24 Oktober 2008

Ahmad Jangan Ulangi Kesilapan Idris


Kuala Terengganu - PAS memberi peringatan ikhlas kepada kepimpinan kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said agar tidak mengulangi kesilapan dan penyelewengan kerajaan lalu.


”Saya hendak memperingatkan pemimpin negeri ini supaya mengambil peringatan tidak mengulangi kepincangan dan penyelewengan kerajaan BN lalu dibawah Menteri Besar Dato Seri Idris,”

“Saya mengikuti perkembangan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan negeri dan yang terakhir ini berkait dengan Kelab Teluk Warisan atau Heritage Bay Club (HBC),” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali sidang media sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PAS Terengganu, di Taman Sri Intan Jalan Sultan Omar, dekat sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad bahawa kerajaan negeri bertindak mengambil alih hak Kelab Teluk Warisan Pulau Duyong – Heritage Bay Club (HBC) setelah lebih tiga tahun diuruskan oleh kontraktor pembinaan resort tersebut tanpa pengetahuan rasmi kerajaan.

Pada 21 Oktober lalu, Ahmad berkata asalnya Kelab Teluk Warisan adalah di bawah pengurusan kerajaan negeri tetapi kontraktor yang membinanya tidak menyerahkannya kepada kerajaan negeri setelah ia siap dibina sedangkan pembinaan resort tersebut adalah menggunakan dana khas.

Menurut Mustafa, kenyataan Ahmad itu mendedahkan dan menjelaskan apa yang PAS sebut selama ini bahawa pembiayaan projek tersebut adalah daripada duit royalti yang dinamakan dana khas, adalah benar.

Justeru PAS kesal kerana projek kerajaan pusat tidak dikendalikan secara telus dan tidak menepati kaedah-kaedah pembangunan yang sebenarnya.

Mustafa mempersoalkan mengapa projek yang sudah siap tiga tahun lalu baru diambil alih kerajaan dan meminta kerajaan menjelaskan kedudukan pengurusan resort tersebut.

”Kalau saya anggap kenyataan MB itu sebagai satu pendedahan, bahawa kerajaan baru mengambil alih dari kontraktor sedangkan selama ini apa yang dibuat sudah siap,

“pulangan duitnya dimana? sedangkan belanjanya RM200 juta,”ujar Mustafa.

Beliau berkata ia (pengurusan projek tersebut) seharusnya menjadi pengajaran kepada kerajaan negeri kerana royalti (minyak) yang menjadi hak rakyat negeri Terengganu telah disalahgunakan.

”Ini seharusnya menjadi pengajaran bagaimana hak rakyat negeri Terengganu iaitu wang royalti ini telah disalahgunakan bukan untuk menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi oleh rakyat,

“masalah kemiskinan, masalah kurang pekerjaan, penganggguran, pembangunan sebenar untuk rakyat menikmati secara jangka panjang dan masalah sosial tidak diberikan keutamaan,”kata beliau.

Katanya, pemerintahan UMNO/BN yang lepas hanya memberi tumpuan kepada projek-projek yang memakan belanja berbillion ringgit termasuk pembangunan muara sungai Terengganu.

Justeru itu, PAS mengingatkan Ahmad sebagai Menteri Besar dan ketua kerajaan agar menyelesaikan tuntutan wang royalti sebaik-baiknya dan mengikut lunas undang-undang.

”Berkait dengan ini saya (PAS) minta supaya Menteri Besar sebagai ketua kerajaan dalam usaha untuk mengembalikan royalti ini supaya pastikan betul-betul,

“berapa yang negeri Terengganu dapat, berapa yang telah dibelanjakan sebelum ini tanpa kerajaan negeri dan berapa bakinya yang masih tinggal,

“supaya ianya dapat satu gambaran yang jelas kerana ia berkait dengan hak dan kes ini berada di mahkamah, mestilah ia dijelaskan mengikut undang-undang,”tambah Mustafa.

Menurutnya (menurut perjanjian) pembayaran royalti sepatutnya sudah diterima oleh kerajaan negeri pada bulan September lalu.

Piala Monsun Tetap Membazir

Kuala Terengganu - Rakyat Terengganu dari pelbagai lapisan masih menganggap penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang akan diadakan pada 3 hingga 7 Disember depan di Pulau Duyong, dekat sini, tetap membazir dan tidak membawa banyak manfaat kepada rakyat, walaupun perbelanjaan yang digunakan adalah dari peruntukan kerajaan persekutuan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata beliau tidak faham mengapa kerajaan meneruskan penganjuran Piala Monsun sedangkan sebelum ini ia telah dibuktikan tidak membawa manfaat yang banyak, berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan.

”Saya pun tak faham kenapa Monsoon Cup ini diteruskan, sedangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti menyatakan ia adalah membazir dan tidak memberi pulangan yang diharapkan,”kata beliau dalam sidang akhbar sempena majlis Rumah Terbuka Idulfitri PAS Terengganu yang diadakan di perkarangan pejabat Pas Negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak berkata kejohanan tersebut masih tidak membawa banyak manfaat kepada rakyat Terengganu terutamanya kepada golongan nelayan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Beliau bekata dalam keadaan kehidupan rakyat terus tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan harian, penambahan acara dalam acara kejohanan tersebut akan meningkatkan kos penganjurannya.

"Zaman bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh telah disahkan Monsoon Cup tidak berfaedah dan membazir,

“bukannya nak berhenti, tapi ditambah pula dengan event lain yang akan meningkatkan kos, membazirkan duit rakyat dalam masa rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan harian,”ujar Dr. Alias ketika dihubungi.

Penduduk setempat Pulau Duyong turut membantah tindakan kerajaan meneruskan penganjuran Piala Monsun.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Pulau Duyong (Pekeduy) Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad berkata kerajaan terus menganjurkan Kejohanan Piala Monsun dengan membelanjakan puluhan juta ringgit untuk acara selama empat hari, sedang ratusan rakyat di Pulau Duyong masih hidup dalam kemiskinan.


Beliau berkata rata-rata penduduk Pulau Duyong bekerja sebagai nelayan, tidak mempunyai pendapat tetap, tidak memiliki rumah sendiri dan menumpang atas tanah kerajaan.

”Adalah lebih baik peruntukan jutaan ringgit itu digunakan untuk membantu golongan daif dan nelayan di Pulau Duyong khususnya, atau membantu seluruh rakyat yang susah, masih ramai rakyat yang miskin kerana Terengganu adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia,”katanya.

Menurutnya keputusan pilihanraya umum ke 12 pada bulan Mac tahun ini membuktikan bahawa penduduk Pulau Duyong tidak bersetuju dengan penganjuran Piala Monsun dan menolak calon parti UMNO/BN.

Sementara itu, seorang pekerja sektor swasta, Sa’ado Mohd Nor, 29, berkata keputusan kerajaan meneruskan Monsoon Cup membuktikan kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Malaysia tidak mengutamakan kepentingan rakyat.


Beliau yang juga seorang penduduk Pulau Duyong berkata bertahun-tahun penduduk memohon tanah untuk tempat tinggal di pulau tersebut, namun tidak diambil peduli oleh kerajaan.

”Bila buat Monsoon Cup, tanah yang rakyat pohon diambil dan diserahkan kepada pemaju, rakyat dihambat keluar,
”sekarang, tahun ini, sambung lagi Monsoon Cup, sedangkan tidak ada orang dikampung ini (pualau Duyong) yang senang dan dapat manfaat dari penganjuran tersebut,”ujarnya

Pada Julai tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Integriti, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, aduan diterima menyatakan keuntungan penganjuran sukan Monsoon Cup itu hanya diraih oleh individu tertentu sedangkan pada keseluruhannya ia dikatakan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan.

Kenyataan Wan Hashim tersebut adalah hasil pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang diadakan di Kuala Terengganu, yang antara lain turut membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap penganjuran sukan itu yang dikatakan membazir dan tidak menguntungkan.

Ambil alih Kelab Teluk Warisan – Adakah Ahmad dan Kerajaan Negeri Berbohong?


Akhbar Sinar Harian Rabu hari ini 22 Oktober melaporkan Kerajaan negeri bertindak mengambil alih hak Kelab Teluk Warisan Pulau Duyong – Heritage Bay Club (HBC) setelah lebih tiga tahun diuruskan oleh kontraktor pembinaan resort tersebut tanpa pengetahuan rasmi kerajaan.

Akhbar tersebut memetik Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata asalnya Kelab Teluk Warisan adalah di bawah pengurusan kerajaan negeri tetapi kontraktor yang membinanya tidak menyerahkan setelah resort itu siap dibina.

“Dulu, kerajaan negeri suruh kontraktor terbabit bina satu bangunan tetapi selepas bangunan itu siap, mereka tidak menyerahkan bangunan tersebut kepada kerajaan negeri.

“Bila dia (kontraktor) tidak serah, dia buat resort dan dinamakan Kelab Teluk Warisan yang beroperasi tanpa pengetahuan rasmi kerajaan negeri.

“Sepatutnya selepas siap bina, dia (kontraktor) serahkan kepada kita kerana dia menggunakan dana khas. Tapi kesempatan tersebut diambil oleh dia dan diuruskan. Jadi apabila kecoh, baru dia serahkan. Kalau tak kecoh tak dapat senyap macam itulah agaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ri-Yaz Heritage Resort & Spa dan Jamuan Hari Raya di Cindai Ballrom, Pulau Duyong, di sini, kelmarin yang turut di hadiri pada majlis tersebut ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengarah Urusan Ri-Yaz Hotel & Resort, Shaheen Shah dan Pengurus Besar Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Malizan Zakaria.

Sebelum ini, Kelab Teluk Warisan dibangunkan oleh kerajaan negeri Terengganu khusus untuk menjadi hos bagi perlumbaan kejohanan Kapal Layar Piala Monsun.

Kerajaan Terengganu membina HBC dengan kos keseluruhan RM200 juta dan pembiayaan pembinaannya adalah daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang dikenali sebelum ini sebagai wang ehsan yang diambil daripada royalti petroleum.

Mengulas lanjut, Ahmad menyatakan bahawa kerajaan negeri kini telah memberi pengurusan Kelab Teluk warisan kepada Ri-Yaz secara rasmi bermula 1 Ogos tahun ini yang kini dikenali Ri-Yaz Herritage Resort & Spa.

Setelah Ri-Yaz mengambil alih pengurusan ini, menurutnya kerajaan negeri hanya akan mendapat hasil keuntungan daripada persetujuan yang telah dicapai dan ditandatangani sebelum ini.

Buletinonline pada 14 Mei 2008 telah menerbitkan terjemahan laporan akhbar berbahasa Inggeris The Edge Daily 5 May 2008: Cover Story: Monsoon Cup and T-Best.

Dalam laporan tersebut, akhbar kewangan dan ekonomi itu menyebut panjang lebar tentang Penganjuran Sukan Kapal Layar Piala Monsun dan kaitannya dengan syarikat penganjur, T-Best Event Sdn Bhd.

Kenyataan Ahmad berkaitan pengurusan HBC
yang telah diuruskan selama tiga tahun oleh kontraktor pembinaan resort tersebut tanpa pengetahuan rasmi kerajaan adalah satu kenyataan yang bertentangan sekali dengan kenyataan The Edge Daily.


Buletinonline memetik laporan The Edge Daily yang menyatakan bahawa berdasarkan rekod terbaru Suruhanjaya Syarikat, modal T-Best adalah RM 175,000. Perniagaannya adalah penganjur acara. T-Best memiliki 100% saham Kelab Teluk Warisan Terengganu Sdn Bhd, yang menjalankan perniagaan resort butik enam bintang – Kelab teluk Warisan yang menjadi lokasi acara Monsoon Cup.

Menurut rekod, pengarah T-Best adalah Chew Kok Foo, bekas pengarah Kuala Lumpur Industries Holding Bhd (KLIH) sebelum Patrick Lim mengambil alih dan menukarkannya kepada Equine Capital. Mohamad Awang Tera, Exco kerajaan Terengganu, Peter William Gilmour, Wan Hisham dan Wan Farid juga adalah pengarah-pengarah T-Best.

Menurut rekod, pemegang saham utama T-Best adalah Prestasi Wangi Sdn Bhd, yang menguasai 57.1% dan TDM Bhd memegang saham 42.9%.

Rekod berasingan Suruhanjaya Syarikat mendedahkan, pengarah-pengarah Prestasi Wangi Sdn Bhd adalah Datuk Salleh Ismail dan Datuk Khalid Awang, kedua-duanya mempunyai alamat tempat tinggal di kuala Terengganu dan memegang 50% saham setiap seorang. Tidak ada akaun yang dipaparkan dalam laman Suruhanjaya Syarikat.

Kaitan yang boleh dibuat dengan Patrick Lim adalah alamat pendaftaran kedua-dua syarikat tersebut yang didaftarkan dengan alamat yang sama iaitu, 16-1, Jalan Putra Permai 1B, Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.

Taman Equine adalah Bandar yang dimajukan oleh Equine Capital, syarikat kepunyaan Patrick Lim. Alamat perniagaan T-Best adalah Tingkat 18, Wisma KLIH, Bukit Bintang. Wisma KLIH juga adalah dimiliki oleh Equine Capital.

Patrick Lim dikatakan sebagai pengarah T-Best sebelum ini. Artikel dalam laman rasmi Monsoon Cup bertarikh 26 Nov, 2006 telah menyatakan Patrick Lim sebagai pengarah T-Best dan pengasas awal T-Best.

Monsoon Cup akan terus menjadi sebutan walaupun Terengganu telah bertukar kemudi. Namun sebagai satu isu yang melibatkan ‘ketelusan’ (transparency), mungkin kerajaan negeri atau persekutuan perlu mendedahkan kepada umum berapa banyakkah dana yang digunakan membiayai Monsoon Cup dan apakah manfaat ekonomi yang diperolehi oleh rakyat Terengganu.


Justeru dengan jelas, kenyataan bahawa kerajaan negeri Terengganu mengambil alih HBC dari
kontraktor pembinaan resort tersebut yang menuruskannya selama 3 tahun pengetahuan rasmi kerajaan. Adalah satu pembohongan dan putar belit, yang cuba menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat jelata !

Bacaan Berkaitan ;


Berapakah Harga Sebenarnya Pembinaan Chalet Kelab Teluk Warisan?
Pengendali Monsoon Cup bukan milik kerajaan Terengganu? Exco gagal memberi penjelasan
‘Kertas Putih’ untuk Monsoon Cup
Idris Langgar Wasiat Tok Sheikh Duyong ?

Pembelian Cougar Mencurigakan – AMK Terengganu Buat Laporan Polis

Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu telah membuat satu laporan polis berkaitan isu pembelian helicopter jenis jenis Cougar EC 725 yang didakwa telah berlaku penyelewengan dan membazirkan wang rakyat.


Laporan tersebut telah dibuat di balai polis Kuala Terengganu, kira-kira jam jam 1.30 tengahari semalam.


Ketua AMK Terengganu Fariz Musa AMK berkata pihaknya bertindak membuat laporan polis keatas isu tersebut bagi mmbolehkan pihak polis mengambil tndakan menyiasat dan mendakwa segera Dato’ Seri Najib Tun Razak.


“Kami membuat laporan polis berkaitan isu pembelian Eurocopter yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia, yang bagi kami menganggap bahawa ia ada penyelewengan yang sangat besar yang telah berlaku dalam proses pembelian ini,


“sebab itu kita mengambil tindkaan hari ini membuat laporan polis supaya pihak polis mengambil tindakan menyiasat dan mendakwa segera Dato’ Seri Najib Razak,”katanya dalam sidang akhbar ringkas yang diadakan selepas laporan polis tersebut dibuat.


Menurutnya pada tempoh dua hari tidak sampai 48 jam, sebelum Najib menjadi Menteri Kewangan beliau telah meluluskan pembelian Eurocopter yang melibatkan perbelanjaan wang rakyat yang cukup besar.


Katanya kerajaan Brazil telah membeli sejumlah 50 buah helikopter dengan perbelanjaan USD1.2 bilion (RM4 bilion), sedangkan kerajaan Malaysia membeli helikopter yang sama sebanyak 12 buah dengan harga R2 bilion.


”Ini suatu perbezaan yang sangat ketara, kerajaan Malaysia membeli dengan harga RM193 juta sebuah manakala Brazil dengan harga RM82 juta, perbezaan harga yang sangat besar iaitu RM 111 sebuah,

“keseluruhannya (pembelian sebanyak 12 buah) sebanyak RM1.2 bilion wang rakyat dibazirkan,”ujar beliau.

Selain itu menurutnya pembelian Eurocopter tersebut menimbulkan keraguan dan kecurigaan kerana proses pembelian berlaku dalam tergesa-gesa.


“Yang pertama syarikat Eurocopter ini adalah pembida yang paling tinggi diantara empat syarikat yang membida, mengapa pembida yang paling tinggi dipih oleh Kementerian Pertahanan, kedua helikopter ini dibeli tanpa dibuat ujipandu terlebih dahulu,”tambahnya.


Turut bersama beliau adalah Timbalan AMK Terengganu, Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad dan Pengerusi Penaja Parti Tindakan Demokratik Kuala Terengganu, Ng Chai Hing

22 Oktober 2008

Shabery Bimbang Media Perdana Tidak Lagi Relevan




Kuala Terengganu - Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek mengajak pertubuhan-pertubuhan koperat untuk mempastikan bahawa kekuatan media perdana berterusan dan relevan sepanjang masa. (Gambar - Shabery muncul di media arus perdana dalam Debat Isu Minyak - satu usaha mempopularkan media arus perdana ?)


Beliau berkata demikian kerana bimbang media arus perdana masakini tidak lagi menjadi pilihan generasi akan datang sebaliknya generasi tersebut memilih media baru berasaskan internet.

“Zaman sudah berubah sekarang rakyat tidak bergantung sepenuhnya kepada media cetak atau media elektronik yang selama ini kita panggil sebagai mainstream media, sekarang rakyat sudah ada pilihan apa yang disebutkan sebagai new media (media baru),
”new media terdiri daripada you tube, blog, internet, facebook, friendster, yang menjadi semakin popular sekarang ini,”katanya sewaktu merasmikan Majlis Anugerah Kewartawanan Kelab Wartawan Terengganu yang diadakan disini semalam.

Menurutnya dalam masa lima tahun lagi sekiranya dunia media tidak boleh menghadapi perkembangan tersebut, generasi pada hari itu mungkin berkata bahawa “you tube is the mainstream media, facebook is the mainstream media (you tube adalah media perdana, facebook adalah media perdana)”, manakala saluran TV dan suratkhabar menjadi lama.


“Mereka menganggap suratkhabar utusan, berita harian, new straits time, TV3, TV 2, Astro dan sebagainya adalah old media,

“bagi mereka mainstream media ialah you tube, mainstream media ialah SMS, mainstream media ialah, blog, facebook, freindster dan sebagainya,”ujar beliau.


Oleh yang demikian beliau berkata, ia adalah merupakan cabaran baru yang menjadi satu tanggungjawab, untuk memastikan media arus perdana hari ini terus menjadi relevan buat selama-lamanya.


Justeru beliau menyarankan media arus perdana menpertingkatkan lagi keupayaan dengan meletakkan kakitangan dan jentera dimana-mana untuk menjadikan ia relevan sepanjang masa.


Betulkan Matlamat Perjuangan, Banyakkan Kebajikan

Kuala Terengganu - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Muhamed Daud Iraqi menyeru seluruh umat Islam terutama di kalangan ahli parti membetulkan matlamat perjuangan.


Beliau berkata matlamat perjuangan biar jelas dengan Islam yang menjadi dasar agar tidak terpesong dalam kehidupan ini.


Katanya, dasar dan matlamat perjuangan PAS jelas Islam di hadapan dan berusaha mendapatkan pemerintahan tersebut.


“Matlamat perjuangan kita (PAS) biar jelas iaitu Islam yang menjadi dasar perjuangan parti. Kita (PAS) berusaha untuk tubuh kerajaan Islam sejak dari dahulu lagi,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS Negeri Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai, dekat sini, baru-baru ini.


Menurutnya Islam lebih mengutamakan kebajikan tetapi mungkin kurang diberi perhatian kerana masalah kewangan.


“Kita hendak memasyarakatkan PAS dan kita kena ada aktiviti kemasyarakatan. Masjid dan surau kita kena menguasainya.


“Banyak kebajikan boleh buat dengan mengajar al-Quran, fardhu ain dan ilmu-ilmu agama kepada masyarakat setempat,” ujarnya.


Menurutnya, golongan Kristian sangat mengambil berat dalam bab kebajikan sehingga ada orang Islam yang menyeleweng dan tinggal Islam.


Katanya, terdapat orang Islam yang terima bantuan kebajikan dari kumpulan Kristian dan terus bersama mereka.


Sebab itu, katanya PAS mengambil berat dan dalam Dewan Ulama dan PAS Pusat ditubuhkan Lajnah Kebajikan.


“Kebajikan ini perlu dan masyarakat akan mendekati kita (PAS) apabila dia (rakyat) dapat sumbangan kebajikan daripada kita (PAS).


“Kita (PAS) ambil berat dalam hal ini (kebajikan). Dewan Ulama dan PAS Pusat pun tubuh Lajnah Kebajikan,” jelasnya.


Katanya, semua aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan diri kita (PAS) dengan masyarakat perlu diketengahkan.


Menurutnya, aspek kebajikan dan kemasyarakatan mampu menarik minat dan pengaruh yang menguntungkan Islam.

Ikhwan akan menjadi jurucakap rakyat Terengganu


Kuala Terengganu – Ikatan Anak Watan Darul Iman (Ikhwan) akan bergerak diseluruh negeri Terengganu dengan motto “al-adl wal ihsan” untuk memperjuangkan keadilan, kebenaran dan kemanusiaan.

“(selain itu) kita membentuk kepedulian terhadap rakyat berkaitan isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat, melibatkan isu-isu kemiskinan dimana rakyat daif dan sebagainya akan menjadi keutamaan untuk diberi bantuan,” kata Fariz Musa, Pengerusi Penaja Ikhwan, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan.


Beliau berkata Ikhwan akan berusaha menjadi jurucakap ‘mata dan telinga’ kepada rakyat di negeri Terengganu berkaitan isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan rakyat.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penajaan badan tersebut yang diadakan disebuah hotel dekat sini kelmarin.


Menurutnya beliau dan ahli-ahli Ikhwan sebagai rakyat negeri Terengganu mempunyai tanggungjawab yang sangat penting bagi menjamin keadilan dan kemanusiaan terpelihara di negeri ini.



“Kita (Ikhwan) melihat terlalu banyak hak rakyat di negeri ini terabai dan dinafikan hak mereka termasuk dalam isu kemiskinan dan bantuan,” ujarnya.



Katanya, hasrat dan matlamat Ikhwan juga agar menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang efektif dan kondusif di Terengganu.


Menurutnya, masalah kemiskinan serta kedhaifan rakyat di Terengganu menjadi salah satu asas usaha penubuhan Ikhwan ini.


Justeru itu, katanya Ikhwan akan diwujudkan di setiap daerah di seluruh negeri Terengganu bagi membela hak dan nasib rakyat.


Seramai 40 orang ahli dari seluruh daerah di negeri Terengganu telah menghadiri mesyuarat penajaan badan tersebut.


Hanya ‘Gred D’ untuk Pilihanraya Kampus UMT.

Kuala Nerus - ''Strategi makan diri'', itulah ringkasnya yang boleh disimpulkan untuk Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung pada hari Khamis, 16 Oktober lalu.

Dengan jumlah pelajar yang keluar mengundi tidak sampai 40% menunjukkan bahawa Hal Ehwal Pelajar (HEPA) gagal mendapat sokongan pelajar untuk keluar membuang undi.

PRK UMT sebenarnya adalah satu PRK yang gagal.

Walaupun siswa-siswi ‘diugut’ dengan pelbagai ugutan dan diancam dengan ancaman yang menggugat kedudukan mereka sebagai siswa-siswi, namun ‘tsunami politik’ turut berlaku pada PRK UMT.

Bantahan suara majoriti siswa UMT tidak ditunjukkan diatas kertas undi, namun dengan cara mereka memboikot PRK, dan tidak keluar untuk membuang undi.

HEPA hanya dapat ‘Gred D’. Itulah paling tinggi penilaian yang boleh kita berikan kepada pengurusan HEPA dan anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diisytiharkan menang dalam PRK UMT.

HEPA dapat markah 40%, begitu juga MPP yang menang, hanyalah MPP yang hanya melepasi markah ‘LULUS’ sahaja.

Malah di sesetengah universiti lain di Malaysia umpamanya Universiti Malaya (UM), seseorang pelajar wajib mengulang subjek yang diambil, sekiranya ia mendapat gred D, kerana ia dianggap ‘GAGAL’.

Itulah realiti ‘akademik’ yang perlu diterima umum hasil dari PRK UMT yang dilaksanakan oleh pengurusan HEPA yang penuh kontroversi dan konspirasi.


Empat puluh peratus yang keluar mengundi bermakna anggota MPP yang terpilih bukanlah MPP yang popular tetapi mereka adalah MPP minoriti kerana mereka tidak dipilih oleh majoriti suara siswa-siswi UMT.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu turun ke bawah melakukan penyiasatan serta ‘bedah siasat’, sekiranya KPT benar-benar telus dan bertanggungjawab mahu melihat sasaran prestasi universiti Malaysia akan mencapai objektif yang digariskan menjelasng 2020.

Kegagalan KPT mengenalpasti punca-punca kelemahan HEPA dan menyelesaikannya mengikut ukuran pengurusan universiti taraf dunia, merupakan isyarat awal kepada kegagalan kerajaan dalam melahirkan ‘modal insan’ hasil produk universiti yang bertaraf universal serta kualiti graduan universiti tempatan tidak akan kemana.

Sampai bilakah siswa-siswi UMT akan diwakili oleh pemimpin yang hanya gred D? Adakah tiada calon yang lebih baik sekurang-kurangnya gred C+ dan pentadbir HEPA yang lebih profesional?

Selagi HEPA bertindak bukan sebagai badan yang membimbing pelajar menghargai sebuah demokrasi yang memberikan kebebasan sebenarnya kepada siswa-siswi untuk menentukan halatuju PRK mereka sendiri, selagi itulah siswa-siswi hanya akan diwakili oleh kepimpinan kampus bertaraf ‘Gred D’

HEPA UMT bukan sahaja campurtangan dalam soal-soal teknikal PRK, tetapi HEPA sudah lama menggerakkan satu konspirasi yang berstrategi melakukan ‘pengklonan’ dan mencipta MPP ‘robotik’, yang bakal menuruti segala arahan HEPA tanpa sebarang bantahan.


Tindakan HEPA tidak memberikan kebebasan kepada mahasiswa itulah yang menyebabkan bantahan senyap yang berlaku (silent protest) samada timbul kerana tidak puas hati dengan tindakan HEPA yang menekan pelajar atau sudah bosan dengan HEPA yang ‘turut berpolitik’ dalam PRK.

HEPA dan anggota MPP yang terpilih mungkin sedang meraikan kemenangan mereka.

Mungkin berbangga dan merasa cukup berjaya kerana segala strategi dan konspirasi yang mereka rancang telah berjaya menyekat ‘aspirasi pelajar’ sekaligus melahir ‘pelajar pro-aspirasi’ HEPA.

Namun mereka mengkhianati Negara dengan melahirkan bakal-bakal graduan dan pemimpin masa depan yang terkonkong dan tidak dapat menyatakan kebebasan dalam membuat keputusan mereka.
Mereka akan menjadi Modal Insan yang hanya memperolehi Gred D!

21 Oktober 2008

Islam Hadhari Lahir Dari Pemimpin Jahil



Kuala Terengganu - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Muhamed Daud Iraqi berkata tindakan mengubah Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran kepada Islam Hadhari adalah tindakan yang lahir dari pemimpin yang jahil.

”Serupa (sebagaimana) umat Islam hari ini pimpinan kebanyakkan tidak terdiri dari bukan ulama’, hatta Islam sendiri itu dia ubah (kepada) Islam Hadhari,
”sedangkan Islam itu Allah bawa turun dalam al-Quran, Allah kata “Aku Redha Islam sebagai ugama”,

“tiba-tiba dia ubah (menjadi) Islam Hadhari, kerana apa? Kerana dia jahil,”kata beliau yang ditemui selepas Konvensyen Kebajikan PAS Negeri Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai baru-baru ini.

Menurutnya pemerintahan kerajaan Islam dahulu menjadi maju kerana umat Islam ketika itu dipimpin oleh ulama’, namun kini umat Islam menjadi lemah kerana dipimpin oleh orang jahil, umat Islam menjadi lemah.


Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kepimpinan ulama’ sudah tidak relevan lagi buat zaman ini.


Beliau mengambil contoh Negara Iran yang menjadi sebuah Negara Islam yang maju sekarang ini kerana dipimpin oleh ulama’.

Iran sekarang ini boleh naik (maju) kerana kepimpinan dia ulama’ ataupun sekurang-kurangnya dia pimpinan dibawah arahan ulama’,

“ulama’ yang mentaujihkan, ulama’ yang mengarahkan, ulama’ yang menentukan dasar,”katanya yang merujuk Presiden Ahmadinejad sebagai pentabir negara, dibimbing dibawah majlis ulama’.


Justeru menurutnya, Malaysia perlu mengambil contoh tersebut dan mengambil kepimpinan ulama’ sebagai pimpinan yang paling atas, dengan sokongan golongan profesional lain.

“Profesional kita tak boleh tolak, nak buat bangunan kena profesional, nak buat (bangunkan) ekonomi kena profesional,”
”katalah nak buat bank, orang profesional nak buat bank (Islam) dia tak tahu, yang mana (satu) riba, yang mana tak riba, ulama’ yang akan menentukan,”jelasnya

MBKT Promosi Seks Bebas?

Kuala Terengganu – Sekali imbas pandangan, mungkin tiada apa-apa kerana tidak perasan, namun sekiranya di amati betul-betul, ternyata ia adalah gambar seorang lelaki sedang memeluk dua orang perempuan seksi.

Apa pun tujuan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memaparkan iklan kecil itu berbanding papan tanda raksaksa promosi komersial dan propaganda politik, mungkin tidak sampai kepada matlamatnya.

Malahan, sekiranya usaha itu adalah untuk mencegah ‘amalan seks bebas’, sebaliknya akan menjadi penyumbang kepada aktiviti menyeleweng, oleh kerana gambar tersebut tidak membawa apa-apa ‘kegerunan’ langsung.

Usaha MBKT tersebut adalah umpama ‘melepaskan batuk ditangga’, supaya jangan dikata tidak ada, walaupun hanya diletakkan sekecil itu dan ditempat yang agak tersorok.

Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam soal membanteras mungkar aktiviti seks diluar perkahwinan, samada yang bebas atau yang tidak bebas.

Peningkatan aktiviti tersebut kebelakangan ini amat mengejutkan dimana yang terakhir seorang remaja telah menjadi pembunuh psiko, sanggup merendam bayi yang baru dilahirkannya akibat hubungan luar nikah.

Justeru adalah wajar sekiranya kempen besar-besaran diadakan bagi membendung kegiatan haram tersebut kerana kebanyakkannya melibatkan orang melayu yang berugama Islam.

Ditambah dengan perkembangan terbaru dimana lebih dari lima video klip aksi panas pelajar sekolah yang didedahkan oleh akhbar media perdana, sedang beredar dipasaran.

Menurut rekod, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftarkan 70,430 anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003.

Statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah mengikut negeri bagi tahun 1999 hingga 2003 mencatatkan bilangan besar 70,430 orang dengan Selangor seramai 12,836 orang, diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439), Johor (8,920), Sabah (8,435), Negeri Sembilan (4,108), Pahang (3,677), Kedah (3,496), Pulau Pinang (3,412), Melaka (2,707), Kelantan (1,730), Perlis (691), Sarawak (617) dan Terengganu 574 orang.


Walaupun bilangan bagi tempoh tersebut adalah kecil untuk negeri Terengganu, namun ia adalah agak membimbangkan kerana seramai berdasarkan jumlah tersebut seramai 115 orang anak luar nikah yang dilahirkan setiap tahun.

Secara perinciannya dalam tempoh tersebut, seramai sekurang-kurangnya 10 pasangan telah melakukan zina/ rogol/ hubungan luar nikah pada setiap bulan.

Kes rogol pula semakin meningkat. Seramai 84 orang yang terlibat dengan jenayah rogol pada 2005, meningkat 47.6% kepada 124 orang pada 2006.

Bacaan Berkaitan :

Rakyat Terengganu Tidak Selamat – Peningkatan Jenayah Membimbangkan

Enam Kes Rogol Bawah Umur Sepanjang Bulan Jun
Apakah Jadahnya … dalam tandas lelaki !
Kak Siti Berdendang, Remaja Ambil Peluang
Aksi Panas di Siang Hari, Semakin Berani – Pejabat Agama Tak Peduli ?

19 Oktober 2008

Guan Eng ajak Masyarakat Cina Kuala Terengganu Hayati ‘Amar Ma’aruf Nahi Mungkar’

Kuala Terengganu - ”Terlebih dahulu kepada kawan-kawan yang berugama Islam saya ucapkan salam aidil fitri, selamat hari raya aidil fitri, ‘minal ‘aidin wal faaizin’,”kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika memulakan ucapannya, yang disambut dengan tepukan bergemuruh, dalam satu perjumpaan dengan masyarakat China, disebuah hotel, disini kelmarin.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata kerajaan negeri Pulau Pinang dibawah Pakatan Rakyat telah memerintah dengan pentadbiran baru melalui sistem ‘Competency, Accountability, Transparancy’ yang menurut beliau diterjemahkan sebagai ‘Cekap, Akauntabel, Telus’ (CAT).

”Cat itu dalam bahasa Inggeris nampaknya kucing, tentu orang kata nampak macam kucing, kucing kena tangkap tikus yang melakukan rasuah dan penyelewengan,
”dengan sistem CAT kita boleh adakan satu pentadbiran yang bersih, yang cekap dan mendengar suara rakyat, boleh mempunyai prestasi yang lebih baik daripada kerajaan yang rasuah, yang hanya jaga diri sendiri dan tak mahu dengar suara rakyat,”jelasnya.

Menurutnya aspek tersebut beliau ambil setelah mempelajari sistem-sistem pemerintahan dari kerajaan yang baik pada masa yang lalu.

”Dalam aspek ini, kita belajar dari sistem perintahan masa lampau yang bagus, kalau dalam Dinasti China, itu dalam Dinasti Tang, dalam empayar Rom, itu dari Maharaja yang terkemuka Marcus dan Aurelius, dan kalau lihat dalam zaman kegemilangan pemerintahan Islam tak lain lagi ialah zaman Khalifah Umar Abdul Aziz,”katanya.

Menerangkan lebih lanjut, beliau berpendapat sistem poltik pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz menjalankan pemerintahan dengan sistem ‘Amar ma’aruf Nahi Mungkar’

”Baginda memperkenalkan sistem pentadbiran berdasarkan amar maaruf nahi mungkar, iaitu kita mesti amalkan yang baik, jauhkan diri yang (dari) buruk,
”Apa gunanya jika kita bina bangunan yang tersergam, terserlah, bangunan besar-besar tetapi diduduki oleh manusia yang jahat, manusia yang rasuah, manusia yang rakus, ini tak bermakna langsung,
“itu sebab kita mesti bina insane yang bermoral, insane bersih, insane berteika, kalau hanya puas hati dengan bangunan tersergam, tak kira sistem rohani atau batin seseorang pemimpin, kita tidak berbeza dengan zaman pemerintahan jahiliyah Mesir atau Fir’aun,”katanya lagi

Namun begitu, katanya, pada masa yang sama beliau tidak menolak kemajuan kerana menurutnya amar maaruf adalah untuk berbuat kebajikan supaya mendapat kemajuan. Justeru kejahatan dan penyelewengan membawa kepada kehancuran.

” Pada masa yang sama kita tidak membelakangkan kemajuan, kita mahu kemajuan,
“amar maaruf ialah untuk buat baik supaya kita boleh maju, dan saya yakin kita boleh maju bila kita lihat pemerintahan Islam, ia adalah paling maju didunia,
”tapi kerana rasuah, akhirnya ia sudah runtuh,”ujarya.

Beliau meluahkan rasa kesal dan marah serta menyelar kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah selama 50 tahun tetapi gagal menghapuskan kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

”Saya kata (tanya) kenapa ada miskin tegar begini, yang kebanyakkan 95% datang dari keluarga Melayu? (mereka) tidak boleh jawab,
”saya amat marah, bahawa dalam 50 tahun pemerintah Barisan Nasional, mereka tak dapat hapuskan miskin tegar, wang tak tahu terbang mana!?,”

Katanya lagi, apa yang tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional yang memerintah selama 50 tahun (hapuskan miskin tegar), kerajaan Pakatan Rakyat dibawah pimpinannya akan melaksanakannya dalam satu tahun.

”Bulan Mac, 2009, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama dalam Malaysia hapuskan, basmi miskin tegar,
”ini yang kita cakap amar maaruf nahi mungkar,”tambahnya.




Amaran Kepada Pemimpin UMNO – Jangan Tipu Rakyat!

Kuala Terengganu - Kerajaan negeri dan kepimpinan UMNO/ BN di beri amaran agar jangan menipu rakyat dan digesa memberi penjelasan segera kepada rakyat Terengganu berkaitan penyelewengan yang berlaku dalam penganjuran Piala Monsun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi Ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Burok, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai, dekat sini, semalam.

“Saya juga ingin memberi amaran kepada beliau jangan menipu rakyat negeri Terengganu.

“Sila beri penjelasan kepada rakyat negeri Terengganu berapa banyak yang telah dibelanjakan untuk menjayakan program Monsun Cup ini daripada wang kerajaan negeri Terengganu.

“Saya minta dia beri penjelasan sebuah syarikat yang diwujudkan iaitu T-Best Event Sdn Bhd yang mana Anggota Lembaga Pengarahnya, terdiri dari pemimpin-pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu termasuk Dato’ Wan Hisham sendiri yang terlibat,”katanya yang juga selaku anggota Jawatankuasa PAS PUsat yang mengetuai Lanjah Antarabangsa

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Pengerusi T-Best Event Sdn Bhd, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh agar pihak pembangkang tidak mempolitikkan isu Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang diadakan di Pulau Duyong sejak tiga tahun lalu.

Dr. Syed Azman turut mempersoalkan apa kaitannya antara Syarikat T-Best Event Sdn Bhd itu dengan kerajaan negeri Terengganu.

”Berapa banyakkah peruntukkan yang mereka (T-Best) minta atau dapat setiap tahun bagi menjayakan program tersebut daripada kerajaan negeri Terengganu sendiri kepada T-Best Sdn. Bhd?

“Tidak timbul persoalan dia (Wan Hisham) kata Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah ‘membebaskan’ dan tidak berlaku penyelewengan!,

“Apakah penganjuran Piala Monsun itu menguntungkan rakyat negeri Terengganu, sedangkan pada masa sama, beberapa orang individu pemimpin-pemimpin UMNO/BN Trengganu yang terlibat menjadi penganjurnya, tiba-tiba menjadi senang lenang,”katanya yang juga selaku anggota Jawatankuasa PAS peringkat Pusat.

Menurutnya, PAS tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan yang boleh dijayakan di negeri Terengganu.

“Kita (PAS) tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan yang boleh dijayakan di negeri Terengganu.

“Tetapi kita (PAS) akan terus menentang sebarang bentuk penyelewengan dan pembaziran dan sebarang bentuk program yang tidak menguntungkan rakyat negeri Terengganu.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Penaja Parti Tindakan Demokratik (DAP), Kuala Terengganu, Ng Chai Hing turut mempersoalkan penganjuran perlumbaan perahu layar tersebut.

Beliau berkata walaupun pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) kata tiada penyelewengan, namun tidak nampak sebarang faedah kepada rakyat Terengganu sedangkan perbelanjaan memakan berjuta ringgit.

”Tidak ada peluang berniaga kepada rakyat tempatan dan pekerja-pekerja majoritinya dibawa dari luar,”katanya yang ditemui Buletinonline semalam.

Menurutnya Monsoon Cup adalah satu pertandingan ‘kelas tinggi’ (high class) dimana rakyat jelata diperingkat bawahan tidak mndapat apa-apa faedah.

“Golongan berada sahaja yang dapat menikmati sukan ini, masyarakat yang bawahan dan masyarakat umum langsung tidak mendapat apa-apa,” tambahnya.

Rakyat Telemong Tanpa Pembelaan, UMNO Hulu Sibuk Berlawan

Hulu Terengganu – Tidak sampai tempoh seminggu, UMNO Hulu Terengganu bakal ‘berentap’ yang menyaksikan pertembungan sengit bagi kedua-dua jawatan utama, Ketua dan Timbalan.

Pada tanggal 25 Oktober ini, penyandang ketua, Dato’ Tengku Putera Awang akan dicabar oleh Ahli Parlimen Mohd Nor Othman, manakala Dato’ Rosol Wahid akan dicabar oleh ‘anak muridnya’, Rozi Mamat bagi jawatan timbalan.

“Ada yang macam ibu ayam kehilangan anak. Ke sana kemari tidak menentu,
“apa pun yang penting ialah kita mahu pilih pemimpin masa depan, bukan memilih siapa yang hulur lebih.
”Jika kita salah pilih percayalah umur UMNO tidak akan panjang” kata seorang pemimpin UMNO Hulu Terengganu dalam blognya yang membayangkan kesibukkan mereka.

Pasti banyak banyak wang yang ditabur untuk memancing undi sebagaimana yang dimaksudkan ‘siapa yang hulur lebih’ dalam catatan bekas Exco negeri Terengganu itu.

Dalam keadaan yang berbeza, Mamat Putih, 52, dari Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong berkata sehingga kini, tidak ada kunjungan dari wakil rakyat atau pihak UMNO yang menjenguk abangnya yang sakit.

Abangnya, Musa Ismail, 65, yang lumpuh seluruh badannya kerana mengalami ‘stroke’ sejak 3 bulan yang lalu, kini terlantar dirumahnya.

Mamat berkata usaha untuk berubat dengan cara ‘hospital’ dan tradisional serta makan minum abangnya diusahakan oleh anak-anak.

Seorang lagi warga emas, Nik bt Ismail, 80, dari kampung yang sama, sudah tidak dapat melakukan aktiviti harian dan mengharapkan ihsan sahabat handai dan kaum keluarga.

Keadaan rumahnya terlalu uzur jika dibandingkan dengan ‘monumen-monumen’ di Taman Tamadun Islam yang membelanjakan wang rakyat sebanyak RM 250 juta.

Di Kampung Lubuk Batu, dalam daerah yang sama, Raja Ahmad bin Raja Hassan, 51, seorang bekas buruh kontrak, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kini hanya boleh ‘mengesot’ kerana kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis.

”Tak dapat lagi bantuan kebajikan, sekarang harap kepada isteri menoreh getah untuk menyara kehidupan sekeluarga,”katanya ketika ditemui Buletinonlne dirumahnya, kelmarin.

Isteri Raja Ahmad, Zaharah bt Othman, 47, kini terpaksa menyara empat orang anak yang masih bersekolah, termasuk seorang yang dikategorikan sebagai kurang upaya (bisu).

Justeru itu, sempena Aidil Fitri dan bulan Syawal yang mulia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Terengganu, mengambil inisiatif mengadakan program ziarah dan memberikan sumbangan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong.

Menurut Ketua Bahagiannya, Narawi Embong, 43, program tersebut adalah program tahunan beliau yang diadakan sejak lama dahulu.

”Saya orang berniaga disini (Kuala Telemong), sejak berpuluh tahun, saya lihat ramai orang masih susah dan perlukan bantuan,
”ada kes seorang ibu tunggal yang terpaksa menanggung tujuh anak, tak dapat pembelaan dari kerajaan,
“saya bantu mereka setakat yang saya mampu,”katanya selepas mengagih-agihkan bantuan berbentuk ‘hamper’, kepada enam keluarga yang tidak bernasib baik.

Hadir sama dan turut menyampaikan sumbangan adalah Cikgu Fariz Musa, Ketua Angkatan Muda (AMK) Terengganu dan Mohd Ridzwan Embong, Ketua AMK Hulu Terengganu.

Dalam Pilihanraya Umum Ke 12 Mac lalu, Rozi Mamat, UMNO/BN telah memenangi kerusi DUN Telemong menewaskan Engku Abu Bakar dari PKR dengan majoriti 5,983 undi.

Melayu Mudah Lupa Bersama PH

Terdedah kini bahawa Melayu yang menyertai Pakatan Harapan (PH) ialah Melayu yang mudah lupa, khususnya para pemimpinnya juga mudah lupa.