22 November 2008

Apa ‘Deal’ Kerajaan UMNO/BN Terengganu Deangan Kerajaan Langit?


Kuala Terengganu - Pada 13 November, sehari selepas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Seri Musa Hassan, menyerang Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) tentang isu ketua ajaran sesat, Ayah Pin, beberapa individu telah dilihat berkunjung ke tapak kerajaan langit yang ‘karut’ di Besut

Mereka dikatakan hanya boleh masuk kekawasan tersebut dengan ditemani oleh anggota polis cawangan khas (Special Branch) kerana ‘kerajaan langit’ itu diberitakan sudah ada ‘pengganti’ kepada ketuanya yang sedang dalam pelarian.

Sebuah akhbar nasional pada akhir tahun lalu melaporkan, seorang Cif Inspektor berasal dari negeri Perak yang turut ditangkap ketika serbuah dibuat ke atas perkampungan itu oleh JHEAT dan polis Julai tahun lalu, kini mengambil alih sebagai ketua yang baru.

Antara individu yang masuk pada ke perkampungan Batu 13 pada 13 November itu adalah beberapa orang wartawan dari akhbar media perdana.

Mereka masuk lebih awal ke kampung itu untuk mendapat pengesahan dari ‘isteri-isteri tuhan’ yang ditinggalkan, adakah suami mereka pernah balik, sebagaimana didakwa oleh KPN.

“’Ayah’ tak pernah balik,”jawab isteri kedua, Zaharah, ketika diajukan soalan oleh paa wartawan.
“Dulu menteri pun datang jumpa ayah, tapi bila jadi begini, semuanya tak nampak,”ujarnya lagi sebagai komen lanjut beliau, tentang apa yang telah berlaku kepada ketua ajaran sesat itu.

Kenyataan isteri-isteri ketua ajaran sesat Rifin A/L Mamat berhubung kehadiran Menteri kerjaan UMNO/BN ke perkampungan ‘kerajaan langit’ itu bukan sekali dua, malah ia pernah dicatatkan oleh para wartawan berkali-kali sebelum ini.

Ayah Pin juga melalui satu temu bual yang disiarkan oleh sebuah stesyen TV, pernah mendakwa secara terus-terang bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd Zin pernah menemui beliau pada tahun 2004 lalu.

Dr. Abdullah yang pada sewaktu itu kali pertama menjadi calon ‘Islam Hadhari’ UMNO/ BN Terengganu bertanding untuk kerusi parlimen Besut didakwa meminta tolong Ayah Pin dan pengikutnya suapaya memangkah dan memberikan undi kepada beliau.

Abdullah juga bagi pihak UMNO/BN dikatakan meminta kerjasama Ayah Pin mengarahkan para pengikutnya, supaya memberikan undi kepada calon-calon UMNO/BN yang lain termasuk bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Jerteh.

Sebuah akhbar portal internet juga mengulas tentang hubungan antara pemimpin UMNO/BN dengan Ayah Pin sebagai “memang tidak dapat disembunyikan lagi” bahawa wujudnya kerjasama antara UMNO/BN dengan ketua dan pengikut ajaran sesat Ayah Pin sebagaimana yang telah difatwakan.

Syak wasangka orang ramai tentang wujudnya hubungan dua hala antara kerajaan UMNO/BN Terengganu dengan ‘kerajaan langit’ menjadi semakin menebal apabila tiba-tiba Idris Jusoh jadi begitu bangga memecahkan replika di perkampungan tersebut seolah-olah ‘Khalid Al-Walid memecahkan berhala-berhala di sekeliling’ Ka’abah.

Lalu Idris menggunakan kesempatan hubungan dua halanya dengan kerajaan langit itu menghentam PAS, kononnya kerajaan PAS Terengganu yang membiarkan replika-replika gergasi teko dan payung ala Litar-F1 dibangunkan.

Sedang fakta sebenarnya tidak boleh disembunyikan bahawa semasa PAS memerintah Terengganu (1999-2004), tindakan serius telah diambil dalam menangani isu ini.
“Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menangkap Ayah Pin dan pada Jun 2001, Ayah Pin didapati bersalah dan dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut,

“JHEAT juga pada Oktober 2001 telah mengadakan Majlis Syahadah iaitu kursus tarbiyah akidah yang diikuti oleh lebih seribu pengikut Ayah Pin termasuk empat isterinya,” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali dalam kenyataannya 20 Julai 2007 kepada akhbar Harakah.

“Tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan PAS dahulu membuktikan kesungguhan PAS dalam menghadapi ajaran sesat Ayah Pin walaupun tanpa kerjasama yang baik dari pihak keselamatan,” tambah Mustafa lagi

Dalam serbuan JHEAT dengan kerjasama polis telah berjaya menahan para pengikut serta keluarga Ayah Pin, namun beliau sendiri terlepas.

Kemudian wujud pelbagai berita dan cerita tentang Ayah Pin yang dikatakan sengaja tidak ditangkap oleh pihak berkuasa, walhal ramai yang membuat pengakuan dan memberikan maklumat mereka mengetahui dimana Ayah Pin berada termasuk pihak polis dan risikan Negara.

Kenyataan KPN 12 November lalu membuka kembali teori konspirasi wujudnya pakatan antara kerajaan UMNO/BN Terengganu dengan kerajaan langit.

Musa Hassan berkata beliau kesal kerana JHEAT menyatakan Ayah Pin tidak perlu ditangkap. Musa Hassan menjelaskan pertikaian itu dalam seminar memperkasakan pentadbiran keadilan di mahkamah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak .

Padahal Ayah Pin didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005.

Ayah Pin mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah.

Apa sebenarnya rundingan antara JHEAT yang mewakili kerajaan UMNO/BN Terengganu dengan Rifin A/L Mamat yang mengetuai kerajaan langit ?

Kunci kepada pencarian ini adalah bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Abdullah Mond Zin telah mula menjalinkan usaha diplomatic dengan kerajaan langit pada pilihanraya umum yang lalu.

Pastinya ada rundingan yang dilakukan, ada tawaran yang yang dibuat !

Justeru itu kita tidak terkejut apabila mendengar berita bahawa sebenarnya pemusnahan replika-replika itu juga adalah satu konspirasi, pakatan antara kerajaan UMNO/BN Terengganu dan kerajaan langit Ayah Pin.

Tidak pelik kalau Ayah Pin sebagai mengukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan langit dan kerajaan UMNO/BN Terengganu telah membenarkan replika-replika tersebut dimusnahkan !

Sebagai bayaran ganti rugi Ayah Pin meminta kerajaan UMNO/BN Terengganu membayar pampasan sebanyak RM2.8 juta ??!!!

21 November 2008

Menjelang Monson Cup 2008 – Golongan Nelayan dan Miskin Masih Tidak Terbela

Kuala Terengganu - Kerajaan negeri Terengganu menyatakan tujuan penganjuran pertandingan kapal layar piala Monsun (Monsoon Cup) adalah untuk membela dan memberi peluang pekerjaan kepada golongan nelayan dimusim tengkujoh.


Namun sejak dilaksanakan bermula 2005, Monsoon Cup disifatkan oleh banyak pihak sebagai ‘membazir’ dan tidak memberi manfaat yang banyak kepada rakyat khususnya golongan nelayan.

Keghairahan kerajaan negeri meneruskan penganjuran ‘kononnya’ sukan bertaraf dunia itu bagi kali keempat berturut-turut tahun ini (2008) membuktikan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak prihatin masalah rakyat.

Keluhan, rintihan serta pengaduan rakyat miskin di negeri yang kaya dengan hasil petroleum dan gas ini langsung tidak dapat melembutkan hati-hati ‘batu’ para pemimpin terbabit.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin kerajaan BN yang masih mengulangi siri-siri pembaziran.


Ini kerana, katanya majoriti rakyat di negeri ini masih menghadapi kemelut kemiskinan yang tinggi. (Gambar kiri - pemimpin Umno-BN gembira meraikan Monsoon Cup 2007)

“Pemuda PAS kesal dengan sikap kerajaan BN sekarang yang masih mengulangi siri-siri pembaziran yang pernah dibuat oleh pemimpin Umno-BN yang lalu.

“Rakyat yang miskin masih tinggi, mereka (rakyat) dalam suasana menghadapi raya aidiladha dan ditambah sekarang musim tengkujuh,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat mengingatkan kerajaan negeri tumpuan terhadap kebajikan rakyat yang susah dan ditimpa bencana wajar diutamakan.

Menurutnya, tumpuan bantuan kepada rakyat perlu diutamakan dan bukan agenda bersuka-ria atau berpesta.

Manakala, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa bersependapat bahawa kerajaan tidak sepatutnya menjadikan musim banjir ini suatu pesta bersuka-ria kerana masih ramai rakyat yang menderita kerana kemiskinan dan ditimpa musibah banjir.

Katanya, rakyat menderita dengan suasana ini dan usaha serta tindakan mengadakan monsun cup di musim tengkujuh memberi gambaran cukup jelas bahawa ini merupakan pesta golongan elit. (Gambar kanan - rumah-rumah uzur penduduk Pulau Duyong)

“Aktiviti sukan perlumbaan kapal layar itu untuk golongan elit tetapi dalam masa sama rakyat Terengganu menghadapi kesukaran dan kesusahan disebabkan oleh banjir.

“Kita anggap tindakan mengadakan monsun cup itu suatu yang tidak betul dan seharusnya peruntukan itu disalurkan kepada golongan rakyat terutama di kawasan pendalaman dan fakir miskin yang sudah pasti memerlukan bantuan dari pihak kerajaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Angkatan Muda KeADILan (AMK) Rakyat akan mengerahkan jentera pemudanya di seluruh bahagian agar bersiap sedia turun ‘padang’.

“Kita minta seluruh AMK di negeri Terengganu membuat persiapan dan persediaan bagi kita (PKR) membantu terutama di kalangan rakyat yang menghadapi kesulitan dalam menghadapi banjir.

“Keperluan barangan makanan untuk diagihkan kepada mangsa seluruh negeri Terengganu melalui AMK Bahagian-bahagian.

20 November 2008

Rakyat Menderita, Pemimpin UMNO Bina Istana RM3 juta.


Cerita kemiskinan rakyat Terengganu khususnya di daerah ini, tidak langsung menyedarkan pemimpin UMNO dan mengambil iktibar serta prihatin atas kesusahan rakyat . (Gambar - Wan Zainal dan keluarga)

Sebaliknya mereka terus mempamerkan kehidupan bermewah-mewah melalui laba yang mereka perolehi dari projek-projek kerajaan, tanpa merasa segan silu.

Sebuah akhbar media perdana baru-baru ini mendedahkan pasangan peneroka, Wan Zainal Wan Sulong, 55, dan isteri, Naimah Nik Li, 35, di kampong Alor Lek dekat sini, terpaksa meneruskan kehidupannya empat beranak dalam pondok buruk kerana terlalu miskin.

Wan Zainal yang didakwa mendapat rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun tidak berpindah dan terus tinggal empat beranak dalam pondok buruk kerana tidak mampu membayar deposit bekalan elektrik yang bernilai tidak lebih dari RM200.

Bahkan lebih malang beliau tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik rumah usang yang didudukinya sebanyak RM181.00 sejak lapan bulan lalu.

“Bagaimana hendak saya jelaskan kedua-duanya, pembayaran deposit dan bil elektrik jika pendapatan tidak menentu. Isteri pula sakit jantung, banyak berehat dari bekerja dan ini membuatkan kehidupan kami bertambah sukar.

“Bagi kami sebagai penduduk miskin nilai RM100 adalah besar walaupun kecil bagi orang lain. Jadi jalan terbaik ialah terus tinggal sahaja di sini,” kata Wan Zainal.

Begitu juga empat keluarga di Kampung Pak Ba dekat sini yang tidak dapat memperbaiki semula rumah mereka yang rosak ditimpa hujan batu.

Pasti mereka terpaksa tidur dalam kedinginan dengan atap yang bocor dalam musim tengkujuh ini, sejak bencana itu menimpa pada 21 September lalu.

Seorang bekas kakitangan awam Wan Daud A. Rahman, 59, (Gambar kanan) ditemui meluahkan rasa sedih dengan keadaan yang menimpa rakyat ini.

Apabila ditanya tentang kehidupan rakyat yang masih dalam kemisikinan, sedang pemimpin UMNO mendakwa kemiskinan telah dikurangkan, beliau berkata rakyat umumnya masih susah.

Beliau berkata yang terus kaya dan terus bermewah-mewah adalah pemimpim-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.

“Rakyat merana sedang seorang pemimpin UMNO dalam daerah ini rancak menyiapkan istana bernilai RM3 juta,

“Itulah sikap pemimpin UMNO yang dikatakan membela rakyat,” katanya ketika ditemui Buletinonline semalam.

Menurutnya pimpinan UMNO Bahagian Setiu itu sedang membina istananya di kawasan Putrajaya tidak berapa jauh dari Bandar Permaisuri.

Rakannya, seorang pengusaha, Zainal Abidin Abd. Rahman, 58, (Gambar kiri) memberitahu pemimpin UMNO tersebut cukup berkuasa walaupun baru berusia 40-an.

“Dia adalah orang yang berdiri dibelakang Ketua UMNO Bahagian Setiu, juga menjadi penyumbang kewangan dan tulang belakang kepada pergerakan UMNO Setiu,” katanya.

Tinjauan yang dibuat dikawasan Putrajaya semalam mendapati sebuah banglo mewah milik pemimpin UMNO itu sudah mencapai 70% pembinaannya (Gambar bawah)
Kawasannya cukup strategik, terletak dilereng bukit, persis rumah-rumah jutawan di bukit Damansara Kuala Lumpur sedangkan mereka adalah pemimpin yang dimanahkan oleh rakyat !
JHEAT lembab, tidak proaktif selesai isu Ayah Pin kata Ahmad Said

Kuala Terengganu - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said hari ini membidas Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) yang disifatkannya tidak proaktif dan lemah dalam bertindak, terutama berhubung isu pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin

Beliau berkata, tindakan membiarkan Ayah Pin atau Ariffin Mohamad bebas sehingga menimbulkan kerisauan di kalangan orang ramai adalah tidak wajar.

"Dia (Ayah Pin) perlu ditangkap dan didakwa mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah," katanya sebagaimana di laporkan Berita Online

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan Ayah Pin baru-baru ini pulang ke Terengganu dari Selatan Thai tetapi JHEAT tidak membenarkan polis menahannya

19 November 2008

Pembalakan Tembat dan Petuang Musnahkan Alam Semulajadi dan Hidupan Liar – Tabung Hidupan Liar (WWF)


Hulu Terengganu – Dokumen Penilaian Terperinci Impak kepada Alam Sekitar (Detailed Environmental Impact Assessment - DEIA) keatas aktiviti pembalakan hutan simpan Tembat dan Petuang mendedahkan kerajaan UMNO/BN Terengganu sedang memusnahkan alam semulajadi dan hidupan liar.

Ketua Pegawai Ekeskutif (CEO) Tabung Hidupan Liar Malaysia (WWF-Malaysia) Dato’ Dr. Dionysius Sharma berkata tindakan itu memusnahkan 12,630 hektar (hutan simpan Tembat dan Petuang) bersebelahan 6,130 hektar (juga hutan simpan) yang telah ‘licin’ sebelum ini bagi pembinaan dua stesyen janakuasa elektrik.

Menurutnya kajian yang dibuat pada Ogos 2008 oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negera mendapati, kegiatan pembalakan dan pemusnahan hutan itu menyebabkan hakisan tanah, pencemaran sungai, mengancam ‘biodiversity’ ikan khususnya spesis ‘Kelah’ selain mengancam hidupan liar ‘Badak Sumatera’ dan ‘Harimau Malaya’.

Imej satelit dengan jelas menunjukkan aktiviti pembalakan dan pembukaan hutan tersebut telah pun dijalankan lebih awal sejak tiga tahun lalu walaupun kelulusan DEIA belum dikeluarkan.

“Bukti pergerakan atas tanah menunjukkan pembalakan dan pembukaan hutan untuk kawasan takungan air telah dijalankan sebelum kelulusan DEIA,” kata Dato’ Sharma yang kesal dan menyatakan pihak berkenaan tidak ada rasa hormat kepada undang-undang berkaitan dan proses DEIA sebagaimana dipetik dari laman WWF.

Oleh yang demikian, dengan pendedahan yang dibuat CEO WWF Malaysia, bererti penebangan balak ‘secara rakus’ dikawasan tersebut telah bermula sejak tiga tahun dibawah pentadbiran bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh lagi.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid menyifatkan kerajaan UMNO/BN Terengganu bersikap ‘double standrad’ terhadap isu pembalakan tersebut.

Menurutnya sikap ‘talam dua muka’ itu kerana semasa kerajaan PAS Terengganu (1999 – 2004) mahu mengeluarkan balak di kawasan berkenaan, pemimpin UMNO/BN dengan lantang membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas.

Katanya pemimpin UMNO/BN juga ketika itu menafikan wujudnya perancangan kerajaan pusat untuk membina empangan bagi menjana kuasa elektrik.

“Mereka (UMNO/BN) tuduh kerajaan PAS seleweng balak di kawasan Tembat dan Petuang.

“(pada masa yang sama) mereka menafikan kawasan itu untuk buat empangan kedua yang dijangka bermula tahun 2011 dengan (sengaja) menuduh PAS selewengkan kawasan balak,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Sebaliknya hari ini, katanya kerajaan UMNO/BN Terengganu sendiri yang memusnahkan kawasan tersebut sehingga di luar kawalan yang boleh mengancam kehidupan.

Menurutnya, ekoran dari tuduhan PAS menyelewengkan balak, khususnya oleh Idris sendiri, PAS telah mencabar kerajaan UMNO/BN Terengganu untuk menyiasat dan mengeluarkan ‘kertas-putih’ bagi membuktikan tuduhan tersebut.

“Namun kerajaan UMNO/BN gagal berbuat demikian,” tambah Muhyidin.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkata Terengganu masih mempunyai keluasan hutan yang besar sehingga 60 peratus kawasan hutan.

Katanya, keluasan hutan di Tasik Kenyir juga masih luas sehingga 65,000 hektar yang tidak menjadi masalah kepada kehidupan gajah dan sebagainya.

(Kenyataan yang dikeluarkan oleh WWF itu telah disiarkan semula oleh lebih 10 pertubuhan pencinta alam dan hidupan semulajadi seluruh dunia menjadikan nama Terengganu kini dikenali sebagai pemusnah hutan dan pengancam hidupan liar – untuk lihat “Malaysian logging plans threaten rhinos and tigers”

Ijtima’ Kawasan Setiu Dijangka Menarik


Setiu – Ijtima’ Kepimpinan PAS Kawasan Setiu dijangka menarik perhatian ramai kerana program Forum Pendidikan yang dianjurkan pada sebelah petangnya turut menjemput ahli parlimen wanita PAS, Siti Zailah Mohd Yusof. (Gambar)

Program Ijtima’ yang menghimpunkan semua pimpinan PAS di kawasan Setiu akan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali.

“Kami menjemput anggota parlimen Rantau Panjang dalam majlis Forum pendidikan supaya dapat mendengar pandangan yang mewakili golongan wanita,

“ia akan dapat menunjukkan kepada masyarakat bahawa PAS dalam misinya “PAS For All” tidak meminggirkan suara muslimat,” kata Setiausaha PAS Setiu, Ustaz Nazari Alias (gambar kanan) kepada Buletinonline semalam.

Menurutnya Ijtima’ tersebut juga dianggap bertaraf nasional kerana selain menjemput wakil kerajaan Kelantan yang juga ADUN Bukit Tuku, Abd Fatah Haron, PAS Setiu mengundang wakil Pahang, Timbalan Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Nasarudin Tantawi serta AP Machang dari Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution.

Katanya kepelbagaian pandangan dari tokoh-tokoh negeri dan nasional akan dapat menggarap hala tuju baru bagi Kawasan Setiu dalam menggerakkan usaha memenangkan PAS dalam pilihanraya ke 13 akan datang.

“Semua ahli, penyokong dan pendokong PAS dari dalam dan luar kawasan Setiu dijemput untuk sama-sama memeriahkan program Ijtima’ yang akan diadakan pada 22 November di Kg Tanjung Batu Rakit,” tambah Ustaz Nazari.

Berikut disiarkan tentatif Ijtima’ PAS Kawasan Setiu;-


TENTATIF IJTIMA’ PAS KAWASAN SETIU

22 November 2008 / SABTU

KG TANJUNG, BATU RAKIT.

09.00 pagi : Pendaftaran

09.30 pagi : Majlis perasmian

Oleh : Dato’ Mustafa Ali ( Pesuruhjaya )

10.30 pagi : Rehat / Minum

10.45 pagi : Kertas Kerja 1

“Meramaikan Ahli dan Pembinaan Akidah Perjuangan”

Oleh : Ybhg Haji Yahya Ali

12.00 Tengahari : Kertas Kerja 2

“Gerak Kerja Menguasai Pengundi”

Oleh : YB Haji Abdul Fatah Haron ( ADUN Bukit Tuku)

01.15 petang : Rehat, Makan tengahari, Solat Zohor

02.30 petang : Forum Pendidikan

“ Pendidikan : Asas Keutuhan Masa Depan Jemaah”

Ahli Panel : 1. Ust Nasaruddin Tantawi
( Tim. Ketua DPPP )

2. YB Hajjah Zailah Mohd Yusof
( MP Rantau Panjang )

3. YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

( Naib Ketua DPPNT )

04.30 petang : Rehat / Solat Asar

05.00 petang : Ucapan Penutup

Oleh : Dato’ Haji Wan Abdul Mutalib bin Embong

09.30 malam : Ceramah Umum

Oleh : 1. YB Saifuddin Nasution

2. Ust Kamaruzaman Abdullah

3. Ustaz Mohd Pauzi Muda

18 November 2008

Penduduk Taman Jalan Cerong Lanjut Pula Terima Akibat Penarahan Bukit Pak Apil


Kuala Terengganu – Kebimbangan bahaya yang akan menimpa akibat penarahan Bukit Pak Apil akhirnya menjadi kenyataan apabila hujan lebat telah mengakibatkan banjir kilat di taman perumahan Jalan Cerong Lanjut.

Selepas surau Cerong Lanjut menerima padah dibanjiri lumpur pada 3 November lalu, penduduk taman perumahan berhadapan rurau tersebut pula mengalami bencana banjir.

Para penduduk tersebut mendakwa, banjir kilat yang berlaku kerana longkang tersumbat disebabkan lumpur yang turun dari pembangunan puncak Bukit Pak Apil.

Hujan lebat yang berterusan sejak Rabu lalu membawa turun air bersama lumpur dari puncak bukit lalu merosakkan rumah penduduk taman tersebut apabila air deras tiba-tiba menenggelamkan dan menghanyutkan peralatan rumah mereka.

Mereka mendakwa mengalami kerugian tidak kurang RM60,000.00 akibat kerosakan dan kehilangan rumah dan harta benda.

Teh Eng Kee, 45, yang telah tinggal di taman perumahan itu sejak 20 tahun lalu berkata, tidak pernah sebelum ini dan inilah kali pertama banjir demikian berlaku di persekitaran kediaman tersebut.

“Kami tidak pernah mengalami pengalaman buruk seperti ini, walaupun dalam musim tengkujuh yang teruk,
“Kami yakin pembangunan yang berlaku di puncak bukit itu (Pak Apil) yang menyebabkan banjir ini berlaku,”katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Shah Ismail, 60, berkata longkang tersumbat menyebabkan banjir kilat berlaku,
“Saya tak pasti, mungkin akan berlaku banjir lagi sepanjang musim tengkujuh ini,”kata beliau.

Pada 21 September lalu, Buletinonline mula menyiarkan kebimbangan penduduk sekitar bandaraya ini apabila Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan pembangunan merbahaya dengan menggondolkan kawasan bukit Pak Apil.

Pada 8 Oktober, Datuk Bandar Dato’ Mat Razali Kasim dalam responnya terhadap pembangunan puncak bukit itu berkata pemilihan kawasan itu kerana diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong dan warga tempatan menghayati panaroma keindahan di setiap sudut di negeri ini.

Projek Taman Puncak Panorama itu sedang dalam proses pelaksanaan fasa pertama yang melibatkan jalan masuk, penyediaan bekalan elektrik dan menara tinjau.

Pembinaan Fasa Pertama yang menelan belanja RM25 juta itu dijangka siap siap sepenuhnya tiga tahun akan datang,

Sumber dalaman Buletinonline memaklumkan projek tersebut dibangunkan tanpa kajian terperinci oleh pihak MBKT dan kerajaan kerana ia diserahkan kepada pihak swasta sebaik diumumkan rancangannya.

Akibat Sikap Tergesa-gesa RM14 juta Tidak Dapat Di manafaatkan Untuk Rakyat

Kuala Terengganu – Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Kali Ketiga Penggal Ke Dua Belas akan diadakan pada 14 hingga 18 Disember depan.

Sidang kali ini, yang berlangsung selepas pembentangan Bajet 2009 di parlimen, pada kebiasaannya akan membahaskan Bajet 2009 bagi peringkat negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dijangka akan membentangkan Bajet pertama beliau selepas dilantik ke jawatan tersebut pada Mac lalu.

Pada tahun lalu, Bajet 2008 bagi negeri Terengganu telah di bentang oleh bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

Bajet yang diberi tema ‘kecaknaan’ yang dibentang Idris tidak mencapai maksud kerana beberapa keputusan yang dibuat adalah tergesa-gesa tanpa kajian yang mendalam

Idris telah mencadangkan RM 14 juta juta diperuntukkan untuk meningkatkan taraf pengangkutan Awam di negeri ini.

Pada masa sama juga sebuah anak syarikat telah ditubuhkan dan diperbadankan di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Syarikat ini akan bertindak sebagai pengendali kepada perkhidmatan bas Bandar dan bas antara daerah. Ia diberi nama ”Cas Ligas”.”

“Nama ”Cas Ligas” dipilih bagi menggambarkan dinamisma dan semangat orang Terengganu. ”Cas Ligas” – mesra, dinamik, efisien.”kata Idris dengan bangga.

Namun begitu, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said, yang juga Exco kerajaan penggal lalu, telah menolak untuk melaksanakan keputusan Bajet 2008.


Menurut Ahmad, kerajaan negeri akan mengkaji semula cadangan awal bagi mewujudkan satu sistem perkhidmatan bas di negeri ini yang bakal dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri memandangkan timbul beberapa masalah atau implikasi mengenai perancangan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya perlu mengadakan kajian semula mengenai perkara itu memandangkan timbul bantahan daripada pengusaha-pengusaha bas sedia ada yang khuatir pendapatan mereka terjejas serta beberapa faktor lain.

“Kerajaan negeri berhadapan dengan risiko kerugian sekiranya cadangan awal perkhidmatan bas itu diteruskan kerana kita perlu mewujudkan laluan baru bagi tujuan terbabit. Hal ini kerana risiko tidak mempunyai ramai penumpang di laluan baru perlu diambil kira tambahan pula kebiasaannya penumpang bas ini bermusim.

“Kita telah menerima 20 buah bas baru-baru ini untuk perkhidmatan pengangkutan awam dari daerah ke daerah dan enam buah bas lagi bagi perkhidmatan dalam bandar yang membabitkan kos sebanyak RM10 juta,” katanya

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu bahawa daripada jumlah bas yang dinyatakan tersebut, kerajaan negeri bercadang untuk menyerahkan bas-bas berkenaan kepada jabatan-jabatan kerajaan yang memerlukannya.

Sementara itu, dua daripada enam bas perkhidmatan dalam Bandar ‘yang pelik’ yang diperuntukkan dijangka diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk digunakan bagi tujuan membawa pengunjung yang ingin melawat Mini Zoo di daerah tersebut.

Pada Oktober lalu, penipuan tentang perkhidmatan bas dalam Bandar ‘yang pelik’ yang diberi nama ‘Cas Ligas’ telah terbongkar.

Kerajaan negeri sebelum itu dianggap bermurah hati telah memberikan khidmat percuma kepada rakyat yang menggunakan khidmat bas bandaraya Kuala Terengganu.

Padahal sebenarnya rekabentuk ’Bas Bandar yang ‘pelik’, dilancarkan pada 27 Ogos tahun lalu tidak diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)

Kerajaan Terengganu kini tidak dapat pulangan dari pelaburan yang menggunakan RM3.4 juta wang rakyat semata-mata untuk merealisasikan ‘idea gila’ bekas Menteri Besar Dato Seri Idris Jusoh.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan menyatakan kegagalan memperolehi permit dari LPKP menyebabkan bas tersebut menjadi liabiliti.

Akhirnya hanya dua buah bas yang dibeli dengan harga RM430,000 sebuah, bergerak mengelilingi Kuala Terengganu, sementara baki enam buah lagi, akan diserahkan dua daripadanya kepada Majlis Perbandaran Kemaman.

Akibat sikap tergesa-gesa kerajaan negeri telah meluluskan RM14 juta wang rakyat yang kini tidak dapat dinikmati kerana gagal meningkatkan taraf pengangkutan.

Jumlah tersebut tidak termasuk peruntukan sebanyak RM 2 juta untuk membina dan menyiap terminal pengangkutan awam di Kuala Berang dan RM 0.6 juta untuk premis perniagaan dan Perhentian Bas dan teksi di Permaisuri.

Terimal dan hentian bas cantik, tetapi basnya tidak ada. Yang ada bas-bas buruk seperti dahulu kala!

Ramli Nuh kata JHEAT Tidak Mampu Buktikan Ayah Pin Sesat

Besut - Rata-rata penduduk Kampung Batu 13, Hulu Besut, dekat sini, masih bimbang ajaran sesat Ayah Pin atau Ariffin Mohamad, 68, akan kembali semula sekiranya beliau tidak ditahan atau diambil tindakan.
Bagi mereka, biarpun binaan-binaan keberhalaan yang bercanggah Islam seperti telaga zamzam dan bahtera Nabi Noh sudah dirobohkan lebih tiga tahun lalu, ia tidak bermakna kegiatan Ayah Pin sudah berakhir.

Beberapa penduduk tempatan disini menolak kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhamad Ramli Nuh yang mendakwa keutamaan kerajaan negeri ialah menghapuskan ajaran itu dan bukan mengheret Ayah Pin ke mahkamah.

Pada 14 November baru-baru ini, Ramli Nuh menyifatkan tindakan menahan dan membicarakan Ayah Pin tidak penting tetapi yang paling penting ialah tindakan 'menghalau' Ayah Pin (ke Selatan Thailand) sudah berjaya.

Beliau juga melahirkan rasa keraguan dan tidakpercaya kepada keupayaan mahkamah syariah dan menyatakan Ayah Pin mungkin boleh terlepas.

"Ini kerana perkampungan kumpulan itu di Besut sudah tidak aktif lagi. Para pengikutnya juga sudah tidak berjumpa seperti dahulu.


"Kalau kita tangkap dan bawa ke mahkamah, ia ambil masa yang panjang dan mungkin dia boleh terlepas kalau tidak ada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahannya," kata Ramli Nuh yang dipetik oleh sebuah akhbar perdana.

Namun begitu penduduk kampung bimbang kerana menurut mereka Ayah Pin lelaki yang dianggap ‘tuhan’ oleh pengikut setia ajaran sesat itu, dikatakan masih lagi berulang-alik ke perkampungan itu.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, walaupun lelaki berhak pulang ke perkampungan berkenaan kerana keluarganya masih tinggal di situ, namun penduduk bimbang dia mungkin meneruskan kegiatannya secara senyap.

“Selepas replika di kawasan itu dirobohkan pada Julai 2005 penduduk kurang mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku di kawasan perkampungan itu sekarang.

“Namun, sejak kebelakangan ini, ramai penduduk melihat banyak kenderaan termasuk jenis mewah memasuki perkampungan itu dan perkembangan ini menimbulkan kesangsian dan kebimbangan penduduk,” kata penduduk tersebut.

Beliau juga menolak dakwaan konon Ayah Pin kini tenat akibat menghidap penyakit kronik dan bersembunyi di negara jiran sebagai pembohongan kerana lelaki itu dipercayai menetap di Tumpat, Kelantan.

Beliau mendakwa, Ayah Pin yang mempunyai pengikut terdiri pelbagai agama dan bangsa termasuk dari Singapura dan Indonesia dikatakan sentiasa ditemani dua atau tiga pengikut setianya setiap kali pulang ke perkampungan itu menaiki kereta bagi mengawal keselamatannya.

Sementara itu kenyataan Ramli Nuh menggambarkan bahawa kerajaan negeri khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) terlalu lemah hingga tidak dapat membawa bukti dan saksi bahawa Ayah Pin telah memesongkan aqidah Islam.

Katanya, untuk menahan seseorang yang dikaitkan dengan kesalahan membabitkan ajaran sesat sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

“Bukan sukar untuk kita menahan individu itu tetapi payah mencari bukti bagi mensabitkan kesalahan dilakukan. Tidak ada bukti yang boleh dibawa ke mahkamah untuk mendakwa Ayah Pin kerana menjalankan kegiatan yang bercanggah Islam.

“Memang kita tahu, dia (Ayah Pin) bersalah kerana memesongkan akidah masyarakat dan melakukan kegiatan bercanggah Islam tetapi dalam mahkamah, semua itu tidak boleh dipakai dan mahkamah memerlukan bukti kukuh dan itu yang kita tidak mampu buat,” katanya

Ramli Nuh tidak menafikan Ayah Pin masih berulang alik ke perkampungan itu seperti didakwa penduduk, namun beliau mengambil remeh tentang pergerakan Ayah Pin walaupun mengakui sentiasa membuta pemantauan.

“Itu hak dia dan kita tidak boleh menghalangnya pulang ke perkampungan itu kerana itu kampungnya dan masih ada keluarga yang tinggal di kawasan berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi mengenal pasti bentuk tindakan boleh diambil terhadap Ayah Pin.

Penduduk meluahkan rasa jemu dan bosan kerana terpaksa mendesak pihak berkuasa agama supaya dapat melakukan sesuatu termasuk menahan lelaki terbabit bagi mengelak kemungkinan dia meneruskan kegiatannya di perkampungan itu, namun hingga kini masih tiada tindakan.

“Kita bimbang Ayah Pin bertindak umpama menyelam sambil minum air apabila menjadikan keluarga sebagai alasan untuk kembali ke kawasan berkenaan, sebaliknya terus menjalankan kegiatannya secara senyap,” kata mereka yang dipetik oleh Metro Ahad.

Mansuhkan ISA – 10,000 Pemuda Trengganu akan Turun

Kuala Terengganu – Pemuda PAS Terengganu akan menyahut seruan himpunan raksaksa yang akan dianjurkan oleh Pemuda PAS Pusat bagi membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan menghantar 10,000 orang anggotanya.


Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah (gambar) optimis akan dapat menghimpunkan jumlah tersebut menjelang ‘Himpunan Mansuh ISA’ yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan (2009).

Beliau berkata kempen secara intensif bagi memberikan kesedaran dan awasan kepada semua anggota pemuda PAS Terengganu sudah pun digerakkan.

“Kita optimis dan yakin akan dapat mengumpulkan 10,000 orang anggota pemuda yang akan turun menyertai Himpunan tersebut,

“dengan kerjasama setiap kawasan parlimen (Terengganu) kita harap dapat mencapai sasaran seramai 1,500 dari seriap kawasan,”kata beliau yang dihubungi Buletinonline semalam.

Katanya, walaupun tarikh sebenar belum ditetapkan lagi, beliau berharap pihak kawasan dapat menyiapkan senarai lengkap penyertaan dalam tempoh dua bulan ini.

Beliau berharap dengan itu, setiap anggota pemuda dapat me’uar-uar’kan program Himpunan Mansuh ISA ini bermula dari sekarang.

“Seluruh anggota yang terlibat akan mengedarkan risalah penerangan dan seruan ‘Himpunan’ kepada orangramai ditempat-tempat umum termasuk dipasar-pasar besar dan sekitar bandar Kuala Terengganu serta Bandar-bandar utama di daerah,”kata beliau.

Menurutnya ‘Himpinan Mansuh ISA’ kali ini mengambil ‘model’ Himpunan Aman BERSIH yang telah Berjaya diadakan setahun yang lalu, yang telah membawa impak yang besar kepada seluruh rakyat.

“Kemeja T (T-Shirt) Himpunan Mansuh Isa yang berwarna merah hitam berharga RM10 akan mula di edarkan bermula minggu depan,

“pihak kawasan boleh menghubungi Sekretariat Himpunan Mansuh ISA peringkat negeri yang ditubuhkan dibawah Setiausaha Pemuda Negeri dari masa ke semasa bagi mendapat arahan dan perkembangan lanjut,”tambahnya

Ikhwan Desak Segerakan Bayaran Insentif Nelayan

Kuala Terengganu - Ikatan Anak Watan Darul Iman (Ikhwan) menyarankan kerajaan Terengganu campur tangan serta mengambil tindakan segera memberikan bayaran insentif kepada Nelayan di negeri ini.

Pengerusinya, Haji Abu Bakar Kasim (gambar) berkata kerajaan negeri wajar mengambil tindakan segera memberi insentif kepada para Nelayan di Terengganu.

“Kami (Ikhwan) memohon pihak kerajaan negeri Terengganu campur tangan dan mengambil tindakan segera untuk memberi insentif sejumlah RM200 kepada para Nelayan seperti yang dijanjikan sebelum ini,” ujarnya pada satu kenyataan akhbar di sebuah hotel di negeri ini, 9 November lalu.

Katanya, kelewatan dan kealpaan pihak kerajaan mengagihkan bayaran insentif tersebut adalah satu tindakan keterlaluan.

Bahkan, menurut Haji Abu Bakar kelewatan itu disifatkan menganiaya para Nelayan yang sepatutnya diagihkan selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

Sehubungan itu, katanya Ikhwan Kuala Terengganu turut menyokong kenyataan Majlis Perundingan Tangkapan Negeri Terengganu agar disegerakan bayaran insentif RM200 kepada Nelayan terbabit.

Ini kerana, katanya memandangkan musim tengkujuh hampir tiba dan para Nelayan tersebut tidak dapat turun ke laut.

“Penyerahan segera oleh pihak kerajaan kepada Jabatan Perikanan adalah sangat wajar untuk membantu para Nelayan yang majoriti mereka (Nelayan) adalah berpendapatan rendah dan miskin,” jelasnya.

Katanya, Ikhwan juga merayu kepada pihak kerajaan agar dapat dinaikkan bantuan tersebut ke paras yang lebih selesa.

Menurutnya, suasana sekarang rakyat masih berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barang keperluan harian.

Rasuah Politik – Pengakuan Ketua Cawangan

Dungun - Buletinonline mendapat satu salinan surat bantahan terhadap Persidangan Cawangan UMNO Gong Pasir Dungun yang dihantar kepada Setiausaha UMNO Bahagian Dungun.

Berikut disiarkan satu dari lima perkara dakwaan Ahli Cawangan tersebut yang tidak berpuas hati dan mendakwa wujudnya rasuah, ugutan, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan konspirasi disebalik kemenangan Ketua UMNO Bahagian Dungun.

Sebelum persidangan dimulakan (semasa menunggu ahli-ahli datang dan mendaftar), Ketua Cawangan telah berbincang dengan beberapa orang Jawatankuasa Cawangan di luar dewan. Antara yang disebut ialah “saya telah menerima ARAHAN daripada Yang Berhormat kita agar mencalonkan Ketua Bahagian dan orang-orang tertentu untuk pencalonan jawatan Bahagian”.

Jelas, memandangkan Ketua Cawangan adalah Pengerusi JKKK, Iman Nikah dan beberapa jawatan lain yang dipegang dalam kerajaan, beliau takut kehilangan jawatan-jawatan berkenaan apabila contohnya, beliau tidak memainkan peranan atau berhasrat untuk mencalonkan orang lain selain daripada sebagaimana yang diarahkan oleh Yang Berhormat ADUN.

Yang Berhormat ADUN yang juga selaku Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha UMNO Bahagian telah dengan sengaja seolah-olah ‘mengugut’ serta secara terang menyalahgunakan kuasa yang ada padanya untuk kepentingan politik (bukan berkaitan dengan kerajaan) dan Ketua Cawangan, mahu tidak mahu boleh diistilahkan sebagai “telah diugut” dan terpaksa mengakuri arahan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat ADUN Kawasan sekiranya tidak mahu jawatan yang dipegangnya sekarang tergugat.

Selain itu, saya juga cukup yakin dan percaya, telah berlaku sogokan kepada Ketua Cawangan dan beberapa individu cawangan yang lain, memandangkan telah ada pertemuan sulit antara Yang Berhormat Kawasan dan beberapa Ketua Cawangan dalam DUN Rantau Abang bertempat di rumah Yang Berhormat ADUN (dengan dihadiri sama oleh Ketua UMNO Bahagian yang juga merupakan calon yang akan mempertahankan jawatan) pada malam sebelum persidangan berlangsung keesokan harinya.

Sebelum itu pun, telah ada beberapa ejen yang telah mengadakan pertemuan dan gerakan sulit dengan Ketua UMNO Cawangan dan beberapa AJK Cawangan. Dalam hal ini, tidak dinafikan Ketua Cawangan Kg Gong Pasir juga menerima habuan bagi menghalalkan pencalonan di peringkat Persidangan Cawangan.

Untuk makluman, pre-council persidangan Cawangan Kg Gong Pasir yang telah dibuat sebelum persidangan 8 Ogos, selain membincangkan persiapan persidangan cawangan, AJK Cawangan yang hadir juga telah secara sepakat mencadangkan pencalonan Ketua Bahagian dan jawatan-jawatan penting di peringkat Bahagian.

Agak menghairankan keputusan yang dibuat oleh Ketua Cawangan yang sama sekali bercanggah dengan persetujuan Jawatankuasa pada pre-council sebelumnya dan dibuat di saat-saat akhir beberapa minit sebelum persidangan cawangan dimulakan itu, telah menimbulkan syak wasangka yang besar bahawa telah berlaku rasuah politik yang membabitkan Ketua Cawangan Kg Gong Pasir.

Potensi Tamatkan Konflik Yaman

  Perunding Houthi meninggalkan Riyadh selepas pusingan lima hari rundingan dengan pegawai Saudi mengenai perjanjian berpotensi yang boleh m...