20 Mei 2008

Bersedia untuk Kemungkinan Pilihanraya Umum


Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi mungkin terpaksa mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat, ekoran tindakan Dr. Mahathir keluar UMNO.

Menteri Kabinet dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Shahrir Abd Samad menyatakan demikian kepada Agensi berita Perancis – AFP, yang dipetik oleh Rangkaian Berita Asia (CNA).

Beliau berkata tindakan Dr. Mhathir akan menyebabkan ramai ahli UMNO mengikut jejak langkahnya turut keluar dari parti UMNO.

“Dengan keluar UMNO, Tun mungkin menyebabkan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan,
”sekiranya berlaku begitu, kerajaan tidak ada pilihan lain kecuali menubuhkan kerajaan yang baru atau mengadakan pilihanraya umum (bagi mendapatkan mandate baru),” kata Shahrir

Shahrir, Ali Parlimen Johor Bahru yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengatakan bahawa perkembangan yang berlaku (Mahathir keluar UMNO) tidak membantu dan membina keadaan UMNO (yang agak kurang baik) sekarang kerana berdepan dengan pengaruh Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebelum ini, pihak pembangkang yang diketuai Anwar mengatakan bahawa mereka telah bersedia untuk menubuhkan kerajaan dengan sokongan ahli-ahli parlimen yang akan ‘melompat’.

Beliau berkata pada masa Anwar sedang memancing ahli-ahli parlimen dari parti-parti kecil dalam BN, tiba-tiba Mahathir membuka jalan dari kalangan ahli-ahli parlimen UMNO sendiri untuk melompat parti.

”Ini akan menyebabkan berkurangnya jumlah ahli parlimen UMNO yang menjadi tulang belakang kepada BN sekarang,
”ia adalah cara Dr. Mahathir mendapatkan ‘referendum’ daripada ahli-ahli bawahan,” kata beliau

Mahathir Keluar UMNO



Tok Guru Nik Aziz Paling Gembira

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau orang paling gembira di dunia dengan keputusan itu kerana ini memberi perangsang kepada PAS memperkukuhkan pengaruh politiknya.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau menghormati Dr Mahathir sebagai tokoh pemimpin yang terkenal di seluruh dunia dengan mempunyai pemikiran yang tajam dalam membawa kemajuan negara.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan mengenang jasa Dr Mahathir berhubung isu Palestin dengan menuduh rejim Zionis sebagai punca dunia Arab berpecah belah.

PAS sentiasa memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menyertai parti itu kerana ketokohannya dan kebijaksanaannya akan memberi kelebihan pada PAS, katanya ketika mengulas tindakan Dr Mahathir keluar Umno berkuatkuasa serta merta.

Kenyataan penuh Dr. Mahathir

HARI ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)


“Keadaan Umno kini sangat parah" – Kenyataan Presiden PAS

TINDAKAN Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohammad mengumumkan keluar dari Umno hari ini merupakan satu tindakan yang radikal sekaligus membuktikan betapa Umno kini berada dalam keadaan yang sangat parah, dengan penyakit rasuah, amalan tidak demokratik dan penipuan yang bukan hanya diamalkan dalam pilihan raya malah sesama mereka sendiri di dalam parti.

PAS merasakan tindakan Tun ini turut membuktikan yang Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.

PAS sentiasa tegas dan konsisten dengan Islam sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu dan negara seluruhnya. PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak yang bersedia melakukan "islah" atau perubahan samada ianya Pakatan Rakyat yang sedia ada atau pihak Umno sendiri yang bersedia melakukan perubahan dengan syarat-syarat berikut:

1. Pihak berkenaan hendaklah mengekalkan kepimpinan Melayu Islam yang baik.

2. Berlaku adil kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk.

3. Perpaduan Melayu mestilah dipelihara berasaskan Islam manakala perpaduan rakyat pelbagai kaum,dan agama dibentuk berasaskan keadilan dan hak yang adil buat semua.

4. Proses prubahan hendaklah berlaku secara berakhlak, luhur dan berlandaskan etika yang baik.

PAS sangat berpengalaman dalam arus politik negara dalam apa sahaja situasi dan keadaan sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini. PAS pernah memimpin kerajaan negeri, menyertai kerajaan campuran diperingkat pusat, bekerjasama dengan pakatan pembangkang dan malah pernah bersendirian sebagai pembangkang.

PAS akan mengkaji pengalaman ini dari masa ke semasa, bersama Pakatan Rakyat dan jika perlu menegur Pakatan Rakyat disamping memberi perhatian dan mengkaji perubahan yang sedang berlaku dalam Umno pasca pilihan raya, demi menyusun langkah dan strategi yang sebaik-baiknya demi masa depan negara.


Sanusi Junid ikut jejak Dr M

Veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid turut mengikut jejak Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno."Saya akan buat kenyataan lengkap saya sendiri nanti. Buat masa ini, cukuplah kalau saya katakan saya juga sudah keluar Umno,” kata beliau

Mstar melaporkan Sanusi yang merupakan antara pengikut setia Dr Mahathir dan bekas setiausaha agung Umno ketika krisis parti 1988 enggan memberikan ulasan lanjut.

Senarai kenyataan Mahathir sejak PRU 12.

Mstar juga menyenaraikan beberapa kenyataan 'pedas' Mahathir sejak pilihan raya umum ke-12 seperti dibawah;

22 Mac: Ahli-ahli parti tidak boleh percaya kepada satu individu sahaja dengan memberikan kuasa yang begitu besar sehinggakan seorang ahli yang menegur Presiden akan didakwa tidak menghormati ketua.

22 Mac: Mencadangkan supaya majlis penasihat presiden itu dianggotai profesional dan ahli UMNO berwibawa tetapi bukan yang dilantik oleh UMNO bahagian supaya dapat berfungsi secara bebas.

28 Mac: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno sewajarnya dipertandingkan jika ada ahli parti yang mahukan perubahan."Ya, kalau ada perasaan ahli-ahli supaya ada perubahan. Kehendak ahli mesti dilayan.Kita tak boleh ketepikan kehendak ahli-ahli dan tidak memberi peluang kepada mereka dengan tidak mengadakan pemilihan dan sebagainya. Itu salah."

30 Mac: "Pada masa dulu, sistem kuota itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin parti yang benar-benar ingin bertanding dan untuk mendapat pencalonan dari 60 bahagian bagi bertanding jawatan presiden adalah mudah.

"Tahun 2004 menyaksikan ia disalahgunakan di mana bekas Naib Presiden Umno yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang ingin bertanding untuk jawatan presiden Umno hanya mendapat satu pencalonan sahaja itupun dari bahagiannya sendiri."

30 Mac: "Tidak ada kebebasan di dalam UMNO sekarang dan sebab itu sistem kuota perlu dimansuhkan kerana mereka berpendapat melawan Presiden merupakan satu penghinaan.

"Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Tengku Razaleigh mendapat pencalonan daripada 60 Bahagian UMNO dengan mudah dan mereka bebas untuk berkempen di seluruh negara untuk menghentam saya."

01 April: Sudah berubah fikiran dan tidak lagi berpendapat Datuk Seri Najib Razak adalah calon paling layak mengambil alih jawatan Perdana Menteri akan datang.

01 April: Umno perlu dipulihkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu terhadap perjuangannya dan Abdullah, katanya, perlu faham mesej daripada rakyat yang mahukan beliau mengundur diri.

06 April: "Saya tidak ada niat hendak menjadi Presiden Umno, sekali lagi atau Perdana Menteri untuk kali kedua, tetapi sebagai anggota Umno dan sebagai rakyat Malaysia saya berhak bersuara."

06 April: "Saya akan berhenti, Saya akan berhenti (daripada bercakap). Secara jujur saya akan berhenti jika mereka akan berhenti melakukan apa yang salah yang telah menyebabkan Umno mempamerkan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini."

7 Mei: Meminta BN mengambil serius tentang kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat. "Saya fikir ini ada kemungkinan (pertukaran kerajaan) yang tidak boleh kita abaikan."

15 Mei: Sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan mengenai isu-isu semasa. "Najib sudah jumpa saya ... dia (Abdullah) tidak halang. Selepas saya tegur kata Abdullah tak bagi, dia pula kata tidak menghalang, lepas itu, baru saya jumpa dengan Najib."

17 Mei: Sedia disiasat dan didakwa di mahkamah berikutan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Datuk V. K. Lingam. "Saya nak cerita berkenaan hakim yang melobi saya dan kalau melobi ini adalah satu perkara yang salah, maka hakim ini juga patut disiasat.”

17 Mei: Mengibaratkan UMNO sebagai magnet yang mampu menarik parti-parti komponen lain untuk memperkukuhkan BN."Berdasarkan pengamatan saya, UMNO yang lemah tidak mungkin dapat menubuh serta memimpin sebuah kerajaan yang berwibawa. Ini kerana UMNO merupakan sebuah parti yang menunjangi pemerintahan negara di bawah naungan BN."

Reaksi pemimpin UMNO

Setelah Mahathir mengumumkan keluar UMNO serta merta petang tadi, beberapa orang kuat UMNO membuat komen spontan seperti berikut ;

Ali Rustam minta tarik balik keputusan
Ali Rustam meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik keputusan beliau untuk keluar parti demi kepentingan UMNO.

Najib harap ahli UMNO bertenang
Najib Razak berharap ahli UMNO bertenang dan usaha untuk memulihkan parti. Dia Terkejut dan sedih.

Musa Hitam - Duri dalam daging sudah terkeluar
Musa Hitam menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO bererti ‘duri dalam daging sudah terkeluar. Dalam jangka pendek kita semua dalam UMNO telah kesesatan jalan – Utusan

Ku Li kekal Umno untuk cabar Pak Lah
Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan ikut jejak Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas Menteri Kewangan itu memberitahu, beliau tidak berhasrat meninggalkan Umno, sebaliknya akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu Disember ini – mStar

Azalina Othman Said berkata tindakan itu tidak menyelesaikan masalah , sebaliknya hanya akan memberikan kelebihan kepada pihak pembangkang.

Abdullah - Saya tidak akan tunduk desakan Dr. M
Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak akan tunduk kepada desakan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno

Muhammad Muhd. Taib, turut terkejut, menganggap ia sebagai hak beliau (Mahathir) untuk berbuat demikian.
Ketua Puteri Umno Noraini Ahmad - ia bertentangan dengan tunjuk ajar yang beliau berikan kepada pemimpin muda sebelum ini.

Syed Hamid Albar berkata, tindakan Dr Mahathir untuk keluar Umno akan memburukkan lagi keadaan ketika parti sedang melalui suasana sukar.

13 Mei 2008

Perbahasan - Sidang DUN Hari Ketiga

DUN Wakaf Mempelam Bentang Usul Royalti

ADUN Wakaf Mempelam, YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut telah membentangkan satu usul agar Dewan Undangan Negeri yang bersidang hari ini mengambil ketetapan menyokong supaya Royalti Petroleum dikembalikan semula kepada Kerajaan Negeri Terengganu

Usul tersebut dibentangkan setelah DUN Terengganu bersidang selama sejam yang bermula pada jam 9.30 pagi. Walaubagaimana pun DUN berhenti untuk berehat seketika pada jam 10.45. Yang DiPertua DUN Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang menangguhkan penerimaan usul tersebut sehingga DUN bermula semula selepas rehat.

Dibawah ini dipaparkan usul yang telah dibawa oleh ADUN Wakaf Memepelam































Pemimpin UMNO Terengganu khianat kepada rakyat dan negeri sendiri

Pemimpin UMNO Terengganu telah khianat kepada rakyat Terengganu dengan mempengaruhi kerajaan pusat menarik balik royalti petroleum semasa pemerintahan PAS.

Demikian diucapkan oleh ADUN Wakaf Mempelam, YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut semasa membahaskan titah ucapan Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam sidang DUN negeri Terengganu.

”Kesan pengkhianatan pimpinan UMNO Terengganu kepada rakyat dan negeri Terengganu, kini dirasai oleh seluruh rakyat terutama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu,” kata Abdul Wahid.

Beliau berkata negeri dan rakyat Terengganu sepatutnya menerima RM 5.91 bilion hasil royalti diantara tahun 2000 hingga 2005.

Namun menurutnya sebanyak RM 3.96 bilion telah diagihkan kepada pihak lain kerana wang royalti telah ditukar kepada wang ehsan dan dana khas, setelah royalti ditarik dari negeri Terengganu.

Justeru beliau mengharapkan YAB Menteri Besar Terengganu berusaha bersungguh-sungguh bagi menuntut semula royalti tersebut kembali kepada negeri Terengganu.

Sebelum dari itu, usul beliau yang meminta sidang DUN membuat satu ketetapan menyokong tuntutan royalti minyak dikembalikan kepada Terengganu telah ditolak dengan alasan kes tersebut sudah berada didalam mahkamah.

Beliau yang juga Bendahari Perhubungan PAS Terengganu menegaskan PAS bukan membangkang ‘membabi buta’

”Dalam isu royalti, kita (PAS) konsisten menyokong tuntutan semula royalti walaupun usaha sekarang dilakukan oleh YAB Menteri Besar Terengganu.” tambah Haji Wahid.

Sehubungan dengan pengurusan dana khas yang tidak telus, sebagaimana yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar, beliau menyeru agar selepas ini kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Meneteri Besar yang baru mengamalkan pentadbiran yang telus (transparency), pertanggungjawaban (accountability) dan mengamalkan prinsip krajaan yang baik (good governance).

Menurut beliau termasuk berlaku adil dan telus dalam menerima dan menolak soalan-soalan yang dikemukakan dalam sidang DUN dan memberikan ruang yang lebih terbuka bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Beliau mendakwa telah empat kali perkara yang berkaitan kepentingan rakyat diusulkan oleh beliau untuk dibahaskan dalam sidang DUN, namun ditolak oleh kerajaan.

”Pada Disember 2004, saya minta Dewan membahaskan laporan kertas putih pembalakan, tahun 2005 berkaitan perobohan rumah rakyat di RTB dan Terengganu Inc,
”tahun 2006 berkaitan dengan Golden Pharos, namun usul saya tidak pernah diterima walaupun ia adalah untuk kepentingan rakyat.” tambah Hj Wahid.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan dibawah kepimpinan Menteri Besar yang baru menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan bagi mengkaji dengan terperinci segala projek-projek yang dibiayai oleh Dana Khas Kerajaan Persekutuan/ Wang Ehsan/ Royalti Petroleum



ZIA kini hanya percubaan ?

Tujuh soalan lisan telah dikemukakan dan dijawab sebelum ADUN Wakaf Mempelam bangun untuk mengemukakan usul berkaitan royalti petroleum pada jam 10.30 pagi kelmarin .


Kesemua soalan yang dikemukakan oleh ADUN kerajaan dan PAS merangkumi soal pertanian, sukan, pendidikan, pembangunan dan pentadbiran Islam.

Walaupun ketujuh-tujuh soalan dijawab oleh pihak kerajaan namun mutu jawapan yang diberikan tidak memuaskan dan masih ditahap lama.

Jawapan hanya sekadar untuk menjawab bukan untuk memberikan rakyat maklumat yang benar, telus dan bertanggungjawab.

Samada jawapan yang sebenar, tersalah jawab atau tidak mempunyai maklumat yang jelas, Exco Pertanian Rozi Mamat menyatakan projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sg Como, Tasik Kenyir adalah dalam percubaan sebanyak 200 sangkar.

Sewaktu dilancarkan, Projek Ternakan Ikan Air Tawar Dalam Sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir dikatakan yang terbesar di negara ini dijangka mampu membawa transformasi besar industri pertanian negara termasuk menjana pulangan pendapatan melebihi RM3,000 sebulan kepada peserta.

Walaubagaimana pun beliau mengakui memang terdapat masalah dalam perlaksanaan projek tersebut.

Apabila diajukan soalan tambahan berkaitan pencapaian objektif Tahun Pertanian Terengganu 2006 yang mensasarkan 1000 orang petani akan ditingkatkan pendapatan mereka sebanyak RM 500 seorang, Rozi Mamat tidak dapat menyatakan angka pencapaian namun melencongkan soalan dengan mengatakan program tersebut tidak gagal kerana masih dalam perlaksanaan.

Manakala Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi, Yahaya Khatib mengesahkan bahawa Fasa Kedua projek mendalamkan muara Sungai Terengganu yang bernilai RM 500 juta adalah untuk penganjuran Monsoon Cup dan memudahkan kapal pelayaran mewah ‘Star Cruise’ memasuki kuala, bukan untuk kemudahan rakyat umum.

Amat malang bagi bekas Pengurus TNB itu yang telah menjadi wakil rakyat 4 tahun sebelum. Beliua tidak menunjukkan kematangan apabila menjawat jawatan Exco kerana meminta 'notis' satu soalan yang begitu mudah.

Apabila ditanya projek pembangunan muara Sungai Terengganu dan pemecah ombak dibuat secara tender terbuka atau runding terus, dia tidak menjawab tetapi memohon 'notis' untuk jawapan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita, Ashaari Idris tidak dapat menyatakan dengan jelas sumber rujukan statistik penurunan kadar kemiskinan yang di war-warkan kerajaan di perolehi.

Dalam ucapan perasmian yang ditulis oleh pihak kerajaan kelmarin menyatakan kadar kemiskinan Terengganu telah turun dan 15.4% pada tahun 2004 kepada 6.5% pada tahun 2007.

Namun Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) masih meletakkan angka kemiskinan Terengganu pada 2007 pada kadar 15.4%

Sidang Sebenar Bermula 7 Mei, 2008

Sidang sebenar Mesyuarat Yang Pertama, Penggal Persidangan Yang Pertama, Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) Yang Kedua Belas akan bermula hari ini (7 Mei)

Bermula jam 9.30 pagi, sebanyak tujuh kertas-kertas kerja dan laporan akan dibentangkan sebaik sahaja ucapan Yang DiPertua Dewan dan Ucapan Terima Kasih ditangguhkan.

Kertas dan laporan yang akan dibentang tersebut adalah;
1. Penyata Kewangan Lembaga Tabung Amanah Warisan 2005,

2. Penyata Kewangan MBKT 2006,

3. Penyata Kewangan Yayasan Terengganu 2006,

4. Penyata Kewangan Yayasan Islam 2006,

5. Laporan dan Penyata Lembaga Muzium 2006,

6. Laporan Ketua Audit Negara berkaitan Jabatan/Agensi Kerajaan 2006 dan

7. Laporan Ketua Audit Negera berkaitan Penyata Kewangan Terngganu 2006.

Lapan orang ADUN akan menerima jawapan dari soalan-soalan bertulis yang telah mereka kemukakan. Dari jumlah lapan ADUN tersebut, lima daripadanya adalah ADUN PAS.

Sesi soal jawab soalan lisan dijangka akan mengambil masa yang panjang sehingga 8 Mei. Ia adalah kerana 11 ADUN yang telah disahkan akan membentangkan soalan-soalan mereka dan pihak kerajaan hendaklah menjawab soalan-soalan tersebut secara spontan.

PAS yang mempunyai kekuatan dua kali ganda di Dewan Undangan Negeri Terengganu sesi ini (berbanding sesi lalu) telah menyusun langkah bagi memastikan rakyat akan mendapat maklumat yang jelas, telus dan bertanggungjawab daripada pihak kerajaan.

Selain meletakkan tanggungjawab setiap ADUN PAS mengikut portfolio (Exco bayangan), Ketua Whip PAS bagi penggal ini, Dato’ Usaz Harun Taib dijangka akan memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan.

Sebagai orang lama dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu, bekas Exco Kerajaan dan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu memang cukup dikenali mempunyai kepetahan berhujjah. Pasti akan mengasak pihak kerajaan dan akan membuatkan barisan anggota Exco baru Mad Said perlu membuat ‘kerja rumah tambahan’.

Lebih-lebih lagi tindakan pihak kerajaan negeri yang menyiarkan perjalanan sidang DUN secara langsung melalui internet dilihat akan memberi impak secara langsung kepada rakyat negeri Terengganu.

Rakyat umumnya mahu melihat satu perubahan yang jelas dari segi mutu perbahasan dan jawapan yang diberikan dipihak kerajaan, bukan hanya menghambur jeritan dengan perkataan-perkataan yang jelek dan hodoh.

Wakil-wakil rakyat kini perlu benar-benar menjadi penghubung kepada suara dan hasrat rakyat untuk membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik.

Sidang DUN Hari Pertama

ADUN Batu Burok pertikai penolakan soalan kepada DUN Terengganu

Usul ADUN Batu Buruk, YB Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang dikemukakan pada hari pertama Sidang DUN akan dibincangkan oleh Yang Dipertua Dewan
Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang dengan Pegawai Undang-undang Negeri dan pihak urusan DUN.

Dr Syed Azman bangun pada awal persidangan DUN semalam, selepas sahaja perlantikan Yang DiPertua yang baru, bagi memohon agar Sidang DUN ditangguhkan bagi membincangkan secara khusus berkenaan dengan usul tidak puas hati terhadap penolakan soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli DUN kepada DUN.

Soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN telah ditolak oleh dengan jawapan 'setelah dibuat penilitian' dan surat tersebut ditandatangani oleh Setiausaha DUN sahaja.

Sedangkan peraturan Dewan mengatakan dengan jelas bahawa penelitian dan keputusan menerima atau menolak satu-satu soalan itu adalah hak dan hanya boleh dilakukan oleh Yang DiPertua Negeri.

”Bagaimana soalan-soalan ADUN boleh ditolak sedangkan DUN Terengganu belum melantik Yang DiPertuan DUN,
”Kerajaan atau mana-mana pihak tidak berhak meniliti atau menolak mana-mana soalan, itu adalah hak kebebasan ADUN bagi mendapat maklumat yang benar, telus dan bertanggungjawab” kata Syed Azman.

Yang DiPertua DUN yang baru dilantik, Tengku Putera Tengku Awang, tidak menolak usul tersebut namun menyatakan bahawa Sidang DUN kelmarin adalah hanya untuk menguruskan perlantikan Yang DiPertua dan angkat sumpah ADUN



Sidang DUN Terengganu - Lapan ADUN PAS ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat

Lapan ADUN PAS berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat Terengganu dalam Upacara Angkat Sumpah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu pada hari pertama Sdang DUN hari ini.

Dato’ Ustaz Harun Taib, ADUN Manir, yang diamanahkan sebagai ketua whip PAS bagi penggal ini menyatakan ikrarnya pada jam 10.35 pagi

Kemudian diikuti dengan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang mengangkat sumpah perkhidmatan sebagai wakil rakyat di depan Yang Dipertua pada jam 10.39 pagi.

Enam ADUN PAS yang lain yang turut mengangkat sumpah adalah Mohd Abd Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi (Batu Burok), Dato' Tengku Hassan Omar (Ladang), Ustaz Wan Hassan Ramli (Sura), Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Uztaz Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung)

Sementara itu, upacara memilih Yang DiPertua Dewan juga berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Kelmarin, beberapa pihak yang bertentangan dengan kem Menteri Besar dalam UMNO Terengganu dikatakan menghantar orang ‘penghubung’ untuk meminta sokongan ADUN PAS, dalam usaha mereka mencadangkan nama lain bagi jawatan Yang DiPertua.

Namun pada pagi ini, tiada apa-apa cadangan lain selain Tengku Putera Tengku Awang, bekas ahli Parlimen Hulu Terengganu, yang dengan rasminya telah dilantik sebagai Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi Penggal Yang Kedua Belas

09 Mei 2008

Sidang DUN Terengganu – Perbahasan DiJangka Panas Dengan Pembentangan Laporan Ketua Audit

Sesi soal jawab Mesyuarat Yang Pertama, Penggal Persidangan Yang Pertama, Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Kedua Belas (Sidang DUN Terengganu) hanya dijangka bermula pada hari Rabu 7 Mei.

Pada hari pertama (5hb Mei) Sidang DUN Terengganu akan dimulakan dengan Upacara Mengangkat Sumpah Yang DiPertua Dewan (Speaker) dan diikuti dengan Upacara Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

DUN Terengganu dijangka akan melantik seorang Yang Dipertua Dewan yang baru bagi Penggal ini. Sumber-sumber tidak rasmi menyatakan bahawa bekas ahli Parlimen Hulu Terengganu Tengku Putera Tengku Awang akan dilantik ke jawatan tersebut menggantikan Che’ Mad Jusoh.

Pada hari yang kedua pula Pembukaan Sidang DUN Terengganu akan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Pemangku Raja. Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Kemudian, mengikut Tertib Pekerjaan Dewan sebagaimana yang diedarkan kepada ADUN, Sidang DUN akan disambung dengan ucapan Yang DiPertua Dewan.

Pada kelazimannnya Sidang DUN akan berhenti rehat selepas Ucapan Yang DiPertua Dewan dan akan disambung pada keesokkannya.

Hari ketiga adalah hari sebenar soal jawab Sidang DUN Terengganu yang akan dimulakan dengan pembentangan kertas-kertas kerja dan Laporan-laporan.

Antara laporan yang dijangka hangat dibahaskan adalah Laporan Ketua Audit Negara berkaitan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu Tahun 2006.

Didalam laporan tersebut dibawah tajuk Penemuan audit terkandung Beberapa persoalan dari Akaun Amanah Dana Khas, Program Penganjuran Monsoon Cup Negeri Terengganu, Projek Pembangunan Pulau Duyung dan Projek Pembangunan Pulau Wan Man.

Menurut YB Mohd Abdul Wahid Endut yang ditemui hari ini, Laporan Ketua Audit Negara berkenaan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu Tahun 2006 ini sepatutnya telah dibentangkan pada tahun lepas.

Beliau berkata semua negeri-negeri lain telah pun membentang Laporan Ketua Audit Negara bagi negeri masing-masing pada tahun lalu.


”Sepatutnya ia dibentang sewaktu Sidang DUN berkaitan Bajet 2008 tahun lalu, mungkin ia tidak di dibentang kerana ada perkara yang tidak kena, yang kerajaan lalu bimbang jika rakyat mengetahuinya” kata Mohd Wahid.

Beliau yang juga ADUN Wakaf Mempelam telah mengemukakan beberapa soalan didalam Sidang DUN kali ini selain akan bangun untuk berucap pada hari ketiga.

Sehubungan dengan itu, Ketua Whip PAS Dato’ Ustaz Harun Taib akan dicadangkan sebagai Ketua Pembangkang bagi penggal ini.

Ustaz Harun akan mengganti Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang juga ADUN Rhu Rendang, yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Terengganu pada sesi yang lalu

Menjelang Sidang DUN Terengganu – ‘Geng’ 22 menjadi tumpuan, ADUN PAS sudah bersiap

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang akan bermula pada 5hb Mei akan menjadi tumpuan kerana ‘Geng 22’ akan turut hadir menyertai Mesyuarat Yang Pertama,

Penggal Persidangan Yang Pertama, Bagi Dewan Undangan Negeri Kedua Belas itu.
Bahkan 10 orang dari mereka akan menjadi ‘tukang jawab’ kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN kerana telah dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu.

Perlantikan anggota Exco kerajaan Terengganu bulan lalu disifatkan banyak pihak sebagai tidak mempunyai kualiti dan moral yang rendah.
Ini kerana, kesemua 10 orang Exco tersebut pernah menyertai 12 orang ADUN lain, bergabung membentuk Geng 22 yang memprotes dan menentang perlantikan Dato’ Mad Said Menteri Besar (MB)Terengganu sekarang.

Malah, Geng 22 telah menandatangani surat sokongan dan taat setia kepada bekas Menteri Besar, Idris Jusoh serta mengugut akan memboikot majlis angkat sumpah MB dan akan meletakkan jawatan sebagai ADUN.


Ketua Geng 22 walau bagaimana akan duduk didalam Dewan Negeri sebagai ADUN biasa kerana tidak dilantik semula sebagai anggota Exco.


Walaupun Rosol Wahid dari segi kekananannya (seniority) sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu sepatutnya dilantik, namun kerana sikapnya yang melampau mengetuai Geng 22, namanya tidak dicadangkan.


Namun begitu dua orang Exco lama dikekalkan, Rahin Said dan Awang Tera dikekalkan kerana mereka dilihat oleh pihak MB sebagai ‘orang yang terpaksa’ mengikut ketua Geng 22.


Sementara itu, ADUN PAS telah pun membuat persiapan untuk menghadiri Sidang DUN yang pertama bagi penggal ini.
Diantara mereka YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ADUN Bukit Payung akan melangkah masuk ke Dewan Negeri buat kali pertama. Ketika ditemui minggu lalu, beliau memberitahu Buletin Online segala persiapan berjalan lancer, malah beliau telah pun siap menempah baju rasmi yang wajib dipakai oleh semua ADUN pada hari pembukaan nanti.

Beliau diberi tanggungjawab untuk memastikan portfolio Agama dan Penerangan Negeri Terengganu berjalan mengikut lunas Islam sebenarnya dan akan mempersoalkan setiap tindak tanduk Exco berkenaan sekiranya didapati gagal menjalankan amanah rakyat.


Selain beliau, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar, ADUN Kawasan Ladang, akan kembali ke Wisma Darul Iman setelah dipaksa meninggalkan pusat pentadbiran negeri itu 4 tahun yang lalu kerana dipecat oleh Bekas Menteri Besar Idris Jusoh pada tahun 2004.


Sebagai bekas Pegawai Kewangan Negeri, beliau diberi amanah memastikan hal ehwal pentadbiran, kewangan dan pembangunan ekonomi negeri Terengganu akan berjalan lancar dan benar-benar membawa manfaat kepada seluruh rakyat.

PAS juga memberikan amanah kepada orang lama, Dato’ Ustaz Harun Taib ADUN Manir sebagai Ketua Whip PAS bagi penggal ini, selain akan mencadangkan beliau sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan negeri Terengganu.


Dewan Sidang Undangan Negeri Terengganu yang akan diadakan pada 5, 6, 7, dan 8hb Mei ini dijangka akan ‘panas’ dengan perbahasan yang berkisar kepada persoalan berkaitan kemajuan dan perlaksanaan program-program kerajaan negeri Terengganu pada sesi lalu, memandangkan ianya adalah penggal yang pertama.

Sudah pasti topik-topik hangat berkaitan projek mega seperti Monsoon Cup Pulau Duyong, Masjid Kristal Pulau Wan Man, Pembangunan Muara Sungai Terengganu, Kompleks Sukan dan Menaiktaraf Lapangan Terbang akan memanaskan Sidang DUN kali ini. Projek-projek tersebut sebelum ini telah pun diperkatakan oleh Menteri Besar, Dato’ Mad Said sebagai projek yang tidak membawa manfaat yang banyak kepada rakyat Terengganu.

Idris Jusoh, bekas Menteri Besar yang menjadi ‘partner’ kerajaan Pusat didalam membelanjakan bernilion ringgit duit rakyat dari Dana Khas Kerajaan Persekutuan/Wang Ehsan/ Royalti pasti akan panas punggung walaupun tidak lagi duduk diatas kerusi Menteri Besar.