08 September 2009

Ahmad Said Tolak Tawaran Menjadi ‘Menteri Pusat’

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita10/IMG_4637.JPGKEMAMAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Ahmad Said berkeras mahu mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar negeri Terengganu dan menolak jawatan ’lumayan’ sebagai Menteri Pusat. Sumber dalaman memberitahu, Ahmad akan dilantik sebagai Senator dan kemudian ’menteri penuh’
sebagai ’pertukaran’ supaya beliau mengosongkan kerusi Menteri Besar Terengganu.

Tawaran pertukaran jawatan tersebut didakwa sumber itu, dibuat oleh kepimpinan Umno Pusat kepada beliau bagi meredakan krisis dalaman Umno Terengganu.

Namun, sumber tersebut yang menghubungi Buletinonline hari ini berkata, Ahmad menolak tawaran tersebut dan berkeras, mengekalkan ’status’nya yang dianggap amanah diberikan kepadanya oleh Sultan. (Gambar - Hanya penyokong Ahmad Said hadir Majlis Muhyidin di Hulu Terengganu)


Ura-ura untuk melantik Ahmad sebagai Menteri Pusat telah didedahkan oleh Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly dalam laman blognya semalam.

Krisis kepimpinan Umno Terengganu kian meruncing apabila ADUN Umno memboikot majlis berbuka puasa Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Muhyiddin dipetik berkata majlis tersebut dianjurkan kerana krisis Umno negeri Terengganu “adalah kritikal” dan perjumpaan tersebut adalah untuk memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap.

Muhyidin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau, yang juga timbalan perdana menteri telah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan dua kumpulan tersebut, antara pemimpin pro-Idris dengan pro-Ahmad.

Namun, tawaran Muhyidin tersebut tidak diambil peduli oleh kumpulan 15 ADUN Umno yang memang telah merancang, sengaja memboikot majlis tersebut kerana menurut mereka, ia tidak membantu menyelesaikan konflik dalaman parti itu.

Justeru, selepas itu, menurut sumber dalaman itu, Ahmad telah ditawarkan untuk dilantik sebagai menteri pusat.

”Oleh kerana Ahmad menolak tawaran tersebut, pemimpin Umno sedang memikirkan langkah-langkah selanjutnya bagi menangani krisis yang telah berlanjutan,”tambahnya.

Krisis kepercayaan terhadap Ahmad bermula hujung Mac tahun 2008 apabila bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Diris Jusoh tidak diperkenankan oleh pihak istana untuk disambung perkhidmatannya.

Kumpulan yang pro Idris telah memboikot pelantikan Ahmad dan Ketuanya, ADUN Ajil, Dato’ Rosol Wahid berkata mereka sanggup meletakkan jawatan dari tunduk kepada Ahmad sebagai Menteri Besar.

Kumpulan tersebut sekali lagi menggemparkan politik tanah air pada April lalu apabila mendakwa mendapat ’SMS mengugut bunuh’ lalu memboikot sidang Dewan Undangan Negeri kerana merasakan ’diri mereka tidak selamat’.

Ekoran kes tersebut, bekas Setiausaha Politik Idris, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir telah ditahan polis dan dituduh menghantar SMS mengugut bunuh itu.

PRK DUN Bagan Pinang; Pemuda PAS Terengganu Turun Buat Tinjauan Awal

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita10/pemudaterengganuturunbpinang.gifKUALA TERENGGANU – Pilihanraya Kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan akan diadakan berikutan Kerusi DUN tersebut kosong ekoran penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional meninggal dunia pada 4 September baru-baru ini.

Justeru, Pemuda PAS Terengganu mengambil langkah awal untuk turun ke DUN Bagan Pinang esok, 9 September, bagi membuat tinjauan awal.

”Lusa (esok) kita akan turun ke (DUN) Bagan Pinang untuk tinjauan kawasan di sana, bermesyuarat dengan pemuda disana dan kita akan tengok apa yang kita boleh bantu, komitmen kita sangat kuat,” kata Timbalan Ketua Pemuda Terengganu, Ustaz Wan Shukairi Wan Abdullah.

Menurutnya, beliau yakin PAS bakal menang dalam pilihanraya kecil tersebut walaupun sedar terdapat pengundi pos lebih dari 5,000 orang.


”Tapi dengan majoriti 2,300 lebih undi yang diperolehi oleh calon kita (PAS) dalam pilihanraya (umum) baru-baru ini (telah) menunjukkan satu peningkatan yang begitu hebat,

”InsyaAllah dengan isu-isu terkini, kita (PAS) akan lebih menjuarai dan tidak mustahil untuk kita menang,”jelasnya ketika ditemui Buletinonline, selepas majlis penyerahan kunci rumah bantuan penuh PAS di Kampung Chendering dekat sini, semalam.

Beliau berkata pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang adalah sangat penting kerana ia adalah peluang kepada rakyat DUN Bagan Pinang membuktikan mereka bersama perubahan yang berlaku di seluruh negara.

”Ini peluang kepada rakyat Rakyat Bagan Pinang membuktikan komitmen bersama mereka dengan rakyat diseluruh tempat (negara) bagi menolak Umno dan barisan Nasional,

”khususnya Negeri Sembilan adalah kubu kuat Umno dan BN,”katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata pihaknya telah menerima surat rasmi makluman kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

"Saya sudah menerima surat makluman pukul 2.45 petang tadi... bersama sijil kematian wakil rakyat Bagan Pinang, surat telah dihantar sendiri oleh pejabat Speaker," kata Tan Sri Aziz.

Sehubungan itu, menurutnya, SPR telah menetapkan 14 September ini sebagai tarikh untuk mengadakan mesyuarat khas menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi tersebut yang kosong sejak Jumaat lalu.




07 September 2009

Krisis dalaman UMNO Terengganu Hanya Selesai Selepas PRU 13

SETIU - Krisis dalaman Umno diramal semakin parah berikutan perkembangan terbaru tindakan ADUN Umno/BN memboikot Majlis Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyidin Yassin di Hulu Terengganu baru-baru ini.

Oleh itu, ramai pihak yakin, Barisan Nasional (BN) akan menjadi pembangkang di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 sekiranya krisis kepimpinan melibatkan wakil rakyat BN berterusan dan tidak selesai.

”Dan kita ingat dia (BN) dapat selesai masalah dia selepas pilihanraya ke 13, InsyaAllah,” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib ketika ditemui selepas menyampaikan tazkirah pada Majlis Iftar kawasan Setiu di Jabi, dekat sini petang semalam.


Walau Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada ADUN Umno yang melompat parti samada kepada PAS ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

”Setakat ini belum ada, mana-mana pihak yang melompat parti, kita pun tak tahu nak melompat ke mana, ada berita-berita sahaja,”ujarnya ketika ditanya berkaitan perkara tersebut.

Berkaitan persiapan PAS menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan, beliau berkata, PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat politik bagi membincangkan perkara itu esok 7 September di Kuala Lumpur.

”Esok mesyuarat politik di Kuala Lumpur, jadi, saya tidak mahu jawab lagi,”katanya ringkas.

Sebelum itu, beliau berkata, masalah dadah yang banyak dan mudah didapati dalam Negara kita adalah kerana adanya rasuah.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita10/iftarJabi.jpgBeliau mengulas kisah seorang sahabat RasuluLlah SAW, Suhaib ArRumi yang dapat melepaskan diri keluar dari Mekah apabila disekat oleh orang-orang kafir Quraisy.

Katanya, Suhaib telah menyerahkan kunci tempat simpanan hartanya kepada orang-orang Quraist tersebut, lalu beliau dilepaskan untuk berhijrah ke Madinah.

”Yang kata banyak-banyak dadah ada dalam Malaysia ini pasal apa, dia masuk kut mana, nak kata jatuh darti atas langit tidak munasabah,

”sempadan negara ada belaka kastam, di darat ada, di udara ada, udara tu dia masuk ikut lapangan terbang, ada kastam, tapi yang terlepas pasal apa,

”takut ada lagi saki baki (seperti orang yang menyekat Suhaib ar-Rumi),”katanya.

Turut hadir dalam Majlis Iftar Peringkat Kawasan Setiu semalam adalah Yang Dipertua PAS Setiu Ustaz Mohd Pauzi Muda, Setiausaha Aminuddin Umat dan Ketua Penerangan Dr Azman Ibrahim.

06 September 2009

Projek Mega Mencurah, Rakyat masih Tidak Terbela

KUALA NERUS  – Walaupun Seberang Takir adalah antara kawasan paling banyak dilaksanakan projek-projek Mega, namun ramai rakyat dalam kawasan berkenaan masih hidup dibawah tahap kemiskinan.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata demikian ketika ditemui dalam program ziarah dan pembahagian bantuan sempena Ramadhan di sini semalam.

”Seberang Takir boleh dianggap sebagai kawasan paling maju di Terengganu, dengan pelbagai projek mencurah-curah,

”projek mega seperti Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kompleks Sukan termasuk stadium, benteng pemecah ombak dan lain-lain, tapi tahap kemiskinan masih tinggi,”katanya.

Beliau berkata, walaupun wakil rakyat kawasan berkenaan adalah seorang Exco kanan kerajaan Terengganu namun tahap hidup rakyat masih tidak berubah.

Keadaan itu katanya adalah disebabkan projek-projek mega tidak memberi manfaat yang banyak kepada penduduk tempatan, disamping agihan bantuan yang tidak rata.

”Walaupun YB di sini seorang exco kanan kerajaan, masih ramai orang miskin tidak terbela kerana terdapat diskriminasi dalam bantuan, agihan tidak rata, projek mega yang banyak pula tidak beri manfaat kapada rakyat,”jelasnya

Menurutnya, program ziarah dan pembahagian bantuan yang diadakan semalam sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk miskin terutamanya ibu-ibu tunggal, nelayan dan mereka yang kurang berkemampuan dalam menempuh Ramadhan serta Eidul Fitri.

Katanya 40 keluarga telah menerima bantuan tersebut, berupa hamper barangan keperluan dapur yang di sumbangkan bersama oleh Lajnah Kebajikan Muslimat, Nisa DUN Seberang Takir dan para muhsinin dalam DUN berkenaan.

Muslimat PAS Terengganu tumpu program kebajikan

KUALA TERENGGANU - Muslimat PAS Terengganu kini dilihat lebih ke arah memberi tumpuan pada gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

Ketuanya, Sapinah Jusoh berkata gerak kerja Muslimat PAS kini bukan hanya kepada politik semata-mata tetapi juga ke arah kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

“Dewan Muslimat PAS Terengganu hari ini selain daripada tumpuan politik, kita juga terlibat dengan gerak kerja dan program kebajikan dalam masyarakat.

“Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan menjadi sebahagian dan tumpuan utama Muslimat PAS masa kini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Jamaie Bersama Presiden PAS di Restoran Paradise Deluxe, Kuala Terengganu, pada 28 Ogos lalu.

Menurutnya, melalui kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan PAS akan lebih dikenali dan disayangi oleh rakyat.

Katanya, Islam merupakan agama yang sempurna dan kerja-kerja berbentuk kebajikan dituntut oleh syariat.

Beliau yang juga bekas Senator ketika kerajaan PAS Terengganu tahun 1999 hingga 2004 yakin dengan pendekatan kebajikan mampu menarik sokongan rakyat kepada PAS.

“Kita (Muslimat) pernah turun membantu mangsa-mangsa banjir, menziarahi rakyat yang ditimpa musibah dan menyampaikan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan,” ujarnya.

Namun begitu, katanya gerak kerja politik tidak dilupakan malah berjalan seiring dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta dua orang isterinya iaitu To’ Puan Zainab Awang dan Dr Norita Mohd Taat hadir sama bagi memeriahkan majlis tersebut.

Pada majlis anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Terengganu seramai lebih 220 orang tetamu hadir dengan kutipan melebihi 11,000 berjaya dikumpulkan.

Potensi Tamatkan Konflik Yaman

  Perunding Houthi meninggalkan Riyadh selepas pusingan lima hari rundingan dengan pegawai Saudi mengenai perjanjian berpotensi yang boleh m...