29 November 2008

PRK Kuala Terengganu – UMNO Sukar Tentukan Calon


Kuala Terengganu – Petunjuk berkaitan calon-calon yang akan bertanding untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu mungkin akan diketahui awal minggu hadapan.

Secara rasmi, PAS Terengganu belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan PRK Kuala Terengganu.

Manakala pihak lawan UMNO, menurut Ketua Penerangannya Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, parti itu dijangka akan membincangkan agenda PRK Kuala Terengganu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang akan diadakan pada Rabu ini (3hb).

Namun mesyuarat tersebut mungkin tidak dapat memutuskan calon yang akan bertanding sebagaimana kenyataan beliau yang di petik The Star Online.

Ia adalah kerana menurut Mohammad UMNO juga akan turun ke Kuala Terengganu untuk membuat tinjauan bagi menentukan calon.

“UMNO akan turun ke Kuala Terengganu secepat mungkin untuk melihat apa yang harus dibuat dan tindakan yang akan diambil bagi persiapan memastikan kerusi tersebut dikekalkan oleh Barisan Nasional,”kata beliau di Putrajaya semalam.

Mengulas kenyataan Mohammad, Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat@Ramli berkata tindakan Umno pusat untuk turun ke Kuala Terengganu adalah kerana parti itu dalam keadaan tertekan dan sukar untuk menentukan calon.

Beliau yang juga Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Terengganu berkata masalah perpecahan Umno Terengganu masih belum selesai.

“Pihak yang menyokong Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said, mahukan calon (PRK Kuala Terengganu) dari kalangan mereka,

“manakala pihak yang menyokong bekas Pengerusi, Dato’ Seri Idris Jusoh juga mahukan calon dari kalangan mereka,”kata Hanafiah.

Dalam perkembangan yang sama, Hanafiah berkata PAS Terengganu mungkin akan turut membincangkan perkara berkaitan PRK Kuala Terengganu pada mesyuarat ‘rutin’ Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang dijadualkan pada 6hb depan.

Perkara itu turut disahkan oleh seorang lagi Jawatankuasa PAS Terengganu, Ustaz Mohd Pauzi Muda yang dihubungi semalam.

“Oleh kerana perkara ini (PRK Kuala Terengganu) baru timbul, mungkin akan dibincangkan,”kata Mohd Pauzi.

Bendahari PAS Terengganu Ziarah Ahmad

Kemaman – Bendahari PAS Terengganu, Hj Mohd Abdul Wahid Endut mewakili saf kepimpinan PAS menziarahi Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang kematian ibunya Wook Ali, 88, di rumah barunya di Telok Kalong, dekat sini semalam.

Bersama-sama Hj Wahid adalah Ahli Jawatankuasa PAS Negeri, Hj Hanafiah Mat@Ramli yang turut hadir untuk solat jenazah sebelum jenazah Allahyarhamah dikebumikan selepas Zohor.

Hanafiah berkata beliau mengiringi Wahid bertemu Ahmad mengucapkan takziah dan menyampaikan salam pimpinan PAS yang tidak dapat hadir.

“Saya hadir mengiringi Hj Wahid semasa solat jenazah dan kemudian menyampaikan ucapan takziah kepada Ahmad serta menyampaikan salam pimpinan PAS,

“Ahmad menepuk-nepuk bahu saya dan Hj Wahid dan berkata beliau telah pun menelefon pimpinan PAS memberitahu kematian ibunya petang kelmarin (28hb),”kata Hanafiah ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Menurut Hanafiah, Yang DiPertuan Agong,Tuanku Sultan Mizan turut mencemar duli menziarahi Ahmad sebelum itu.

Turut hadir petang kelmarin menziarahi Ahmad adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Hj Ismail Harun (Abang Wei).

Buletinonline difahamkan Allahyarhamah Wook Ali, meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam tadi (28hb) selepas menerima rawatan selama seminggu di Pusat Perubatan Kuantan (KMC) kerana sakit tua.

28 November 2008

Kuala Besut ‘Bandar Mati’ Di Musim Tengkujuh


Kuala Besut – Penganjuran acara-acara antarabangsa seperti Pertandingan Perahu Layar Piala Monsun yang sedang berlangsung di Kuala Terengganu dan Pertandingan Kuda Lasak yang baru tamat di Setiu, tidak membawa impak yang besar kepada kemajuan ekonomi rakyat.


Tinjauan Buletinonline ke bandar ini beberapa hari lalu mendapati Kuala Besut tidak berubah dan tetap menjadi ‘bandar yang mati’, tatkala musim tengkujuh.

Keadaan Kuala Besut terlalu sunyi, amat berbeza dengan suasana beberapa bulan yang lalu ketika musim puncak dengan bunyi enjin bot yang keluar masuk di pintu muara.

Deretan kedai makan disepanjang laluan masuk ke jeti pelancong sibuk melayani pelanggan ketika itu, kini bertukar sebaliknya, dengan hanya sebuah kedai makan sahaja kelihatan meneruskan operasi.

Sementara itu, di hentian kereta sewa Kuala Besut, lebih lapan buah kereta sewa tersadai kerana tiada pelanggan.

Seorang pemandu kereta sewa yang ditemui berkata, sehingga kini pendapatan mereka masih bergantung kepada kedatangan pelancong yang bercuti ke Pulau Perhentian.


Oleh itu, menurutnya, apabila musim tengkujuh tiba, pendapatan mereka merosot kerana pelancong berkurangan.





Berjuta Kutu Beruang Serang Besut dan Setiu

Setiu
– Kerajaan khususnya agensi-agensi berkaitan digesa mencari penyelesaian segera kepada masalah serangan kutu beruang yang kini sudah menjadi ancaman kepada lebih 3,000 penanam padi di daerah Besut dan Setiu.


Sekiranya serangan kutu beruang tidak dapat dikurangkan dan tiada kaedah yang dijumpai bagi mengurangkan populasi serangga tersebut, hasrat kerajaan negeri khususnya Menteri Besar Dato’ Ahmad Said, untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi adalah umpama ‘angan-angan Mat Jenin’.

Timbalan Pengerusi Gerak Tani Sedar Malaysia (Sedar) Tuan Haji Mohamad Said (Gambar kiri) berkata kutu beruang atau nama saintifiknya Scotinophara Coarctata kini sudah sudah berkembang biak dan menjadikan kawasan jelapang tersebut sebagai tempat bertelur.

“Menurut pemerhatian dan maklumat yang diperolehi dari pihak-pihak berkaitan, kutu beruang kini sudah berkembang biak, bertelur dan membiak dicelah-celah rekahan sawah padi dan kebun atau lading sawit berhampiran’” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan sekitar di Kampung Bintang dekat sini kelmarin.

Beliau berkata tinjauan yang dilakukan adalah ekoran dari laporan serangan serangga perosak tersebut yang telah memusnahkan 130 ekar padi dikampung itu.

Katanya tinjauan tersebut juga dibuat bagi mengumpulkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan kerugian yang ditanggung oleh para pesawah dikawasan itu.

“Seramai 53 orang pesawah yang mengerjakan 130 ekar padi telah musnah dalam tempoh yang begitu pantas, tidak sampai dua minggu padi mereka menjadi hangus,”ujar beliau.

Selain itu, katanya, beliau turut membuat pemerhatian dan telah menerima laporan terdapat berjuta-juta kutu beruang kini menyerang bandar Jerteh dan kawasan sekitarnya.

Seorang petani Mustaffa Daud, 40, (Gambar kanan) yang berasal dari Kampung Bintang ketika ditemui berkata kutu beruang terlalu banyak dan ada dimana-mana sahaja.

Selain memusnahkan tanaman padinya, katanya kutu tersebut merimaskan kehidupan terutamanya ditempat yang bercahaya ketika waktu malam.

“Serangan agak teruk berbanding tahun lalu, saya hanya boleh mengutip hasil (padi) satu guni bagi kawasan 3 ekar,

“waktu malam ia suka cahaya, masuk kedalam rumah, mengganggu penduduk berjamaah di masjid.”katanya yang mengusahakan kira-kira kawsan padi seluas 7 ekar.

Seorang kakitangan awam yang ditemui di Bandar Jerteh, Zulkifli Ahmad, 48, berkata kutu beruang terlalu banyak dan merimaskan kehidupan seharian.


“Kalau sembahyang berjamaah dimasjid waktu malam, apabila sujud kutu beruang ada depan hidung atas tikar sejadah,

“pergi ke Bandar waktu malam penuh dengan serangga tersebut, menghurungi lampu termasuk lampu mesin ATM (Juruwang Automatik) di depan bank dan dikedai-kedai makan,”tambahnya.

Seorang pegawai Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (KETARA) mengakui bahawa kutu beruang menjadi ancaman yang besar kepada pesawah padi dan menganggu kehidupan penduduk setempat.

Beliau yang tidak mahu dekenali berkata pihaknya (KETARA) sudah membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat namun tindakan yang akan diambil bagi mengurangkan jumlah kutu tersebut belum diputuskan.

Buletinonline dimaklumkan kutu tersebut boleh dihapuskan dengan meyembur racun disawah padi tetapi air mesti dimasukkan memenuhi sawah tersebut sebelum semburan racun dibuat.

Selain itu, tindakan yang mungkin diambil adalah memerangkap kutu tersebut dengan memasang lampu diatas parit air.

“Kutu beruang amat tertarik dengan cahaya lampu, serangg ayng berkumpul pada lampu yang terletak diatas parit akan jatuh dan dinhanytkan oleh air,”tambahnya.

Tiada Lagi Masjid Hadhari

Jerteh
– Impian bekas Menteri Besar, Dato Seri Idris Jusoh untuk melihat ‘buah tangannya’ masjid indah dan terbesar di bandar ini dinamakan sebagai ‘Masjid Hadhari’ mungkin tidak menjadi realiti. (Gambar - papan tanda Masjid Hadhari telah ditanggalkan)


Buletinonline dimaklumkan hari ini oleh penduduk sekitar masjid tersebut ada pihak yang telah menanggalkan papan tanda besar bertulis ‘Masjid Hadhari’ dihadapan masjid itu baru-baru ini.

Menurut seorang daripada mereka, Mustafa Husin, 67, beliau difahamkan ‘pihak istana’ telah mengarahkan supaya papan tanda tersebut di lenyapkan kerana masjid itu tidak akan dinamakan dengan nama ‘Masjid Hadhari’.

Ada orang tanggalkan ‘label’ masjid hadhari depan masjid baru-baru ini, tak tahu siapa yang tanggalkan,
“tapi mengikut orang ramai, arahan ‘pihak istana’, pasal masjid ini akan diberi nama dengan nama lain,”katanya yang ditemui Buletinonline hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ramli Awang, 58, ketika ditemui turut mengesahkan perkara tersebut namun tidak pasti apakah nama yang akan diberikan kepada masjid yang dikatakan bernilai RM10 juta.


27 November 2008

Terengganu Kini Tempat Orang Bunuh Diri ?


Kuala Terengganu - Ekoran dua kes cubaan bunuh diri yang dilaporkan berlaku di negeri ini baru-baru ini, Terengganu dilihat sebagai ‘tempat bunuh diri’ di kaca mata dunia luar

Yang dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang menafikan perkara tersebut dan menyifatkan bahawa kejadian tersebut hanya suatu kebetulan. (Gambar Atas - kiri adalah senario berlaku di Hulu Terengganu manakala kanan adalah cubaan bunuh diri yang berlaku di Kuala Terengganu)

‘‘Saya yakin ia tidak menjejaskan nama baik Terengganu, ia hanyalah satu kes kecil daripada keseluruhan rakyat negeri ini,” katanya yang dipetik media perdana semalam

Walau bagaimana pun, pada masa yang sama beliau mengakui kerajaan Terengganu bimbang dengan dua kejadian cubaan bunuh diri secara berturut-turut, seolah-olah menjadi ‘trend’ ikutan masakini.

‘‘Walaupun ia hanya kes terpencil namun kerajaan memandang berat kes itu kerana ia membabitkan perilaku yang tidak bermoral yang bertitik-tolak kurang ajaran agama dan keruntuhan keluarga.

Ahad lalu, 23 November, seorang wanita yang juga merupakan isteri kedua cuba membunuh diri mahu terjun dari sebuah bangunan setinggi empat tingkat di Jalan Batu 24, Kuala Berang.

Wanita terbabit, Puan Zaitun Mamat, 39, dari Kampung Getang Hulu Terengganu dikatakan mengalami tekanan jiwa kononnya diabaikan oleh suaminya.

Beliau nekad terjun dari bangunan tersebut sambil mengacukan sebilah pisau bagi mencederakan dirinya sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Sebelum itu pada Jumaat, 21 November, seorang gadis berusia 18 tahun cuba membunuh diri dengan mengugut terjun dari tingkat10 sebuah hotel di sini

Tindakan nekad gadis yang berasal dari Kuantan yang bekerja di sebuah ‘salun kecantikan’ diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat setelah pengsan akibat keletihan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah ketika mengulas kes yang berlaku di Hulu Terengganu berkata ia adalah yang pertama berlaku sejak enam bulan beliau bertugas di Kuala Berang.

“Ini kes yang pertama sejak enam bulan saya bertugas di sini (Kuala Berang) dan saya rasa ini ‘jangkitan’ dari kes di kuala Terengganu. ‘Drama’ bersiri untuk bunuh diri,” ujarnya pada sidang media di tempat kejadian.

Manakala Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah menyifatkan fenomena ‘bunuh diri’ jarang berlaku terutama di Terengganu yang majoriti orang Melayu Islam.

Katanya, orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT tidak akan melakukan perbuatan jenayah yang tergolong dalam perbuatan dosa besar itu.

Justeru beliau menggesa supaya kerajaan mengutamakan pendidikan Islam yang sempurna kepada seluruh rakyat.

Menurutnya, pendidikan agama yang sebenar amat penting bagi melindungi rakyat dari perbuatan yang sia-sia itu.

Beliau berpendapat agenda Islam Hadhari yang dicanangkan oleh para pemimpin Umno-BN semakin merosakkan akhlak dan nilai moral rakyat di negeri ini terutama di kalangan orang Melayu Islam.

Negeri Terakhir Bentang Bajet


Kuala Terengganu – Terengganu merupakan negeri terakhir membentangkan bajet untuk tahun 2009 kerana pihak kerajaan negeri tidak pasti berapa pendapatan yang akan diterima.


Bendahari PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama,
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedua Belas akan diadakan pada 14 hingga 18 Disember depan.

Beliau yang juga anggota DUN yang mewakili Wakaf Mempelam sejak tahun 1986 berkata kerajaan negeri terpaksa mememilih tarikh tersebut kerana sudah terlalu lewat.

“Semua negeri-negeri lain baik yang diperintah oleh Pakatan Rakyat atau pun Barisan Nasional telah selesai membentangkan bajet 2009 masing-masing,

“Terengganu terpaksa buat terlalu lewat sehingga minggu kedua bulan Disember dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini,

“Ini berlaku kerana tidak pasti berapakah ‘penerimaan bukan hasil’ dari dana ehsan yang akan diterima dari kerajaan pusat,”katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pra-sidang DUN wakil-wakil PAS di pejabat PAS Terengganu baru-baru ini.
Oleh itu, menurutnya kerajaan negeri tidak dapat menyediakan bajet tersebut kerana hasil yang dijana dalam negeri sendiri tidak mampu untuk menampung perbelanjaan.

Katanya kerajaan negeri memperolehi hasil cukai dan bukan cukai sebanyak RM140 juta pada tahun 2006 dan RM162 juta pada tahun 2007 berbanding perbelanjaan sebanyak RM 1.4 bilion pada tahun 2006 dan RM1.5 bilion pada tahun 2007. (Jadual dibawah)

“Bila tak pasti berapa banyak kerajaan pusat akan beri, Terengganu tak dapat buat bajet kerana perbelanjaan Terengganu terlalu banyak, 10 kali ganda berbanding hasil,”ujarnya.

Menyentuh tentang soalan-soalan yang akan dikemukakan dalam sidang DUN akan datang, beliau berkata sebanyak 74 soalan lisan dan 35 soalan bertulis yang dikemukakan.

“Sidang DUN kali ini agak panjang, kita (PAS) harap soalan-soalan yang dikemukakan tidak ditolak kerana ia melibatkan kepentingan rakyat,

“kita juga berharap kerajaan menjawab dengan jujur dan memberikan jawapan yang telus ada penanggungjawaban, bukan hanya sekadar menjawab tetapi ‘susup’ (sembunyikan) fakta,”tambahnya

26 November 2008

OKU Taman Rahmat Pula Akan Dihambat Oleh Kerajaan UMNO/BN

Marang – Setelah tidak mempedulikan nasib yang bakal menimpa anak yatim di asrama Darul Iman, kerajaan UMNO/BN Terengganu akan menghambat Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal di rumah OKU Taman Rahmat, Pulau Kerengga dekat sini.

Dalam tempoh tidak sampai sebulan Kerajaan menyerahkan pentadbiran asrama anak yatim Darul Iman kepada Perkaya, Asha’ari Idris bercadang untuk menghambat keluar penghuni cacat dan miskin dari Taman Rahmat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri mahukan semua penghuni di Taman Rahmat kembali ke tempat asal masing-masing, setelah 28 tahun tahun tinggal di pusat tersebut.

Mesyuarat Pembangunan Semula Komuniti Taman Rahmat yang dipengerusikan oleh Asha’ari pada 12 Ogos 2008 lalu pengerusinya, Asha’ari Idris memutuskan 239 orang penduduk taman tersebut keluar kerana menurutnya konsep asal penempatan itu adalah bersifat sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Penghuni Taman Rahmat, Tahir Musa, 57, merasa bimbang, sedih dan terharu dengan tindakan kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, tindakan tersebut bermakna semua penghuni yang menetap disitu sejak 28 tahun lalu akan dikeluarkan dan diminta kembali kepada komuniti masing-masing.

“Saya cukup bimbang, sedih dan terharu dengan nasib golongan OKU, orang cacat dan miskin yang akan ‘dihalau’ keluar dari tempat tinggal ini.

“Kami semua tidak ada tempat tinggal lain. Ke mana kami semua hendak pergi termasuk jika kerajaan tidak memberi tempat baru,” ujarnya.

menurutnya majoriti penghuni di Taman Rahmat yang hidup bersama selama 28 tahun telah menjadi satu keluarga dan tidak lagi mempunyai tempat tinggal lain.

Katanya, penghuni terbabit tidak bersetuju serta menentang cadangan kerajaan negeri mahu mengeluarkan merka dari Taman Rahmat walaupun secara berperingkat.

Seorang penghuni taman itu, Mohd Tahir Ismail, 52, yang cacat penglihatan mempunyai empat anak tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan dan merasakan seolah-olah kerajaan mahu menghalau mereka.

beliau berkata mereka tidak mempunyai tempat tinggal lain dan ada yang langsung tidak mempunyai kaum keluarga serta sanak-saudara lagi.

Menurutnya, cadangan tersebut jika dilaksana menyebabkan penghuni OKU dan orang miskin bakal menjadi pengemis atau ‘kutu’ rayau.

“Saya dan penghuni Taman Rahmat ini tidak ada tempat tinggal lain lagi dan ada di kalangan kami yang langsung tidak punya saudara-mara.

“Kami tidak mampu lagi hendak jadi macam ‘kutu’ rayau, mengemis di jalanan kerana sudah tua dan uzur,” ujarnya.

Beliau merayu kerajaan negeri membuat pertimbangan waras dan bukan hanya memikirkan keuntungan dari projek yang bakal dilaksanakan.

Seorang lagi penghuni, Hashim Omar, 51, yang cacat anggota kaki tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi menanggung lapan orang anak sekeluarga.

Beliau berkata tiga dari lapan orang anak-anaknya turut menerima nasib sama mengalami kecacatan sejak dilahirkan terdiri dua lelaki dan seorang perempuan.

“Jika kami semua diminta keluar dari Taman Rahmat yang diduduki sejak 28 tahun lalu tanpa memberi penempatan baru.

“Kami semua anak-beranak akan jadi ‘pelarian’ di negeri sendiri oleh kerajaan sendiri,” katanya.

Beliau dan semua penghuni Taman Rahmat merayu agar kerajaan negeri segera meluluskan Lesen Menduduki Sementara (LMS) ke atas tempat tinggal sekarang.

Manakala, rakannya Che Ibrahim Che Man, 54, mendakwa enam dari 9 orang anaknya turut menerima nasib kecacatan sejak dilahirkan.

“Saya mempunyai anak paling ramai dalam keluarga penghuni di Taman Rahmat ini tetapi enam dari 9 orang anak saya juga cacat dan OKU,” ujarnya.

Oleh itu, katanya jika kerajaan negeri mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin diharapkan tidak ganggu kehidupan penghuni berkenaan.

Beliau turut memohon simpati mana-mana pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau media untuk tampil membantu.

Katanya, semua penghuni di Taman Rahmat ini lemah dan tidak mampu berdepan dengan situasi yang tertekan serta mempunyai masa depan agak gelap.

Buletinonline dimaklumkan seramai 39 penghuni Taman tersebut adalah cacat penglihatan, 72 terdiri Orang Kurang Upaya (OKU), lima orang ibu tunggal manakala 10 orang adalah warga emas yang dhaif.

Difahamkan mereka telah menghantar surat memohon satu pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said tetapi tidak dilayan serta gagal mendapat jawapannya.

JKKK Menjadi Tok Dalang

Kuala Nerus – Pelbagai kezaliman yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampong (JKKK) tehadap rakyat Terengganu yang tidak berdosa.

Terbaru, seorang mangsa kebakaran Puan Zaharah Wan Endut, 51, dari Kampung Bukit Tunggal mendakwa pihak JKKK menjadi dalang yang menghalang keluarganya mendapat bantuan Tabung Darul Iman (TDI).

Warga emas berkenaan telah kehilangan harta benda apabila rumahnya terbakar kira-kira jam 12.00 tengahari 6 Mac lalu.

Menurutnya kebakaran yang memusnahkan seluruh rumah dan peralatannya mengakibatkan beliau menanggung kerugian kira-kira RM 70,000.00, disyakki berpunca dari litar pintas.

“Kami orang susah pergi jumpa JKKK di kampung ini untuk tandatangan borang bantuan Tabung Darul Iman (TDI) tetapi pengerusinya tidak mahu layan kerana (perbezaan fahaman) politik.

“Dia (pengerusi JKKK) kata, saya orang PAS sebab tidak pernah hadir ke majlis anjuran Umno di kampung ini,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata borang permohonan bantuan TDI tidak ditandatangani oleh pihak JKKK berkenaan tetapi terpaksa membuat permohonan melalui saluran lain.

Katanya, beliau bukan sngaja tidak mahu hadir program anjuran Umno namun kesibukan mencari rezeki tambahan dengan menjual goreng pisang setiap petang menghalangnya berbuat demikian.

Akibat kebakaran itu, menurutnya, tujuh ahli keluarganya termasuk anak dan cucunya kini terpaksa menumpang teduh di rumah saudara mara.

Justeru, beliau merayu mana-mana pihak yang prihatin dan bersimpati dengan nasib keluarganya boleh menghanatar sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Zaitun Wan Endut: A/C-1110329846597865.

Tabung Darul Iman (TDI) adalah sebuah tabung kebajikan bagi membantu mangsa-mangsa yang dilanda bencana, ditubuhkan semasa kerajaan PAS Terengganu (1999-2004).

Menurut rekod, ketika Umno mengambilalih tabung tersebut pada Mac 2004, Tabung tersebut mempunyai baki melebihi RM2 juta.

Buletinonline difahamkan, tabung itu kini ‘kering kontang’ setelah semua wangnya ‘habis licin’ dibelanjakan oleh kerajaan ahli-ahli yang berhormat dari kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

24 November 2008

Sikap Double Standard MAS Terhadap Islam Di Kesali

Kuala Terengganu – Sikap ‘Double Standard’ pengurusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) terhadap perlaksanaan hukum-hukum Islam dalam syarikat penerbangan nasional itu amat dikesali.

MAS bersifat ‘talam dua muka’ dengan ‘mengharamkan’ pemakaian tudung kepala dikalangan kakitangan wanita, namun demikian berupaya pula memberikan khidmat peramugari yang memakai tudung untuk penerbangan Haji.

“Malaysia yang mengaku sebagai sebuah ‘Negara Islam’ sepatutnya mencontohi Penerbangan Antarabangsa Pakistan (PIA) dan Penerbangan DiRaja Brunei (Brunei Royal) yang mewajibkan peramugari memakai tudung,

“namun MAS telah meletakkan peraturan ‘mengharamkan’ peramugarinya memakai tudung sebaliknya boleh pula dilaksanakan untuk beri khidmat kepada bakal-bakal haji yang naik kapalterbang untuk menunaikan fardhu Haji,”kata Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik.

Beliau kesal dengan pihak pengurusan tertinggi MAS khususnya Ketua Pegawai Operasi MAS, Dato’ Idris Jala sepatutnya mengetahui sensitiviti ini.

Menurutnya dengan menyediakan khidmat peramugari bertudung untuk penerbangan haji bermakna MAS berupaya memberikan khidmat selaras hukum Islam.

Katanya PIA dan Brunei Royal tidak menerima apa-apa kesan dari pelbagai bangsa dan ugama yang menaiki pesawat penerbangan tersebut walaupun peramugari mereka bertudung,

“ini menunjukkan bahawa ‘bertudung’ merupakan kod etika pakaian Islam yang diterima oleh universal,”katanya

Selain itu, perkara yang lebih buruk, kata beliau, MAS masih menyediakan ‘arak’ sebagai minuman yang ditawarkan kepada pelanggannya.

“arak boleh membahayakan bukan sahaja kepada orang yang minum, tapi kepada penumpang dan kapalterbang, bila minum arak, mabuk, macam-macam boleh berlaku,”kata beliau.

Katanya PAS sudah lama menyuarakan dan menentang perkara ini dan berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan sewajarnya.

JHEAT lembab, tidak proaktif selesai isu Ayah Pin kata Ahmad Said

Kuala Terengganu - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said hari ini membidas Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) yang disifatkannya tidak proaktif dan lemah dalam bertindak, terutama berhubung isu pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin

Beliau berkata, tindakan membiarkan Ayah Pin atau Ariffin Mohamad bebas sehingga menimbulkan kerisauan di kalangan orang ramai adalah tidak wajar.

"Dia (Ayah Pin) perlu ditangkap dan didakwa mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah," katanya sebagaimana di laporkan Berita Online

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan Ayah Pin baru-baru ini pulang ke Terengganu dari Selatan Thai tetapi JHEAT tidak membenarkan polis menahannya

23 November 2008

Kesan Krisis Kewangan Dunia - Industri di Terengganu Bakal Menghadapi Zaman Gelap

Kemaman - Industri di Terengganu bakal mengalami zaman gelap akibat kesan krisis kewangan dunia yang mula dirasai oleh pemain-pemain industri yang berpengkalan di Kerteh dan Telok Kalong dekat sini.


Beberapa kilang gergasi pengeluaran seperti Tioxide dan Polyethylene dimaklumkan kini mengurangkan operasi pengeluaran masing-masing.

Antaranya hanya meneruskan pengeluaran melalui satu saloran pengeluaran sahaja berbanding sebelum ini yang menggunakan empat saluran pengeluaran


Seorang pekerja kilang Tioxide yang mahu dikenali sebagai Salim Mahmud memberitahu pengeluaran bahan dioksida dari kilang tersebut terpaksa di kecilkan skalanya kerana permintaan terhadap barang tersebut semakin mengecil.

Menurutnya pesanan baru dari pasaran tempatan dan luar Negara tidak diterima menyebabkan hasil produk itu terpaksa disimpan didalam gudang.

Katanya pihak pengurusan kilang tersebut mengibaratkan perjalanan industri itu umpama memandu kereta dengan cermin hadapan yang gelap.

“Pihak pengurusan tertinggi memberitahu sekarang macam memandu kereta dengan cermin hadapan yang gelap,

“pemanduan kini hanya dengan melihat cermin sisi dan cermin belakang,”ujarnya membayangkan industri tersebut sedang menghadapi keadaan masa depan yang tidak menentu.

Justeru, beliau dimaklumkan kini pihak pemgurusan kilang sedang berikhtiar bagaimana untuk memastikan pengeluara terus berjalan bagi menyelamat pekerja dan kakitangan tersebut dari diberhentikan.

Selain dari itu beliau berkata beliau diberitahu oleh beberapa pekerja kilang Polyethylene juga menghadapi masalah yang sama.

Pengeluaran kilang tersebut juga dimaklumkan telah mengambil langkah mengurangkan pengeluarannya.

Oleh itu menurut Salim, sekiranya kerajaan Terengganu tidak membuat keputusan segera menghadpi krisis

Ekonomi, ia akan menyebabkan pengangguran meningkat akibat dari pemberhentian pekerja-pekerja kilang tersebut



Madrasan Al-Ansar Perlu Bantuan

Hulu Teregganu - Madrasah al-Ansar Kampung Basung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Telemung dekat sini memerlukan sokongan orang ramai bagi menyiapkan pembinaannya yang kini sudah mencapai 60%.

Timbalan Pengarah madrasah, Mamat Mat Min, berkata, sumbangan derma dan sedeqah dari orang ramai perlu bagi menyiapkan segera madasah tersebut bagi melicinkan lagi usaha dakwah dan tarbiah.

Beliau berkata pelbagai program telah dijalankan di madrasah al-Ansar antaranya siri kuliah yang dikendalikan oleh Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.

Katanya selain itu, kuliah ia juga menjadi pusat aktiviti kem tahfiz hujung minggu dan kem masa cuti yang melibatkan para pelajar sekitar Dun Telemong.

Katanya lagi pembinaan madrasah yang dilaksanakan secara bergotong royong telah membelanjakan kos kira-kira RM500,000 daripada kos keseluruhannya yang dianggarkan RM1juta.

Dalam usaha meningkatkan fungsi madarasah tersebut sebagai pusat ilmu setempat, beliau berkata, pihak madrasah membeli sebidang tanah bersebelahan dengan harga RM50,000 untuk dibina tempat penginapan para pelajar.

Justeru itu, beliau menyeru orang ramai, yang ingin menghulurkan derma sedeqah dan lain-lain boleh berbuat demikian ke dalam akaun Madrasah Al-Ansar di Bank Muamalat yang bernombor 13010053183729.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubunginya di talian 019-9622834 atau Khairuddin (setiausaha) 019-9650031.

Wanita Berjiwa Kental Sentiasa Mendepani Cabaran

  Oleh : Aqilah Mohd Jafri / Gambar : Hajar Kamarudin  MARANG - Wanita berjiwa kental dengan semangat perjuangan dalam mendepani cabaran sej...