05 Disember 2008

Banjir - Unit Amal Terus Semarakkan Kebajikan PAS


Kuala Nerus - Hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar di Terengganu baru-baru ini, khususnya terus menyemarakkan semangat ‘berlumba-lumba melaksanakan kebajikan’ dikalangan anggota Unit Amal Terengganu.

Badan kebajikan beruniform PAS itu ternyata terkehadapan dalam membantu misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa banjir baru-baru ini, khususnya di kawasan Kuala Nerus.

Air hujan yang tersekat akibat longkang tersumbat, sistem saliran yang tidak sempurna serta air laut pasang dikenalpasti antara faktor-faktor menyebabkan berlakunya banjir.

Kawasan yang paling teruk dilanda bencana itu adalah Kuala Terengganu, sementara kawasan-kawasan lain seperti Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun turut terjejas.

Akibatnya, hampir 3,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara Banjir yang disediakan di seluruh negeri selain yang menumpang di rumah saudara-mara atau rakan-taulan terdekat.

Ketua Jabatan Amal Terengganu, Ustaz Mohd Saiful Ambia Darusa, 37, berkata seramai 40 anggota Unit Amal ditugaskan dalam usaha membantu serta menyelamat mangsa bencana banjir di kawasan Kuala Nerus.

Katanya, anggota Amal mempunyai tenaga yang mencukupi bagi dikerahkan ke kawasan-kawasan bencana membantu rakyat.

“Setakat ini kita (Jabatan Amal) tidak ada masalah dan anggota sukarelawan Amal mencukupi untuk misi membantu dan menyelamat mangsa banjir.

“Kita (Unit Amal) sedia seramai 40 anggota sukarelawan untuk dikerah ke kawasan bencana terutama di Taman Perumahan Busu Tiga Gong Badak ini,” ujarnya.

Seorang anggotanya, Encik Mohd Noor Hussin, 33, berkata pengalaman membantu mangsa banjir di Taman Desa
Pusu Tiga Gong Badak dekat sini, amat memilukan.

Menurutnya walaupun tidak ada nyawa yang terkorban, namun banyak harta benda penghuninya rosak dan tidak dapat diselamatkan.

Beliau berkata air ‘bah’ (banjir) naik secara mendadak dari arah kawasan berpaya yang ditimbus bagi pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menjadi punca utama banjir.

“Saya rasa terharu dan sedih melihat banyak harta benda penghuni taman perumahan itu yang tidak sempat diselamatkan termasuk kereta, motosikal, peralatan elektrik, set sofa dan lain-lain,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

Katanya, meski pun agak kepenatan bagi anggota amal bertugas tanpa batasan waktu tetapi mencapai kepuasan kerana dapat membantu orang dalam kesusahan.

Rakannya, Ahmad Zulkarami Salleh, 27, dari Batu Enam melahirkan rasa simpati terhadap penduduk di taman berkenaan yang ditimpa bencana banjir tanpa diduga.

Menurutnya, sepanjang menyertai misi membantu serta menyelamat tidak Nampak langsung ‘bayang-bayang’ wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Mohammad Ramli Nuh.

“Sepanjang saya bertugas selama dua hari ini belum pernah sekali pun melihat ‘bayang-bayang’ wakil rakyat Tepoh, Mohammad Ramli Nuh.

“Saya mendengar rungutan dan keluhan penduduk yang ditimpa musibah banjir orang ‘Yang Berhormat’ tidak Nampak langsung kelibat tolong mangsa banjir kecuali Unit Amal,” ujarnya.

Katanya, bertugas sebagai sukarelawan amal ini amat menyeronokkan meski pun keletihan kerana niat ‘Beramal Kerana Allah’ menjadi teras pasukan tersebut.

Wan Mohd Naim Ismail, 24, berkata pertama kali menyertai kerja-kerja membantu dan menyelamat sepanjang berjinak-jinak dengan Unit Amal beberapa bulan lalu.

Katanya, keberkesanan skuad Unit Amal membantu misi menyelamat mangsa banjir mendapat pujian serta sanjungan banyak pihak.

Ini kerana, katanya anggota amal yang bertugas penuh disiplin, jujur dan ikhlas telah member gambaran baik terhadap parti PAS dan Islam.

“Kerja-kerja kebajikan amat digalakkan dalam Islam dan Unit Amal mewakili peranan PAS dalam mendekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik masing-masing,” jelasnya.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah menggesa agar kerajaan segera menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana banjir yang mengalami banyak kerugian.

Ini termasuk, katanya kerugian harta benda yang tidak sempat diselamatkan dengan menyediakan peruntukan sewajarnya.

“Kita (PAS) harap bantuan kerajaan disegerakan untuk membantu meringankan beban rakyat yang mengalami musibah banjir.

“Pihak jabatan terbabit mesti berlaku adil dan telus tanpa memilih ‘bulu’ dalam mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” tegasnya.

Beliau turut menerima aduan dari mangsa-mangsa banjir yang mendakwa Adun Tepoh, Mohammad Ramli Nuh gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat yang baik dan profesional.

Ustaz Abu Bakar diberitahu bahawa Ramli (Adun) mengambil sikap tidak mempedulikan masalah rakyat terutama kepada mangsa-mangsa banjir di tamah perumahan terbabit.

Katanya, Adun Tepoh itu mempersoalkan di mana mangsa banjir mengundi dan kenapa tidak mengenali pihak Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan berkenaan jika memerlukan bantuan dan sumbangan.


PRK Kuala Terengganu – PAS atur 1000 majlis Penerangan

Kuala Terengganu - PAS Terengganu kini bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang bakal diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jumaat ini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid berkata PAS Terengganu sudah mengatur 1000 majlis penerangan termasuk ceramah, forum, dialog dan sebagainya.

“Kita (PAS) kini sudah bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menyertai Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dan meletakkan sasaran 1000 majlis penerangan akan diadakan dalam tempoh berkempen,

“Kita (PAS) akan aturkan pelbagai majlis termasuk ceramah besar, kecil dan kelompok, forum, dialog dan pertemuan dengan pengundi mengunggunakan pelbagai media ,” ujarnya selepas Mesyuarat Khas Lajnah Penerangan PAS Terengganu di Pejabat PAS negeri, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata jentera penerangan PAS di semua peringkat bagi kawasan parlimen Kuala Terengganu akan digerakkan bagi memberikan penjelasan dan menjawab tohmahan UMNO dan Barisan Nasional.

Katanya UMNO dan Barisan Nasional sebagaimana yang pernah dilakukan dalam pilihanraya yang diadakan sebelum ini, akan menggunakan kemudahan media cetak dan elektronik yang dikuasai parti tersebut.

Selain itu, menurut beliau UMNO dan Barisan Nasional juga akan menggunakan jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan untuk menyalurkan ‘propaganda’ kepada para pengundi.

Namun, kata beliau, PAS bersama sokongan jentera penerangan dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan menggunakan ‘media rakyat’ yang akan menyampaikan maklumat dari pintu ke pintu rumah pengundi.

“UMNO dan Barisan Nasional bergantung kepada media cetak dan elektronik, televisyen, radio dan suratkhabar yang dikuasainya, selain menggunakan jabatan dan agnsi kerajaan sebagaimana amalan mereka dalam pilihanraya lalu,

“PAS bersama rakan-rakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan bersama menghadapi dakyah dan propaganda UMNO/BN,”katanya.

Kelmarin, Pengerusi Penaja Parti Tindakan Demokratik (DAP), cawangan Kampung China Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata DAP sedia mengerahkan jenteranya sepanjang kempen pilihan raya kali ini.

Buletinonline dimaklumkan DAP akan menurunkan seramai 200 pemimpin pelbagai peringkat untuk membantu kempen PAS.

Selain itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR sebagaimana dimaklumkan oleh Pengarah Pilihanraya, Fariz Musa akan memberikan sokongan tenaga AMK semaksima mungkin bagi memastikan PRK Kuala Terengganu dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

04 Disember 2008

Pakatan Rakyat Sudah Sepakat


Kuala Terengganu – Gabungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sudah bersepakat untuk bersama menghadapi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu Hj. Yahya Ali berkata semua jentera dan kelengkapan PAS telah diletakkan pada tahap terbaik untuk membolehkan PAS menggempur UMNO/Barisan Nasional, tidak kira siapa sahaja yang menjadi calon.

“Kita bukannya bersedia masa pilihan raya sahaja, tetapi perjuangan kita adalah sepanjang masa bagi berdakwah kepada masyarakat dan menegakkan agama Islam. Proses perjuangan kita adalah jelas,” katanya.

“Kita juga mahu proses pilihan raya kali ini berjalan dengan lancar dan berakhir tanpa sebarang masalah. Kita akan menjalankan kerja-kerja dengan tenang walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Terengganu, Fariz Musa berkata, anggota AMK akan membantu PAS dengan kekuatan seratus peratus dalam mengahadapi PRK Kuala Terengganu.

Menurutnya yang juga Timbalan Ketua AMK PKR anggotanya berasa sangat teruja untuk datang ke Kuala Terengganu sebaik sahaja mengetahui akan berlaku PRK Kuala Terengganu ketika Kongres Ke 5 PKR berlangsung baru-baru ini.

“Saya dan seluruh anggota AMK amat teruja untuk datang membantu PAS menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu,”katanya yang ketika dihubungi Buletinonline semalam.

“Skuad AMK akan memberikan bantuan menyediakan tenaga pidato bagi memberikan penerangan, tenaga bagi keselamatan dan logistik,”katanya.

Katanya perkara tersebut akan diatur dengan membuka satu markaz besar pada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Dengan itu beliau yang juga Pengarah Pilihanraya AMK Malaysia berkata kaunter-kaunter pendaftaran sukarelawan AMK akan dibuka dimarkaz-markaz tersebut, terus-menerus sepanjang kempen PRK.

Dalam perkembangan yang sama, Parti Tindakan Demokrasi (DAP) sudah mengatur untuk menurunkan tidak kurang dari 200 orang pemimpin pelbagai peringkat bagi menguatkan jentera kempen PAS.

Pengerusi Penaja DAP Kampung China Kuala Terengganu, Ng Chai Hing berkata, pihak DAP Pusat telah mengarahkan beliau untuk mengenalpasti dan memilih lokaliti strategik dalam DUN Bandar Kuala Terengganu untuk dijadikan pusat operasi sepanjang kempen.

“Kita akan memilih tiga lokaliti yang strategik, mungkin dua di kawasan Kampung China dan satu di Batas Baru bagi dijadikan pusat operasi kempen DAP,”katanya ketika ditemui semalam.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada 28 November lalu.

Allahyarham meninggal secara mengejut ketika bermain badminton bersama kakitangan Institut Aminuddin Baki di Genting Highlands, Pahang kira-kira 6.30 petang.

Tuanku Mizan Sanggup Mencemar Duli – Tidak ‘cemar’kah Wakil-wakil Rakyat UMNO??

Kuala Nerus - Banjir di Terengganu semakin buruk berlaku dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara mencecah angka 2,988 orang hari ini.

Daerah Kuala Terengganu dan Marang merupakan dua daerah yang paling teruk dilanda banjir yang disifatkan oleh sesetengahnya penduduknya terburuk sejak 10 tahun lalu.

Dalam daerah Kuala Terengganu, Parlimen Kuala Nerus merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir dengan jumlah lebih seribu orang penduduknya dipindahkan dari Taman Desa Pusu Tiga, Kampung Tok Jiring, Kampung Tok Jembal dan Kampung Padang Hangus.

Walaupun kesemua kampung-kampung tersebut dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, namun sebelum hari ini, kedua-kedua wakil rakyat UMNO bagi Parlimen dan DUN berkenaan tidak turun melawat kampung-kampung tersebut.

Sehinggalah hari ini, yang ‘memahat sejarah mencemarkan’ bagi wakil-wakil rakyat tersebut yang terpaksa melawat mangsa-mangsa banjir berkenaan apabila Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Nur Zahirah ‘mencemar’ duli mengadakan lawatan ke pusat pemindahan Banjir.

Baginda berdua memilih untuk melawat pusat perpindahan paling ramai iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, dekat sini, hari ini.


Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri tiba di pusat pemindahan banjir tersebut sekitar jam 12.30
tengahari.


Baginda berdua telah meluangkan selama dua puluh minit bertemu dengan mangsa-mangsa banjir dan mengagihkan sumbangan hamper, tanda ihsan baginda kepada rakyat jelata.


Suasana ceria menyambut ketibaan Baginda berdua yang berjiwa rakyat tidak pernah membezakan ‘warna dan sokongan politik’, sanggup mencemar duli serta bersalam-salaman dengan kanak-kanak, orang dewasa serta warga emas, bukan seperti yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat UMNO ‘yang cemar’ dengan memilih bulu apabila memberikan sebarang bentuk bantuan.


Turut serta mengiringi baginda ialah Pengerusi Penasihat Pemangku Raja Tengku Badruzzaman, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said serta Ahli Majlis Pangkuan, Dato’ Abdul Kadir Sulaiman.


Beberapa pimpinan PAS juga bersama memeriahkan dan menyambut Baginda berdua termasuk Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah serta Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu Tengku Ahmad Hussein.

03 Disember 2008

Mesyuarat Khas SPR Jumaat 5 Disember Tentukan Tarikh PRK KT


Kuala Terengganu - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan badan itu akan bermesyuarat Jumaat depan, 5 Disember, bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil
(PRK)Parlimen Kuala Terengganu
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini memberitahu notis kekosongan bagi kerusi Parlimen tersebut telah pun dihantar ke SPR.

”Mesyuarat khas ini akan menetapkan tarikh mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang kosong," kata Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil tersebut akan diadakan pada tahun ini juga, Wan Ahmad berkata: "Biar kami putuskan pada mesyuarat itu nanti."



BERITA SEBELUMHYA

PRK KT - Notis Belum Dikeluarkan, Parlimen belum terima Sijil Kematian, PAS Sah Akan Bertanding

Kuala Terengganu - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kerana sijil kematian Ahli Parlimen belum diterima oleh Parlimen. (Gambar - Senario disebuah 'pos' PAS dalam Piliharaya Umum lalu)

Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata notis kekosongan kemungkinan akan dikeluarkan oleh parlimen kepada SPR minggu depan apabila parlimen menerima sijil kematian tersebut.

“Sehingga pagi tadi sijil kematian Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Razali Ismail tidak diperoleh,"sijil itu diperlukan untuk disertakan bersama notis kekosongan," kata beliau yang dipetik akhbar mStar online.

Wan Junaidi berkata demikian ekoran kenyataan SPR yang hanya akan mengadakan mesyuarat khas untuk memutuskan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga jam 4 petang 1 Disember, pihaknya belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi itu.

"SPR tidak akan melengah-lengahkan untuk mengadakan pilihan raya kecil... sebaik sahaja menerima notis, kami akan memanggil mesyuarat khas, kami masih menunggu makluman daripada Parlimen," kata beliau lagi.

Sementara itu PAS mengesahkan akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan pendirian PAS itu telah disokong oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustaffa Ali berkata, PAS akan meletakkan calon seperti yang diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Mat.

Pendirian kedua-dua pimpinan PAS tersebut telah diperkuatkan dalam ucapan penutup Kongres PKR ke lima oleh Anwar di Stadium Melawati kelmarin.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata memang terdapat banyak cadangan dari ahli PKR supaya parti tersebut meletakkan calon dalam PRK Kuala Terengganu.

Menjawab persolan itu, Anwar berkata walaupun keputusan akhir siapa yang akan bertanding untuk PRK Kuala Terengganu adalah terletak kepada Pakatan Rakyat (PR), perundingan dalam PR adalah merujuk kepada kerjasama membantu antara satu sama lain.

“Pada PRK yang lalu (Permatang Pauh), PAS telah memberikan sokongan padu kepada kita dan sekiranya PAS bertanding, kita akan membalas budi PAS,”kata Anwar yang dipetik akhbar The Edge Daily.

Dalam perkembangan yang sama, PKR Terengganu menyatakan akan memberikan sokongan semaksimum mungkin kepada calon PAS yang akan diletakkan bagi menghadapi PRK Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan PKR negeri, Wan Rahim Wan Hamzah (gambar) berkata, pihaknya akan mengerahkan jentera parti untuk membantu rakan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil tersebut.

“PKR akan menggerakkan jentera parti di seluruh negeri bagi membantu calon Pas memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Kita akan tetap menurunkan jentera pilihan raya bagi memastikan calon Pas menang katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.


Jalan Putus Dua - Dua Cedera Motosikal Terjun Macam ‘Stuntman’

Kuala Nerus – Jalan pantai dari Seberang Takir menuju Kg Tok Jembal putus di Mengabang Wakaf Limah berhampiran Pantai Peranginan Tok Jembal dekat sini.

Jalan tersebut putus dua dipercayai akibat hujan lebat semalam yang menyebabkan tanah runtuh kerana pembentung jalan tidak mampu menahan aliran air.

Akibat kejadian itu sebuah lubang sedalam 10 kaki dalam 12 kaki lebar terbentuk menyebabkan jalan tersebut ditutup kepada semua lalulintas.

Seorang penduduk tempatan memberitahu, Mengabang Wakaf Limah tersebut memang pecah setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh.

Yusof Salim, 60, berkata mengabang tersebut tidak pecah sejak pagar yang mengelilingi Institut Integriti Terengganu (dahulunya Kem Seberang Takir) dibangunkan.

“Orang sini paggil kawasan ini Mengabang Wakaf Limah, ia memang pecah tiap-tiap tahun, tapi sejak pagar itu ada, ia tidak pecah,”katanya sambil menunjukkan pagar konkrit yang turut pecah dalam kejadian itu.

Malangnya, dua pekerja syarikat yang sedang membangunkan landasan terbang tambahan, lapangan terbang Sultan Mahmud tidak mengetahui jalan tersebut telah putus.

Kedua-dua mereka cedera parah apabila motosikal yang mereka naiki terjun kedalam lubang apabila hendak pulang ke rumah setelah tamat bekerja syif malam pada pukul 7.00 pagi.

Seorang mekanik yang bekerja dengan syarikat yang sama, Encik Razman Kassim, 42, berkata beliau mengetahui dua rakan sekerjanya itu mengalami kemalangan apabila motosikal mereka dihantar ke bengkel syarikat untuk dibaiki.

“Saya tahu bila motosikal mereka dihantar ke bengkel syarikat di Hulu Takir, mereka kini sedang dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil.”ujarnya yang ditemui Buletinonline ditempat kejadian.

Sementara itu, seorang saksi kejadian memberitahu motosikal kedua-dua pekerja swasta tersebut terjun umpama terbang lagak aksi lasak ‘stuntman’.

Beliau berada ditempat kejadian kerana datang awal untuk melaksanakan kerjanya membersihkan kawasan pantai tersebut.

“Mereka cedara, luka-luka dan motosikal meeka rosak teruk, saya bantu mereka keluar dari lubang dan mengangkat motosikal mereka,”katanya yang tidak mahu dikenali.

“Malam tadi (1 Disember) sekitar jam 10 malam saya datang meninjau kawasan ini, hujan lebat dan seluruh kawsan ini dipenuhi air macam laut,”katanya lagi.

“Ada kemungkinan,” tambahnya apabila ditanya adakah kerja-kerja menambak laut untuk memanjangkan landasan terbang turut menjadi punca jalan tersebut putus.

Buletinonline difahamkan, ombak besar yang terhalang kerana penambakan laut tersebut menyebabkan gelombangnya membawa pasir laut dan mendapan lalu menutup muka mengabang.

Pasar Kedai Payang Dinaiki Air, Peniaga Rugi Puluhan Ribu.

Kuala Terengganu - Pasar Besar Kedai Payang yang popular dikalangan warga tempatan dan pelancong asing telah dinaiki air telah dinaiki air sedalam 0.3 sehingga 0.6 meter.

Air mula memenuhi tingkat bawah pasar tersebut bermula kira-kira jam 4 pagi semalam selepas hujan turun dengan lebat menyebabkan berpuluh-puluh peniaga mengalami kerugian.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Ladang Dato’ Tengku Hassan Omarberkata air membanjiri tingkat bawah pasar tersebut berpunca longkang yang tersumbat disamping hujan yang turun amat lebat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ombak besar sebagaimana yang dilaporkan semalam juga menyumbang kepada kejadian tersebut.

“Hujan lebat satu, lepas tu longkang tersumbat dan terlekat sampah adalah punca air naik,” kata beliau ketika ditemui ketika melawat pasar tersebut, dekat sini, pagi semalam.

Seorang peniaga, Zulkifli Ismail, 40, (gambar kiri) berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM5000 apabila barang jualannya rosak akibat air banjir tersebut.

Beliau yang telah berniaga selama 10 tahun di Pasar tersebut terpaksa ‘melelong’ barangan jualannya dengan harga yang murah untuk mengelakkan kerugian lebih teruk.

“beras biasa, beras merah, makanan ayam semua terpaksa saya ‘lelong’ murah kerana kalau disimpan ia akan rosak,”ujarnya yang memaklumkan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5000

Seorang peniaga warga emas, Harun bin Mohd Amin, 67, berkata sudah tiga kali berlaku banjir di kawasan tersebut sejak beliau berniaga 30 tahun yang lalu.

“Tahun masa Shafie jadi wakil rakyat dulu, luar tu sekali masa tengah buat pasar ni, jadi tiga kali dengan hak ni lah,” terang beliau.

“Ini air sungai, air pasang jerembung (bertembung), hok ni jerembung dengan air hulu, tapi hok ni tak banyak, (tenggelam) dua beg hok bawah,

“Lelong banyak, (saya) susun 15 beg, dua beg hok bawah kena lelong sebab rosak,”kata beiau yang berasal dari Kampung Panji.

Bila ditanya apa yang beliau harap dari pihak kerajaan beliau berkata “terpulang pada ‘dialah’ (kerajaan) atas pertimbangan dia, kalau dia nak beri gantirugi sikit,…..”

02 Disember 2008

Banjir Taman Desa Pusu Tiga – YB Umno/BN Tidak Turun

Kuala Nerus – Kawasan kampung Pusu Tiga khususnya Taman Desa Pusu Tiga telah dinaiki air sedalam satu meter kira-kira jam 11 pagi ini.

Timbalan Ketua Cawangan PAS Kampung Pusu Tiga, Mohd Salehuddin Ibrahim, 49, (gambar - baju biru muda) berkata semua ahli-ahli cawangan tersebut telah berjaga sejak semalam bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Seorang mangsa, Hasbullah Mamat, 40, berkata kawasan rumahnya agak rumhanya agak tinggi, air belum naik tinggi, tapi bagi jiran-jiranya di sebelah barat taman itu, air telah memasuki rumah mereka seawall jam 3.00 pagi.

Pengerusi Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) Fauzi Abu Samah (gambar kanan) yang turut ditemui di kawasan tersebut memaklumkan bahawa Mampat telah turun memberikan bantuan sejak jam 7.00 pagi.

“Saya berada disini sejak jam 7.00 pagi dan telah mengagih-agihkan bantuan keprluan harian berupa beras, minyak dan lain-lain,”kata beliau.

Bantuan tenaga dan kenderaan serta bot sedang diusahakan oleh Unit Amal Kuala Nerus yang turut membantu memindahkan barang-barang berharga penduduk.

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemsyarakatan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah yang berada di tempat kejadian mengatakakan beliau dimaklumkan air mula membanjiri kawasan tersebut sejak jam 2.00 pagi.

Belia berkata sebuah tempat perpindahan sementara telah dibuka di Surau Taman Desa Pusu Tiga di mana bantuan telah diagihkan.

“Pusat pemindahan sementara disini, di Surau Taman ini, bantuan telah dihantar dan mangsa-mangsa akan makan tengahari disini,
“mereka akan berada disini sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan tetap memandangkan kawasan surau ini agak sempit,”ujar beliau.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana menurutnya beliau dimaklumkan oleh penduduk setempat bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh tidak turun membantu.

“Saya dimaklumkan YB tidak turun, dia (YB) kata ini bukan kawasannya, bukan pengundinya,” tambah Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Tinjauan Buletinonline medapati kereta YB ADUN Tepoh ada di bawah garaj di sebuah rumah berhampiran Taman Desa Pusu Tiga yang dipercayai menjadi rumah sewa beliau.



Banjir Terengganu Bertambah Buruk

Kuala Terengganu – Majoriti akhbar online media perdana hari ini melaporkan banjir betrambah baik, sedangkan berlaku sebaliknya.

Hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi menyebabkan keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk petang semalam dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat.

Jabatan Meteorologi memberi amaran hujan lebat akan berterusan di Terengganu iaitu di Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun.

Sehingga jam 6 petang, daerah Kuala Terengganu paling ramai dipindahkan iaitu 1,201 mangsa manakala di Marang 686 orang dan Besut 69 orang.

Bernama memetik Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata lima pusat pemindahan di Kuala Terengganu dibuka iaitu Balai Raya Sungai Pinang, Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Sekolah Kebangsan Tok Jiring dan Sekolah Kebangsaan Bukit Nenasi.

Paras air di Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri masih di tahap bahaya manakala paras air di Ibu Bekalan berada di tahap amaran.

Jalan-jalan yang ditutup Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga; Jalan Marang-Wakaf Tapai dalam daerah Marang.

Manakala di Kuala Terengganu pengguna jalanraya yang berhasrat ke Kota Bharu perlu mengambil laluan alternatif mengikut jalan pantai kerana kerana jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Felda Belara ditutup untuk semua lalulintas.

Di Setiu membabitkan Jalan Telaga Papan-Chalok; Bukit Perah-Kampung Jok-Kuala Kajil dan Marang-Kuala Telemong kerana dinaiki air sedalam antara 0.25 meter dan 1.5 meter.

Dalam perkembangan yang sama Pasar Besar Kedai Payang telah dinaiki air bermula pada kira-kira jam 4 pagi sedalam 0.3 meter sehingga 0.6 meter.

Pelbagai barangan yang dijual di tingkat bawah Pasar Payang rosak akibat ditenggelami air
termasuk barangan runcit seperti gula, beras, tepung, pulut hitam, kacang hijau dan buah-buahan.

Para peniaga terpaksa ‘melelong’ barangan mereka dengan harga yang murah untuk mengelakkan kerugian lebih teruk.

01 Disember 2008

Projek Itu Tidak Patut Dilaksanakan – Dr. Ma


Kuala Terengganu – Penduduk Taman Perumahan Jalan Cerong Lanjut bersepakat mengatakan Projek Projek Taman Puncak Panorama yang sedang dibangunkan di puncak bukit Pak Apil adalah punca menyebabkan kejiranan tersebut ditenggelami air.

Mereka yang dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar semalam berkata sehingga minggu lalu, telah empat kali rumah mereka dilanda banjir kilat.

Manjeet Singh, Nenek Wee, Dr. Ma, Uncle Chee dan beberapa penduduk lain yang tidak sempat dicatatkan namanya telah meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pihak berkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Manjeet Singh berkata sepanjang beliau tinggal di kawasan itu selama lebih 30 tahun, tidak pernah berlaku banjir yang seteruk dialaminya pada tahun ini.

“Saya tinggal sini sudah lebih 30 tahun, dulu ada air naik sikit-sikit lah, tapi tahun ini, sangat teruk, air naik sehingga 3, 4 kaki.” Katanya sambil menunjukkan almari perhiasan rumahnya yang terpaksa beliau letakkan diatas kerusi.

“Dulu orang kata sediakan payung sebelum hujan, sekarang sediakan barang sebelum hujan, sebab kalau tidak siap barang, habis banjir barang jadi rosak,” tambahnya.

Seorang doktor pergigian, Dr. Ma melahirkan perasaan yang cukup tidak puas hati kepada pihak berkuasa MBKT.

“Saya sudah banyak kali, saya kata datanglah sini, korek ini longkang,”katanya sambil menunjukkan longkang hadapan rumahnya yang tersumbat akibat lumpur.

“Di belakang pun ada longkang, baru-baru ni adalah ‘cash’ mari dia korek longkang, lumpur angkat letak kat tepi longkang,

“bila hujan mari, air bawa lumpur masuk dalam longkang semula,”kata beliau.

“Iya, projek itulah yang teruk ni, dua tiga tahun lepas tak ada lah banjir macam ni, tapi tahun ini sudah empat kali, memang sebab projek itu,”kata beliau apabila ditanya adakah projek yang sedang dibangunkan diatas bukit menyebabkan berlakunya banjir.

“Saya rasa projek itu tidak patut dibuat, kalau nak rekreasi boleh pilih tempat lain, itu kawasan bukit bahaya,”tambah beliau sambil menuding jari menunjuk kawasan tarahan bukit yang jelas kelihatan dari kawasan rumahnya.

Sementara itu, seorang penduduk telah membawa Dato’ Tengku Hassan kepinggir bukit bagi melihat bagaimana salah satu sebab air mengalir dengan deras apabila hujan turun.

Menurut penduduk tersebut, sebuah jalan menuju ke sebuah rumah dekat kaki bukit diseberang jalan Cerong Lanjut menjadi ‘jambatan’ air yang terus mengalir masuk ke dalam taman perumahan itu.

Tindakan pantas ADUN Kawasan Ladang telah menelefon Timbalan Datuk Bandar Kuala Terengganu dan melaporkan perkara tersebut pihak MBKT.

“Saya baru sekejap bercakap dengan Timbalan Datuk Bandar, dia berjanji akan datang esok untuk membetulkan aliran air itu supaya masuk ke dalam longkang, bukannya mengalir melintasi jalan,”kata Tengku Hassan.

Beliau amat kesal kerana masalah banjir kilat yan melanda penduduk dikawasan itu belarutan, bahkan membahayakan kehidupan pasangan warga tua, Wee Siew Chuat, 85, yang sudah terlalu lemah untuk bertindak sekiranya banjir melanda.

Ketika ditemui, pasangan tersebut berkata mereka tidak dapat berbuat apa-apa ketika air naik, hanya mampu berlindung dengan duduk diatas katil.

Selain itu, beliau berkata beliau akan mengambil langkah-langkah perlu bagi menyelesaikan masalah penduduk di kejiranan itu.

Selain dari berbincang lanjut dengan Datuk Bandar, beliau akan meminta penjelasan kerajaan dan mengemukakan perkara tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri akan datang yang bermula dari 14 hingga 18 Disember depan.




Berwaspada - Banjir Lebih Buruk

Kuala Nerus – Seluruh penduduk negeri ini diminta berjaga-jaga dan berwaspada berikutan amaran banjir yang akan menjadi lebih buruk di Pantai Timur berikutan amaran hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian ketika dihubungi selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Tepoh dekat sini semalam.

Belia berkata hujan lebat yang turun baru-baru ini adalah hanya peringkat awal, belum lagi masuk musim tengkujuh yang sebenarnya.

“Ia baru peringkat awal, hujan akan turun lagi dan dimaklumkan akan lebih lebat dan panjang dari sebelum ini,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan supaya ibu bapa mengambil perhatian dan menjaga keselamatan anak-anak dan memastikan mereka tidak bermain air banjir berhampiran dengan sungai.

Selain itu beliau berharap bagi mereka yang tinggal di kawasan yang selalu dinaikki air akan sentiasa bersiap sedia,

“Ambil tindakan awal, kemaskan barang-barang dirumah, apabila kelihatan hujan tidak henti-henti dan air mula naik, jangan berlengah dan pergi ke pusat-pusat pemindahan dengan segera,”ujar beliau.


Sementara itu, bilik gerakan banjir negeri melaporkan sehingga semalam seramai 2,789 mangsa di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, namun seramai 711 penduduk di empat daerah masih berada di pusat-pusat pemindahan.

Menurut jurucakapnya jumlah berkenaan semakin berkurangan berbanding 3,500 orang yang ditempatkan di pusat-pusat berkenaan sehingga pukul 10 malam tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa ditempatkan di 24 buah tempat pemindahan iaitu 287 di Besut, Setiu (143), Hulu Terengganu (sembilan) dan Marang (272).

Beliau memberitahu, empat jalan masih ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air iaitu Jerteh-Hulu Besut, Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong dan Jalan Matang-Kuala Telemong serta laluan Permaisuri-Hulu Seladang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Ziarah Keluarga Dato’ Razali


Kuala Terengganu - Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang meninggal dunia secara mengejut pada petang kelmarin.


Beliau berkata kematian Dato’ Razali itu hanya diketahui beliau apabila mengesahkannya melalui ipar Allahyarham, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azmi Lop Yusuf.(Gambar - Dato' Mustafa bertanya khabar dengan Abang Allahyarham, turut sama Azmi Lop Yusuf (berbaju putih)


Beliau turut rasa terkejut dengan pemergian Allahyarham Dato’ Razali kerana menurutnya beliau sudah kenal lama dan rapat dengan Allahyarham ditambah mempunyai pertalian keluarga.

“Saya memang terkejut dan memang tak pernah tahu tentang penyakitnya, memang saya rapat dengan dia (Razali) dan saya ada hubungan keluarga di antara isteri saya dengan isteri beliau.

“Bagi pihak PAS Terengganu, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan diharap masing-masing dapat bersabar,” ujarnya kepada pihak media.


Diminta mengulas lanjut tentang Allahyarham semasa menjawat jawatan Menteri Pelajaran, Dato’ Mustafa berpendapat Allahyarham seorang yang komited serta bersungguh dalam melaksanakan tugasnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak dapat turut serta menziarahi keluarga Allahyarham kerana berada di tanah suci bersama Adun Batu Burok, Dr
Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayob.


Hadir sama menziarahi Allahyarham Dato’ Razali, Bendahari PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Naib Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Haji Shukrimun Shamsudin.

Datuk Razali Ismail, AP Kuala Terengganu meninggal

Kuala Terengganu
. - Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland dekat sini kira-kira 6.30 petang tadi.


Bernama melaporkan berita tersebut setelah disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama

Manakala mStar juga menyiarkan berita tersebut.

Beliau juga merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu bagi penggal kedua setelah menang tipis kepada Naib Presiden PAS Haji Mohamad Sabu pada pilihanraya umum ke 12 Mac lalu.

Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi dengan mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi. manakala calun bebas, Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.

Allahyarham menghadiri sesi pemukiman dua hari bagi pemimpin Umno Terengganu di situ yang bermula hari ini Difahamkan Razali, 59, rebah etika bermain badminton di institut itu.

Alimuddin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong.

Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lim anak.

Malaysiakini melaporkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu malam ini.

Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari.



Pertembungan Impian

Kuala Terengganu - Berikutan kematian anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Muhamad petang tadi, kini Kuala Terengganu bakal menyaksikan pilihan raya kecil tidak lama lagi.


SiasahDaily
membuat telahan awal dengan mengimpikan pertembungan impian adalah antara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Embong dengan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid.

Wan Mutalib adalah calon yang disebut-sebut untuk menjadi calon PAS di Kuala Terengganu sebelum PAS Pusat memutuskan untuk mencalonkan Naib Presidennya, Haji Muhamad Sabu di situ.

Wan Farid yang kini adalah senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pula adalah calon yang disebut-sebut untuk bertanding dalam pilihan raya lalu di kawasan ini tetapi nama beliau hilang selepas itu.

Ramai pihak menganggap pertembungan kedua-duanya adalah pertembungan impian banyak pihak kerana kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua calon itu di kawasan ini. (Gambar kanan - antara kegemaran Wan Farid di waktu lapang )

Wan Mutalib, AJK PAS Pusat, sebelum ini adalah Adun Batu Burok. Beliau kini menjadi Pengerusi JK Pemantau bagi pihak PAS Pusat untuk semua negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Selain beliau, turut tersenarai untuk menjadi calon-calon PAS adalah pesuruhajaya PAS Terengganu sendiri, Datuk Mustafa Ali.

Di pihak BN pula, nama bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu, Zuber Embong juga ada disebut-sebut

Potensi Tamatkan Konflik Yaman

  Perunding Houthi meninggalkan Riyadh selepas pusingan lima hari rundingan dengan pegawai Saudi mengenai perjanjian berpotensi yang boleh m...