. Yang DiPertua DUN Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang menangguhkan penerimaan usul tersebut sehingga DUN bermula semula selepas rehat.

Dibawah ini dipaparkan usul yang telah dibawa oleh ADUN Wakaf Memepelam































Pemimpin UMNO Terengganu khianat kepada rakyat dan negeri sendiri

Pemimpin UMNO Terengganu telah khianat kepada rakyat Terengganu dengan mempengaruhi kerajaan pusat menarik balik royalti petroleum semasa pemerintahan PAS.

Demikian diucapkan oleh ADUN Wakaf Mempelam, YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut semasa membahaskan titah ucapan Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam sidang DUN negeri Terengganu.

”Kesan pengkhianatan pimpinan UMNO Terengganu kepada rakyat dan negeri Terengganu, kini dirasai oleh seluruh rakyat terutama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu,” kata Abdul Wahid.

Beliau berkata negeri dan rakyat Terengganu sepatutnya menerima RM 5.91 bilion hasil royalti diantara tahun 2000 hingga 2005.

Namun menurutnya sebanyak RM 3.96 bilion telah diagihkan kepada pihak lain kerana wang royalti telah ditukar kepada wang ehsan dan dana khas, setelah royalti ditarik dari negeri Terengganu.

Justeru beliau mengharapkan YAB Menteri Besar Terengganu berusaha bersungguh-sungguh bagi menuntut semula royalti tersebut kembali kepada negeri Terengganu.

Sebelum dari itu, usul beliau yang meminta sidang DUN membuat satu ketetapan menyokong tuntutan royalti minyak dikembalikan kepada Terengganu telah ditolak dengan alasan kes tersebut sudah berada didalam mahkamah.

Beliau yang juga Bendahari Perhubungan PAS Terengganu menegaskan PAS bukan membangkang ‘membabi buta’

”Dalam isu royalti, kita (PAS) konsisten menyokong tuntutan semula royalti walaupun usaha sekarang dilakukan oleh YAB Menteri Besar Terengganu.” tambah Haji Wahid.

Sehubungan dengan pengurusan dana khas yang tidak telus, sebagaimana yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar, beliau menyeru agar selepas ini kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Meneteri Besar yang baru mengamalkan pentadbiran yang telus (transparency), pertanggungjawaban (accountability) dan mengamalkan prinsip krajaan yang baik (good governance).

Menurut beliau termasuk berlaku adil dan telus dalam menerima dan menolak soalan-soalan yang dikemukakan dalam sidang DUN dan memberikan ruang yang lebih terbuka bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Beliau mendakwa telah empat kali perkara yang berkaitan kepentingan rakyat diusulkan oleh beliau untuk dibahaskan dalam sidang DUN, namun ditolak oleh kerajaan.

”Pada Disember 2004, saya minta Dewan membahaskan laporan kertas putih pembalakan, tahun 2005 berkaitan perobohan rumah rakyat di RTB dan Terengganu Inc,
”tahun 2006 berkaitan dengan Golden Pharos, namun usul saya tidak pernah diterima walaupun ia adalah untuk kepentingan rakyat.” tambah Hj Wahid.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan dibawah kepimpinan Menteri Besar yang baru menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan bagi mengkaji dengan terperinci segala projek-projek yang dibiayai oleh Dana Khas Kerajaan Persekutuan/ Wang Ehsan/ Royalti Petroleum



ZIA kini hanya percubaan ?

Tujuh soalan lisan telah dikemukakan dan dijawab sebelum ADUN Wakaf Mempelam bangun untuk mengemukakan usul berkaitan royalti petroleum pada jam 10.30 pagi kelmarin .


Kesemua soalan yang dikemukakan oleh ADUN kerajaan dan PAS merangkumi soal pertanian, sukan, pendidikan, pembangunan dan pentadbiran Islam.

Walaupun ketujuh-tujuh soalan dijawab oleh pihak kerajaan namun mutu jawapan yang diberikan tidak memuaskan dan masih ditahap lama.

Jawapan hanya sekadar untuk menjawab bukan untuk memberikan rakyat maklumat yang benar, telus dan bertanggungjawab.

Samada jawapan yang sebenar, tersalah jawab atau tidak mempunyai maklumat yang jelas, Exco Pertanian Rozi Mamat menyatakan projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sg Como, Tasik Kenyir adalah dalam percubaan sebanyak 200 sangkar.

Sewaktu dilancarkan, Projek Ternakan Ikan Air Tawar Dalam Sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir dikatakan yang terbesar di negara ini dijangka mampu membawa transformasi besar industri pertanian negara termasuk menjana pulangan pendapatan melebihi RM3,000 sebulan kepada peserta.

Walaubagaimana pun beliau mengakui memang terdapat masalah dalam perlaksanaan projek tersebut.

Apabila diajukan soalan tambahan berkaitan pencapaian objektif Tahun Pertanian Terengganu 2006 yang mensasarkan 1000 orang petani akan ditingkatkan pendapatan mereka sebanyak RM 500 seorang, Rozi Mamat tidak dapat menyatakan angka pencapaian namun melencongkan soalan dengan mengatakan program tersebut tidak gagal kerana masih dalam perlaksanaan.

Manakala Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi, Yahaya Khatib mengesahkan bahawa Fasa Kedua projek mendalamkan muara Sungai Terengganu yang bernilai RM 500 juta adalah untuk penganjuran Monsoon Cup dan memudahkan kapal pelayaran mewah ‘Star Cruise’ memasuki kuala, bukan untuk kemudahan rakyat umum.

Amat malang bagi bekas Pengurus TNB itu yang telah menjadi wakil rakyat 4 tahun sebelum. Beliua tidak menunjukkan kematangan apabila menjawat jawatan Exco kerana meminta 'notis' satu soalan yang begitu mudah.

Apabila ditanya projek pembangunan muara Sungai Terengganu dan pemecah ombak dibuat secara tender terbuka atau runding terus, dia tidak menjawab tetapi memohon 'notis' untuk jawapan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita, Ashaari Idris tidak dapat menyatakan dengan jelas sumber rujukan statistik penurunan kadar kemiskinan yang di war-warkan kerajaan di perolehi.

Dalam ucapan perasmian yang ditulis oleh pihak kerajaan kelmarin menyatakan kadar kemiskinan Terengganu telah turun dan 15.4% pada tahun 2004 kepada 6.5% pada tahun 2007.

Namun Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) masih meletakkan angka kemiskinan Terengganu pada 2007 pada kadar 15.4%

Sidang Sebenar Bermula 7 Mei, 2008

Sidang sebenar Mesyuarat Yang Pertama, Penggal Persidangan Yang Pertama, Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) Yang Kedua Belas akan bermula hari ini (7 Mei)

Bermula jam 9.30 pagi, sebanyak tujuh kertas-kertas kerja dan laporan akan dibentangkan sebaik sahaja ucapan Yang DiPertua Dewan dan Ucapan Terima Kasih ditangguhkan.

Kertas dan laporan yang akan dibentang tersebut adalah;
1. Penyata Kewangan Lembaga Tabung Amanah Warisan 2005,

2. Penyata Kewangan MBKT 2006,

3. Penyata Kewangan Yayasan Terengganu 2006,

4. Penyata Kewangan Yayasan Islam 2006,

5. Laporan dan Penyata Lembaga Muzium 2006,

6. Laporan Ketua Audit Negara berkaitan Jabatan/Agensi Kerajaan 2006 dan

7. Laporan Ketua Audit Negera berkaitan Penyata Kewangan Terngganu 2006.

Lapan orang ADUN akan menerima jawapan dari soalan-soalan bertulis yang telah mereka kemukakan. Dari jumlah lapan ADUN tersebut, lima daripadanya adalah ADUN PAS.

Sesi soal jawab soalan lisan dijangka akan mengambil masa yang panjang sehingga 8 Mei. Ia adalah kerana 11 ADUN yang telah disahkan akan membentangkan soalan-soalan mereka dan pihak kerajaan hendaklah menjawab soalan-soalan tersebut secara spontan.

PAS yang mempunyai kekuatan dua kali ganda di Dewan Undangan Negeri Terengganu sesi ini (berbanding sesi lalu) telah menyusun langkah bagi memastikan rakyat akan mendapat maklumat yang jelas, telus dan bertanggungjawab daripada pihak kerajaan.

Selain meletakkan tanggungjawab setiap ADUN PAS mengikut portfolio (Exco bayangan), Ketua Whip PAS bagi penggal ini, Dato’ Usaz Harun Taib dijangka akan memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan.

Sebagai orang lama dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu, bekas Exco Kerajaan dan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu memang cukup dikenali mempunyai kepetahan berhujjah. Pasti akan mengasak pihak kerajaan dan akan membuatkan barisan anggota Exco baru Mad Said perlu membuat ‘kerja rumah tambahan’.

Lebih-lebih lagi tindakan pihak kerajaan negeri yang menyiarkan perjalanan sidang DUN secara langsung melalui internet dilihat akan memberi impak secara langsung kepada rakyat negeri Terengganu.

Rakyat umumnya mahu melihat satu perubahan yang jelas dari segi mutu perbahasan dan jawapan yang diberikan dipihak kerajaan, bukan hanya menghambur jeritan dengan perkataan-perkataan yang jelek dan hodoh.

Wakil-wakil rakyat kini perlu benar-benar menjadi penghubung kepada suara dan hasrat rakyat untuk membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik.

Sidang DUN Hari Pertama

ADUN Batu Burok pertikai penolakan soalan kepada DUN Terengganu

Usul ADUN Batu Buruk, YB Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang dikemukakan pada hari pertama Sidang DUN akan dibincangkan oleh Yang Dipertua Dewan
Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang dengan Pegawai Undang-undang Negeri dan pihak urusan DUN.

Dr Syed Azman bangun pada awal persidangan DUN semalam, selepas sahaja perlantikan Yang DiPertua yang baru, bagi memohon agar Sidang DUN ditangguhkan bagi membincangkan secara khusus berkenaan dengan usul tidak puas hati terhadap penolakan soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli DUN kepada DUN.

Soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN telah ditolak oleh dengan jawapan 'setelah dibuat penilitian' dan surat tersebut ditandatangani oleh Setiausaha DUN sahaja.

Sedangkan peraturan Dewan mengatakan dengan jelas bahawa penelitian dan keputusan menerima atau menolak satu-satu soalan itu adalah hak dan hanya boleh dilakukan oleh Yang DiPertua Negeri.

”Bagaimana soalan-soalan ADUN boleh ditolak sedangkan DUN Terengganu belum melantik Yang DiPertuan DUN,
”Kerajaan atau mana-mana pihak tidak berhak meniliti atau menolak mana-mana soalan, itu adalah hak kebebasan ADUN bagi mendapat maklumat yang benar, telus dan bertanggungjawab” kata Syed Azman.

Yang DiPertua DUN yang baru dilantik, Tengku Putera Tengku Awang, tidak menolak usul tersebut namun menyatakan bahawa Sidang DUN kelmarin adalah hanya untuk menguruskan perlantikan Yang DiPertua dan angkat sumpah ADUN



Sidang DUN Terengganu - Lapan ADUN PAS ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat

Lapan ADUN PAS berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat Terengganu dalam Upacara Angkat Sumpah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu pada hari pertama Sdang DUN hari ini.

Dato’ Ustaz Harun Taib, ADUN Manir, yang diamanahkan sebagai ketua whip PAS bagi penggal ini menyatakan ikrarnya pada jam 10.35 pagi

Kemudian diikuti dengan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang mengangkat sumpah perkhidmatan sebagai wakil rakyat di depan Yang Dipertua pada jam 10.39 pagi.

Enam ADUN PAS yang lain yang turut mengangkat sumpah adalah Mohd Abd Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi (Batu Burok), Dato' Tengku Hassan Omar (Ladang), Ustaz Wan Hassan Ramli (Sura), Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Uztaz Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung)

Sementara itu, upacara memilih Yang DiPertua Dewan juga berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Kelmarin, beberapa pihak yang bertentangan dengan kem Menteri Besar dalam UMNO Terengganu dikatakan menghantar orang ‘penghubung’ untuk meminta sokongan ADUN PAS, dalam usaha mereka mencadangkan nama lain bagi jawatan Yang DiPertua.

Namun pada pagi ini, tiada apa-apa cadangan lain selain Tengku Putera Tengku Awang, bekas ahli Parlimen Hulu Terengganu, yang dengan rasminya telah dilantik sebagai Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi Penggal Yang Kedua Belas

Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Bantu Golongan Terkesan PKP

  KUALA TERENGGANU- Khidmat Malaysia Kawasan Kuala Terengganu telah mewujudkan lima pusat pengumpulan sumbangan barangan dan kewangan bagi m...