10 November 2008

Kerajaan Tidak Serius Tangani Masalah Kenaikan Harga Barang – Mustafa Ali


Kuala Terengganu - Kerajaan Pusat tidak serius menangani masalah kenaikan harga barangan yang dihadapi oleh rakyat, meski pun harga minyak dunia mulai turun.

Justeru itu, PAS akan memastikan kerajaan akan mengambil tindakan proaktif bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan tersebut.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata penurunan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan terlalu kecil dan tidak sepadan dengan penurunan harga minyak dunia hari ini.

“Saya lihat kerajaan tidak serius tangani masalah kenaikan harga barang meski pun harga minyak dunia sudah turun dengan banyak dan kerajaan perlulah proaktif.

“Rakyat amat terasa terbeban dengan kenaikan itu walau pun Pak Lah (Perdana Menteri) telah turunkan harga minyak tetapi tidak padan dengan masa minyak dikenaikan,” ujarnya ketika dihubungi kelmarin.

Menurut Dato’ Mustafa, dengan penurunan harga minyak dunia hari ini kerajaan sepatutnya dapat menurunkan harga minyak negara lebih banyak lagi.

Katanya, kerajaan juga perlu bijak menangani krisis ekonomi terutama berkaitan harga minyak agar tidak membebankan rakyat.

“Kita (PAS) mahu pastikan kerajaan dapat turunkan harga barangan selari dengan penurunan minyak.

“Kerajaan perlu hati-hati membuat jangkaan berhubung dengan harga minyak dan tidak menaikkan harga minyak secara mendadak kerana ‘takut’ (bimbang) nanti dikatakan tidak pandai meramal,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil pengajaran dan pengalaman daripada apa yang berlaku sebelum ini akibat tidak membuat jangkaan tepat terhadap kenaikan harga petrol dan diesel pada April 2008 lalu.

Kesannya, kata beliau rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang dalam tempoh yang lama.

Oleh itu, katanya kerajaan pusat juga perlu serius dalam menangani masalah kenaikan harga barang dan krisis ekonomi.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 4 November 2008 lalu telah mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter.


ADUN Sura Usaha Bantu Pelajar Yang Dinafikan Hak


Dungun – Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, Mohd Danial Razali yang dinafikan haknya untuk mendapat pinjaman pendidikan bagi melanjutkan pelajaran, telah pun selamat berada berada di bumi para anbiya’, Jordan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli memberitahu demikian ketika dihubungi Buletinonline semalam.

“Kini beliau sedang menunggu untuk kemasukkan dan meneruskan pelajarannya di Universiti Yarmouk,
“dengan sumbangan orang ramai yang prihatin dan pihak saya sendiri, beliau dapat dibantu,”katanya.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Majlis Tindakan DUN Sura akan terus berusaha seberapa termampu bagi membantu pelajar-pelajar cemerlang dalam kawasan tersebut, khususnya yang dinafikan hak untuk mendapat pinjaman dari kerajaan negeri.

Mohd Danial antara pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Dungun yang mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 sehingga mendapat tawaran daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di Universiti Yarmouk, bagaimanapun dia gagal mendapat biasiswa.

Danial nyaris gagal untuk menyambung pelajarannya apabila permohonannya untuk mendapatkan pinjaman biasiswa daripada Yayasan Terengganu ditolak

Bapanya Mohd Razali Aman, 57, yang bekerja sebagai penjual serbuk kopi tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang begitu besar.

Walaupun begitu, Razali yang tidak sampai hati melihat anaknya terkandas dalam pelajaran telah berikhtiar untuk mendapatkan sejumlah wang bagi membiayai yuran pendaftaran.

“Sebaik sahaja ditawarkan pengajian di universiti di luar negara, Danial membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman biasiswa, tetapi permohonannya ditolak.

“nasib baik ada pihak yang menghulurkan bantuan,” kata Razali yang turut mendapat sumbangan hasil derma orang ramai di beberapa surau berdekatan untuk membantu anaknya.

Wan Hassan menyatakan kekesalannya ekoran tindakan kerajaan negeri yang terus melakukan diskriminasi dan pilih kasih dalam memberikan bantuan.

“Sepatutnya Yayasan bertanggungjawab membantu pelajar melanjutkan pelajaran, terutamanya pelajar cemerlang seperti Danial,

“namun jelas sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Umno/ Barisan Nasional terus melakukan penindasan kepada mereka yang dianggap sebagai penyokong PAS,”ujarnya.

Pemimpin Umno ‘Kuat Iman'?

Kuala Terengganu – Peralihan kuasa yang bakal berlaku dalam kepimpinan Umno yang melibatkan jawatan tertinggi parti itu hanya tinggal empat bulan dari sekarang

Berikutan itu, Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak mempunyai peluang yang sangat ‘cerah’ untuk melangkah ke jawatan paling tinggi sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Kini, parti Umno sedang menghadapi Mesyuarat Pemilihan Umno bahagian di seluruh negara bagi memilih kepimpinan parti di bahagian-bahagian berkenaan.

Demi merebut jawatan sebagai tiket untuk mendapat pangkat dan harta, berlakulah usaha lobi melobi, rasuah dan sogokan yang berselindung disebalik nama yang lebih lunak sebagai ‘politik wang’.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah berkata dalam Umno hanya pemimpin yang kuat ‘iman’ sahaja boleh menang.

Menurutnya, mana-mana pemimpin Umno yang ingin bertanding dalam pemilihan Majlis Tertinggi Parti atau Ketua Bahagian mesti seseorang yang kuat ‘iman’.

“Betul Mat, kalau hendak menang pemilihan jawatan tertinggi parti atau mana-mana bahagian mesti kena kuat ‘iman’.

“’Iman’ bagi orang Umno adalah ‘duit’..jika tidak ada duit jangan haraplah kamu hendak menang. Sebab itu, mereka (pemimpin) yang bertanding hari ini semua itu mereka yang kuat ‘iman’ belaka,” ujarnya dengan sinis kepada seorang Wartawan ketika Mesyuarat Pemilihan Umno Bahagian Tumpat, Kelantan, baru-baru ini.

Katanya, orang Umno hanya ‘berimankan’ duit dan kerana duit kebenaran serta keikhlasan tidak bernilai lagi.

Buletinonline difahamkan, rupa-rupanya duit itu merupakan ‘iman’ bagi orang Umno yang melengkapkan lagi dakwaan PAS serta parti-parti pembangkang lain.

Justeru Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau gagal untuk bertanding Presiden Umno kerana beliau kurang iman, iaitu kurang duit.

Shapian Kecewa Lagi - Tak Dibenar Bertanding Dua Kali Tahun Ini


Kuala Nerus – Tahun 2008 memang tahun yang 'malang' bagi Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Seberang Takir, Mohd Shapian Ali.

Pada 20 Februari lalu, Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh tidak membenarkan Shapian bertanding bagi mewakili Umno/BN untuk mewakili kerusi DUN Seberang Takir.

Idris telah menggugurkan Shapian dari senarai calon untuk PRU 12, 2008, dan tempat beliau diganti dengan muka baru Razif Abdul Rahman, adik kepada bekas AP Kuala Nerus Azmi Abdul Rahman yang juga digugurkan oleh Idris.

Ekoran dari tindakan Idris itu, para penyokong Shapian telah turun berhimpun secara haram ke jalanraya selama dua hari.

Mereka telah berhimpun di hadapan Wisma Darul Iman, kemudian berarak ke kediaman rasmi Idris di Batu Burok.

Setelah lapan bulan berlalu PRU 12, Shapian dilanda malang sekali lagi.

Kali ini beliau tidak dibenarkan tidak dibenar bertanding jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu (8 November).

Beliau kecewa dan hairan dengan tindakan pengurusan Umno bahagian itu kerana pada 21 September lalu, menerima surat tawaran memaklumkannya layak bertanding jawatan itu selepas mendapat pencalonan mencukupi tetapi pada 3 November lalu, menerima sepucuk surat lain mengesahkannya tidak layak bertanding.

“Berdasarkan surat itu, alasan diberi tidak membayar yuran tahunan RM1 menjelang tarikh akhir pada 31 Disember 2007.

“Melalui surat itu, saya dimaklumkan hak itu ditarik semula mengikut Fasal 6.2 Perlembagaan Umno sekali gus jawatan saya sebagai Ketua Cawangan Umno Seberang Takir Pantai turut gugur dengan sendiri.

“Kekeliruan ini membuktikan pengurusan Umno bahagian itu begitu lemah dan memalukan kerana melakukan kesilapan sedemikian,” katanya pada sidang media di rumahnya di Kampung Tok Jembal, di sini, kelmarin.

Katanya, yuran tahunan itu cuma RM1 dan sudah dijelaskan sebelum ini, malah kerana tidak berpuas hati dengan masalah itu, beliau sudah membawanya ke peringkat atasan termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

“Saya sudah menghantar surat kepada Ibu Pejabat Umno menyatakan isu yuran itu hanya kesilapan teknikal.

“Bagaimanapun, hingga hari ini, saya belum menerima sebarang surat rasmi daripada Umno Pusat mengenai status saya sama ada layak bertanding atau sebaliknya.

“Esok (semalam) hari persidangan dan saya berharap persidangan itu ditangguhkan sehingga masalah dan kekeliruan itu diselesaikan,” katanya.

Lihat Galeri : Bukan Budaya Kita

Guru PASTI As-Salam Dinobatkan Dua Anugerah

MARANG- Guru PASTI As-Salam, Padang Midin, Cikgu Nora Abdul Jalil, 55 telah berjaya mengharumkan PASTI Terengganu apabila dinobatkan sebagai...