31 Oktober 2008

‘Hadiah Istimewa’ Menjelang Monsoon Cup - Penduduk Tok Abu Terima Notis Roboh Rumah

Hairan??!! Rumah yang bertanda pangkah menerima notis roboh, rumah yang bertanda anak panah (rumah kerabat JKKK) tidak diberi notis !


Kuala Nerus – Tempias pembangunan ‘rakus’ Pulau Duyong dan Monsoon Cup bakal memberikan ‘hadiah istimewa’ kepada penduduk asal yang tinggal di pesisir sungai Terengganu dalam DUN Seberang Takir.


Dalam keadaan ‘kroni’ yang terbabit bergembira menyambut keputusan kerajaan meneruskan penganjuran sukan tersebut dengan peruntukan RM22.6 juta, tiga keluarga di Kampung Tok Abu Seberang Takir mengalami ‘detik cemas dan perasaan gundah gulana’ kerana rumah mereka akan dirobohkan pada bila-bila masa mulai 22 Oktober lalu.


Pihak Pejabat Tanah Kuala Terengganu telah menghantar notis pada 22 September lalu mengarahkan mereka berpindah dalam tempoh 30 hari dan ‘merombak’ rumah mereka sendiri, sebelum pihak pejabat ‘membawa jentolak’ untuk menyodok dan merobohkannya.


Seorang penduduk yang terlibat, Encik Mokhtar Ali, 56, dari Kampung Seberang Tok Abu mendakwa beliau adalah penduduk asal dan telah tinggal di atas tanah tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.


Katanya, tanah tersebut merupakan peninggalan keluarga serta mengakui tidak pernah membuat permohonan secara rasmi kerana pernah mendapat jaminan dari wakil rakyat Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


“Saya akui kesilapan tidak membuat permohonan rasmi tetapi telah tinggal sejak lebih 20 tahun dan penduduk asal di kampong ini.


“Saya pernah dapat ‘jaminan’ seorang bekas wakil rakyat Umno-BN ketika itu supaya duduk (tinggal) di atas tanah itu tanpa rasa bimbang kerana telah turun-temurun,” jelasnya kepada Buletinonline.


Beliau melahirkan rasa sedih dan dukacita kerana menerima notis dari kerajaan yang dipilihnya pada pilihanraya umum yang lalu.


“Saya rasa terkilan dan sedih dengan penerimaan notis itu dan harap kerajaan buat pertimbangan semula dengan menyediakan tapak baru untuk kami sekeluarga sebagai tempat tinggal baru,” katanya ketika ditemui Buletinonline semalam.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri tidak akan membayar apa-apa pampasan terhadap notis tersebut kerana didakwa menceroboh tanah kerajaan.


Seorang warga emas dan ibu tunggal, Wan Mariam Endut, 62, turut melahirkan rasa sedih, terharu dan marah dengan perintah pejabat agar tanah yang diterokai oleh datuk neneknya, dikosongkan segera
.

“Mak Cik cukup-cukup sedih dan terasa hati bila dapat notis kerajaan supaya kami kosongkan tanah itu yang diduduki sejak lebih 35 tahun lalu.


“tanah ini telah di terokai, diusahakan dan diduduki oleh ibubapa dan datuk nenek Mak Cik sejak Mak Cik dilahirkan lagi,


“Mak Cik pernah buat permohonan tanah itu sejak 10 tahun lalu tetapi kerajaan tidak memberikan jawapan dan tiba-tiba menerima notis roboh,” ujarnya dengan nada sedih dan terharu.


Katanya, kerajaan negeri perlu melihat kewajaran ‘menghalau’ penduduk asal yang tinggal di atas tanah tersebut sejak terun-temurun lagi.


Beliau juga meminta kerajaan berlaku adil, kerana menurutnya hanya tiga buah rumah sahaja disitu yang menerima notis roboh sedangkan dua rumah yang didiami oleh ‘kaum kerabat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung tidak diberi notis.


“Kerajaan kena adil, jangan pilih kasih, mengapa rumah Mak Cik yang kena sedangkan dua rumah lagi ‘adik beradik’ JKKK tidak diberi notis,”katanya sambil jarinya menunjuk kearah dua buah rumah tersebut.


Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Haji Zakaria Dagang meminta kerajaan negeri membuat pertimbangan hak milik kepada tiga orang penduduk asal yang ‘tercicir’.


“Saya minta kerajaan negeri buat perkiraan dan pertimbangan semula untuk beri hak milik kepada tidak orang penghuni yang masing-masing telah terima notis roboh rumah mereka.


“mereka (mangsa) adalah penduduk asal di Kampung Tok Abu ini dan wajar diberi hak milik ke atas tanah yang telah mereka terokai dan usahakan,


“menurut kaedah Islam, mereka berhak diberi hak milik kerana usaha mereka ‘menghidupkan’ tanah tersebut ” ujarnya.


Katanya, tanah ganti dan pampasan perlu diberi jika kerajaan negeri terpaksa mengambil balik tanah-tanah tersebut.


Ketua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK) Terengganu, Fariz Musa isu tersebut perlu ditangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk terbabit.


“Masalahnya, ke mana mereka hendak pergi jika rumah mereka dirobohkan dan kerajaan perlu tangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di Kampung Tok Abu,” tegasnya.


Oleh itu, katanya pihak Pejabat Tanah Daerah perlu menyediakan tapak tanah baru kepada beberapa buah keluarga tersebut yang tidak berjauhan dengan tempat kerja mereka.


Menurut notis (imej bawah) yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu, penduduk terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara yang boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.


Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa pihak Pejabat Tanah Daerah tidak akan mengeluarkan apa-apa amaran lagi dan tindakan roboh boleh dilakukan pada bila-bila masa dari sekarang


Janji ‘Tin Kosong’ Ahmad dan Kerajaan

Setiu – Kata-kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said yang berjanji kerajaan di bawah kepimpinannya telus dan adil hanya ibarat janji ‘tin kosong’ yang kuat bunyinya apabila diketuk, namun isinya meleset


Beratus-ratus rakyat dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, miskin dan dhaif

tidak mendapat pembelaan, dipinggirkan dan tersisih dari senarai penerima bantuan dana khas raya baru-baru ini.


Namun begitu, peruntukkan duit raya sebanyak RM46.594 juta, ditambah lagi RM 1juta habis ‘licin’ diagih-agihkan !


Persoalan kepada siapa wang rakyat hasil royalti minyak itu diberikan, kini terus menjadi perbualan masyarakat.(Gambar - Wan Limah yang rabun dan hanya boleg mengesot)

Tinjauan Buletinonline ke Kampung Buloh Hilir, dekat sini, telah membawa kepada pertemuan dengan beberapa orang warga emas yang dinafikan haknya samasekali.


Nama mereka tidak tersenarai dalam senarai awal dan juga tidak dimasukkan kedalam senarai ‘tercicir’ sebagaimana yang di gembar-gemburkan kerajaan.


Puan Laghiah Abdullah, 59, (gambar bawah kiri) dari Kampung Buloh Hilir telah diserang ‘stroke’ (angin ahmar) sejak tiga tahun lalu.


Beliau mengadu tidak pernah menerima bantuan dana khas raya sejak ia diperkenalkan lapan tahun lalu.


“Saya masa muda pernah memegang jawatan Ketua Wanita Umno tetapi setelah sedar keluar parti itu,” ujar ketika ditemui di rumahnya.


Menurutnya, kerajaan negeri tidak wajar mengamalkan sikap pilih kasih serta menyisihkan golongan miskin yang layak.

Seorang lagi warga emas, Siti Ismail, 85, juga dari Kampung Buloh Hilir telah mengidap sakit tua sejak 10 tahun lalu.


Menurutnya, beliau pernah memohon bantuan tetapi tidak pernah mendapatnya, kerana keluarganya berlainan ‘warna’ dengan pemerintah.


“Mak cik sudah tidak larat kerana sakit dan keuzuran sejak lebih 10 tahun. Biasalah orang tua banyak penyakit.


“Bantuan kerajaan dari dana khas raya tidak pernah dapat sama juga dengan bantuan lain, Mak cik ada minta tetapi tidak pernah dapat lagi,” jelasnya yang tidak dapat bangun dan hanya terlentang kerana mengalami tekanan darah rendah dan pening kepala.


Manakala Wan Limah Hitam, 73, warga emas yang mengidap pelbagai jenis penyakit termasuk sakit tua, kencing manis serta rabun matanya.


Beliau mengalami masalah tersebut sejak 10 tahun lalu dan tidak dapat berjalan seperti biasa kecuali ‘mengesot’ dengan bantuan anak cucunya.


Katanya, bantuan dana khas raya tidak pernah diperolehi sejak diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) beberapa tahun lalu kerana ‘politik’. (Gambar kiri - Siti Ismail tidak dapat bangun)


Wan Limah yang keuzuran itu kini tinggal bersama anak menantunya hanya bekerja sebagai buroh kasar dalam sebuah rumah bersama 12 orang sekeluarga.

Bukan sahaja warga Kampung Buluh Hilir yang tidak dapat pembelaan, malah pada 19 September 2008 lalu, seramai 100 orang penduduk termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kampung Sungai Buaya Dungun kecewa kerana tidak mendapat bantuan Dana Khas Aidilfitri.

Mereka juga mendakwa disisihkan dan dipinggirkan dari menerima bantuan kerana pilih kasih dan pilih bulu

Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).


Selapas ini, Ahmad Said dan wakil-wakil rakyat yang dipimpinnya akan bersuara lagi,

“kerajaan negeri menagihkan bantuan secara telus dan adil” !

UMNO Semakin Tidak Relevan


UMNO Sedang Memburu Kehancuran

Kuala Terengganu -
UMNO sedang memburu kehancuran akibat perpecahan dalaman mereka dan masalah pemilihan kepimpinan yang masih diwajahi oleh politik wang serta rasuah yang tidak dapat diselesaikan.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salehudin Ayob berkata demikian ketika menceritakan apa yang diberitahu kepadanya oleh seorang Menteri UMNO sewaktu beliau dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Hj. Mahfudz Omar mengadakan pertemuan (muqabalah) dengan mereka pada bulan Ramadhan yang lalu.

“Percayalah YB, UMNO parti yang sdang memburu kehancuran, bukan UMNO diburu, tapi UMNO yang ada hari ini memburu kemusnahan dan memburu kehancuran,
“saya tanya dia kenapa? Dia kata kerana UMNO yang ada hari ini tidak pernah belajar mengapa kuasa mereka terhakis pada pilihanraya umum yang lalu,” kata Salehudin

Mengulas perkembangan yang sama, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Terengganu, Wan Shukairi Wan Abdullah berkata walaupun pemimpin parti itu cuba membasmi rasuah, namun tersebut gejala politik wang dalam UMNO semakin berleluasa.

“Kita melihat siapa yang akan memenangi jawatan tertinggi parti UMNO adalah mereka yang paling kaya dan tidak mustahil menggunakan pengaruh wang untuk membeli undi daripada perwakilan,

“Setiap tindakan pemimpin UMNO kini dilihat dalam keadaan bermasalah ekoran perebutan kuasa dan juga perkara melibatkan soal dalaman parti,”kata beliau

Katanya, masalah yang berlaku itu sebenarnya telah lama dan tidak akan selesai sekiranya kepimpinan UMNO tidak telus dengan apa yang telah digariskan oleh kepimpinan Islam terdahulu.

Sehubungan dengan itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata pemimpin-pemin UMNO kini sedang rakus merebut jawatan dalam parti itu dan menggunakan wang untuk membeli undi sebagaimana yang diakui oleh pemimpin mereka sendiri.

“Pemimpin-pemimpin UMNO duk rakus berebut jawatan, nak rebut jawatan kena ada pitih (wang), Rais Yatim kata (tentang politik wang),

“Datuk Zahidi hok (yang) nak bertanding Ketua Pemuda (tarik diri dari bertanding Ketua Pemuda) keluar dalam temubual di televisyen,

“Bila pengacara bertanya mengapa Datuk Zahidi menarik diri, dia (Zahidi) berkata, macamana dia tidak tarik diri, lain-lain yang bertanding semua kocek tebal belaka,

“Dia (Zahidi) sebut, Mukhriz ada ayah dia Mahathir, Khairi ada bapa mertuanya Pak Lah Badawi, Khir Toyo bekas menteri besar, saya tak ada sekepeng (duit), dalam UMNO kalau tak ada duit tak laku,” kata Syed Azman.

Menurutnya semua yang berlaku dalam pemilihan UMNO tepat sebagaimana yang dikatakan oleh Dato’ Rais Yatim.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini menyarankan agar semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara "tender" kerana muak dengan gejala politik wang yang didakwa berlaku semasa pemilihan bahagian-bahagian UMNO.

Respon kepada kenyataan Rais bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Oktober lalu mendakwa berdasarkan perkembangan semasa setiap perwakilan mampu memperoleh sehingga RM20,000 akibat sogokan untuk membeli undi.

Di Terengganu pada 27 Oktober lalu (kelmarin), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dato’ Rosol Wahid mendakwa mesyuarat perwakilan Bahagian Hulu Terengganu yang diadakan pada 26 Oktober lalu tidak telus dan berlakunya gejala politik wang.

Rosol dipetik sebagai berkata, beberapa perwakilan memaklumkan kepadanya ada segelintir perwakilan dibayar antara RM300 hingga RM1,000 untuk memberikan undi kepada calon tertentu bagi memastikan kemenangan individu terbabit.

Negara Mengalami Krisis, Pemimpin UMNO Sibuk Berebut Jawatan


Kuala Terengganu
- Parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat mendapat undi popular lebih dari 51% berbanding undi yang diperolehi oleh UMNO dan Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia pada pilihanraya ke 12 (PRU 12) yang lalu


Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Dr Syed Azman berkata demikian ketika mengulas keputusan PRU 12 pada bulan Mac lalu ketika berucap dalam program HIMPIT 2008 di Cendering, baru-baru ini.

“Kalau kita tengok, peratus undi yang didapati oleh Pakatan Rakyat di semenanjung Malaysia, lebih banyak daripada UMNO dan Barisan Nasional,

“lebih dari 51% undi popular yang didapati oleh Pakatan Rakyat, UMNO tidak sampai 50% undi dan mandat serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat,”ujar Dr Syed Azman,


Beliau berkata rakyat telah membuat keputusan pada PRU 12 yang lalu dengan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memenangi lima buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan menolak majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen.

Oleh yang demikian, katanya, keputusan PRU 12 telah mengubah lanskap politik negara dimana ‘trend’ pengundi bukan lagi memilih parti yang berdasarkan perkauman.


“Suasana lanskap politik negara telah berubah, trend dan cara orang mengundi tidak lagi bersifat perkauman,

“sebab itulah orang Cina boleh undi PAS, India boleh pangkah PAS, orang Melayu boleh pangkah DAP, tak ada masalah,

“Orang India boleh pakai baju PAS tampal poster, pemuda-pemuda Cina boleh pakai T-Shirt PAS,”kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Namun sebaliknya, kata beliau, UMNO tidak dapat menerima hakikat bahawa kekalahahan Barisan Nasional adalah disebabkan oleh parti itu.

Justeru, katanya dalam keadaan negara mengalami krisis ekonomi yang parah, pemimpin UMNO sibuk dengan kempen merebut jawatan dan tidak mempedulikan nasib rakyat.

“Semua pemimpin-pemimpin dunia perah otak memikir bagaimana nak selesai masalah ekonomi negara masing-masing dan masalah ekonomi dunia,

“tapi Pemimpin-pemimpin UMNO perah otak bincang sesama dia (mereka) bagaimanana nak terus berkuasa, bagaimana nak dapat jawatan, bagaimana nak rampas jawatan,”kata beliau

29 Oktober 2008

Masalah Sosial Yang Semakin Parah !

>

Lebih 250,000 anak luar nikah

Kuala Lumpur - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai lalu.

Bernama memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata demikian ketika menjawab soalan R Sivarasa (PKR Subang).(gambar kanan)

Beliau berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299.

“Bagaimanapun mengikut Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.

“Ini bermakna pihak pendaftar boleh membuat siasatan bagi mendapat maklumat yang sahih bagi tujuan pendaftaran ke atas setiap kelahiran,” katanya


Lebih 7 kes Cabul, Rogol - Pemuda UMNO Tolak Bincang Masalah Sosial


Kuala Terengganu - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob berkata, pihaknya telah menghantar beberapa pucuk surat kepada kerajaan dan Pemuda UMNO bagi membincangkan masalah sosial yang kini menjadi isu nasional, namun tidak mendapat sebarang respon.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah sosial yang semakin parah melanda khususnya di negeri ini dimana statistik jenayah menunjukkan Terengganu negeri paling tinggi berlaku kejadian rogol dan zina bawah umur.

Beliau turut mendesak kerajaan supaya satu pelan bertindak lebih komprehensif diwujudkan dalam usaha menyelesaikan masalah sosial yang semakin serius di kalangan remaja di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata dalam keadaan zaman yang telah berubah, semua pihak perlu melihat secara holistik tentang pendekatan-pendekatan yang boleh digunakan terhadap remaja sekarang.

“Program-program perlu dilihat di samping pendekatan baru dan ini semua wajar kita fikirkan bersama. Saya lihat hiburan semata-mata yang dibuat Barisan Nasional (BN) telah menjadikan keadaan seperti ini berlaku.

“Pergaulan bebas, penyebaran bahan-bahan lucah secara tidak terkawal dan ini semua merupakan faktor utama yang harus kita fikir bersama agar masalah sosial remaja dapat diatasi demi masa depan agama, bangsa dan negara kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan HIMPIT 2008.

“Saya harap semua pihak dapat memberi komitmen untuk kita fikirkan perkara ini demi masa depan remaja kita,” katanya

Pada bulan ini sahaja (Oktober) pelbagai kejadian masalah sosial dilaporkan oleh media di negeri Terengganu, termasuk perbuatan lucah, klip video lucah pelajar sekolah, merogol dan cubaan merogol.


Seawal 2 Oktober, sewaktu bulan Ramadhan, seorang adik telah menendang bahagian kemaluan abangnya dan berjaya menyelamatkan maruahnya dari dicabul di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu.

Rakyat Terengganu pada 14 oktober lalu telah dikejutkan dengan tindakan seorang remaja wanita 21 tahun yang telah merendam bayi yang baru dilahirkannya dalam baldi, sebelum mencampakkan bayi tersebut di kawasan masjid ‘Terapung’, Kuala Ibai.

Sebelumnya, pada 10 oktober, seorang remaja wanita yang sedang menonton televisyen di rumahnya terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki telah menceroboh masuk ke dalam rumahnya dan tanpa segan silu terus menunjukkan alat sulitnya ke arah mangsa.

Adegan tidak senonoh itu berlaku ketika remaja berusia 17 tahun itu hanya tinggal seorang diri di rumah keluarganya di Rumah Awam Kos Rendah Tok Randuk, Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 8.30 malam.

Pada 16 Oktober, seorang warga emas berusia 66 tahun telah dicekup Pegawai Agama Daerah Besut, Nik Zulhaiza Ismail selepas dipercayai berasmara termasuk melakukakn ‘seks oral’ dengan seorang remaja wanita berusia 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Keruak, Hulu Besut.

Pada 21 Oktober, media melaporkan Klip video berjudul 'Tayangan Perdana' menggemparkan masyarakat kerana melibatkan seorang pelajar perempuan yang selama ini dianggap berakhlak.


Paling mengejutkan, aksi ghairah itu dirakam oleh seorang remaja lelaki menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah kelas kosong di sekolah itu.

Pada 21 Oktober lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki merogol anak tirinya yang berumur 17 tahun dalam kejadian di Kampung Che Lijah, Dungun, semalam.


Tangkapan dilakukan selepas mangsa mengadu lelaki berumur 36 tahun itu merogolnya dalam semak ketika diajak oleh bapa tirinya untuk menemaninya ke rumah kawan untuk mengambil motosikal yang baru dibeli, Ahad lalu.

Pada 26 Oktober, polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun kerana disyaki merogol seorang pelajar sekolah di sebuah rumah kosong di Ajil, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah 1 negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, tangkapan itu dilakukan selepas mangsa mengadu teman lelakinya dan lapan lagi lelaki yang dikenali merogolnya secara bergilir-gilir di rumah itu.

Mengaku Buang Bayi, Tak Mengaku Bunuh


Kuala Terengganu
- Seorang kerani yang menggemparkan kerana merendam bayi selepas melahirkannya bersendirian kemudian membuangnya di masjid Tengku Tengah Zaharah (terapung) dua minggu lalu, mengaku bersalah membuang bayi tetapi tidak mengaku menyebabkan kematian bayi itu.

Sabariah Yatim, 21, dari Kampung Lubuk Kawah, Jertih, Besut, membuat pengakuan demikian ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bernama melaporkan, Sabariah kelihatan tenang ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Mohammad Khalid kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabariah didakwa mengikut Seksyen 309A, dengan sengaja menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkanya antara kira-kira jam 9 malam pada 10 Okt dan 6.15 pagi 11 Okt bertempat di Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Beliau juga didakwa mengikut pertuduhan pilihan, bahawa beliau secara rahsia membuang bayi itu sama ada mati sebelum atau selepas atau semasa dilahirkan dan dengan sengaja menyembunyikan kelahiran tersebut.

Atas pertuduhan pertama, jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, manakala pertuduhan pilihan, boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pendakwa Raya Amer Abu Bakar manakala Sabariah diwakili oleh peguam Zikri Jusoh.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 19 Jan tahun depan.

Jenayah Rogol Terbaru : Pelajar sekolah dirogol sembilan lelaki

28 Oktober 2008

Isu Pilihanraya Kampus



PAS Hantar Memorandum Isu PRK IPTA

Kuala Terengganu
- PAS akan menyerahkan memorandum berkaitan isu pilihan raya kampus (PRK) yang berlaku di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Parlimen pada minggu hadapan, di parlimen apabila ia memulakan sesinya pada hari Rabu.


Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayob berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2008, di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.


Beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, memorandum tersebut adalah berkaitan proses pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA yang masih ditakuk lama, tidak demokratik dan diwarnai dengan penyelewengan dan salah guna kuasa .


“Minggu depan saya akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi di Parlimen kerana kita (PAS) melihat bahawa tidak banyak perubahan yang berlaku dalam suasana pilihan raya di kampus.


“Walau pun telah nampak beberapa perkara baru yang cuba ditunjukkan iaitu memanggil kami (PAS) dalam forum-forum Universiti tetapi pilihan raya kampus masih lagi berada pada tahap yang lama,” ujarnya.

Bahkan, katanya terdapat para pelajar yang pro-pembangkang menerima ugutan serta dikenakan tindakan disiplin.


“Ugutan-ugutan masih lagi berterusan dengan tindakan disiplin, penggantungan semesta dan pengusiran mereka (pelajar) dari asrama.


“Kampus masih lagi tidak pulih dari segi menyuburkan demokrasi dalam kampus itu sendiri,”kata beliau yang turut melahirkan rasa dukacita dengan peranan Timbalan Naib Canselor dan Naib Cancelor yang seolah-olah menjadi jurucakap UMNO/Barisan Nasional (BN).


“Kita (PAS) amat kesal dengan perkara ini. Kita (PAS) nampak bahawa Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor masih lagi menjadi jurucakap kepada UMNO/Barisan Nasional bagi memastikan kumpulan pro-aspirasi mendapat kemenangan,” ujarnya.


Justeru itu, beliau menegaskan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 wajar dihapuskan bagi mengembalikan kebebasan demokrasi kepada para pelajar dan pensyarahnya.


Menurutnya kewujudan AUKU telah menyekat kebebasan para pelajar dan pensyarah terbabit serta boleh ‘membunuh bunga-bunga harapan’ di negara ini.


“Kerajaan masih lagi tidak melepaskan ‘cengkamannya’ terhadap universiti. Ini yang kita minta supaya AUKU dapat dikembalikan supaya kita dapat lihat kembali kebebasan berlaku di kampus sebagaimana yang kita (PAS) perjuangkan.


“Saya melihat ini suatu proses ‘membunuh’ potensi yang ada dalam diri pelajar-pelajar kita kerana pelajar dilayan seperti budak sekolah, pensyarah-pensyarah dilayan seperti guru sekolah rendah.


“Ini yang mereka (pelajar) terima dan bukan mereka diraikan sebagai ‘bunga-bunga harapan’ di masa akan datang,” jelasnya.


Katanya, AUKU tetap menjadi hambatan terbesar yang mencengkam kebebasan intelektual warga Universiti untuk maju.


Menurutnya, ranking (kedudukan) Universiti terus jatuh dan belum pernah negara ini meraih apa-apa anugerah sejak merdeka.


“Pensyarah tidak diberi kebebasan dalam menimbulkan dunia intelek mereka. Universiti tidak dijadikan satu medan untuk negara memperolehi hadiah-hadiah besar dan tidak pernah lagi kita (Malaysia) capai,” ujarnya.


Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan seluruh jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Klik Untuk
Lihat & Dengar Sidang Akhbar YB Salehuddin


Pemilihan MPP 'Umpama Pilih Pengawas Sekolah Rendah' – Siswa UDM Hantar Memo Bantahan

Kuala Nerus - Kelab-kelab dan Persatuan Mahasiswa Universiti Darul Iman (UDM) telah menyerahkan satu memorandum kepada pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) berikutan rasa tidak puasa hati terhadap Pilihanraya Kampus (PRK) di Universiti berkenaan.


Memorandum tersebut dibuat berikutan kegagalan HEPA mengadakan satu pilihanraya yang telus dan adil, dan pemilihan pemimpin mahasiswa sebuah 'menara gading' itu, disifatkan ‘umpama memilih pengawas di sekolah rendah’.

Menurut sumber Buletinonline, PRK UDM sepatutnya diadakan pada 16 Oktober lalu, namun tiada PRK pada tarikh tersebut apabila pihak HEPA mengisytiharkan kemenangan ‘percuma’ kepada 22 calon pro-aspirasi.


”Malangnya tiada PRK diadakan pada 16 Oktober untuk kesemua 22 kerusi kerana pihak HEPA isytiharkan ia sudah dimenangi tanpa bertanding,


”kesemua 22 orang yang diisytiharkan menang dan kini menjadi MPP adalah pelajar yang menyokong pro-aspirasi”ujar beliau.

Justeru ramai mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, beberapa kelab dan persatuan telah meminta pihak HEPA mengadakan dialog bersama persatuan dan kelab-kelab.

Dalam sesi dialog yang diadakan pada 15 Oktober lalu, wakil-wakil pemimpin mahasiswa telah mempersoalkan beberapa tindakan yang seolah-olah sengaja dilakukan HEPA, supaya tidak ada pertandingan yang berlaku.

Dekan HEPA Nordin bin Jusoh mendakwa hanya 22 orang calon yang mengambil borang dan pada hari penamaan calon dan hanya 22 orang calon yang menghantar borang pencalonan mereka.

Oleh yang demikian menurutnya, dengan hanya 22 calon yang menghantar borang, tiada pertandingan diadakan dan mereka diisytiharkan sebagai pemenang.

Namun demikian, dakwaan tersebut telah dibantah oleh Mantan YDP MPP UDM 07/08, Sabir Abdul Ghani yang mendakwa pihak HEPA tidak menyebarkan notis PRK secara menyuluruh.

Beliau juga mendakwa pihak HEPA sengaja menyembunyikan maklumat pertukaran tempat penamaan calon dimana notis pertukaran tersebut hanya diselit di cermin papan kenyataan tanpa disebar luaskan.

Pemimpin mahasiswa UDM yang hadir dalam dialog tersebut turut mempersoalkan kredibiliti MPP yang dianggap mereka sebagai ‘anak didik’ HEPA.

Mantan Exco MPP UDM 06/07 Abdul Rasyid berkata mahasiswa tidak dapat mengukur kelayakan MPP yang dipilih kerana tidak ada pertandingan yang berlaku.

Menurutnya, sekiranya pemilihan MPP dibuat melalui kempen pilihanraya, mahasiswa dapat menilai sejauh mana layaknya seseorang itu untuk menjadi pemimpin pelajar.

Dalam persoalan yang sama, wakil Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) Sakinatul Raudhah berkata beberapa MPP yang dipilih HEPA tidak mempunyai kredibiliti langsung sebagai seorang pemimpin pelajar.


Menurutnya, beliau amat mengenali secara dekat beberapa orang dari mereka.

“Mereka memilih kroni-kroni dan orang yang rapat dengan mereka untuk menjadi MPP” tambahnya



KPT Jangan politikkan kampus, Tumpu Usaha Tingkat Prestasi Universiti


Kuala Terengganu – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa tidak campurtangan dalam politik kampus kerana ia akan menimbulkan keresahan masyarakat terhadap prestasi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kualiti graduan yang dihasilkan.


Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik mempersoalkan apakah rasionalnya KPT campurtangan dalam politik kampus dan mengarahkan supaya pilihanraya kampus bagi IPTA di Lembah Kelang ditunda?

”Apakah kewajarannya? Mengapakah KPT terlibat dengan politik kampus? Apakah sebenarnya peranan KPT?”

”sepatutnya tumpukan usaha tingkatkan prestasi universiti, pastikan ada universiti Malaysia dalam 100 univeristi terbaik,”katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tindakan pihak KPT mengarahkan supaya pilihanraya kampus (PRK) bagi IPTA di Lembah Klang ditunda kepada Januari depan.

Menurutnya, cukuplah dengan keadaan sekarang, universiti telah pun menjadi ‘rosak’ kerana permainan politik UMNO dan Barisan Nasional.

”Orang sudah kenal siapa puteri umno dan pemuda yang menjadi dalang, merosakkan halatuju pendidikan tinggi, mereka masuk kedalam kampus dan berkempen,

”akhirnya mahasiswa tidak mempunyai idealisme sendiri, jadi kaku, takut dan menjadi graduan yang tidak berkualiti,”ujar beliau.

Justeru itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, campurtangan berterusan UMNO dan Barisan Nasional terhadap pentadbiran universiti jelas membawa kesan yang buruk kerana menurut laporan ‘ranking’ universiti yang dikeluarkan baru-baru ini.

”Semua universiti samada yang yang dianggap terbaik atau yang di anggap terpilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) masih berada di tahap dibawah tangga ke 200,

”Universiti Malaya (ditangga) 230, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berada ke 250, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) yang terpilih sebagai universiti Apex, jatuh kedudukannya dari tangga ke 307 dari ke 313 tahun lalu,”jelas beliau.

Menurut objektif yang dipaparkan dalam laman rasmi KPT, kementerian tersebut meletakkan sasaran akan memastikan supaya sekurang-kurangnya tiga (3) universiti negara disenaraikan sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia dan salah sebuah universiti berkenaan disenaraikan di kalangan 50 universiti terbaik dunia, menjelang tahun 2020.

Hanya ‘Gred D’ untuk Pilihanraya Kampus UMT.

Kuala Nerus - ''Strategi makan diri'', itulah ringkasnya yang boleh disimpulkan untuk Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung pada hari Khamis, 16 Oktober lalu.

Dengan jumlah pelajar yang keluar mengundi tidak sampai 40% menunjukkan bahawa Hal Ehwal Pelajar (HEPA) gagal mendapat sokongan pelajar untuk keluar membuang undi.

PRK UMT sebenarnya adalah satu PRK yang gagal.

Walaupun siswa-siswi ‘diugut’ dengan pelbagai ugutan dan diancam dengan ancaman yang menggugat kedudukan mereka sebagai siswa-siswi, namun ‘tsunami politik’ turut berlaku pada PRK UMT.

Bantahan suara majoriti siswa UMT tidak ditunjukkan diatas kertas undi, namun dengan cara mereka memboikot PRK, dan tidak keluar untuk membuang undi.

HEPA hanya dapat ‘Gred D’. Itulah paling tinggi penilaian yang boleh kita berikan kepada pengurusan HEPA dan anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diisytiharkan menang dalam PRK UMT.

HEPA dapat markah 40%, begitu juga MPP yang menang, hanyalah MPP yang hanya melepasi markah ‘LULUS’ sahaja.

Malah di sesetengah universiti lain di Malaysia umpamanya Universiti Malaya (UM), seseorang pelajar wajib mengulang subjek yang diambil, sekiranya ia mendapat gred D, kerana ia dianggap ‘GAGAL’.

Itulah realiti ‘akademik’ yang perlu diterima umum hasil dari PRK UMT yang dilaksanakan oleh pengurusan HEPA yang penuh kontroversi dan konspirasi.


Empat puluh peratus yang keluar mengundi bermakna anggota MPP yang terpilih bukanlah MPP yang popular tetapi mereka adalah MPP minoriti kerana mereka tidak dipilih oleh majoriti suara siswa-siswi UMT.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu turun ke bawah melakukan penyiasatan serta ‘bedah siasat’, sekiranya KPT benar-benar telus dan bertanggungjawab mahu melihat sasaran prestasi universiti Malaysia akan mencapai objektif yang digariskan menjelasng 2020.

Kegagalan KPT mengenalpasti punca-punca kelemahan HEPA dan menyelesaikannya mengikut ukuran pengurusan universiti taraf dunia, merupakan isyarat awal kepada kegagalan kerajaan dalam melahirkan ‘modal insan’ hasil produk universiti yang bertaraf universal serta kualiti graduan universiti tempatan tidak akan kemana.

Sampai bilakah siswa-siswi UMT akan diwakili oleh pemimpin yang hanya gred D? Adakah tiada calon yang lebih baik sekurang-kurangnya gred C+ dan pentadbir HEPA yang lebih profesional?

Selagi HEPA bertindak bukan sebagai badan yang membimbing pelajar menghargai sebuah demokrasi yang memberikan kebebasan sebenarnya kepada siswa-siswi untuk menentukan halatuju PRK mereka sendiri, selagi itulah siswa-siswi hanya akan diwakili oleh kepimpinan kampus bertaraf ‘Gred D’

HEPA UMT bukan sahaja campurtangan dalam soal-soal teknikal PRK, tetapi HEPA sudah lama menggerakkan satu konspirasi yang berstrategi melakukan ‘pengklonan’ dan mencipta MPP ‘robotik’, yang bakal menuruti segala arahan HEPA tanpa sebarang bantahan.


Tindakan HEPA tidak memberikan kebebasan kepada mahasiswa itulah yang menyebabkan bantahan senyap yang berlaku (silent protest) samada timbul kerana tidak puas hati dengan tindakan HEPA yang menekan pelajar atau sudah bosan dengan HEPA yang ‘turut berpolitik’ dalam PRK.

HEPA dan anggota MPP yang terpilih mungkin sedang meraikan kemenangan mereka.

Mungkin berbangga dan merasa cukup berjaya kerana segala strategi dan konspirasi yang mereka rancang telah berjaya menyekat ‘aspirasi pelajar’ sekaligus melahir ‘pelajar pro-aspirasi’ HEPA.

Namun mereka mengkhianati Negara dengan melahirkan bakal-bakal graduan dan pemimpin masa depan yang terkonkong dan tidak dapat menyatakan kebebasan dalam membuat keputusan mereka.
Mereka akan menjadi Modal Insan yang hanya memperolehi Gred D!

PRK UMT : Hanya Sandiwara HEPA



Terus terang penulis nak kata bahawa Pilihanraya Kampus (PRK) UMT tiada demokrasi seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Apa yang berlaku sekarang ini hanyalah lakonan yang dilakukan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT untuk memperbodohkan mahasiswa.

Macam-macam cerita yang dilakonkan antaranya menubuhkan dua dua blok pelajar yang memasuki pilihanraya walaupun pelajar tidak dibenarkan mewakili mana-mana parti atau persatuan. Pertama blok MPP. Blok ini adalah pelapis bagi MPP yang mana mereka adalah anak didik MPP menerusi JKPP.

Blok kedua ialah AKASIA. AKASIA ialah persatuan anak seni yang memperjuangkan seni dan budaya di UMT. Kelab ini adalah kelab HEPA, sama dengan MPP dan juga JKPP.

Tujuan AKASIA memasuki PRK adalah untuk melawan MPP sebagai pembangkang untuk menampakkan ada demokrasi di UMT. Hanya pelajar yang buta politik yang percaya dengan lakonan tersebut. Rata-rata pelajar sudah tahu bahawa AKASIA juga adalah anak didik HEPA.

Apa buktinya AKASIA adalah sama dengan MPP dan JKPP? Buktinya ialah sumber kewangan AKASIA dan adalah daripada sumber yang sama iaitu daripada HEPA. Dari mana mereka (calon) dapat duit untuk beli borang RM 200, nak bantah masa penamaam calon dan seumpamanya lagi?

Demokrasi Lumpuh

Segala lakonan yang dilakukan tidak dapat menutup bahawa demokrasi di UMT dilumpuhkan. Pada awal-awal lagi HEPA tidak bagi mahasiswa masuk bertanding, hanya anak didik mereka sahaja yang boleh masuk. Segala maklumat mengenai PRK tidak dihebahkan seperti tarikh pembubaran MPP, tarikh keluar borang calon, harga borang, tempat borang dikeluarkan,tarikh penamaan calon, tarikh mengundi dan banyak lagi. Pengumuman hanya dibuat pada saat akhir yang mana mahasiswa tidak sempat nak buat persediaan.

Harga borang yang mahal- RM 200 seolah-olah tak nak bagi mahasiswa beli borang tersebut. Dengan jumlah tersebut pelajar tidak mampu untuk menyediakannya kecualilah ada pihak yang nak memberi sumbangan. Itu tidak termasuk kos-kos yang lain seperti poster dan kos sampingan yang lain.

Segala fakta tersebut sudah cukup untuk menyatakan bahawa PRK UMT tidak demokrasi. Adakah cara begini HEPA nak melatih perintis pemimpin negara yang akan meneajui negara. Adakah mereka rasa calon-calon MPP yang mereka kemukakan ini mampu untuk memimpin mahasiswa dan mengembalikan maruah mahasiswa?

Kalaulah beginilah suasananya sekarang, tak payah buat PRK. Buat lantikan sahaja macam lantikan pengawas di sekolah, lepas tu panggil ketua balai polis Gong Badak untuk perasmian majlis. Sudah!, tak payah susah-susah buat PRK, habis duit dan tenaga sahaja.

Penulis sebagai mahasiswa menaruh harapan yang tinggi kepada pentadbiran universiti supaya melakukan pembaikan untuk memastikan survival mahasiswa di masa akan datang.

27 Oktober 2008

HIMPIT 2008 – Lebih 1500 Pemuda Berkampung di Pantai Pandak


Kuala Terengganu – Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 yang bermula semalam, mencatat sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 1500 orang pemuda dari seluruh negeri, dan berkampung selama dua hari di Pantai Pandak, Chendering dekat sini.


”Sehingga petang semalam, peserta yang mendaftarkan diri seramai 1500, jumlah tersebut meningkat dari pada HIMPIT 2007 tahun lalu,
”kawasan yang paling ramai adalah Marang dan Kuala Terengganu,”kata Pengarah HIMPIT 2008, Ustaz Ahmad Kamal Ali YANG ditemui selepas beliau melepaskan para peserta Larian HIMPIT 2008, pagi ini.

Beliau berkata kehadiran para peserta yang begitu ramai adalah diluar jangkaan kerana pihak Jawatankuasa Induk HIMPIT 2008 mensasarkan hanya 1000 orang yang akan hadir.

Selain itu, menurut beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, para pemuda yang datang pada tahun ini juga agak berlainan dari segi kelas umur mereka.

”Sebelum ini, HIMPIT pada tahun-tahun yang lalu, ramai disertai oleh pemuda-pemuda yang masih dalam persekolahan atau pengajian, kali ini agak berbeza, mereka yang datang terkeluar dari kategori itu,”ujarnya.

Mengulas perkara yang sama,
Penasihat HIMPIT 2008 Ariffin Deraman berkata komitmen, kesedaran serta keprihatinan pemuda di kawasan-kawasan adalah faktor utama menyebabkan penyertaan HIMPIT 2008 adalah paling ramai dalam sejarah.

”Mereka hadir atas kesedaran dan komitmen yang tinggi untuk melatih diri dan tarbiyah serta menyertai acara-acara yang diadakan sepanjang dua hari ini,”kata beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu.

”Beberapa tindakan susulan akan diambil terutamanya menumpukan program-program berbentuk ‘desentralisasi’ yang akan memusatkan program-program di peringkat DUN dan cawangan,”katanya apabila ditanya apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh Pemuda PAS Negeri selepas ini.

HIMPIT adalah acara kemuncak tahunan bagi pemuda-pemuda yang menjadi ahli dan penyokong PAS di negeri Terengganu.

Program perkhemahan selama dua hari itu menumpukan aspek latihan jasmani dan rohani bagi memantapkan tenaga pemuda di cawangan-cawangan.

Disamping acara sukan dan rekreasi seperti Explorace, Larian HIMPIT, Sepak Takraw, Bolaspeak Pantai dan Sukan Rakyat, para peserta akan diisi dengan keperluan rohani seperti sesi motivasi, kuliah, tazkirah dan ceramah.



Program bercorak Islam UMNO Tidak Ada Roh ‘Halawatul Iman’ – Ustaz Abu Bakar Chik



Kuala Terengganu - Walaupun banyak program-program bercorak Islam yang dilaksanakan oleh UMNO, namun roh ‘Halawatul Iman’ (kemanisan iman) tidak ada dalam program-program tersebut.

Ia adalah kerana intipati Islam tidak ada dalam ‘induk’ parti UMNO yang sekular dan perjuangan UMNO diasaskan melalui perjuangan perkauman yang sempit.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Hj Abu Bakar Chik ketika menyampaikan ucapannya dalam majlis Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 di pantai Pandak, Cendering dekat sini, kelmarin.


Beliau berkata PAS akan terus melaksanakan usaha untuk menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan dalam masyarakat melalui kerja-kerja secara berjamaah dan ‘muwajahah salmiyah’.

Menurutnya muwajahah salmiyah adalah perjuangan aman dan perjuangan secara damai mendidik keluarga dan masyarakat menurut kehendak Islam.

”Nak buat kerja menghapuskan kezaliman, nak tegakkan keadilan dalam msyarakat kita, kaedah kerja kita adalah kaedah kerja berjamaah ataupun yang dipanggil sebagai ‘muwajahah salmiyah, perjuangan secara aman, perjuangan secara damai,

”kita didik anak isteri kita dengan Islam, muda-mudi jangan ikut pakaian bintang filem, penyanyi penari, ibu-ibu bapa-bapa pun ikut cara Islam,

”lagu mana akhlak Islam, lagu amalan hidup Islam, lagu mana cita-cita Islam, maka kita didik semua sekali,”kata beliau

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata Islam menuntut umatnya menunjukkan kasih sayang diantara satu sama lain.

Oleh itu, katanya, kerana perasaan kasih sayang itu, ahli-ahli dan penyokong PAS wajib mengajak saudara-saudaranya termasuk ‘orang UMNO’ untuk kembali kepada Islam yang sebenar dan bersama-sama perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.


”Kita kasih, kita sayang kepada diri kita, takut jasad dan roh kita dibakar api neraka, maka kerana kasih kita ini, kita kena menyampaikan kepada bangsa kita orang Melayu, supaya (mereka) terima Parti Islam (PAS),

”kita kena kasih kepada Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya, kita kena kasih kepada saudara kita kerana Allah, maknanya kerana Allah kita nak ajak dia (orang UMNO) bersama-sama menegakkan agama Allah,”ujarnya.

Menurutnya, PAS mahu menegakkan bangsa Islam dan berjuang mengekalkan kemenangan Islam seperti pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu yang berjuang menentang penjajahan.

Namun demikian katanya, perjuangan mendaulatkan martabat bangsa Melayu Islam, bukan bermakna PAS tidak mengambil kira bangsa-bangsa dan ugama-ugama lain yang ada dalam negara ini.

”kita kata kita nak menegakkan bangsa kita bangsa Islam, kita sekarang nak mendaulatkan martabat bangsa kita sebagai bangsa Melayu Islam,

“kita mengatakan begitu bukan makna kita tidak ambil kira orang lain, bukan makna kita tak ambil kira orang India, tak ambil kira orang Hindu,

”bahkan kita di dalam negara ini bermasyarakat majmuk, kita mengambil kira kedudukan orang lain, kerana RasuluLlah SAW menegakkan masyarakat Madinah sebagai masyarakat ‘plural’ atau masyarakat majmuk,”tambah beliau.

Lebih 3000 Hadir Rumah Terbuka PAS Terengganu.


Kuala Terengganu – Walaupun sudah 23hb Syawal, namun Majlis Rumah Terbuka PAS Terengganu yang diadakan diperkarangan Pejabat PAS, Taman Seri Intan dekat sini, disambut meriah Kelmarin.

Majlis yang bermula jam 12.00 tengahari dan berakhir pada jam 3 petang menyaksikan, lebih 3000 pengunjung dari pelbagai latar belakang bangsa dan ugama hadir meraikannya .

Sambutan pada tahun ini lebih besar dengan pelbagai juadah yang disediakan mengikut kawasan masing-masing dari Kemaman hingga ke Besut.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan semua Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dewan Ulama’, Pemuda dan Muslimat hadir meraikan majlis tersebut.

Kawalan keselamatan parkir serta tunjuk arah lancar dengan khidmat beberapa orang sukarelawan dari Unit Amal Terengganu.

Dato’ Mustafa dalam ucapan ringkasnya mengalu-alukan kehadiran para tetamu serta orang ramai ke majlis rumah terbuka PAS Terengganu yang diadakan setiap tahun.

“Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu merakamkan ucapan selamat hari raya aidilfitri dan maaf zahir batin.

“Pada hari dan bulan yang mulia ini adalah lebih baik kita saling bermaaf-maafan jika berlaku kesilapan,” ujarnya kepada para hadirin.

Bendahari PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut turut merakamkan ucapan salam aidilfitri serta mengharapkan suasana muhibbah dapat diteruskan.

Katanya, PAS bersama masyarakat dan majlis rumah terbuka tersebut menggambarkan hubungan PAS dengan rakyat terjalin.

“Saya ucap terima kasih kepada para hadirin ke majlis rumah terbuka PAS Terengganu dengan semangat muhibbah.

“Kita (PAS) bersama masyarakat dan perjuangan PAS kini untuk semua orang,” ujarnya dalam ucapan ringkas tersebut.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani mengingatkan umat Islam terutama pemuda-pemuda agar terus bersama dengan perjuangan PAS.

Katanya, Pemuda PAS Terengganu tetap akan meneruskan usaha mendekati masyarakat terutama golongan muda yang terbiar.

“Pada hari raya ini Pemuda PAS Terengganu bertekad akan terus mendokong perjuangan parti dan sasaran kita selepas ini golongan muda.

“Golongan belia remaja kini semakin ‘liar’ dan Pemuda PAS kena ambil tanggungjawab mendekati mereka,” tegasnya.

Kemeriahan majlis serta keceriaan yang terpancar dari wajah muslimin dan muslimat yang hadir mengambil kesempatan untuk bertemu muka, bersalam-salaman dan bermaf-maafan diantara kepimpinan PAS negeri Terengganu dengan penyokong, pendokong dan seluruh rakyat.




PAS Hantar Memorandum Isu PRK IPTA

Kuala Terengganu - PAS akan menyerahkan memorandum berkaitan isu pilihan raya kampus (PRK) di Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Parlimen pada minggu hadapan.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayob berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2008, di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, memorandum tersebut adalah berkaitan proses pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA yang masih ditakuk lama, tidak demokratik dan diwarnai dengan penyelewengan dan salah guna kuasa .

“Minggu depan saya akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi di Parlimen kerana kita (PAS) melihat bahawa tidak banyak perubahan yang berlaku dalam suasana pilihan raya di kampus.

“Walau pun telah nampak beberapa perkara baru yang cuba ditunjukkan iaitu memanggil kami (PAS) dalam forum-forum Universiti tetapi pilihan raya kampus masih lagi berada pada tahap yang lama,” ujarnya.
Bahkan, katanya terdapat para pelajar yang pro-pembangkang menerima ugutan serta dikenakan tindakan disiplin.

“Ugutan-ugutan masih lagi berterusan dengan tindakan disiplin, penggantungan semesta dan pengusiran mereka (pelajar) dari asrama.

“Kampus masih lagi tidak pulih dari segi menyuburkan demokrasi dalam kampus itu sendiri,”kata beliau yang turut melahirkan rasa dukacita dengan peranan Timbalan Naib Canselor dan Naib Cancelor yang seolah-olah menjadi jurucakap UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Kita (PAS) amat kesal dengan perkara ini. Kita (PAS) nampak bahawa Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor masih lagi menjadi jurucakap kepada UMNO/Barisan Nasional bagi memastikan kumpulan pro-aspirasi mendapat kemenangan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menegaskan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 wajar dihapuskan bagi mengembalikan kebebasan demokrasi kepada para pelajar dan pensyarahnya.

Menurutnya kewujudan AUKU telah menyekat kebebasan para pelajar dan pensyarah terbabit serta boleh ‘membunuh bunga-bunga harapan’ di negara ini.

“Kerajaan masih lagi tidak melepaskan ‘cengkamannya’ terhadap universiti. Ini yang kita minta supaya AUKU dapat dikembalikan supaya kita dapat lihat kembali kebebasan berlaku di kampus sebagaimana yang kita (PAS) perjuangkan.

“Saya melihat ini suatu proses ‘membunuh’ potensi yang ada dalam diri pelajar-pelajar kita kerana pelajar dilayan seperti budak sekolah, pensyarah-pensyarah dilayan seperti guru sekolah rendah.

“Ini yang mereka (pelajar) terima dan bukan mereka diraikan sebagai ‘bunga-bunga harapan’ di masa akan datang,” jelasnya.

Katanya, AUKU tetap menjadi hambatan terbesar yang mencengkam kebebasan intelektual warga Universiti untuk maju.

Menurutnya, ranking (kedudukan) Universiti terus jatuh dan belum pernah negara ini meraih apa-apa anugerah sejak merdeka.

“Pensyarah tidak diberi kebebasan dalam menimbulkan dunia intelek mereka. Universiti tidak dijadikan satu medan untuk negara memperolehi hadiah-hadiah besar dan tidak pernah lagi kita (Malaysia) capai,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan seluruh jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.