28 Februari 2013

Majlis Industri Buku Kesal Penyelewengan BB1M

Kami, Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) yang mewakili persatuan-persatuan dalam  industri buku di Malaysia Menyokong penuh atas inisiatif dan usaha kerajaan memberikan Baucar Buku (BB1M) kepada pelajar-pelajar di peringkat pengajian tertiary yang berjumlah 1.3 juta dan melibatkan  perbelanjaan kerajaan sebanyak RM325 juta.

Pemberian Baucar Buku ini merupakan inisiatif tahun kedua yang bertujuan mengurangkan bebanan kewangan para pelajar untuk membeli buku-buku rujukan di samping menggalakkan masyarakat membaca. Di samping itu, bagi memastikan pelaksanaan BB1M mencapai objektifnya maka pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan Garis Panduan Baucar Buku 1 Malaysia.

Antara lainnya menjelaskan bahawa para pelajar boleh menggunakan Baucar Buku ini untuk membeli buku-buku rujukan sahaja kecuali bagi menggenapkan pembelian maka pelajar-pelajar dibenarkan membeli alat-alat tulis.

Namun begitu terdapat penyalahgunaan Baucar Buku tersebut kerana pelajar-pelajar telah dibenarkan menukar Baucar Buku tersebut dengan peralatan komputer, telefon    bimbit, pakaian, topup, makanan dan pelbagai lagi. Beberapa kes yang terkesan sehingga kini antaranya adalah:

1. Pameran buku di Politeknik Shah Alam yang mengizinkan penyertaan dan penebusan BB1M dengan aksesori telefon bimbit, komputer, makanan, pakaian dan tudung.
2. Pameran buku di UIAM Gombak yang menawarkan penebusan BB1M dengan    pelbagai gadjet dan barangan IT.
3. Pameran buku di UMP Pahang yang menawarkan penebusan BB1M dengan barangan IT juga aksesori cermin mata.
4. Pameran buku di UTM Skudai yang menawarkan penebusan BB1M dengan pelbagai gadjet komputer dan IT.
5. Pameran buku di UiTM Sri Iskandar dengan hanya 4 gerai penerbit buku dan lebih 10 gerai yang menawarkan  pakaian, tudung dan pelbagai barangan lain untuk penebusan BB1M.

Ini adalah hanya sebahagian daripada salah guna BB1M yang telah berlaku dan terus berlaku melalui pelbagai pameran buku di IPTA/IPTS dan pelbagai pameran lain.  Banyak kes lain yang   tidak  kami sebutkan di sini.

Justeru itu, Majlis Industri Buku Malaysia dengan ini mendesak supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya segera mengambil tindakan pemantauan bagi memastikan Garis Panduan Baucar Buku 1 Malaysia dipatuhi.

Kami juga menggesa semua IPT, IPTS atau mana-mana pihak yang menganjurkan pameran dan pesta buku untuk penebusan BB1M memastikan bahawa hanya penerbit dan pembekalan bahan yang berkaitan dengan buku dan alat bantuan pengajaran diizinkan mengambil bahagian.

Semua peniaga, pedagang dan pembekal yang mengambil kesempatan untuk menawarkan penebusan kepada mahasiswa/pelajar dengan bahan selain buku dan alat tulis segera menghentikan tindakan mereka dan Mahasiwa/pelajar yang mendapat BB1M menggunakan baucar tersebut secara   bijaksana dengan penebusan sekurang-kurangnya 80% buku dan selebihnya alat  tulis & alat bantuan pembelajaran, mengikut Garis Panduan BB1M yang dikeluarkan oleh KPT.

Kami ingin menyeru agar seluruh lapisan masyarakat bersama-sama mendukung hasrat kerajaan untuk membantu golongan mahasiswa/pelajar mencapai kecemerlangan akademik melalui bahan bacaan yang bermutu.  Laporan kepada pihak berwajib dan tindakan undang-undang  perlu dilakukan jika mana-mana pihak masih terus mengambil kesempatan melalui salah guna BB1M.

Hj Mohd Ramly Hj Ngah Idris
Pengerusi,
Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC)
Bertarikh: 28 Februari 2013.

Mewakili persatuan-persatuan dalam  industri buku di Malaysia iaitu:-

i. Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA)
ii. Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM)
iii. Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA)
iv. Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA); dan
v. Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM)

Bersama Berbakti Dengan Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Dun Jabi

Bergerak di atas konsep bersama kita membantu saudara seperjuangan yang ditimpa ujian dan musibah, Badan Kebajikan dan Khairat Kematian (BKKK) Dun Jabi semakin kukuh mengorak langkah dalam melaksanakan objektifnya setelah menjangkau usia tiga tahun selepas penubuhannya pada 1 Januari 2011. Dengan keahliannya yang kini mencapai angka 400 orang, sepanjang 3 tahun ini, sebanyak RM 20,000 telah dibelanjakan dalam bentuk sumbangan kematian dan RM5,000 dibelanjakan untuk sumbangan-sumbangan kebajikan yang lain.

Fasa tahun pertama penubuhan yang dianggap sukar telah dilalui dengan jayanya terutama untuk pihak Jawatankuasa BKKK Jabi menepis keraguan dan kata-kata sinis masyarakat tentang kemampuan kewangan kami untuk melaksanakan objektif menyumbang RM1,000 bagi setiap kematian ahli dan kita meletakkan sasaran supaya wang sumbangan tersebut dapat diterima waris terdekat sebelum jenazah diusung ke tanah perkuburan.

Berkat kerja keras seluruh jawatankuasa yang terlibat, setakat 3 tahun yang pertama dengan angka 20 kematian ahli dan tanggungannya, janji sumbangan itu mampu dilaksanakan dan dibayar dengan ketepatan 100%.

Kepercayaan masyarakat yang diraih hasil kejayaan ini menyaksikan pertambahan mendadak jumlah keahlian pada tahun kedua penubuhan. Setiap ahli hanya dikenakan yuran tahunan RM10 setahun serta setiap kali berlaku kematian ahli atau tanggungannya, mereka perlu menghulurkan sumbangan RM3 sahaja. Suatu kaedah yang sangat mudah dan praktikal tetapi hasilnya mengkagumkan sehingga menarik minat beberapa orang ahli umno untuk turut mendaftar.

Pernah berlaku kematian seorang ahli di Felda Selasih yang dikenali sebagai lubuk Umno Dun Jabi. Kita hadir menghulurkan sumbangan RM1,000 ketika rumah simati dipenuhi orang-orang kuat Umno Felda. Insiden secara kebetulan ini menjadi buah mulut mereka lantaran di Felda Selasih, mereka juga mempunyai khairat kematian dengan kutipan RM10 setiap ahli apabila  berlaku kematian, tetapi jumlah sumbangan untuk waris simati hanya RM500. Kata mereka… “Orang Pas cuma kutip 3 riyal, mereka boleh bagi 1,000 riyal!”

Fokus BKKK Dun Jabi, bukan hanya setakat dalam hal-hal kematian tatapi menjangkau aspek kebajikan yang lebih luas meliputi sumbangan ketika ahli dilanda musibah dan ujian, sumbangan Ramadhan dan Hari Raya, sumbangan anak-anak yatim dan sebagainya. Kita berhasrat menjadikan BKKK ini jambatan kukuh penghubung antara Pas Dun Jabi dengan masyarakat pelbagai peringkat dengan mempelbagaikan lagi program dan perancangan selaras dengan kemampuan kewangan yang dimiliki. Perancangan terdekat adalah untuk memiliki sebuah van jenazah dan sebuah van pelbagai guna untuk pusat khidmat masyarakat Dun Jabi.

Sumbangan dari para dermawan sangat dihargai dan boleh disalurkan ke akaun MayBank 563046108671 atas nama Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Pas Dun Jabi.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Majli Tindakan DUN Jabi

Haramkah Mengundi PAS?

Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi. Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu.

Mereka  menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram. Jika  PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud. 

Yang dikatakan wajib menyokong Umno ... sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud. Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah  II Kelantan hendak dilaksanakan. Surat itu memberi amaran keras jika  kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras.

Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud. Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan.

Jelas mereka menentang hudud.  Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.

Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka  Umno yang menjadi ketua kepada BN,  dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga.

Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam. Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru  Nabi berperang dengan mereka. Tahaluf itu kerjasama.

Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orang kafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.

Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan? Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu.

Adakah tidak ada orang Islam  yang boleh tolong Nabi sehingga  kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya. Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu? Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah.

Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat.  Apabila Nabi buat,  maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi.  Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu  dosa yang amat besar. Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.

Dato' Dr. Haron Din
Timbalan Mursyidul Am PAS

Pemuda PAS Sokong Tindakan Empat Ahlinya Menegur Provokasi Melampau Umno-BN

- keluarga turut berhimpun beri sokongan moral
MARANG
- Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah memberikan sokongan moral sepenuhnya kepada empat pemuda yang menegur pemimpin Umno memasang kain rentang bersifat provokasi melampau.

Katanya, semua pihak mesti bersikap matang dalam berpolitik dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat.

“Kami (Pemuda PAS) hadir ke balai (IPD) Polis Marang ini untuk sama-sama beri sokongan moral kepada mangsa tahanan reman (kerana fitnah Umno),

“Semua ini tidak berlaku jika pihak Umno-BN bersikap matang dan tidak melakukan provokasi dalam mempamerkan kain rentang atau banner kempen untuk parti mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama para pemuda PAS Kawasan Marang berhimpun memberi sokongan moral kepada empat pemuda terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, pada Rabu 27 Februari.

Turut bersama himpunan tersebut adalah Ketua Pemuda PAS Marang Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pemuda Dun Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan lebih 50 orang ahli keluarga serta kenalan mangsa tahanan reman mangsa fitnah Umno-BN.

Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong berkata, mutakhir ini kejadian provokasi dan pengkhianat semakin menjadi-jadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk dari Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, dakwaan Umno bahawa PAS membenarkan kalimah suci Allah dipergunakan sewenang-wenangnya dalam 'Bible' bahasa Melayu adalah fitnah yang direka-reka.

Laporan Media Tidak Tepat

Sehubungan, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi menafikan laporan media mengaitkan tragedi pergaduhan tersebut kerana PAS tidak berpuas hati dengan penubuhan penaja Umno cawangan Bukit Chempedak.

Katanya, laporan media itu tidak tepat kerana yang menjadi punca adalah pemasangan kain rentang berbentuk provokasi terhadap PAS dalam penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana, laporan media sebelum ini tidak tepat kerana yang menjadi punca pergaduhan itu bukan kerana Umno tubuh cawangan baru. Hakikat sebenarnya, berpunca dari kain rentang atau banner berbentuk provokasi yang dipasang oleh pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kain rentang itu berkait dengan kalimah Allah. Mereka (Umno) kata (tulis) AWAS!!!!!! Anda Undi PAS bermakna Anda Sokong Allah Digunakan Dalam Bable Bahasa Melayu.

“Kita (PAS) akan membuat laporan polis terhadap kain rentang itu dan harap pihak terbabit diambil tindakan sewajarnya,” jelas Muhammad Khalil.

Selepas himpunan sokongan moral tersebut, hubungan itu, para pemuda telah menunaikan solat hajat di Masjid Kijing agar mangsa tahanan reman tersebut diberikan kekuatan dalam perjuangan Islam.

“Kita (Pemuda) akan buat solat hajat di Masjid Kijing yang akan diimamkan oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah. Sebab apa yang berlaku itu, merupakan suatu tindakan dan sikap yang perlu kita ‘respon’.

“Sebab kita (PAS) ‘diserang’ dari segenap penjuru, media massa dan lain-lain. Kita (PAS) hanya berpeluang untuk membela diri kita dalam ceramah dan siri-siri penerangan yang biasa kita lakukan,” ujarnya.

Beliau yang juga Exco Pemuda PAS Terengganu berkata telah banyak kain-kain rentang dikoyak, banner dirosakkan, billboard serta Markaz PAS disimbah cat merah menjadi mangsa pengkhianatan.

Menurutnya, laporan polis turut dibuat dalam beberapa insiden tersebut tetapi hingga kini tidak ada tindakan positif.

Empat Pemuda PAS Direman Kerana Fitnah Pengerusi Penaja Umno

MARANG - Tidak boleh ditegur tindakannya memasang kain rentang yang bersifat 'menghasut' dan provokatif, Pengerusi Penaja Penubuhan Umno Cawangan Bukit Chempedak membuat laporan 'fitnah' kepada polis menyebabkan empat pemuda PAS dari Cawangan Kampung Jerung ditahan reman.

Ramly Abdullah, 53, telah melaporkan kepada polis Marang mendakwa kononnya empat individu terbabit menyerang, mencekik serta membuat ugutan bunuh
serta memfitnah mereka mahu mencederakan ahli keluarganya dan membakar rumahnya.

Menurut saksi, kain rentang tersebut dipasang oleh pihak Umno di beberapa lokasi Kampung Jerung Seberang, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan yang mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli-ahli PAS berkenaan.

Kejadian pertengkaran berlaku kira-kira jam 6.30 petang 25 Februari lalu, apabila empat individu terbabit ke rumah Ramly untuk berbincang agar kain rentang tersebut diturunkan kerana berunsur provokasi.

Namun, katanya berlaku sedikit ketegangan tetapi tidak sampai mencetuskan keganasan atau ugutan bunuh seperti dilaporkan pihak media.

Seorang saksi yang enggan disebut namanya berkata pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak terbabit tidak seteruk yang dilaporkan kepada pihak polis.

“Saya ada di tempat kejadian dan melihat mereka (suspek dan Ramly) ‘berbalah’ (bertengkar) mulut dan tidak ada langsung kejadian mencekik, menampar isteri mangsa atau mengugut bunuh.

“Saya tidak terlibat secara langsung tetapi datang (ke rumah Ramly) untuk melihat apabila berlaku pertengkaran mulut antara mereka itu,” jelasnya yang tidak mahu dkenali

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi bagi pihak tertuduh jika berlaku pendakwaan serta perbicaraan di mahkamah.

Para pemuda PAS yang ditahan adalah Roslam Abdullah, 35, Rosdi Abdullah, 34, Muhammad Lukman Abdullah, 28, merupakan adik-beradik yang ditahan reman selama lima hari, termasuk seorang lagi rakan mereka adalah Muhamad Musa, 38.

Selepas kejadian tersebut dipercayai pihak terbabit segera menurunkan kain rentang berkenaan yang jelas tertera logo Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk lambang 1Malaysia.

27 Februari 2013

Luahan Hati Seorang Guru Di Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia

Saya adalah seorang guru yang telah berkhidmat di sekolah Kementerian Pelajaran selama lebih 10 tahun. Selama 10 tahun tersebut, saya telah mengajar sebanyak lima buah sekolah. Sekolah pertama saya ialah di Sabah. Sekarang saya telah berpindah ke Semenanjung dan bertugas di salah sebuah sekolah harian yang berada di pinggir sebuah bandar di semenanjung.

Selama saya bertugas di sekolah ini,  terlalu banyak masalah yang saya hadapi dan para guru yang lain juga menghadapinya. Ini adalah suasana sebenar apabila berdepan dengan pengurusan dan pentadbiran di mana-mana sekolah di bawah Kementerian Pelajaran. Masalah yang didapati hampir serupa sahaja di sekolah yang berada dalam kawasan kampung yang diuruskan oleh Jabatan Pelajaran di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Apa yang saya hadapi hari demi hari dalam masa bertugas di sekolah ini ialah rasa bosan yang teramat sangat. Rakan-rakan guru yang lain juga memberikan respon dan jawapan yang sama apabila mereka memikirkan apa yang sedang dihadapi. Andaikata terdapat kerja lain yang lebih sesuai dengan jiwa dan perasaan saya, sudah lama saya berhenti dari menjadi guru. Semua aktiviti dan P&P di sekolah amat menjemukan dan mengundang rasa malas dan bosan untuk melaksanakannya, tambahan pula dalam suasana PRU 13 yang semakin hampir. Ini kerana masing-masing guru merasa tidak sabar ingin mengecapi perubahan yang bakal dilakukan oleh kerajaan baru yang diharapkan dapat mengambil alih kerajaan sedia ada agar segala pengurusan sekolah menjadi lebih baik.

Berbalik kepada suasana dan keadaan di sekolah, suasana pelajar yang tidak berdisiplin ketika berada di dalam kelas dan di dalam kawasan sekolah amat ketara. Tidak sedikit pelajar yang menghisap rokok, berambut panjang, memakai rantai datang ke sekolah, memakai seluar koyak dan ketat, mempamerkan keadaan pakaian dan penampilan yang kotor dan tidak terurus, berkumpul dan lepak di tandas pada waktu rehat hatta pada waktu P&P, bebas keluar masuk kelas dan keluar masuk dari kawasan sekolah serta merayau-rayau di luar kelas tanpa sebarang aktiviti manfaat yang dilakukan. Semua ini perkara biasa yang kami alami dan kami hadapi setiap hari pada masa bertugas. Keadaan ini amat menyakitkan hati kami dan menggugat kewibawaan kami sebagai seorang guru.

Masalah ini disebabkan disiplin dan peraturan sekolah yang terlalu lemah dan longgar. Pelajar sudah mula pandai melawan guru, tidak hormat kepada guru dan memperleceh guru. Pelajar bermasalah tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berwajib yang seolah-olah membiarkan sahaja ianya terus berlaku, bahkan guru pula yang ditukarkan ke sekolah lain. Pernah suatu ketika, pelajar melawan dan memukul guru kerana guru tersebut menegurnya kerana membuat bising sewaktu peperiksaan percubaan SPM sedang berjalan, pelajar tersebut mengejar guru hingga ke dalam kereta.

Apabila hal ini dibawa ke dalam mesyuarat disiplin, guru yang terlibat akhirnya ditukarkan ke sekolah lain, sedangkan pelajar hanya digantung sekolah selama dua minggu. Ini menampakkan bahawa kesilapan guru lebih besar dari kesilapan pelajar dari sudut peraturan Kementerian Pelajaran, yang dikatakan langsung tidak membela guru tetapi membela pelajar yang melakukan kesilapan. Begitu juga hukuman merotan pelajar, terlalu banyak pengecualiannya dan hanya dibenarkan kepada Pengetua dan guru disiplin sahaja. Merotan pula hanya boleh dijalankan di tempat yang tertutup.

Suatu ketika, guru Kemahiran Hidup yang sudah 10 tahun pengalaman mengajar, tetapi ditukarkan ke sekolah lain dan diganti dengan guru baru posting yang tiada pengalaman. Guru tersebut cuba membetulkan pentadbir dalam pengagihan peruntukan panitia yang didapati mahu digunakan dan dialihkan oleh pentadbir untuk tujuan lain. Hasilnya guru tersebut dituduh melawan pihak pentadbir dan akhirnya ditukarkan ke sekolah lain. Ini menyebabkan para pelajar  tidak dapat menimba ilmu yang sepatutnya dari guru yang berpengalaman tersebut. Pentadbir memberi alasan yang tidak munasabah mengapa guru yang begitu jauh dan lama pengalamannya dipilih untuk ditukarkan dan diganti dengan guru lain yang baru setahun jagung, sedangkan kerja guru tersebut di sekolah amat cemerlang dan baik serta pengajarannya  amat memuaskan.

Guru-guru dan pentadbir sentiasa bergaduh dan sentiasa tuduh-menuduh, fitnah memfitnah, menceritakan dan menyampaikan keburukan sesama mereka sehingga menyebabkan guru menjadi tension untuk mengajar dan menjalankan tugas. Guru-guru seolah-olah tidak mahu mematuhi arahan pentadbir disebabkan sikap pentadbir (pengetua) berat sebelah dan tidak professional terhadap guru yang selalu menyalahkan guru dalam apa jua masalah yang berlaku.
Guru Cemerlang yang suka menghina dan memperlekeh guru-guru lain menyebabkan budaya berkelompok wujud di kalangan para guru dan kerja berpasukan (teamwork) hilang. Guru-guru biasa merasa terhina dan tertekan dengan sikap Guru Cemerlang di sekolah berkenaan. Para pelajar mengadukan hal ini dan mengatakan sebahagian guru menceritakan perihal guru-guru lain semasa berada di dalam kelas.

Pentadbir membuat aduan kepada PPD untuk menyalahkan guru kerana prestasi yang buruk sedangkan pentadbiran yang bercelaru dan berkecamuk menyebabkan prestasi pelajar merosot. Hasilnya PPD datang dan memberi amaran serta memarahi guru-guru yang tidak bersalah. Guru merasa tertekan dengan sikap pentadbir.

Pentadbir menghina dan memperlekehkan kemampuan guru-guru yang telah dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengatakan guru-guru tidak memberi sebarang keuntungan dan kebaikan kepada sekolah, sedangkan setiap hari guru datang ke sekolah untuk mengajar. Penghinaan tersebut menyebabkan guru tiada mood untuk mengajar. Pentadbir didapati memberi hadiah kepada guru-guru tertentu sahaja yang rapat dan sentiasa bersama dengannya, manakala guru-guru lain dihina begitu teruk sekali sehingga dikatakan tidak memberi apa-apa sumbangan kepada pihak sekolah. Ini menunjukkan sikap seorang pentadbir yang amat tidak professional.

Pentadbir sekolah mengatakan mana-mana guru yang tidak suka berada dan mengajar di sekolah itu hendaklah berpindah ke sekolah lain. Ini amat mengecewakan para guru kerana semua guru telah pun mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendidik dan mengajar. Beliau tidak sepatutnya mengatakan sedemikian.

Pentadbir sekolah sentiasa menyebut-nyebut dan memberitahu para guru bagaimana cara untuk mudah naik pangkat dan cepat lompat ke DG48, DG52, DG54, JUSA C dan sebagainya. Itulah yang diwar-warkan selalu di hadapan para guru di dalam mesyuarat.  Beliau juga terlalu mengejar anugerah, nama, glamour dan pangkat seperti perjanjian dengan pihak Jabatan yang menjanjikan imbuhan kewangan dari pihak Jabatan Pelajaran untuk meraih title dan anugerah tertentu, menyebabkan urusan yang lebih penting seperti disiplin (ramai pelajar ponteng dan tidak masuk kelas, melawan dan memperlekehkan guru) menjadi terabai dan menyebabkan sahsiah, akhlak serta kebajikan pelajar semakin hari semakin tidak diambil tahu dan dibiarkan. Begitu juga penekanan terhadap tugas-tugas asas guru seperti memantau dan menekankan para guru agar sentiasa masuk kelas, menjaga dan menyediakan kemudahan dan kelengkapan peralatan di sekolah untuk kepentingan pembelajaran anak-anak kami dan sebagainya, semuanya telah terabai.

Pentadbir sekolah juga terlalu mementingkan keceriaan bangunan dan kawasan sekolah sehingga memaksa dan memeras tenaga guru dan pekerja bawahan untuk menceriakan kawasan dan bangunan demi mendapat anugerah cemerlang dalam pertandingan keceriaan sekolah di peringkat Daerah dan Jabatan. Ini menyebabkan emosi guru terganggu dan guru merasa tertekan dengan arahan-arahan untuk melakukan kerja-kerja di luar tugas guru seperti itu, tambahan pula guru mesti mengeluarkan kos dan perbelanjaan sendiri untuk menyediakan peralatan bagi menceriakan sekolah.

Makanan yang disediakan kepada para guru di kantin sekolah amat tidak menyelerakan dan  menjemukan. Ini menyebabkan ramai para guru tidak makan di kantin, sebaliknya membawa  bekalan sendiri dari rumah atau membelinya di tengah jalan untuk dibawa ke sekolah. Ini kerana pengambilan tender yang tidak ada pengalaman dalam menyediakan makanan kepada pelanggan yang dilakukan oleh pihak pentadbir sekolah.

Sistem PBS cukup memeningkan dan memenatkan para guru. Antara perkara yang menimbulkan masalah ialah penyediaan bahan bukti (evidens) atau instrumens bagi ujian PBS yang ingin disediakan untuk para pelajar yang terlalu banyak. Bayangkan jika satu subjek ada 30 tajuk, setiap satu tajuk mesti ada 6 evidens untuk 6 band, bermakna 36 helai kertas digunakan untuk kesemua 6 band bagi setiap tajuk. 30 tajuk bermakna 1,080 helai kertas diperlukan bagi setiap orang pelajar. Jika di dalam sebuah kelas ada 40 pelajar, bermakna setiap kelas memerlukan 43,200 helai kertas diperlukan. Jika ada dua kelas atau tiga kelas bagi setiap tingkatan, maka 43,200 x 2 atau x 3, fikirkanlah sendiri berapa kos kertas yang diperlukan oleh pihak sekolah bagi perlaksanaan PBS. Kos ini tidak dinyatakan dalam kursus PBS sumbernya perlu diambil dari mana, ia terpulang pada pihak sekolah untuk memikirkannya.

Dalam pengajaran guru, masalah juga timbul antara mahu “mentaati” Lembaga Peperiksaan ataukah mahu “mentaati” Kementerian Pelajaran. PBS diselia dan diurustadbir oleh Lembaga Peperiksaan yang inginkan penilaian setiap band berdasarkan eviden yang telah dibuat, mesti dikey-in setiap bulan mengikut tajuk. Ini bermakna kebanyakan waktu P&P guru digunakan untuk menjalankan ujian PBS ke atas setiap pelajar dan bagi tujuan dimasukkan nilai band dalam laman web PBS setiap bulan berdasarkan ujian dan eviden yang disediakan, manakala Kementerian Pelajaran mula mahukan tajuk dan sukatan dihabiskan dalam tempoh yang tertentu. Ini menimbulkan “pertelagahan” antara mahu mentaati kemahuan Lembaga Peperiksaan ataukah mahu mentaati kemahuan Kementerian Pelajaran. Dengan kata mudah, jika guru menjalankan ujian PBS semasa P&P, sukatan dan isi pelajaran tidak dapat dihabiskan dan diajar dengan sempurna, jika guru menjalankan P&P seperti biasa, ujian PBS tidak dapat dijalankan kerana masa 40 minit waktu mengajar telah digunakan untuk menjalankan P&P.

Selain itu, pelajar tidak lagi dinilai dengan kedudukan dan nombor dalam kelas atau tingkatan tetapi dinilai dalam ukuran band, iaitu band 1 hingga band 6. Ini memberi masalah kepada para ibu bapa untuk mengetahui setiap prestasi, kebolehan dan pencapaian dalam setiap mata pelajaran yang dipelajari oleh anak mereka. Timbul masalah juga pelajar di sekolah pedalaman dengan sekolah berasrama penuh apa bezanya jika kesemua mereka mendapat band 6? Tiada penilaian dalam bentuk gred, peratus dan agregat seperti sistem lama dahulu. Bagaimana pula dengan ukuran kelayakan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh atau ke MRSM atau lain-lain yang sekolah yang menjadi rebutan para pelajar?

Ini hanyalah sebahagian masalah dan rungutan para guru yang bertugas di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran buat masa ini yang sempat saya tulis di ruangan ini. Sebenarnya banyak lagi rungutan yang tidak terkata seperti kebajikan para guru dan pelajar, masalah kemudahan dan infrastruktur sekolah yang juga diabaikan oleh pihak berwajib dan amat menyedihkan dan mengalirkan air mata bagi sesiapa yang memerhati dan memikirkannya. Mudah-mudahan luahan hati ini memberi pengajaran kepada kita akan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh sesiapa yang memegang amanah dan tanggungjawab.

Banjir Hulu Besut; Paras Air Lebih Tinggi Ada Kaitan Empangan

 KUALA TERENGGANU - Banjir yang berlaku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut agak luar biasa dan paras air lebih tinggi daripada banjir yang dialami pada musim tengkujuh pada Disember lalu.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Hulu Besut, Shalahuddin Jaafar berkata beberapa kampung telah ditenggelami air dan terputus dengan hubungan luar antaranya Kampung Batu 13, Felda Tenang, Kampung Padang Bual, Kampung Bekok, Kampung Pasir Akar dan Kampung Jerubun.

Beliau mengesyakki kejadian banjir tersebut ada kaitan dengan empangan Paya Peda yang masih dalam pembinaan.

"Kali ini agak teruk dari musim banjir baru ni, air naik lebih tinggi dan jalan terputus bila dinaiki air, saya syak ada kaitan dengan empangan kerana ada aliran air dari empangan yang disalurkan ke sungai Bekok,

"bila air sungai itu melimpah dia jadi 'sebak' apabila air hujan yang turun dari bukit, menyebabkan banjir, dulu tak begini,"ujarnya ketika dihubungi Selasa malam, 26 Februari.

Sehubungan itu beliau berkata 160 buah keluarga dari Kampung Padang Bual yang terjejas akibat kejadian kepungan air empangan tersebut yang pecah belum mendapat tuntutan ganti rugi dari pihak berkuasa.

Beliau dimaklumkan para penduduk terbabit enggan menerima pampasan sebanyak RM1000 yang mahu diberikan kerana ia tidak berpadanan dengan kerugian yang mereka alami.

"Dalam seminggu dua ni, saya dimaklumkan ada pihak yang panggil mereka (penduduk Kampung Padang Bual) nak beri pampasan sebanyak RM100 seorang, ttetapi mereka menolak kerana jumlah tersebut tak padang dengan kerugian,

"mereka masih menunggu bayaran tuntuan ganti rugi berjumlah RM1.3 juta yang telah mereka usulkan dalam memorandum kepada pihak Kementerian Pertanian,"jelasnya. 

Beliau memaklumkan, memorandum penduduk Kampung Padang Bual itu telah diserahkan sendiri kepada Ketua Setausaha Kementerian Pertanian sewaktu kunjungannya ke empangan Paya Peda tidak lama selepas kejadian banjir pada Disember lalu.

Sementara itu, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Banjir Negeri Terengganu pada jam 3 petang hari ini Selas 26 Februari, seramai  629 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan, ekoran mubah tersebut yang melanda beberapa daerah dinegeri ini.

Di daerah Besut seramai 160 orang telah dipindahkan dari 55 keluarga ke 6 buah pusat pemindahan banjir, di daerah Dungun seramai 339 orang di kampung  Raja dan kampung Syukur telah dipindahkan dan seramai 129 orang dari 30 keluarga di daerah Setiu.

Mangsa banjir telah meningkat seramai 130 orang menjadikan keseluruhannya seramai 798 orang menurut catatan pada jam 5 petang tadi dengan pertambahan satu daerah lagi dilanda banjr iaitu daerah Hulu Terengganu.

Seramai 106 orang dari Kampung Basong dan 21 orang dari Kampung Pasir Dula telah dipindahkan ekoran paras air yang semakin meningkat di Hulu Terengganu, manakala mangsa dari daerah Setiu meningkat seramai 3 orang menjadikan jumlahnya 132 orang.

26 Februari 2013

Insiden Lahad Datu: Hentikan Sandiwara Segera

Semakin ramai mempercayai insiden pencerobohan 100 lelaki bersenjata di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara politik menjelang pilihanraya umum ke 13. Plot ini mula dikesan oleh pemimpin berpengalaman dalam angkatan tentera termasuk Bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid. Pandangan beliau turut dipersetujui oleh bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat, Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid.

Jika kedua-dua bekas pemimpin tertinggi angkatan tentera Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam ketenteraan boleh berbicara demikian, ia menandakan bahawa sememangnya insiden di Lahad Datu adalah suatu perancangan. Ia boleh dilihat dengan jelas bagaimana cara kerajaan menangani isu ini. Dalam keadaan pihak luar menceroboh masuk ke negara dengan membawa senjata dan membuat ugutan serta ancaman, kerajaan Malaysia masih mahu membiarkan mereka terus menetap di negara ini malah sanggup pula berunding dengan mereka. Bayangkan kerajaan boleh bersikap lunak dengan pengganas yang sebelum ini mereka begitu garang menangkap dan menyumbatkan mereka ke dalam ISA!

Isu ini sebenarnya perkara serius kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. Soal keselamatan negara bukan suatu yang boleh dipolitikkan dan boleh di kompromi. Rakyat perlu melihat kegagalan utama pasukan keselamatan mengawal perairan negara dari dicerobohi. Begitu mudahnya sempadan negara dimasuki oleh pihak luar dengan bersenjata. Apakah Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri boleh berdiam diri melihat sahaja episod ini berlaku di depan mata? Apakah mereka menanti korban terhadap rakyat Malaysia untuk diambil tindakan susulan?

Jika benarlah pandangan kedua-dua tokoh tertinggi Angkatan Tentera Malaysia bahawa ia hanya suatu sandiwara politik semata-mata, ia bermakna komplot ini telah menemui kegagalan. Walau apapun motifnya, ia telah menjadi back fire pula kepada kerajaan sehingga rakyat menganggap kerajaan terlalu lemah dalam menangani masalah pertahanan negara. Justeru, pakar saraf, strategik dan think tank kerajaan perlu memikirkan sesuatu bagaimana insiden ini boleh diselesaikan dengan segera. Damage control perlu dilakukan supaya pemimpin negara tidak lagi boleh dipersalahkan, sebaliknya mencari dalih dan alasan lain supaya rakyat mempercayainya.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kampung Padang Bual Sekali Lagi DiTenggelami Air



BESUT - Hujan lebat yang turun tidak berhenti-henti sejak semalam menyebabkan air melimpah dan membanjiri beberapa kampung di kawasan Hulu Besut dekat sini.

Menurut Skuad BO Besut Hafizi Mamat, air mula naik sejak petang semalam dan kini sudah memasuki beberapa buah rumah di Kampung Padang Bual.

"air mula naik petang semalam, jalan sudah tidak boleh dilalui kenderaan dan mula memasuki beberapa rumah, jalan belakang Kampung Padang Bual boleh disusuri hingga ke jambatan Jerubun sahaja,

"di sebelah bawah Kampung Alur Keladi sedang enunggu masa sahaja untuk dinaiki air,"ujarnya melalui sistem pesanan ringkas.

Beliau berkata, mangsa-mangsa banjir 'teruk' akibat empangan Paya Peda dalam pembinaan yang pecah pada bulan Disember lalu masih trauma dan belum mendapat sebarang ganti rugi dari pihak berkuasa.

Sementara itu Bernama melaporkan, Tiga keluarga dari Kampung Chalok Barat di Setiu dipindahkan akibat banjir setelah hujan tanpa henti sejak awal pagi tadi.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata kesemua mangsa dipindah ke Balai Raya Sungai Lerek, setelah kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Mangsa yang terdiri daripada empat wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak itu dipindahkan 5 petang tadi, katanya.

Kesian BN, Terpaksa Tinggal Di Rumah PPRT

Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Harga pembiayaan di bawah akan diberikan subsidi sebanyak satu pertiga (1/3) daripada kos pembiayaan oleh Kerajaan sementara dua per tiga (2/3) lagi adalah pinjaman tanpa faedah yang berlandaskan konsep Qadr ul – Hassan.

Pemohon mestilah arganegara Malaysia, berumur 18 hingga 65 tahun, berpendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan, tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang serta tidak sempurna. Mempunyai tanah atau tapak yang bersesuaian. Berkahwin atau, ibu / bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.

Saya senaraikan syarat-syarat di atas ini yang dipetik dari sebuah  laman web pihak berwajib yang menguruskan program PPRT ini dengan cuba meneliti dan mendalami kalau-kalau ada di antara syarat-syarat tersebut yang memenuhi kelayakan untuk ianya diduduki BN sebagai markas pilihanraya. Malangnya saya tidak menemuinya.

Nak kata BN berpendapatan rendah, mustahil! Nak kata BN tidak mempunyai rumah atau mendiami rumah usang, lagi mustahil! Nak kata BN berpendapatan kasar dibawah RM1,500 sebulan, ish! Tak mungkin! Nak kata.... Nak kata... Masih tidak ku temui jawapannya.

Walaupun begitu Umno Jabi telah menjadikan sebuah rumah PPRT di Dun Jabi sebagai rumah BN (baca markas BN). Ini adalah salah guna program bantuan yang sepatutnya diterima oleh mereka yang benar-benar memerlukannya. Sebelum ini kita biasa mendengar rumah PPRT yang didirikan kemudian dijadikan rumah sewa oleh tuan rumah yang sememangnya telah sedia memiliki kediaman selesa. Tapi kenapa masih layak memohon?

Bantuan atau sumbangan yang disasarkan untuk orang ramai yang memerlukan tetapi natijahnya berlegar di kalangan kroni adalah sifir cara Umno bekerja. Sebab itulah Mat said sendiri pernah merungut apabila kurma dan air zam-zam sumbangan Ramadhan berlonggok di rumah Pengerusi JKKK merangkap ketua cawangan Umno sekaligus mengagalkan cita-cita Mat said untuk melihat botol air zam-zam yang terpampang wajahnya sampai ke setiap pintu rumah rakyat Terengganu. Kesian...

Umno adalah Umno dulu, kini dan selamanya. Ada juga masyarakat sekitar yang menyindir... PRU belum lagi, tak kan dah bersiap nak kalah sampai kena belajar bertatih duduk di rumah PPRT.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Majlis Tindakan DUN Jabi
Anggota Perhubungan PAS Negeri Terengganu

25 Februari 2013

Khianat Kain Rentang Seolah-olah Mencabar Kesabaran Pemuda PAS

HULU TERENGGANU - PAS kesal dengan tindakan 'khianat' pihak yang tidak bertanggungjawab, merosakkan kain rentang dan slogan parti, yang digantung di beberapa lokasi di bandar Kuala Berang dan sekitarnya.

Menurut Ketua Pemuda PAS DUN Kuala Berang Mohd Zainol Abidin Ahmad, ia seolah-olah sengaja ingin mencabar kesabaran para pemuda PAS.

Beliau berkata, perbuatan mengoyakkan kain rentang PAS, sebuah parti politik yang sah dan berdaftar, menunjukkan individu yang melakukannya tidak menghormati prinsip dan amalan demokrasi berparlimen.

“Kejadian yang boleh cetuskan provokasi ini bukan sahaja berlaku di sekitar Bandar Kuala Berang sahaja tetapi turut melibatkan cawangan-cawangan dalam Dun Kuala Berang termasuk di Kampung Tapu serta Kampung Butut. Malah, perbuatan ini bukannya perkara baru berlaku.

“Bagaimanapun, akhir-akhir ini kejadian kain rentang dipotong dua ini semakin menjadi-jadi. Kami bimbang ia akan menegangkan keadaan menjelang Pilihanraya Umum(PRU) ke-13 yang kini semakin hampir hingga cetuskan tindakan luar kawalan.

“Sehubungan itu diharapkan, perbuatan merosakkan kain rentang dilakukan secara terancang ini dihentikan segera. Kami masih lagi berpegang kepada prinsip tidak akan ‘menyentuh’ kain rentang pihak lawan yang tidak bersifat memfitnah  sekiranya kain rentang kami tidak disentuh.

“Melihat kain rentang  digantung dipotong dua, ia bagaikan mencabar  kesabaran. Malah, rasa sakit itu lebih teruk daripada didapati kain rentang ‘hilang’. Kami kesal dengan tindakan kurang bijak dilakukan individu terlibat,” katanya ketika ditemui pada Ahad 24 Februari .

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Berang, petang Sabtu 23 Februari dan berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil perhatian serius bagi menjamin suasana politik dalam berlangsung dengan aman dan secara matang.

Katanya, kejadian terbaru melibatkan kain rentang Program Sepetang Bersama Abby Abadi digantung mereka pada Jumaat lalu di simpang berhampiran Markaz Pemuda Pas Kuala Berang sebelum didapati telah dipotong dua pada pagi kelmarin.

“Sekitar jam 2 pagi, Ahad lalu sewaktu melalui Jalan Besar Kuala Berang untuk pulang ke rumah didapati kain rentang tersebut masih elok. Namun, lebih kurang jam 7.15 pagi, saya dapati kain rentang ini telahpun dipotong dua dipercayai menggunakan benda tajam.

“Malah,  lebih kurang jam 3 pagi malam tersebut saya turut terima maklumat melalui sistem pesanan ringkas yang memaklumkan tiga kain rentang di Kampung Butut berkaitan slogan-slogan parti telah rosak.

“Manakala jam 7.30 pagi pula, Pemuda Pas Cawangan Kampung Tapu juga memaklumkan kain rentang digantung di kampung berkenaan termasuk berhampiran Pasti telah dirosakkan. Saya tidak menolak kemungkinan, ia dilakukan oleh individu sama di semua lokas terlibat ini,” ujarnya.

Empat Teras Utama Manifesto PR Memenuhi Keperluan Rakyat

Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang memberi tumpuan ke atas empat teras utama, yang dilihat merangkumi semua keperluan masyarakat dalam segmen Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Manifesto tersebut telah diumumkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran dalam Konvensyen Pakatan Rakyat, bertempat di Shah Alam Convention Center pada hari ini, Isnin 25 Februari

Dalam teras Rakyat Bersaudara, PR memfokuskan kepada beberapa bahagian, antaranya setiap isteri layak menerima Caruman Wanita Malaysia sebagai jaringan keselamatan sosial menjamin kebajikan mereka.

Di bawah caruman ini, suami wajib di sisi undang-undang mencarum mengikut kadar pendapatan antara RM10 hingga RM100 sebulan dengan syarat caruman ini boleh dikeluarkan isteri dalam keadaan tertentu seperti penceraian, musibah, kemalangan dan genap umur 50 tahun.

Kerajaan juga menyumbang RM50 sebulan kepada setiap isteri dan caruman ini akan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Selain itu, PR akan meluaskan Skim Bonus Warga Emas yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang ke seluruh negara, dengan memberi bonus RM1,000 setiap tahun kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Dalam teras ini juga, PR akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi tujuan kemasukan institusi pendidikan tinggi dan kelayakan bagi tujuan permohonan kerja.

Dalam teras Ekonomi Rakyat, PR mengulangi janji-janji yang telah diumumkan sebelum ini, antaranya setiap keluarga di negara ini akan membawa pulang pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan selepas penggal pertama pemerintahan PR di Putrajaya.

PR turut mengulangi janji gaji minimum dengan setiap pekerja akan dibayar sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan.

Selain itu, PR mengumumkan cukai rakyat diselaraskan demi kesaksamaan antara pendapatan tinggi dan sederhana.

Jalur pendapatan akan dilebarkan agar kadar cukai 26 peratus hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,000 ke atas berbanding RM250,000 sekarang.

Teras ketiga, PR bertekad menurunkan harga minyak sejurus selepas PR berjaya menawan Putrajaya. Selain itu, caj elektrik diturunkan dengan PR menyalurkan subsidi berjumlah RM25 bilion terus kepada rakyat.

Penghapusan tol secara berperingkat juga dimasukkan dalam manifesto ini, seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga, dengan pembiayaan operasi lebuhraya ditampung dana RM5 bilion.

Selain itu, PR juga akan menghapuskan cukai eksais kereta berjumlah 70 peratus sekarang dalam tempoh lima tahun.

Apa yang menarik dalam manifesto ini, PR berjanji akan menghapuskan Sistem Perlaksanaan Automatik (AES) dan membatalkan saman yang telah dikeluarkan.

Dalam teras terakhir, antara intipati menarik adalah PR akan menghapuskan semua undang-undang yang menyekat kebebasan media terutamanya Akta Percetakan dan Penerbitan dan prosedur perlesenan media.

Pembinaan Pasar Baru Kedai Payang Akan Melenyapkan Pemandangan Indah Kuala Terengganu


 MARANG - Pembangunan Baru Pasar Besar Kedai Payang yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu  bukan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat, tetapi untuk projek bagi mendapat keuntungan kewangan oleh pihak tertentu dikalangan pemimpin Umno.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, pasar Payang sedia ada akan dirobohkan dan dibina diatas tapaknya sebuah pasar empat tingkat berhawa dingin dan sebuah hotel lima bintang.

Beliau mempersoalkan pembinaan pasar empat tingkat  tersebut kerana katanya, tingkat dua pasar sedia ada pun tidak dikunjungi oleh ramai pelanggan.

"Pasar (Besar Kedai) Payang yang lama akan diruntuhkan, dia nak buat pasar empat tingkat pula............ yang dua tingkat (pasar sekarang) orang tak naik dah, nak buat empat tingkat......... cuba tanya peniaga pasar Payang yang berniaga di tingkat dua tua,

"harap ke Hari Raya.......... kalau musim (kuar perayaan) macam sejkarang, kita naik.....seorang-seorang tu mukanya masam (kerana tidak laku),"ujarnya.

Beliau selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berkata demikian pada Majlis Ceramah Perdana Sempena Program Xpresi Orang Muda Marang dan Pelancaran 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan di Kampung Binjai Manis pada Sabtu 23 Februari.

[Gambar - YB Ustaz Mohd Nor menyampaikan panji-panji, bendera PAS kepada Ketua-ketua Pemuda DUN Dalam Kawasan Parlimen Marang sebagai simbolik pelancaran jentera pilhanraya Pemuda PAS Parlimen Marang]

Menurutnya, rakyat Terengganu tidak mampu dan tidak akan menikmati kemudahan pasar baru dan hotel lima bintang itu, kerana kos sewanya mahal, selain ia akan melenyapkan warisan rakyat negeri Terengganu.

"siapa dia dia boleh jual (berniaga).........lot-lot kedai kalau yang sebegitu akan dibuat, mesti sewanya mahal (dan) siapa boleh (yang mampu) sewa, hilang warisan rakyat negeri Terengganu!,

"disitulah.......yang orang mari (datang) ke negeri Terengganu ini nak cari keropok.......nak tengok pasar Payang..........nak tengok kawasan istana (Maziah) nak tengok Bukit Puteri, kerana bila orang naik Bukit Puteri dia akan nampak 360 darjah dalam kawasan Kuala Terengganu,"jelasnya.

Namun begitu, katanya, pembandangan indah tersebut tidak dapat dinikmati apabila Pasar Besar Kedai Payang diruntuhkan dan dibina bangunan yang tinggi.

Umno Jabi 'Memerah' Tenaga Anak-anak Yatim


-  Ikat Dan Pasang Bendera Dacing, Ko-Korikulum Asrama Perkaya Besut?
SETIU
- Tidak cukup dengan dakwaan menyalah gunakan peruntukan kebajikan anak-anak yatim Asrama PERKAYA, Umno Jabi 'memerah' pula tenaga anak-anak yatim penghuni asrama PERKAYA Besut di Kampung Pondok Paku, Jabi, dekat sini bagi tujuan politik 'batil' mereka.

Tinjauan mendapati, longgokan ribuan batang kayu dan bendera BN dilambakkan berhampiran wakaf dan pencawang elektrik, berhadapan padang bola di sisi asrama terbabit.

Penduduk setempat yang ditemui mengakui, Umno telah sekian lama mengeksploitasi tenaga aanak-anak yatim terbabit bahkan seolah-olah menjadi tradisi mereka memperalatkan anak-anak yatim pada setiap pilihanraya.

Mereka mendakwa, anak-anak yatim diperalatkan sebagai tukang ikat dan pasang ribuan batang bendera biru berlambang dacing, dengan tidak dibayar sebarang upah.

"ini adalah cara yang paling menguntungkan kerana khidmat anak-anak yatim ini boleh diperolehi secara percuma, peruntukan pemasangan bendera yang  berjumlah RM5,000 setiap cawangan Umno, dibolot begitu sahaja oleh orang-orang tertentu,"ujar meraka yang tidak mahu dikenali.

Sehubugan itu, PAS DUN Jabi memberikan peringatan keras kepada Umno-BN Jabi, agar menghentikan segera tindakan menganiyai anak-anak yatim itu.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim berkata, perbuatan menganiyai anak-anak yatim merupakan khianat terhadap amanah Allah yang memerintah kita menjaga dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak yatim.

"Anak-anak yatim adalah amanah Allah untuk dijaga, dikasihi, disayangi, diberikan pendidikan sempurna dan diambil cakna kebajikan mereka kerana apabila Allah telah memanggil ibu bapa mereka,

"meeka tiada lagi tempat bergantung, maka kita yang masih bernyawa akan ditanya oleh Allah tentang amanah ini,"tegasnya ketika ditemui.

Menurutnya, mengambil kesempatan dari kedhoifan mereka dengan mengeksploitasi tenaga mereka adalah tindakan tidak bermaruah.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Lujnah Pendidikan PAS Pusat menempelak pentadbir asrama tersebut yang dilaporkan menjadikan aktiviti memasang bendera dacing itu sebagai kegiatan ‘ko-korikulum’.

"banyak lagi aktiviti yang boleh disusun ke arah pembinaan jati diri mereka.... kalaupun pihak pengurusan asrama dengan arahan YB Jabi telah menyusun kegiatan ‘ko-korikulum mengarut’ ini kepada anak-anak penghuni asrama setiap kali tiba musim PRU,

"Tentunya anak-anak yatim tidak akan membantah, (mereka akan) dengar dan taat, tapi kita yang telah dewasa sepatutnya boleh menggunakan kewarasan akal dalam bertindak,"jelasnya.

Beliau juga memberi peringatan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya berpolitik dengan cara yang ‘gentleman’ dan bermaruah.

Selaku Pengarah MTD Jabi, beliau telah mengeluarkan arahan kepada seluruh cawangan-cawangan PAS supaya jangan sekali-kali diusik walau sebatang pun bendera UMno-BN sebagaimana yang dilakukan oleh mereka terhadap syiar PAS.

"cabut bendera, tohok dalam rok, koyak poster...........banner (kain rentang), simbah cat.....buat khianat, adalah amalan mereka kerana amalan bacul sebegini bukan budaya PAS, sekalipun syiar parti kita sendiri pernah dikhianati, dipatahkan dan dibakar,"tambahnya.

24 Februari 2013

Kita Penat.......... Dia Tenat!!!

1. Dingin sungguh dinihari tadi. Hujan pula turun selebatnya. Semalaman sukar untuk melelapkan mata. Meskipun penat sangat terasa setelah melalui 3 program besar yang mengambil jarak pemanduan yang jauh.

2. Meninggalkan sempadan Kuantan, kami berlabuh seketika di pantai Terengganu. Sejurus selesai perasmian Majlis Xpresi Profesional Muda 2.0 di Qurrata Inn Riverside Resort Kuala Terengganu, saya terus berkejar ke Peringat Kota Bharu untuk Kuliah Perdana di Masjid Syuhada Kampung Bechah Mulong sebelum menyampai ceramah isu semasa di Lundang.

3. Merentas 3 negeri Pantai Timur dalam tempoh sehari dengan jadual program yang padat telah menjadi rutin. Segalanya dilaku untuk mencari mardhatillah dalam perjuangan suci ini. Tambahan pula amanah yang digalas sangat berat dan besar. Ianya terpaksa ditunai biarpun bertatih dan bertongkat paruh.

4. Rakan - rakan pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia jua mengalami situasi serupa. Cadang saya semalam, boleh bersapa  rindu pada sahabat seperjuangan yang juga Timbalan saya dalam DPPM biar hanya baru 3 hari berpisah. Malangnya beliau telah bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadhiri satu program di sana sebelum memimpin delegasi DPPM ke konvensyen Pakatan Rakyat pada Isnin ini.

5. Kelihatan maklumat yang di update dalam kumpulan whatsapp DPPM petang kelmarin, sahabat saya, Naib Ketua DPPM yang baru sahaja sihat setelah seminggu lebih terlantar dipembaringan, kini telah berlepas ke Sabah untuk melangsaikan tanggungjawab  perjuangan. Masing - masing dalam orbit tersendiri guna melunaskan amanah perjuangan sekaligus menepati roadmap DPPM membantu jamaah memenangi PRU 13 kelak.

6. Sambil memaksa mata lelap, jari jemari ini terus merekodkan memori bersulam emosi mengharungi karenah perjuangan ini. 1001 rasa terbit dari sebuah kepenatan dalam mengharungi pancaroba hidup sebagai seorang pemegang amanah perjuangan.

7. Terubat segala duka, terasa tenang dan lapang apabila menyaksikan betapa musuh - musuh  Islam juga terkial - kial mencari rentak bagi menyaingi usaha gigih para pejuang Islam yang tidak pernah bosan dan jemu menjulang agamanya. Ternyata musuh Islam juga jauh lebih penat menghabiskan tenaga dan keringat untuk menyekat perkembangan Islam yang kian menyinar di bumi bertuah ini. Malah kepenatan mereka bertambah tenat apabila setiap usaha mereka untuk memadam cahaya hidayah  hanya berdepan kemurkaan Allah swt saban ketika.

8. Bukan sahaja tenaga, bahkan musuh Islam terpaksa menghabiskan jutaan harta mereka bagi "membeli" hati manusia dengan penuh yakin pada "kuasa" harta yang mereka miliki. Mereka lupa bahawa Allah swt adalah pemilik mutlak hati manusia. Akhirnya mereka terpaksa akur dengan segala kepedihan bahawa harta mereka habis namun gagal untuk menyekat kesedaran dan kebangkitan khasnya dari generasi muda. Semakin tenat apabila mereka menyedari bahawa "umpan" mereka serba tidak menjadi kerana ummah kini sedar bahawa sandiwara tahap "drama bersiri" itu, telah diketahui plot dan  kesudahannya.

9. Mengenang realiti ini,  ia bagaikan terapi yang menghilangkan tekanan emosi dan meregangkan urat saraf  yang kepenatan mengharungi kepadatan jadual rutin seharian. Sebagaimana sukar dan payah kita redah "sahara" perjuangan demi mencari sebuah kemenangan buat Islam, begitulah tidak mudah dan senang bagi musuh menafikan gelombang perubahan yang sedang melanda negara.

10. Kedudukan mereka semakin hari semakin tenat. Apalagi yang mereka tidak buat untuk sekat kebangkitan ummah bersama angin perubahan yang kian marak ? Harta telah ditabur, janji telah dihambur, projek telah dihulur, K Pop sudah dianjur, Gangnam Style sudah diatur ... Apalagi yang belum disusur ? Kecuali hanya mereka kini bagaikan buah yang menanti gugur.

Nasrudin bin Hassan

Mahasiswa Tidak Takut Ancaman, Walau Pun Diugut Oleh 'Samseng Umno'

 KUALA NERUS - 300 mahasiswa yang berkumpul di hadapan Ri-Yaz Heritage Resort di Pulau Duyong dekat sini dukacita kerana tidak dapat bertemu dan menyampaikan memorandum berhubung dengan 'runtuh dan kemiskinan' kepada Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahad Said dan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak.

Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis) zon Timur yang mula berkumpul pada jam 4.20 petang bersurai dengan aman sekitar jam 5.30 petang, setelah kenderaan yang dinaiki Najib, berlalu dengan laju melintas himpunan mereka, tanpa menghiraukan kelompok tersebut.

Menurut Presiden Gamis Pusat Muhammad Azan Safar, mahasiswa akan terus berhimpun dan bersuara serta tidak takut kepada mana-mana ancaman dari mana-mana pihak termasuk sebarang ancaman dari pihak yang berkuasa.

"hari ini lebih kurang 300 mahasiswa berkumpul untuk bertemu dengan PM kesayangan kita Dato' Seri Najib Razak.......kita berhimpun dengan aman, tujuan kita hanya untuk menyerahkan satu memorandum isu yang banyak berlaku penyalahgunaan kuasa di peringkat pentadbiran kerajaan tertinggi hari ini,

"kita nak bawa satu memeorandum (tujuan) apa kita datang ke Terengganu, isu runtuh.......stadium baru tiga tahun runtuh......runtuh lagi! kawan-kawan kita mahasiswa (yang pergi) di Pekan, untuk bertemu dengan masyarakat........mereka telah dihalau oleh samseng-samseng, boleh jadi datang dari Umno,"ujarnya. [Lihat Video]

Beliau yang juga pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (PMIUKM) berkata demikian ketika berucap, setelah himpunan mahasiswa di Pulau Duyong pada semalam, Sabtu 23 Februari, tidak diberikan ruang untuk berjumpa dengan, samada Ahmad Said atau Najib Razak.

Beliau menegaskan, walaupun diugut dan diganggu oleh samseng Umno, mahasiswa tidak perlu takut dan gentar kerana mahasiswa adalah golongan yang berani, tidak takut dan bacul.

Sebelum itu, Pengerusi Gamis Terengganu Muhammad Raimi bin Abdul Rauf memaklumkan, himpunan mereka di Pulau Duyong itu turut diganggu oleh 'samseng Umno' tempatan, yang mengugut supaya para mahasiswa tidak meneruskan himpunan tersebut.

Katanya, seorang pemimpin mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Kampung Tok Beng Seberang Takir, Faiz Ismail, telah diberi amaran keras, supaya keluar dari Pulau Duyong.

Katanya, pertikaman lidah antara Faiz dengan 'samseng umno' tempatan, Faiz telah diugut akan diambil tindakan keras, sekiranya tidak keluar dari Pulau Duyong.

"Faiz telah diugut supaya keluar dari Pulau Duyong, dia (samseng Umno) berkata, keluar dari Pulau Duyong atau pun keluar dengan cara kekerasan, mereka kata kalau Faiz orang Duyong, dia (kena) tahu perangai oang Duyong....jahat cara jahat..........baik cara baik,"ujar Muhamad Raimi menceritakan insiden tegang tersebut. [lihat Video]


Guru PASTI As-Salam Dinobatkan Dua Anugerah

MARANG- Guru PASTI As-Salam, Padang Midin, Cikgu Nora Abdul Jalil, 55 telah berjaya mengharumkan PASTI Terengganu apabila dinobatkan sebagai...