20 Ogos 2008

Muktamar PAS Ke 54 Bermula

Ipoh – Muktamar Tahunan PAS Kali 54 mencatat sejarah apabila ia diadakan di Stadium Indera Mulia, dekat sini.

Perkarangan stadium tersebut telah mula dibanjiri oleh ahli dan penyokong PAS sejak 13 Ogos lalu apabila Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengadakan Muktamar DPPP Kali ke 49, di tempat yang sama.

Muktamar DPP Pusat telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Pagi ini, 15 Ogos, sekitar jam 8.30 pagi, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiba dan disambut oleh seluruh pimpinan PAS Pusat di hadapan Stadium
Setengah jam kemudian, disusuli dengan ketibaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Presiden PAS yang telah sampai menyambut kedatangan Mursyidul Am dengan penuh kemesraan dan adab dua pemimpin tertinggi sebuah parti Islam yang terbesar di dunia.

Sejurus kemudian, Tuan Guru Nik Aziz diiringi masuk kedalam Stadium untuk acara perasmian muktamar.

Manakala Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menerima tabik hormat dan memeriksa saf unit amal.

Kemudian beliau diiringi masuk ke stadium untuk membuka Muktamar PAS secara rasmi.
Turut hadir pimpinan PAS Terengganu yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat adalah

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali, Timbalan-timlaban Pesuruh Jaya Dato’ Wan Abd Mutalib Embong dan Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik

Sidang DUN Kali Ke 2 Penggal Ke 12

Setiap Ringgit Wang Rakyat Yang Dibelanjakan Akan Disoal

KTerengganu - PAS akan terus mempersoalkan setiap ringgit wang rakyat yang dibelanjakan bagi mamastikan ia membawa pulangan dan membawa manfaat kepada kerajaan dan rakyat negeri Terengganu.


“Bukan soal waktu (Dato’ Seri) Idris Jusoh atau waktu (Dato’) Ahmad Said, kita (PAS) daripada dulu kita pertikaikan setiap projek kerajaan yang dibuat, yang dilaksanakan,

“kita tanya apa keuntungan, apa manfaat kepada rakyat dan negeri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Hj. Mohd Abdul Wahid Endut, disini semalam.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berkaitan isu projek penganjuran sukan perahu layar Piala Monsun dan Taman Tamadun Islam (TTI) yang sedang hangat diperkatakan kembali kebelakangan ini.


Menurut beliau pada setiap kali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung, dari dulu sampai sekarang PAS konsisten dalam membangkitkan isu-isu yang berkait dengan kepentingan rakyat.

”Untuk maklumat, sebagai contoh projek Taman Tamadun Islam, dulu dikendalikan oleh sebuah syarikat, sekarang dah serah kepada SEDC (PERMINT),

“bila dah tak larat serah kepada SEDC, untuk menanggung bebanan, untuk menanggung kos penyelenggaraan, gaji pekerja semua sekali, terpaksa diambil alih oleh SEDC, ini yang menjadi masalah,”kata beliau lagi.


Abdul Wahid yang juga Bendahari PAS Terengganu berkata, beliau akan mengemukakan beberapa perkara yang menjadi dipersoalkan oleh rakyat dalam Sidang DUN kali ke 2 Penggal Ke 12, yang akan bermula hari ini (13 Julai).


Antaranya kata beliau, apa asasnya kerajaan hendak membantu sebuah syarikat yang rugi untuk menganjurkan acara yang langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat?


Perkara tersebut adalah berkaitan syarikat T-Best Sdn Bhd, yang mana menurut beliau adalah sebuah syarikat RM 2 sahaja.


“Sebuah syarikat yang diambil alih dan ditukar nama menjadi T-Best Sdn Bhd, yang menjadi pengurus acara kepada program tahunan ‘Monsoon Cup’ ini, boleh diberikan peruntukan RM 4 juta setiap tahun oleh kerajaan negeri, dengan perjanjian selama 8 tahun,

“Dah tiga kali buat (Piala Monsun) tidak memberi apa-apa manfaat (kepada rakyat),”kata beliau.


Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sebelum ini telah mendedahkan bahawa T-Best mengalami kerugian dan T-Best telah meminta peruntukan tambahan belasan juta ringgit untuk meneruskan program tersebut tahun ini.

Ahmad menyatakan perkara tersebut dalam satu majlis ramah mesra bersama media Terengganu yang diadakan disebuah hotel disini, malam kelmarin.

Menurut Ahmad, Piala Monsun Edisi Ketiga tahun ini (2008) mungkin tidak diadakan kerana tiada rundingan baru diadakan antara T-Best Events dengan kerajaan negeri.

“Dalam taklimat yang diberikan T-Best Events kira-kira dua bulan lalu, kerajaan negeri dimaklumkan syarikat itu memerlukan suntikan dana berbelas juta ringgit kerana mengalami kerugian, namun sehingga kini tiada rundingan lanjut diadakan, senyap sahaja.

“Kalau tidak ada, tak adalah. Kita akan teruskan dengan acara sukan rakyat seperti perahu panjang yang telah dirancang untuk diadakan semasa Piala Monsun sebelum ini,'' kata Ahmad sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar perdana.


Mengulas dalam perkara yang sama, Abdul Wahid berkata, PAS telah meminta daripada awal supaya kerajaan membuat kajian terhadap Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun supaya jangan kerugian dan rakyat beroleh manfaat dari penganjuran sukan tersebut.


“Kita tidak membuat tuduhan, itu yang kita minta BPR siasat, cuma yang kita pasti perbelanjaan RM 4 juta setahun, kita pertikaikan setiap kali sidang DUN, apa manfaat yang rakyat dapat,
”masa kerajaan bekas Menteri Besar (Dato’ Seri ) Idris Jusoh, dia mempertahankan, dengan Exco sekali Dato’ Wan Hisham, bekas Ahli Yang Berhormat Ladang mempertahankan,

“bahawa Monsoon Cup ini memberi keuntungan kepada rakyat, boleh memperkenalkan Terengganu kepada dunia, (mempertahankan) dengan alasan-alasan itu,”kata beliau.
”tapi kita bercakap soal ringgit dan sen, soal duit rakyat yang dibelanjakan,

“selama ni dikatakan boleh mendatangkan pendapatan tambahan, tapi sekarang ni sudah terbongkar, syarikat pun rugi, rakyat pun bersungut,”kata Wahid.

Beliau berharap pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) dapat menyiasat perkara ini secara telus dan kemukakan kepada kerajaan untuk diambil tindakan sewajarnya, supaya ia tidak berterusan merugikan duit rakyat dan kerajaan.


Patrick Lim, Wan Hisham Dalam T-Best – Bukan Anak Syarikat Kerajaan?


Menteri Besar Dato’ Ahmad Said mengesahkan bahawa T-Best Sdn Bhd, syarikat yang diberikan hak penganjuran sukan perahu layar Piala Monsun adalah bukan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu.

“T-Best, dulu Dato’ Patrick dan Wan Hisham salah seorang,” kata Ahmad apabila ditanya wartawan siapakah pengarah kepada syarikat tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak berhak menukar individu yang menjadi Lembaga Pengarah syarikat itu kerana ia bukanlah anak syarikat kerajaan.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke 2 Penggal Ke 12, di Wisma Darul Iman semalam.
Buletin Online difahamkan, beberapa hari lalu, Dato’ Wan Hisham dilaporkan telah mengumumkan bahawa T-Best Sdn Bhd mengalami kerugian sebanyak RM 11 juta setiap tahun dalam menganjurkan sukan bertaraf ‘antarabangsa’ tersebut.

Justeru, Wan Hisham dikatakan meminta kerajaan negeri menambah peruntukan belasan juta ringgit lagi bagi membolehkan Piala Monsun Edisi Ketiga tahun ini diadakan.

Pada 10 Ogos lalu, Ahmad berkata kejohanan yang sebelum ini dianggap ‘berprestij’ itu mungkin tidak diadakan pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Ahmad mengatakan beliau tidak tahu menahu berkaitan pengurusan syarikat tersebut.
”Saya tak tahu, ‘no comment’ mengenai apa kerugiannya apa sebagainya saya tak tahu, tidak dimaklumkan secara rasmi kepada kita (kerajaan negeri),

“so, saya tak boleh kata apa-apalah, sebab dia yang menganjur bukan kita yang menganjur,”kata Ahmad menafikan bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih pengurusan Piala Monsun tetapi hanya akan menganjurkan acara-acara tambahan sekiranya T-Best menganjurkannya pada tahun ini.

Beliau juga menolak untuk bersama-sama dengan T-Best menganjurkan acara-acara yang dicadangkan kerajaan negeri, tetapi akan menganjurkan secara bersendirian.

“Kalau dia (T-Best) uruskan kita nak masuk ‘in-between’ tu, acara-acara yang kita nak buatkan supaya penglibatan orang tempatan,

“No, no, dia yang menguruskan (piala Monsun) bukan kita, so kita kata kita nak ambil acara bersama semasa ‘Monsoon Cup’ itu kita ada aktiviti-aktiviti tambahan yang kita nak buat,

“bukan dengan T-Best (acara tambahan) kita sendirilah,”ujar Ahmad.

Ahmad menegaskan sehingga kini T-Best belum mengadakan sebarang perundingan dengan kerajaan negeri dalam menentukan samada kejohanan tersebut akan diadakan atau pun sebaliknya.

Beliau menolak ura-ura yang mengatakan bahawa T-Best telah diambil alih oleh kerajaan negeri dan dengan keras menafikan anggapan orang ramai selama ini bahawa T-Best Sdn Bhd adalah anak syarikat.
”Dianggap, itu tak bolehlah, dianggap…. dia (T-Best) bukan anak syarikat kerajaan negeri..bukan,” tegas Ahmad.

Berita dan Artikel Berkaitan :
Monsoon Cup dan T-Best
Misteri RM 3 Bilion Semakin Menarik
T-Best Bukan Milik Terengganu


Sidang DUN Hari Pertama, Wakil PAS Tidak Puas Hati

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS tidak berpuashati dengan perjalanan sidang hari pertama Persidangan Kali Ke 2 Penggal Ke 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula semalam (13 Julai) dan akan berakhir hari ini.


Antara perkara yang ditimbulkan adalah masa persidangan yang terlalu pendek, masa untuk soalan lisan dihadkan kepada satu jam sahaja serta hanya satu soalan sahaja yang dibenarkan pada hari pertama.


ADUN Sura Ustaz Wan Hassan Ramli berkata persidangan hari ini (semalam) hanyalah untuk pembentangan laporan dan usul menubuhkan kumpulan wang pinjaman motosikal kakitangan kerajaan.


“Hanya satu soalan dibenarkan dan sebahagian jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan amat tidak memuaskan,” kata beliau yang dihubungi oleh Buletin Online semalam.


Sebelum itu, pada permulaan Sidang, Yang DiPertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang telah mengumumkan
Sidang telah menerima 15 soalan lisan, namun beliau telah meletakkan beberapa had kepada para ADUN.

Beliau berkata hanya soalan pertama sahaja yang dibenarkan dan beliau tidak mahu soalan-soalan tambahan dikemukakan dengan alasan untk menjimatkan masa.


Justeru sehingga sesi pagi berakhir, hanya 11 soalan sahaja yang dikemukakan oleh ADUN dan dijawab oleh pihak kerajaan.


ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah merasa kesal kerana tidak dapat membawa suara rakyat yang diwakilinya kerana tidak diberikan masa yang secukupnya.

Beliau yang dihubungi semalam menyatakan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang kemukakan dengan jujur.


Beliau mengambil contoh soalan berkaitan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang dikemukakan oleh ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut.


Menurut beliau Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib menjawab soalan secara ‘melepaskan batuk ditangga sahaja’ dengan tidak memberitahu perkara yang sebenarnya kepada Sidang.


Mengulas perkara yang sama, ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata pihak kerajaan tidak telus dan tidak bertanggungjawab ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

”Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said adalah kerajaan yang tidak ada pemikiran (idea) yang baru,”katanya.


Beliau berkata demikian kerana menurutnya kerajaan memanggil Sidang pada kali ini hanya untuk mengemukakan usul pinjaman motosikal.


Kedua-dua ADUN Bukit Payung dan Bukit Tunggal hanya diberikan masa satu minit setiap seorang bagi mengemukakan soalan lisan!


Kadar inflasi naik 4.5 peratus

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata, kadar inflasi di negeri ini naik sebanyak 4.5 peratus berikutan kenaikan harga minyak Jun lalu.

Ketika menjawab soalan wakil Hulu Besut, Nawi Mohamad, katanya, kadar inflasi pada Mei hingga Jun lalu ialah 4.1 peratus meningkat kepada 8.6 peratus pada Jun hingga Julai.

Manakala bagi Julai dan Ogos, katanya belum dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Sementara itu, Nawi memberitahu ramai di kalangan ibu bapa di kawasannya masih belum dapat membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ekoran kesan kenaikan harga minyak itu.

Wakil rakyat itu mengakui bahawa harga barangan keperluan harian terutama untuk mengadakan kenduri di kelantan lebih murah daripada di negeri ini.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), Rabu lalu, masyarakat di kawasannya menyatakan harga barangan untuk tujuan itu lebih murah di Pasir Puteh, Kelantan.

Begitu juga, katanya, mereka yang pergi ke Kemaman turut mengakui bahawa harga barangan keperluan itu di Kuantan lebih murah.

Sehubungan itu, beliau semasa mengemukakan soalan tambahan meminta penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Namun begitu, Abdul Rahman tidak dapat memberikan sebab-sebabnya kerana tidak ada senarai harga barang bagi kedua-dua negeri itu dan menganggap apa yang disebutkan itu mungkin sekadar cakap-cakap sahaja.

Mercedes lebih baik daripada Perdana V6

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said memberikan lima sebab kewajaran kerajaan negeri membeli 14 buah kereta Mercedes-Benz E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive.

Ini, katanya kerana kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive adalah lebih tinggi berbanding Mercedes yang terkecil dalam sirinya itu.

Selain itu, katanya penggunakan minyak Mercedes E200 Kompressor itu lebih ekonomi berbanding Perdana V6 Executive, ciri-ciri keselamatannya jauh lebih tinggi, jangka hayat lebih panjang dan nilai kereta terpakai (second hand value) jauh lebih tinggi.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Harun Taib (PAS-Manir) pada sidang Dun, Rabu lalu.

Semasa menjawab soalan tambahan Adun berkenaan, beliau memberitahu kereta Mercedes itu digunakan oleh semua Exco kerana Perdana V6 masih ditahan oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk siasatan.

Ringkas Sidang Dun Terengganu

Jumlah royalti belum muktamad

Kerajaan negeri memberitahu, jumlah sebenar wang royalti yang akan diterima oleh negeri belum dapat dinyatakan kerana belum ada keputusan muktamad.

Dalam jawaban bertulis kepada soalan wakil Hulu Besut, Haji Nawi Mohamad, kerajaan memebritahu perkara itu termasuk bila royalti akan diterima oleh negeri masih dalam peringkat perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Jumlah dana khas yang telah dibelanjakan melalui belanja mengurus dari tahun 2004 hingga 2007 adalah sebanyak RM3,469,200,000 manakala melalui projek-projek (Kumpulan Wang Amanah Dana Khas) pula berjumlah RM880,967,023.16.

2,216 murid tidak dapat membaca

Seramai 2,216 orang murid normal yang masih belum lagi dapat membaca dengan lancar yang sedang mengikuti Program Pemulihan Khas di sekolah rendah negeri ini.

Selain itu, Jabatan Pelajaran negeri juga mempunyai seramai 1,024 orang murid yang dikategorikan sebagai bermasalah pembelajaran.

Dalam jawaban bertulis kepada soalan wakil Jabi, Haji Ramlan Ali, kerajaan memberitahu, mereka sedang mengikuti Program Integrasi Pendidikan Khas di sekolah rendah.

Langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pelajaran negeri dalam membantu murid yang masih belum lagi membaca dengan lancar ialah program murid OTDI murid pemulihan khas, tuisyen membaca, dibekalkan sebuah buku membaca di rumah, kajian latar belakang murid dan kem motivasi.

Rundingan pampasan Kusza masih dalam proses

Kerajaan Pusat masih belum membuat bayaran kepada negeri berkait bayaran pampasan mengenai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza).

Ini kerana sehingga kini, proses rundingan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat berkait bayaran itu sedang berjalan.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang).

Abdul Hadi dalam soalannya ingin tahu adakah Kerajaan Pusat telah membayar pampasan kepada kerajaan negeri daripada mengambil segala hak milik Kusza yang diserahkan kepada pihak Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan berapakah jumlahnya.

Tangkapan penagih dadah naik 85 peratus

Kadar purata peningkatan tangkapan penagih dadah adalah sebanyak 85 peratus, demikian jawaban bertulis kerajaan negeri kepada soalan Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Sura).

Pada Mac 2004, seramai 3,832 penagih dadah ditangkap, 2005 (3,649), 2006 (4,739), 2007 (5,540) manakala dari Januari hingga Jun lalu seramai 6,053.

Mengikut kajian umur, tangkapan penagih dadah paling tinggi di antara usia 19 hingga 24 tahun manakala mengikut pekerjaan pula adalah penganggur dan buruh.

429 pelajar ditangkap khalwat

Kerajaan negeri memberitahu jumlah tangkapan pelajar atau mahasiswa bagi kesalahan khalwat dari tahun 2004 hingga Jun lalu ialah seramai 429 orang.

Dalam jawaban kepada soalan Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong), berdasarkan pecahan daerah, tangkapan di Kuala Terengganu seramai 208 orang, Dungun (69), Setiu (52), Besut (50), Hulu Terengganu (26), Marang (17) dan Kemaman (tujuh).



Raya Suasana Pandemik, Jauh Dari Yang Disayangi

KUALA TERENGGANU - Tahun ini, umat Islam sekali lagi berhari raya dalam suasana pendemik Covid19, yang menyebabkan "kita terlihat jauh ...