20 Jun 2009

Mana Janji MB Ahmad Said Untuk Buka Plaza Paya Bunga ?


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Kerajaan UMNO/BN Terengganu Dato’ Ahmad Said telah berjanji akan menyelesaikan segala permasalahan dan membuka Plaza Paya Bunga, Jalan Tok Lam di sini, selewat-lewatnya bulan ini, Jun 2009 .

Ahmad berjanji demikian dalam ucapan penggulungannya pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu 15 April lalu, sebagai jawapan kepada persoalan yang dikemukakan oleh ADUN Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abd Wahid Endut.

Wahid dalam membahaskan titah ucapan Di raja, telah menyentuh secara panjang lebar masalah Plaza Paya Bunga yang telah dibina sejaka zaman bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.(Klik - Dengar Ucapan Wahid)

Namun sehingga kini, sudah 20 hb Jun, belum ada lagi sebarang berita bahawa Ahmad akan mengotakan janjinya.


Oleh itu, salah seorang pemilik yang telah membeli premis perniagaan tersebut, Chang Pok Kiun, 55, menagih janji-janji yang diberikan kepada semua pemilik bangunan tersebut oleh kerajaan negeri.

”Bila lagi kami (pemilik) semua boleh masuk dan guna bangunan yang dibeli sejak lebih 12 tahun lalu. Apa masalah lagi pun kami tidak tahu tetapi janji boleh guna bulan ini (Jun),” ujarnya ketika ditemui semalam.


Beliau telah membeli bangunan tersebut dengan harga lebih RM300 ribu tetapi masih belum boleh digunakan hingga hari ini.(Gambar -En. Chang menunjukkan surat jual beli premis Plaza Paya Bunga)

Menurutnya, kebimbangan yang dirasai jika bangunan yang telah lama siap itu tidak selamat digunakan serta tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

”Saya beli (bangunan) dengan harga RM330,000 melalui pinjaman bank. Kami (pemilik) juga bimbang ’takut-takut’ (risau) jika bangunan itu tidak selamat digunakan dan mengundang bahaya jika tidak ada CF,” jelasnya.

Encik Lim Eng Keong, 45, (gambar bawah kanan)turut mendesak pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri memberi jawapan segera kepada semua pemilik bangunan tersebut.

”Janji, janji, janji...janji apa macam ini. Kerajaan kata bulan Jun 2009 ini kita (pemilik) semua boleh ’duduk’ (guna) tapi sampai sekarang belum ada apa-apa,” ujarnya.

Katanya, pelbagai cara telah dilakukan dan yang terakhir melalui Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut untuk bawa ’ketengah’.

Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan masalah rakyat yang tertangguh sejak lebih 10 tahun berlalu.

Katanya, ketidakcekapan mengurus tadbir negeri dengan baik telah menyusahkan rakyat dan kerajaan perlu bertanggungjawab.

”Saya pun hairan kenapa terlalu lama hingga memakan masa 12 tahun pun belum selesai masalah rakyat. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak cekap dan menyusahkan rakyat,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

Menurutnya, janji-janji ’manis’ yang dibuat oleh pemimpin Umno-BN telah menjadi lumrah dan rakyat selalu ’digula-gulakan’.

Beliau berkata kerajaan negeri berjanji dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu yang mulia itu untuk selesai masalah rakyat.

Namun begitu, katanya janji-janji itu hanya dibuat bagi meredakan ketegangan apabila isu tersebut dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang.

Menurutnya, rakyat akan hilang sabar jika pemimpin Umno dan kerajaan BN mempermainkan masalah yang ’membengkak’ sejak sekian lama.

19 Jun 2009

Kontraktor ‘Kroni’ Tarik Diri, Pembinaan LPT Fasa 2 Lewat


KUALA TERENGGANU — Dua kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembinaan Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) telah menarik diri menyebabkan ia akan hanya dijangka siap pada 2012.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said berkata seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses berbuat demikian.

Katanya kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.


“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini kelmarin.

Bagaimanapun sumber dalaman Buletinonline memberitahu, kedua-dua kontraktor yang menarik diri itu adalah kontraktor ‘kroni’ yang tidak mampu meneruskan pembinaan tersebut kerana hanya mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan.

Beliau yang turut terlibat dengan pembinaan lebuhraya itu berkata, kontraktor berkenaan dianggap istimewa kerana bukan hanya mendapat satu pakej, sebaliknya telah dianugerahkan 2 pakej projek lebuhraya yang pertama ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya itu.

”GPQ/Bukit Puteri JV mendapat pakej mendapat pakej 1C dan pakej 11 manakala Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 dan pakej 9B,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Semakan Buletinonline mendapati GPQ merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang beralamat di Tingkat 2, Menara Permint, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu.

GPQ/ Bukit Puteri JV adalah syarikat usahasama yang ditubuhkan untuk mendapatkan tender pembinaan LPT2 bagi tujuan mengagih-agihkan konrak tersebut kepada beberapa kroni dizaman pemerintahan Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pakej 1C adalah kontrak membina lebuhraya sepanjang 6.2 km dari Sungai Jabur ke Ladang Bukit Sah di Kemaman dan Pakej 11 sepanjang 5.9 km dari Bukit Petiti ke Telemong di Hulu Terengganu.

Selepas mendapat tender pakej 11 pada tahun 2005, dua tahun kemudian, GPQ/Bukit Puteri dianugerahkan pula pakej 1C pada tahun 2007.

Melalui kedua-dua tender anugerah itu, GPQ/Bukit Puteri JV meraih projek bernilai hampir RM 150 juta dengan pakej 1C bernilai RM90,000,000.00 dan pakej 11 bernilai RM57,961,710.50.

GPQ/ Bukit Puteri JV menarik diri dari membina pakej 1C kerana sehingga April, 2009 syarikat tersebut gagal mencapai sasaran dan hanya melaksanakan 3.7% kerja dari sasaran 15.1% sebagaimana jadual.

Syarikat kedua, Arah Jitu Sdn Bhd. pula beralamat di 343E Bangunan Umno, Kuala Terengganu 21700, Terengganu dan, atau No. 47, Jalan 2/27 F Seksyen 5, Pusat Bandar Wangsa Maju (KLSE), 53300 Kuala Lumpur.

Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 sepanjang 6.8 km dari Felda Kerteh 6 ke Hutan Simpan Santong, dan pakej 9B sepanjang 5.2km di lokasi Hutan Simpan Bukit Bauk dan Ladang Ternak Genetik, Dungun.

Dengan dianugerahkan kedua-dua tender tersebut, Arah Jitu Sdn Bhd sepatutnya mendapat perolehan sebanyak RM 110 juta dengan tender pakej 8 yang bernilai RM50,823,220.00 manakala pakej 9B bernilai RM59,215,000.00.

Arah Jitu Sdn Bhd mungkin menarik diri dari pembinaan pakej 9B kerana syarikat tersebut hanya mampu melaksanakan 14.6% dari sasaran 26.7% mengikut jadual.

Sumber tersebut memberitahu, kegagalan kerajaan UMNO/BN menyiapkan LPT2 pada tempoh sebagaimana yang dijadualkan adalah disebabkan oleh dasar kerajaan sendiri.

Katanya harga bitumen yang melambung disebabkan oleh kerajaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menaikkan harga minyak secara tergesa-gesa dan melampau pada Jun 2008.

Walaupun kini, harga minyak telah turun, namun kebanyakkan harga barang dan perkhidmatan tidak turun kerana kerajaan telah hilang kawalan terhadap pemborong dan pembekal.

”Bitumen adalah bahan yang berasaskan minyak, sepatutnya harga bitumen turun sekiranya harga minyak turun,

”Namun hingga kini, harga bitumen tidak turun, walaupun harga minyak telah lama diturunkan,”jelasnya.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu bertanggungjawab keatas kenaikkan kos yang berlaku keatas pembinaan lebuhraya berkenaan.

Namun begitu, pendedahan yang dibuat Ahmad Said tentang kelewatan pembinaan LPT2 kepada umum dilihat mempunyai kaitannya dengan perbalahan kumpulan yang menyokongnya dengan kumpulan Idris Jusoh.

”Ahmad mendedahkan masalah pembinaan LPT2 yang terlewat selepas runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan,

”ia akan memberikan impak negatif berganda kepada kegagalan Idris mentadbir negeri Terengganu kerana kedua-dua projek mega itu dilaksanakan pada zaman Idris,”tambahnya.





17 Jun 2009

“Tubuh Kerajaan Baru” - Misi Saf Kepimpinan Baru Terengganu

KUALA TERENGGANU - Saf Kepimpinan Baru Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan kerajaan baru.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib yakin dengan gandingan pimpinan baru yang mantap dari pelbagai lapangan dan bidang professional, PAS mampu menang dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

”Dengan gandingan yang ada ini, yang mantap dan terdiri dari pelbagai lapangan dan bidang professional,

”InsyaAllah, agenda utama selain memperkuatkan parti ialah mengambil alih (kerajaan) atau mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan kerajaan,”katanya dalam sidang Media Khas di Pejabat PAS Terengganu semalam.




Katanya, beliau telah diamanahkan sebagai Pesuruhjaya yang baru telah mengadakan mesyuarat dan menyusun saf kepimpinan baru PAS Terengganu.

Beliau telah mengumumkan perlantikan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan tujuh orang jawatankuasa tambahan.

Senarai penuh perlantikan tersebut adalah seperti dibawah ;

Timbalan Pesuruhjaya 1 : Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik
Timbalan Pesuruhjaya 2 : YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut
Timbalan Pesuruhjaya 3 : Ustaz Satiful Bahari Mamat
Setiausaha : Haji Yahaya Ali
Penolong Setiausaha 1 : Ustaz Kamarudin Yunus
Penolong Setiausaha 2 : Haji Hanafiah Ramli@Mat
Bendahari : Haji Muhyidin Abd Rashid
Ketua Penerangan : Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh
Pengarah Pilihanraya : Ariffin Deraman
Jawatan Kuasa : Us Harun Jusoh, Abd Haris Malik, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani
YBM Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Haji Husin Ismail, Hajjah
Zarani Othman, To’ Puan Ustazah Fatimah Zainab

15 Jun 2009

Rakyat Tuntut Janji MB, Dimana Agenda ‘ Rakyat Di Dahulukan’ ??

(Gambar - Perumahan Tok Adis)

KUALA TERENGGANU
– Penduduk Pantai Kuala Ibai, menuntut kerajaan negeri memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru sebagaimana janji Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said


Majoriti penduduk terbabit adalah mangsa kejadian banjir air laut dan diancam ombak besar sejak beberapa tahun lalu melahirkan rasa kesal kerana sehingga ini kerajaan masih gagal mengotakan janji.

Pada 7 Disember 2008, ketika saat hampir menjelang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Said telah berkunjung ke kawasan berkenaan dan berjanji akan memindahkan penduduk ke penempatan baru di Lot Perpindahan Tok Adis (gambar kiri) pada Februari lalu.

Antara 89 penduduk terbabit adalah warga emas Wook Salleh, 63, yang berasa hairan kerana menurutnya kediaman di Lot Perpindahan Tok Adis telah siap dibina pada tahun lalu, namun sehingga hari ini pihak terbabit belum mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebelum pilihan raya, kami pernah dipanggil mengadakan mesyuarat dan penduduk dijemput menyertai cabutan nombor rumah. Kami dijanjikan untuk berpindah ke kawasan penempatan baru pada Febuari dan dibenarkan tinggal selama enam bulan “Malangnya, kami mendapat nombor rumah sahaja sedangkan sehingga sekarang pihak berkenaan langsung tidak memberi apa-apa maklumat dan mengambil tindakan untuk membenarkan kami tinggal di situ,” katanya.

Menurut Wook, penduduk memerlukan kunci rumah secepat mungkin, walaupun rumah tersebut masih belum dilengkapi kemudahan fasiliti seperti elektrik dan air, namun mereka bersedia untuk membiayai sendiri kemudahan itu.

Katanya, penduduk memerlukan kediaman lebih selesa untuk didiami memandangkan rumah setinggan yang diduduki sekarang sudah tidak selamat kerana terlalu uzur dan boleh mengancam keselamatan mereka sekeluarga.

“Ramai penduduk di sini terpaksa mencari inisiatif untuk berpindah ke kawasan lain. Ada di antara mereka menyewa dan ada juga terpaksa menumpang di rumah keluarga lain sementara menunggu kebenaran untuk tinggal di Lot Perpindahan Tok Adis.

“Jadi, sampai bila kami harus hidup berpindah randah dan menumpang? Kerajaan sepatutnya melaksanakan agenda di mana ‘rakyat didahulukan’. Mengapa perkara itu tidak dibuktikan?” Katanya.

Seorang lagi penduduk, Midah Musa, 40, berkata, dia terlalu mengharapkan pihak kerajaan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin kerana sehingga hari ini, dia sekeluarga terpaksa bergadai nyawa tinggal di rumah uzur dan hampir roboh.

“Saya merayu agar kerajaan selesaikan masalah ini. Saya adalah ibu tunggal yang mempunyai lapan orang anak. Cuba bayangkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan setiap hari. Jika angin kencang, kami hanya mampu berdoa semoga diselamatkan. Jika hujan, rumah kami dipenuhi air kerana atap semua sudah bocor,” katanya tidak mampu menanggung kos berkaitan.

14 Jun 2009

Umno/BN tidak boleh diharap lagi


KEMAMAN - Rakyat telah menolak Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata ia adalah bukti yang jelas bahawa rakyat sudah tidak lagi mengharapkan parti Umno/BN memimpin negara ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Skuan Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, di hadapan Pasar Chukai, Kemaman, baru-baru ini.

“Program ini sangat baik dan besar pahala. PAS ‘cakna’ dan peduli nasib rakyat miskin tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

“Rakyat pula sudah sedar yang Umno dan kerajaan Barisan Nasional tidak boleh diharapkan lagi sejak berlaku PRU ke-12 tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, pendekatan serta slogan ‘PAS For All’ memang masa kini sesuai untuk semua rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS negeri yakin dan percaya dengan sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat membawa perubahan.

Katanya, dalam pilihan raya akan datang bukan sekadar Terengganu berjaya dikembalikan kepada PAS tetapi Malaysia amnya kepada Pakatan Rakyat.

“Saya yakin dan percaya dengan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat akan kekal hingga PRU ke-13, bukan sekadar Terengganu tetapi Malaysia akan tumbang kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Pada majlis tersebut sebanyak 21 cawangan PAS di Dun Chukai masing-masing menerima watikah perlantikan Skuad Khidmat Masyarakat dari Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakat MTD Chukai.

Hadir sama pada majlis tersebut bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu, Ustaz Awang Dagang, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Ramli, Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing serta Pengerusi Kelab Penyokong PAS Chukai.

PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama


KUANTAN — “Saya yakin PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama,” itulah sepatah komen orang lama Umno, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang kini adalah Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.


Fauzi adalah bekas ADUN Beserah, Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri semasa dalam Umno dahulu. Sebelum menyertai PKR, beliau pernah diura-urakan akan menyertai PAS.

Beliau mengulas ribut kerajaan perpaduan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai PAS mahu bekerjasama dengan Umno. Padahal, kerajaan perpaduan adalah cadangan Presiden PAS untuk menyatukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat dengan semua pihak dalam BN bukannya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Bagi Fauzi pemimpin PAS adalah dari kalangan cerdik-pandai belaka, kerajaan perpaduan bagi beliau hanyalah batu yang dilontarkan pemimpin PAS ke lubuk Umno bagi menguji tenangnya air, rupa-rupanya banyak buaya dan ular yang sedang kebuluran.

Dalam konteks Negeri Pahang, setelah menyertai dan memimpin PKR, sekaligus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, Fauzi memandang PAS sebagai tunjang bersama. Bersama Pakatan Rakyat, PAS sebagai sebuah parti akan terus bersatu dan semakin kuat.

Sedangkan PAS, jika bersama-sama Umno dalam BN akan sentiasa dilihat dan dikenal sebagai “parti kedua orang Melayu.” Sebagai pemain kedua, bagi Fauzi, PAS tidak akan mampu berperanan di dalam BN dan tidak akan terserlah. PAS juga, jika bersama dengan Umno akan berhadapan dengan risiko untuk berpecah dan menjadi lemah.

Mengulas akan ketidakyakinannya yang PAS boleh bekerjasama dengan Umno, Fauzi menjelaskan bahawa dasar PAS atau lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat selama ini adalah kerajaan bersih, idea yang bagi Fauzi yang pernah berpuluh tahun di dalam Umno, tidak didokong oleh kepimpinan parti lamanya itu.

Mengakhiri ulasannya, bagi Fauzi jikapun benar memang wujud polemik dalam parti PAS akibat gagasan kerajaan perpaduan yang dibicarakan semua orang mutakhir ini, bagi beliau polemik itu adalah hal dalaman PAS, dan sebagai pemimpin PKR, rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau menghormatinya dan mengambil sikap untuk tidak mencampurinya.

120 Kakitangan Kerajaan Di Berhentikan - Mimpi Ngeri Menjadi Realiti

KUALA TERENGGANU - Mimpi ngeri yang sering bermain dalam fikiran 120 orang kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran akhirnya menjadi realiti apabila mereka benar-benar diberhentikan dan akan menjadi penganggur mulai 1 Julai ini.

Mereka yang berkhidmat sebagai buruh dalam pelbagai jabatan di Terengganu telah menzahirkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan dengan berkumpul di Dewan Belia dan Sukan Jalan Pasir Panjang dekat sini hari ini.

Salah seorang daripada mereka, Alias Awang, 47, dari Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, berkata beliau bekerja lebih 12 tahun sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuruh.

"Jadi, kalau saya diberhentikan kerja ke mana pula saya hendak cari kerja, sedangkan umur saya telah lanjut dan anak-anak masih ada yang bersekolah," katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Zainal Shahruddin, 50, buruh di Sekolah Kompleks Gong Badak pula mengharapkan pihak berkenaan mengambil semula beliau dan rakan-rakan yang senasib dengannya untuk bekerja memandangkan ada di antara mereka yang sudah bekerja lebih 20 tahun.

Beliau berkata yang lebih menyedihkan lagi ramai di kalangan kakitangan kontrak JPM ini mempunyai banyak tanggungan seperti anak masih bersekolah dan pinjaman bank.

Ramlah Kassim, 45, yang bekerja sebagai buruh di Sekolah Rendah Wakaf Mempelam sejak 13 tahun lepas, berharap kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran ini akan diambil bekerja oleh kerajaan negeri sesuai dengan kelayakan kelulusan kakitangan berkenaan.

Wanita Berjiwa Kental Sentiasa Mendepani Cabaran

  Oleh : Aqilah Mohd Jafri / Gambar : Hajar Kamarudin  MARANG - Wanita berjiwa kental dengan semangat perjuangan dalam mendepani cabaran sej...