28 Februari 2009

Anak Muda Kena Guna ‘Bahasa Undi’ – Pak Samad



Dungun – Rakyat disaran menggunakan ‘bahasa undi’ untuk mengajar pimpinan Melayu yang bakal ‘membunuh’ bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.

Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di perkarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.

Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.

“Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.

“Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu ‘bahasa undi’ (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu,” tegasnya.

Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.

“Dia (Umno) selalu memperkecilkan ‘angkatan’ (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.

“Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan
masa depan bangsa dan bahasa,” ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Samad’ mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu ‘jenayah’ kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.

Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara ‘membunuh’ bahasa dan bangsa sendiri.


“Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.

“Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.

“Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya.

Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke
hadapan.

“Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.

“Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan hassan Ramli dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat.

PRK Bukit Gantang, Persiapan Rapi, Calon Tak Pasti



Bukit Gantang – Calon PAS yang akan bertanding untuk pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang belum di pastikan, namun persiapan menghadapi ‘perang politik’ tersebut telah digerakkan dengan rapi.

Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Mohd Nordin Jaafar berkata jentera pilihanraya pelbagai peringkat telah digerakkan.

Namun, katanya, belum ada, samada Perhubungan negeri Perak atau pihak PAS Pusat yang meminta secara rasmi dari PAS Kawasan Bukit Gantang nama calon-calon utuk pilihanraya tersebut.

Walaupun begitu, beliau tidak menafikan ada pihak Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) yang meminta pihaknya meminta pihaknya menyenaraikan beberapa nama.

“Perhubungan negeri dan pihak pusat belum minta nama secara rasmi, belum hantar surat, tapi pihak JPN ada hubungi, minta kita (PAS Bukit Gantang) sedia 6 nama, 2 nama dikalangan pimpinan kawasan, 2 nama dikalangan pimpinan negeri dan 2 dikalangan pimpinan pusat,

“saya sudah pun mendapat maklumbalas dari cawangan-cawangan, ada 48 cawangan semuanya,”katanya yang ditemui Buletinonline di Markaz Air Kuning di sini, semalam.

Menurut beliau sebagaimana yang diminta oleh JPN, beliau telah pun menyenaraikan nama-nama tersebut, sebagaiaman maklumbalas yang diberikan oleh cawangan-cawangan.

Katanya seluruh 38 Unit Peti Undi dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang elah pun digerakkan termasuk jentera pemuda. muslimat dan jentera di DUN-DUN.

"Pelancaran jentera pemuda telah dilaksanakan pada 19 Feb lalu, kami sediakan 500 helai T-Shirt, tetapi tidak cukup berbanding para pemuda yang datang,

"jentera parlimen dilancarkan di Markaz Bukit Cempedak oleh Menteri BesarPakatan Rakyat, YAB Dato' Seri Nizar baru-baru ini,"katanya.

Katanya jentera bantuan dari negeri-negeri dan kawasan-kawasan dalam negeri Perak sudah mula datang dan meninjau kawasan dan membuat persiapan perlu terutamanya dari segi penginapan dan penyelarasn dengan peti-peti undi.

Menurutnya beliau yakin PAS akan menang dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang berdasarkan sokongan pada pilihanraua umum ke 12 Mac lalu dan suasana poliitik masakini.

"Peluang.....alhamduliLlah, kita yakin menang dan Bukit Gantang (parlimen) akan dapat dikekalkan dibawah PAS dan Pakatan Rakyat,

"kita meletakkan sasaran kemenangan dengan pertambah undi sekali ganda, kalau dulu arwah Ustaz Ruslan mendapat majoriti 1655 undi, kali ini kita sasarkan sehingga 3,000 undi,"katanya.

‘Saya pinjam pentas PAS’ - Dato’ A.Samad Said


Kuala Terengganu - Dato’ A Samad Said rasa sangat dukacita dan bimbang tentang masa depan bahasa ibunda yang disifatkan semakin ‘kuncup’ , ‘nazak’ dan bakal ‘terkubur’ sekiranya kerajaan Barisan Nasional tetap berdegil.

Sasterawan Negara itu berkata, beliau tidak ada wadah lain untuk mempertahankan bahasa Melayu, melainkan pentas PAS, yang masih mempunyai ruang dalam perjuangan ini.

“Memang Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (GMPPSMI) ini anjuran PAS dan memang saya akui itu.

“Tetapi harus diingat bahawa saya meminjam pentas untuk menyatakan sikap saya. Tidak ada pentas lain,” jelasnya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, hari ini.

Menurut ‘Pak Samad’, seramai 65 orang profesor dahulu telah menyatakan sikap dan telah menyatakan pandangannya tetapi tidak diterima oleh kerajaan.

Katanya, beberapa anjuran bagi bersemuka secara jujur dan ‘waras’ (baik) juga tidak diterima oleh pihak berkuasa.

Bahkan, kata beliau fikiran serta pandangan daripada budayawan juga tidak diambil-kira oleh pihak kementerian.

“Jadi apa lorongan yang tinggal dan kebetulan PAS memberikan pentasnya dan saya meminjam pentas itu.

“Kalau Parti KeADILan Rakyat (PKR) memberikan pentasnya saya akan pinjam juga dan kalau Umno memberikan pentasnya juga saya akan gunakan itu semata-mata kerana saya tidak mahu bahasa saya itu dikuncupkan, dinazakkan dan dikuburkan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menafikan telah ‘dibeli’ oleh pihak parti pembangkang dalam usahanya memperjuangkan bahasa Melayu dalam isu PPSMI tersebut.

“Saya tidak ‘dibeli’ tetapi saya berjuang kerana bangsa saya. Dari satu negeri ke satu negeri yang kami pergi dan kami memperjelaskan ini adalah ‘gerakan sopan’ dan bukan ‘gerakan garang’.

“Ini juga adalah gerakan hati nurani yang rata-ratanya mempercayai bahawa lidah bangsa (bahasa) itu harus dijaga bukan ‘ditetak’(bunuh),” ujarnya.

Katanya, jika kelantangan bersuara kerana berjuang dan mempertahankan bahasa ibunda (Melayu) itu dianggap tidak menguntungkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan gelaran Sasterawan Negara mahu ditarik-balik.

“Saya bersedia dan apa juga gelaran (Sasterawan Negara) itu sebenarnya untuk sementara dan tidak menjadi masalah kepada saya jika, kerajaan mahu menarik-balik gelaran Sasterawan Negara.

“Dan yang paling penting ialah perjuangan saya sebagai seorang Sasterawan untuk melestarikan bahasa saya, bahasa ibunda (Melayu) saya,” ujarnya dalam siri ‘roadshow’ GMPPSMI ke negeri Terengganu.

Katanya, Kementerian terbabit telah melanggar Undang-undang dan Akta serta tidak sah disisi Perlembagaan Negara.

Hadir sama pada majlis siding media itu Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pengarah Institut Kajian Polisi (IKP), Mohamad Draman.

26 Februari 2009

PRK Bukit Gantang - PAS Terengganu Pastikan Changkat Jering Kekal Menang


Setiu – PAS Terengganu akan memastikan DUN Changkat Jering kekal menang dibawah PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil (PRK) parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan pada 7 April akan datang.

“InsyaAllah, petugas-petugas kita akan menjalankan tugas berkempen dan memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam DUN Changkat Jering dengan undi meningkat,

“kita akan menyampaikan penerangan kepada seluruh pengundi kawasan tersebut untuk menolak pengkhianat yang melompat,”kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hj Muhyidin Rashid selepas Majlis Penerangan di Kampung Darat Batu Rakit, dekat sini semalam.

Menurut beliau perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat peringkat negeri yang diadakan kelmarin.

Beliau berkata, bagi melaksanakan amanah itu, satu pasukan akan berlepas ke DUN Changkat Jering secepat mungkin untuk meninjau dan mengenalpasti keperluan sepanjang waktu kempen.

Katanya para petugas PAS Terengganu akan diletakkan sepenuh masa di kawasan enam peti undi dalam DUN terbabit.

“Pasukan peninjau kita sudah bersedia dan akan berlepas bila-bila masa ke Changkat Jering,

“enam peti undi menjadi fokus kita, segala keperluan akan dikenalpasti selepas pasukan tersebut kembali minggu depan,”ujarnya kepada Buletinonline.

Katanya sekurang-kurangnya seramai 25 orang petugas akan ditempatkan disetiap peti undi dan membuat persiapan lebih awal di peti undi berkenaan bermula 6 Mac.

Oleh itu katanya seramai 150 petugas paling minima akan dihantar sepanjang sebulan sehingga hari mengundi pada 7 April nanti.

Beliau menyeru kepada semua petugas supaya bersedia untuk memberikan khidmat terbaik sebagaimana negeri-negeri dan kawasan lain memberikan sumbangan mereka dalam PRK Kuala Terengganu bulan lalu.

“Inilah masanya untuk petugas-petugas kita membalas budi para petugas dari negeri dan kawasan diseluruh negara yang membantu kita (dalam PRK KT),

“mereka bertungkus lumus, siang dan malam, menyumbang tenaga dan wang ringgit, begitu jugalah kita harus berkhidmat,”tegasnya.

Justeru katanya, semua petugas PAS Terengganu agar dapat menghubungi kawasan masing-masing supaya penyelarasan dapat dibuat segera.

Sebelum itu, dalam ceramah penerangannya beliau berkata kerajaan persekutuan dalam kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini berjanji akan membayar wang royalti dalam bulan Mac depan.

Namun, katanya, sehingga kini belum nampak kepastian wang tersebut akan bnar-benar diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahi Jawatankuasa PAS Setiu, Hj Shamsudin Wahab dan penceramah jemputan Ustaz Shahril Long.





24 Februari 2009

UMNO-BN Perak Takut Dengan Kerajaan Pakatan Rakyat – Ustaz Norazli

Kemaman – UMNO dan Barisan Nasional (BN) takut dan bimbang pencapaian cemerlang kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak akan menyebabkan negeri-negeri lain dibawah kekuasaannya tumbang.

“Pencapaian kerajaan negeri Perak dalam masa 11 bulan sangat cemerlang, sebab itu UMNO dan BN bimbang dan bertindak merampas kuasa kerajaan yang dipilih oleh rakyat,”kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Ustaz Norazli Musa selepas majlis penerangan PAS DUN Chukai, di Dataran Geliga, di sini semalam.

Menurutnya kejayaan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS berjaya memecahkan tembok kepercayaan karut, hanya UMNO/BN sahaja yang boleh memerintah, sehingga menyebabkan suatu kejutan budaya kepada pimpinan UMNO-BN Perak.

Beliau berkata, sebagaimana kerajaan Barisan Alternatif yang diterajui PAS di Terengganu pada tahun 1999 – 2004, kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah memberikan tanah kepada rakyat Perak yang layak tanpa mengira kaum, ugama dan latarbelakang politik.

Oleh itu, katanya kejayaan tersebut menjadikan pelbagai lapisan masyarakat tertarik untuk menyertai dan menjadi ahli PAS termasuk orang asli.

“Sampai orang asli pun minat dengan PAS, saya pergi naik pacuan empat roda ke Pos Poi, Sungai Siput Perak untuk terima borang keahlian,

“seramai 55 orang asli, menjadikan ia adalah cawangan PAS dikalangan orang asli yang pertama di dunia,”kata Norazli yang juga Pengawai Khas kepada Exco Pendidikan da Ugama Perak.

Katanya keberkatan dari tindakan kerajaan manaikkan elaun guru-guru ugama telah meningkatkan hasil kutipan zakat bagi seluruh negeri Perak dari RM43 juta pada tahun 2007 kepada RM 57 juta pada tahun 2008.

Ketokohan Menteri Besar, katanya, telah berjaya mewujudkan perpaduan diantara kaum dan silaturRahim diantara kakitangan kerajaan negeri.

“Perpaduan kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum Melayu, India, China dan juga Sikh meninggalkan kesan dikalangan kakitangan,

“ketokohan YB Hj Nizar yang mesra dengan kakitangan menyebabkan ada dikalangan mereka menitiskan air mata apabila beliau (Nizar) dipaksa meninggalkan bangunan Perak darul Ridzuan,”ujarnya.

Oleh yang demikian, kata beliau, UMNO/BN menjadi takut sehingga tidak ada jalan lain, kecuali merampas kuasa.

Beliau turut menyeru kepada semua ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat agar dapat membantu PAS dan Pakatan Rakyat negeri Perak menghadapi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan pada 7 April, 2009.

Turut hadir dalam Majlis Penerangan anjuran MTD Chukai adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Hj Ismail Harun dan Timbalannya, Hj Hanafiah Ramly @Mat dan Ketua Penerangan Ustaz Alias








Guru PASTI As-Salam Dinobatkan Dua Anugerah

MARANG- Guru PASTI As-Salam, Padang Midin, Cikgu Nora Abdul Jalil, 55 telah berjaya mengharumkan PASTI Terengganu apabila dinobatkan sebagai...