27 Disember 2008

Pengundi Cina, Makan ’Umpan’ Tapi Jangan Makan ’Mata Kail’


Kuala Terengganu - Pengundi Cina Kuala Terengganu diingatkan supaya makan ‘umpan’ tetapi jangan makan ’mata kail’, berikutan agihan ’angpau’ dana khas kerajaan Persekutuan yang kini mula diagihkan oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) bermula kelmarin.

Pengerusi DAP cawangan Kampung Cina Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata mereka yang menerima angpau tersebut boleh mengambil duit itu kerana ia adalah hak mereka, tanpa merasa terhutang budi.

“Pengundi kaum Cina yang terima RM 300 duit angpau boleh ambil kerana ia adalah dari wang royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu, tak perlu rasa terhutang budi sebab bukan duit peribadi pemimpin atau pun duit parti MCA/ Barisan Nasional,

“ambil duit dan buat belanja tetapi undi calun PAS dalam Pilihan Raya Kecil pada 17 Januari depan, kita (pengundi) tidak tidak perlu gadai maruah hanya kerana ‘habuan’ RM300 sahaja,” jelasnya kepada Buletinonline, hari ini.

Beliau berkata demikian kerana yakin para pengundi dan rakyat di Terengganu terutama kaum Cina sudah matang berpolitik serta dapat mengikut arus perubahan tsunami politik seluruh negara.

Kata Encik Ng, pemberian dana khas (ang pau) itu sememangnya patut diberikan kepada semua rakyat yang layak dan bukan di kalangan pengikut serta penyokong MCA dan kerajaan BN sahaja.

“Orang (BN) bagi duit ambil, orang bagi kain pakai, orang bagi gula kacau, tetapi tiba masa mengundi kita (rakyat) tolak BN undi PAS,” ujarnya mengambil kata-kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata masyarakat Cina di Kuala Terengganu masih tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya meski mempunyai seorang wakil rakyat dari kalangan parti MCA.

Katanya, pelbagai masalah gagal diselesaikan oleh kerajaan BN termasuk kesesakan jalan di Bandar, kekurangan parkir kereta, longkang tersumbat, banjir kilat dan pembangunan tidak seimbang.

Selain itu, beliau berkata beberapa isu nasional yang berlaku baru-baru ini telah memberi kesan kepada pemikiran orang-orang Cina di Kuala Terengganu sehingga ada dikalangan mereka yang mempersoalkan apakah jenis pimpinan yang sedang memimpin negara sekarang ini.

“Isu satu sekolah yang dinyatakan oleh Mukhriz dan isu pemberian tanah di negeri Perak adalah antara isu yang meninggalkan kesan di hati pengundi Cina Kuala Terengganu,

“mereka (pengundi Cina) menganggap pemimpin Barisan Nasional tidak langsung memperdulikan sensitiviti masyarakat Cina,”jelasnya


Amaran Kepada UMNO/Barisan Nasional - Usah Bermain Politik Dengan Isu Hudud dan Qisas

Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu tidak teragak-agak untuk mengadap dan menghantar memorandum kepada Duli Yang Mulia Sultan Terengganu, sekiranya UMNO/Barisan Nasional tidak menghentikan permainan politik murahan berkaitan isu hukum Hudud dan Qisas

Ketuanya, Fariz Musa berkata isu Hudud dan Qisas tersebut sengaja ditimbulkan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin dengan tujuan memerangkap Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa dan menimbulkan polemik khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam ketika berdebat di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

“Tujuan Khairy tidak lain adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina khusus di Parlimen Kuala Terengganu yang akan menghadapi Pilihanraya Kecil tidak lama lagi,”katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Gong Kapas, dekat sini semalam.

Beliau berkata isu Hudud dan Qisas tidak perlu dipolitikkan oleh UMNO/Barisan Nasional kerana ianya merupakan isu yang lapuk dan tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada para pengundi berketurunan Cina di Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu amnya.

Katanya ia adalah kerana masyarakat keturunan Cina khususnya dan rakyat Terengganu amnya tidak jahil, telah arif dan matang berkaitan Hudud dan Qisas kerana mereka telah diberikan pengetahuan dan penjelasan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Negeri Terengganu.

“Kerajaan PAS Terengganu telah membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 kedalam Dewan Undangan Negeri dan diluluskan sebulat suara. Enakmen tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 dan kemudiannya diwartakan pada 25 September 2002,”

“Walaupun masih belum berkuatkuasa namun kerajaan UMNO/Barisan Nasional yang merampas kembali pemerintahan dari PAS pada tahun 2004 tidak menolak dan meminda Enakmen tersebut, dimana dalam kerajaan UMNO/Barisan Nasional itu termasuk seorang wakil bukan Islam iaitu dari MCA,”jelas Fariz

Katanya wakil MCA tersebut sehingga hari ini tidak pernah menyuarakan apa-apa ketidakpuasan hati terhadap Enakmen itu yang telah menjadi sebahagian daripada undang-undang bagi negeri Terengganu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata sebenarnya UMNO sudah terdesak dan tidak mempunyai isu sehingga isu hudud dan qisas cuba dipolitikkan .

“Khairy sebenarnya yang masuk perangkap sendiri dan akan menjadi labiliti kepada UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu,”

“beliau harus sedar bahawa Enakmen Hudud dan Qisas telah menjadi undang-undang yang diperkenan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.”tegasnya

Justeru katanya sebarang tindakan menentang atau mepelekehkan Hudud dan Qisas bukan sahaja membawa kepada menghina Islam dan implikasi aqidah, malah boleh dilihat sebagai ‘menderhaka’ kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini .

Beliau juga mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang perbahasan isu politik murahan Hudud dan Qisas yang cuba dimainkan oleh UMNO/Barisan Nasional.

“Semua pihak termasuk parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat harus lebih matang menghadapi karenah UMNO/Barisan Nasional yang sudah ’bankrup’ dan mestilah mengambil pendekatan tidak melayan sebarang propaganda yang cuba dicetuskan oleh UMNO/Barisan Nasional dan media arus perdana.”tambahnya



25 Disember 2008

‘Pengundi hantu’ memang wujud, PAS Tolak Kenyataan Ahmad


Kuala Terengganu - PAS tetap dengan pendirian menegaskan memang wujud ‘pengundi hantu’ dan menolak kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) P.36 Kuala Terengganu, Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong berkata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said ‘menyusup dibelakang’ istilah ‘hantu’ bagi menutup kesalahan Umno-Barisan Nasional (BN) mengimpot pengundi luar dari Terengganu.

Beliau berkata Ahmad sebenarnya cuba berselindung disebalik perkataan istilah ‘hantu’,’syaitan’ dan ‘jin’ untuk mengelirukan dan memesongkan hakikat sebenarnya status pemastautin pengundi.

“Bukanlah ‘hantu’ (jin dan syaitan) yang macam MB (Menteri Besar) faham itu tetapi jika mahu berselindung disebalik perkataan itu boleh kerana apa yang dikatakan ‘hantu’ itu baik PAS, baik Umno. Kita (PAS) ada jentera dan jentera kita (PAS) buat semakan, buat penilaian dan banci dari rumah ke rumah.

“Istilah ‘hantu’ itu adalah orang yang dikatakan bahawa ‘orang’ (pengundi) itu bila dicari, disemak tidak ada di tempat yang dikatakan dia (pengundi) bermastautin.

“Tiba-tiba hari mengundi itu dia ada dan datang daripada mana kita tidak tahu dan inilah istilah yang dikatakan ‘pengundi hantu’. Bukanlah hantu, syaitan dan jin yang dikatakan itu,”katanya kepada Buletinonline ketika mengulas kenyataan Ahmad meminta pembangkang bersikap rasional kerana katanya ‘pengundi hantu’ tidak pernah wujud.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu menyifatkan negeri ini mudah bagi mengesan para pengundi kerana bukan seperti Kuala Lumpur atau negeri-negeri maju yang penghuni tinggal di apartment, kondomunium dan sebagainya.

Menurutnya, semakan dan kajian dibuat mendapati nama pengundi dalam daftar pemilih ada tetapi pada realiti sebenar tidak ada orang tersebut.

“Ini (pengundi) dalam daftar ada tetapi ‘on the ground’ realitinya tidak ada. Kita (PAS) cari alamat dia (pengundi) pun tidak ada melainkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membekalkan setiap pengundi itu dengan alamat penuh.

“Lot tanah itu ada tetapi tidak ada rumah dan tidak ada orang yang tinggal di atas lot tanah itu dan ini berlaku di kampung Durian Burung, dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam.

“Keduanya, rumah-rumah orang yang didaftarkan dengan pengundi-pengundi ‘mendatang’ sehingga dalam sebuah rumah itu ada 15 hingga 20 orang gunakan satu alamat,” tegasnya.

Justeru itu, kata Dato’ Wan Abdul Muttalib tidak timbul persoalan apabila PAS menang dikatakan tidak ada pengundi hantu dan bila kalah ada pengundi hantu.

Menurutnya, istilah ‘pengundi hantu’ itu tetap wujud selama-lamanya selagi tidak dibersihkan oleh pihak berwajib kerana menguntungkan parti pemerintah (BN).

“Baik kita (PAS) menang atau kalah ‘pengundi hantu’ ini selama-lamanya ada. Tetapi kita (PAS) menang juga maknanya, kita (PAS) berjaya mengatasi pengundi hantu yang datang itu kerana sokongan orang (rakyat) yang melebihi bilangan pengundi hantu yang datang itu.

“Suka saya dedahkan, pernah berlaku dalam kawasan di Kuala Terengganu ini dan kita (PAS) telah ‘check’ (semak) satu lot tapak tidak ada rumah pun tetapi ada nama pengundi yang ‘duduk’ (tinggal) atas lot tanah itu. Buka satu, bukan dua tetapi banyak dan inilah yang dikatakan istilah ‘pengundi hantu’,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pengundi yang tidak dapat dikenali dan tidak dapat dikesan itu wujud selagi buku daftar pemilih tidak dibersihkan, dikemaskinikan dan diperbetulkan secara total oleh pihak SPR.

Katanya, rakyat telah mula melihat bagaimana terdapat ‘kawalan’ ke atas SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari satu masa ke satu masa yang lalu.

Menurutnya, jika perkara tersebut tidak menguntungkan parti pemerintah (BN) sudah tentu usaha menghapuskan ‘pengundi hantu’ itu telah lama diselesaikan.

Selain itu, katanya terdapat juga kes-kes orang yang telah meninggal dunia tetapi bila tiba hari pengundian didapati ada ‘orang’ lain yang membuang undi bagi pihak si mati tersebut.

Menurutnya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2004 lalu PAS mendapati terlalu ramai ‘muka’ (pengundi) lain dan ‘muka’ yang tidak pernah dilihat sebelum itu datang mengundi.

Dibawah di paparkan beberapa kes sebagi bukti bahawa Pengundi Hantu mamang wujud.

1. Kes Pengundi Hantu Pilihanraya Umum 2008

1.1 BERNAMA / Berita Harian Sahkan Ada Pengundi Hantu

Laporan BERITA HARIAN yang disiarkan sebelum hari membuang undi pada 8 Mac, 2008 membuktikan kewujudan pengundi hantu.

Laporan tersebut yang berbunyi :

"Seorang pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Siti Zamimi Mohd Nawi, 20, ketika ditemui berkata beliau terkejut apabila bas dinaikinya dibaling batu oleh sekumpulan lelaki"

Ini kerana dalam usia 20 tahun, beliau telah mendakwa beliau seorang pengundi yang sah sedangkan umur mengundi seseorang itu adalah sekurang-kurangnya 21 tahun.
Tembelang tersebut terdedah sekalipun akhbar BERITA HARIAN cuba untuk menafikan yang dibawa oleh bas-bas berkenaan sebagai pengundi hantu, namun dari laporan yang diberikan SAH menunjukkan bahawa pelajar berkenaan BELUM LAYAK untuk mengundi.

Jadi membuktikan kesahihan dakwaan pelbagai pihak sebelum ini akan terdapat ramai para pelajar institusi pengajian tinggi yang dibayar untuk dijadikan "pengundi hantu" di dalam pilihanraya umum ke 12 ini.

Kita akan melihat lebih banyak kecelaruan laporan hasil dari doa kaum mslimin agar Allah mendedahkan segala tipudaya pihak UMNO / BN yang bersekongkol dengan pelbagai pihak tertentu untuk menjayakan konspirasi mereka iaitu di dalam isu pengundi hantu ini.

1. 2 Kes Pengundi Hantu di Kelantan – Broker serah diri

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) - Mereka merancang tetapi Allah jua merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

Itulah yang terjadi kepada apa yang didakwa oleh orang ramai sebagai pakatan Barisan Nasional (BN), polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan pengundi hantu bagi memenangkan parti yang di ketuai Perdana Menteri itu.

Di Tanah Merah, seorang broker pengundi hantu awal pagi ini menyerahkan 28 kad pengenalan milik pengundi yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau dan Kemahang kepada peguam PAS, Hisham Fauzi di Gual Ipoh.

Setelah disemak di dalam daftar pemilih, kesemua 23 pengundi tersebut sah berdaftar di DUN Bukit Panau dan lima lagi di DUN Kemahang dalam Parlimen Tanah Merah.

Broker yang dirahsiakan namanya ini membuat pengakuan bahawa 28 pengundi tersebut tidak berada di Tanah Merah tetapi menyerahkan kad pengenalan untuk orang lain mengundi bagi pihak mereka.

Ini adalah kes terawal yang diterima berhubung pengundi hantu yang dijangkakan berlaku secara meluas di Kelantan dan di Terengganu.

28 Kad pengenalan tersebut akan ditunjukan kepada pihak media antarabangsa dan tempatan.
Kesemua 28 orang pengundi itu telah didaftarkan oleh BN seawal tahun 2004 lagi.

Kedua-dua kerusi DUN tersebut telah dimenangi oleh PAS pada tahun 2004 manakala Parlimen Tanah Merah dimenangi oleh Barisan Nasional.

2. Kes Pengundi Hantu Pilihanraya Kecil Permatang Pauh

Angkatan Muda KeADILan hari ini mededahkan kewujudan pengundi hantu di pilihan raya kecil Permatang Pauh dan menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya segera bertindak bagi menangani isu ini.
(Gambar - Anwar turut menahan bas yang membawa pengundi hantu semasa PRK Permatang Pauh)

Timbalan Ketua AMK, Faiz Musa berkata setakat ini banyak pengundi hantu telah dikesan melalui sistem aduan sms talian hotline (Info AMK Aduan) 32244 yang dilancarkan sejak semalam.

“Kejadian terbaru membabitkan seorang penduduk di Seberang Jaya yang mendapati terdapat seorang pengundi hantu telah didaftarkan dialamat kediaman beliau.

Hasil semakan pada daftar peilih bula Julai kami dapati pengundi hantu berkenaan, Tanalachumi @ Ranee a/p Muthiah telah didaftarkan denganalamat sama di kediaman yangdidukui oleh pengadu,” katanya dalam satu sidang media di bilik gerakan pilihan raya AMK di Seberang Jaya petang tadi.

Menurutnya, penduduk terbabit Eremi Shahuddin bin Mohammad Zakaria telah membuat laporan polis mengenai perkara itu paa jam 11.25 pagi tadi di balai polis Seberang Jaya.

Sehubungan, beliau berkata AMK memandang serius perkara ini dan akan memastikan setiap langkah diambil untuk menangani perkara itu.

Di samping itu, katanya, AMK juga akan menyerahkan laporan mengenai kes pengundi hantu terbabit kepada Pengarah Pilihan raya Pusat, Azmi Ali untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Eremie, ketika di temui SK, berkata, beliau mendapat salinan Handbill yang dihasilkan oleh Sistem Menang Pilihan raya (Sismep) KeADILan.

Sistem berkenaan yang dibangunkan berdasarkan daripada senarai daftar pemilih terkini SPR memberikan maklumat berkaitan mengenai daftar pilih pengundi dan kawasan mengundi.

“Saya terkejut apabila mendapati ada nama lain berbangsa India selain daripada nama isteri saya. Perkara ini tidak pernah terjadi ketika pilihan raya umum Mac lalu.

Saya kemudian telah menghubungi bilik gerakan AMK untuk mengadu perkara itu dan juga embuat laporan polis,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Faris berkata AMK menggesa semua penduduk khususnya pengundi di Permatang Pauh yang mendapati sebarang kewujudan pengundi hantu,kesilapan, kesalahan ataupun kehilangan nama mereka sebagai pengundi berdaftar di kawasan terbabit menghubungi talian hotline 32244 melalui sms.

“Mereka boleh memaklumkan kepada petugas AMK supaya kami dapat mengambil tindakan sewajarnya berkaitan isu berkenaan,” katanya lagi.






24 Disember 2008

1000 ahli Kelab Penyokong PAS ke Kuala Terengganu



Kuala Terengganu - Sekurang-kurangnya 1000 orang ahli-ahli Kelab Penyokong PAS Malaysia yang terdiri daripada kaum Cina dan India akan menyertai perarakan pada hari penamaan calun 6 Januari depan.

Pada malam sebelumnya, 5 Januari, 2009, satu Majlis Makan Besar akan di adakan sempena Perasmian Gerak Kerja Kelab Penyokong PAS yang akan dijadualkan berlangsung di Kampung Tiong, Kuala Terengganu.

Ketua Kelab Penyokong PAS dan NGO, Jentera Pilihanraya PAS Terengganu bagi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, Hj Hanafiah Mat berkata demikian ketika ditemui Buletinonline di Kuala Ibai semalam.

“Kita (PAS) akan membuka satu markaz besar bagi ahli-ahli Kelab Penyokong PAS di jalan Banggol Kuala Terengganu,

”majlis perasmian akan disempurnakan pada 5 Januari, jam 7.30 malam oleh Yang Berhormat Dr. Mujahid Yusof Rawa,”ujarnya

Beliau berkata seramai 100 orang petugas Kelab Penyokong akan berkempen setiap hari keseluruh pelusuk kawasan parlimen Kuala Terengganu dengan penumpuan kepada DUN Bandar dan DUN Ladang.

Katanya, antara kempen yang akan digerakkan oleh ahli-ahli Kelab ialah menziarahi pengundi dari rumah ke rumah, menziarahi pesakit dan mereka yang tidak bernasib baik selain dari mengadakan pemeriksaan dan rawatan perubatan percuma.

Apabila ditanya, bagaimanakah sambutan masyarakat Cina Kuala Terengganu ketika ini terhadap PAS, Hanafiah berkata ianya sangat positif.

“Mereka yang saya temui masih ingat dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PAS yang telah melupuskan cukai pintu gerbang yang terdapat di kampung Cina,

“mereka juga amat menghargai dan menyanjung tinggi tindakan kerajaan PAS mengubah semula nama Jalan Kampung Cina, yang telah di tukar sebelum itu oleh kerajaan UMNO Barisan Nasional di bawah pemerintahan Tan Sri Wan Mokhtar,”kata Hanafiah.

Beliau memaklumkan para pengundi setempat di Kuala Terengganu boleh membuat semakan daftar pemilih di markaz besar Kelab Penyokong PAS Jalan Banggol setiap hari bermula 5 Januari depan.


Azhan Harap Pengundi Kuala Terengganu ‘Buka Mata’


Kuala Terengganu - Selepas dinobatkan sebagai Juara Akademi Nasyid anjuran TV9, Azhan Atan menjejakkan kakinya kali pertama di Kuala Terengganu atas jemputan Dewan Pemuda PAS Terengganu.

“Ini kali pertama setelah johan akademi nasyid, untuk buat (konsert), tapi kalau pergi Terengganu untuk program-program mesyuarat Unit Amal, itu biasalah,

“ini memang proses penjelajahan saya ke negeri-negeri, Terengganu antara negeri terakhir yang saya lawati,”katanya ketika ditemui Buletinonline sebelum memulakan persembahan dalam Konsert Hiburan Alternatif di Kuala Ibai semalam.


Menurutnya, beliau mengetahui dan telah pun bersedia dengan agenda politik dan pilihanraya terutamanya
dalam konteks pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

“saya memang tahu program ini bersempena dengan program pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan saya memang telah bersedia dan tidak ada masalah,”kata Azhan yang kini bernaung dibawah Hijjaz Record dan TV9.

Beliau berkata pihak-pihak berkenaan telah sedia maklum bahawa sebelum menjuarai Akademi Nasyid beliau adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Tanjung Piai, Johor.

Sehubungan itu, katanya album baru beliau sedang dalam proses rakaman dan akan mula dipasarkan pada Februari, 2009.

“Sekarang ni tengah masuk studio, Hijjaz Record Kota Damansara, dah siap tujuh lagu dan tinggal tiga lagu sahaja,”katanya

Justeru beliau berharap agar para pengundi Kuala Terengganu dapat ‘membuka mata’ agar dapat memilih calun yang lebih (dekat) kepada mardhotillah (keredhaan Allah).

“yang pastinya minta kepada pengundi, supaya sebelum keluar mengundi, malamnya itu mereka membuat (solat) istikharah, meminta Allah menunjukkan calun,

“pada saya (peribadi) saya, beri undi kepada PAS lah, tapi dalam bentuk umumnya, untuk pengundi atas pagar, biar dia fikir keputusan yang dibuat itu adalah didorong oleh ketentuan Allah SWT,”tambahnya.

23 Disember 2008

Tidak Menjadi Masalah !



Kuala Terengganu - PAS tidak melihat pencalunan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Senator Dato’ Wan Farid Wan Salleh sebagai satu halangan kepada usaha PAS untuk menang pada pilihanraya kecil parlimen KualaTerengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan.

Pengarah Operasi Jawatankuasa Induk Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu Dato’ Wan Mutalib Embong berkata demikian ketika ditanya oleh para wartawan di Markaz Tabiah Kuala Terengganu, Kuala Ibai dekat sini kelmarin.

“Jentera kita ada dua peringkat, yang pertama peringkat pusat, pengarahnya YB Timbalan Presiden, pengarah operasinya saya sendiri,

“jentera kerja dibawah saya ada 38 portfolio, selain ada jentera kerja peringkat tempatan, yang pertama kita (PAS) disokong oleh Pakatan Rakyat, kedua jentera dari negeri-negeri dan yang ketiga dari DUN-DUN (dalam negeri Terengganu,”katanya.

Menurut beliau sehingga kini sebanyak 182 unit rumah telah disewa dan disediakan untuk tetamu-tetamu yang menjadi jentera sokongan kepada jentera pilihanraya PAS Terengganu.

Apabila diminta pandangan tentang calun Barisan Nasional Dato’ Wan Farid, beliau berkata, sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri kerajaan pusat, Wan Farid gagal membawa apa-apa perubahan kepada warga Kuala Terengganu.

“Kita (PAS) melihat kita boleh lawan dia (Wan Farid), dia pernah dilantik senator, dia baru dilantik (semula) menjadi senator dalam Sidang DUN baru-baru ni,

“selain itu dia (pernah menjadi) Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri, tetapi tidak ada perubahan kepada Terengganu, hasil kepada rakyatnya tidak ada walaupun dia pegang jawatan Timbalan Menteri,”kata Dato’ Wan Mutalib.


Wan Farid Tidak Layak Berbicara Tentang Legasi Allahyarham Datuk Razali Ismail

Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu membidas kenyataan yang dibuat oleh Calon Barisan Nasional (BN ) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Terengganu Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh yang berkata kononnya beliau mempunyai tugas berat untuk menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Razali Ismail .

Timbalan AMK Fariz Musa berkata, Wan Farid tidak layak untuk membuat kenyataan demikian kerana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dalam usaha ‘mematikan karier politik ‘Allahyarhan Datuk Razali.

Katanya, Wan Farid melalui satu konspirasi telah menewaskan Allahyarham Datuk Razali dari mempertahankan jawatan beliau sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu apabila abangnya Datuk Wan Hisham Wan Salleh mencabar Datuk Razali Ismail dalam pemilihan UMNO Bahagian Kuala Terengganu tempoh hari .

“Malah, Allahyarham juga tewas dalam pemilihan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu ke Persidangan Agung UMNO,


“iaitu satu tindakan beliau dan UMNO Kuala Terengganu yang menafikan dan memalukan Allahyarham Datuk Razali yang konsisten menentang rasuah dalam UMNO.”ujar Fariz yang ditemui Buletinonline semalam.

Menurutnya Wan Farid juga tidak layak meneruskan legasi Allahyarham Datuk Razali Ismail untuk melahirkan modal insan berkualiti kerana beliau sehingga hari ini tidak berani ‘bersumpah’ menafikan belliau tidak terlibat mengarahkan pihak polis dalam kes insiden menembak 2 orang ahli PAS di Batu Burok.

Katanya peranan dan kebertanggungjawaban Allahyarham Datuk Razali Ismail dan komitmen beliau memajukan bidang pendidikan dan Parlimen Kuala Terengganu tidak akan mampu diteruskan oleh Wan Farid kerana sepanjang beliau menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak ada pembangunan dan kemajuan yang dibawa ke Kuala Terengganu .

“Sebaliknya beliau meraih laba dan mengaut keuntungan melalui Kejohanan Antarabangsa Perlumbaan Kapal Layar ( Monsoon Cup ) setiap tahun kerana beliau dan abang beliau Wan Hisham Wan Salleh antara terlibat sebagai Ahli Lembaga Pengarah T Best sepertimana yang dilaporkan oleh The Edge Daily, 5 Mei 2008 ,”kata Fariz

Fariz juga berkata, Wan Farid tidak perlu berlagak ‘ baik , suci dan bersih ’ sedangkan tangan beliau penuh dengan kekotoran.

“Beliau tidak layak bercakap soal meneruskan legasi Allahyarham Datuk Razali yang berjiwa rakyat bahkan perlantikan beliau ke dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri bukan melalui mandat rakyat tetapi belas ihsan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Kredibiliti dan integriti beliau diragui dan dipersoalkan . Ini yang menjadikan beliau bukannya calon pilihan rakyat Kuala Terengganu dalam Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 depan.”tambah Fariz



22 Disember 2008

PAS umum calon PRK Kuala Terengganu pada 1 Januari 2009


Kuala Terengganu - PAS akan mengumumkan calonnya bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu pada 1 Januari 2009 depan di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada satu sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu di Kuala Ibai, dekat sini, hari ini.

“Saya menerima calon yang disenaraikan oleh pihak negeri (Terengganu). InsyaAllah, nama calon itu akan diumumkan pada 1 Januari 2009 depan bertempat di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

“Nama ada satu sahaja yang akan bertanding. Kita (PAS) mempunyai ramai calon-calon yang layak bertanding dan kita (PAS) mengambil kira dari semua aspek untuk memberi kemenangan kepada calon itu,” ujarnya.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah ‘dalaman’ (berebut) serta mendapat kerjasama sepenuhnya.

Menurutnya, calon yang akan diketengahkan oleh PAS adalah calon yang lebih layak dari Barisan Nasional (BN) bagi mewakili rakyat di Parlimen.

“Kita (PAS) tidak mengalami masalah ‘dalaman’ dan kita dapat menjalankan kerja dengan padu dan semua jentera memberi kerjasama sepenuhnya. Siapa sahaja yang dinamakan untuk jadi calon.

“Kita (PAS) akan umumkan calon yang lebih layak dari calon Barisan Nasional (BN). Calon PAS itu dapat restu dari Pakatan Rakyat. Kita tidak ada masalah dan dia (BN) ada masalah calon sebab itu dia umumkan lebih awal,” jelasnya.

Justeru itu, Dato’ Seri Abdul Hadi yakin calon PAS boleh menang dan diterima oleh para pengundi di P.36 Kuala Terengganu berdasarkan ketokohan, profesional serta berjiwa rakyat.

“InsyaAllah, boleh menang sebab Kuala Terengganu adalah salah satu dari tempat yang kita (PAS) kuat. Aspek ketokohan, profesional dan lapangan yang boleh diterima oleh rakyat.

“Kita (PAS) sudah ada calon dan sudah ada dalam poket saya. Calon PAS sudah bersemangat dari sekarang tanpa diumumkan calon lagi,” ujarnya dengan nada berseloroh.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaafar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dan Ketua dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

21 Disember 2008

Pemuda PR Mengikat Janji Setia Menghadapi PRK Kuala Terengganu


Kuala Terengganu - Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru mengingatkan para petugas pemuda Pakatan Rakyat mengikat janji setia dalam menghadapi kerja pilihanraya kecil parlimen (PRK) Kuala Terengganu.


Menurutnya kerja menghadapi PRK Kuala Terengganu adalah termasuk dalam kerja besar politik, memerintah dan memimpin negara.
Beliau berkata Nabi Muhammad SAW mengajak mereka yang menjalankan tugas dan amanah yang besar tersebut dengan mengadakan ’janji setia’ bukan hanya sekadar mengucap dua kalimah menjadi seorang Islam.

”Bahkan mereka wajib menterjemahkan dua kalimah sahadah itu bagi meninggikan kebenaran dan keadilan hukum Allah dimuka bumi Allah SWT, dimana dalam sejarahnya pemimipin yang memerintah dengan zalim tidak mudah menyerah kalah,”tegasnnya dalam Ucapan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat di Kuala Ibai, disini, semalam.

Katanya dalam PRK Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan, PAS dan Pakatan Rakyat bukan hanya berhadapan dengan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional namun akan turut berdepan dengan jentera kerajaan yang disalahgunakan.

”Kita berdepan dengan semua pihak yang mempertahankan rasuah, yang mempertahankan kezaliman, dan pihak yang melakukan kesalahan menipu rakyat dengan berbagai-bagai cara,”katanya.

Oleh yang demikian, beliau mengingatkan para petugas kepada peristiwa bai’ah, yang berlaku di bulan haji yang mulia dimana RasululuLlah SAW mengumpulkan 73 orang lelaki dan 2 muslimat dari Madinah untuk mengikat ’janji setia’ bersedia menjalankan kerja-kerja besar bagi mendirikan negara dan menghadapi cabaran.

”Yang pertama dengar dan taat dimasa rajin dan malas, yang kedua bersedia menyumbangkan harta dimasa senang dan susah, yang ketiga menyuruh yang baik dan mencegah mungkar, yang keempat bangun bersama untuk menyatakan kebenaran Allah dan yang kelima berjanji mempertahankan RasuluLlah dan Islam,”katanya

Justeru, beliau menyeru kepada semua para pemuda harus berdisiplin dan taat kepada keputusan kepimpinan, tekun serta bersungguh-sungguh menyumbangkan tenaga dan kewangan.

Ia adalah kerana katanya katanya kerja-kerja pilihanraya di negeri Terengganu pelik dan berbeza dengan negeri-negeri lain.

”Di negeri lain, termasuk negeri Kelantan, peratus keluar mengundi (adalah) 80% kebawah, Terengganu (jumlah) keluar mengundi (diantara) 85% hingga 90%, sehingga ada yang ’mati pun’ keluar mengundi,” ujarnya dengan nada sinis.

Menurutnya PAS Terengganu mempunyai kekuatan kerana Terengganu merupakan negeri yang pertama mencapai kemenangan pada tahun 1959.

Namun begitu, katanya, PAS Terengganu diserang begitu hebat dan terpaksa berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional yang mempunyai kekuatan kewangan dan pelbagai tipudaya.

Sehubungan dengan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK), berikrar dan berjanji setia akan turun habis-habisan menghadapi PRK Kuala Terengganu.

Ketuanya, Shamsul Iskandar berkata Pengarah Pilihanraya AMK Pusat, Fariz Musa akan memberikan sepenuh kerjasama dan bantuan kepada jentera pilihanraya pemuda PAS negeri Terengganu.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Pelancaran berkata AMK telah menubuhkan sebuah bilik gerakan khusus di DUN Ladang sebagaimana yang diarahkan oleh Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

”Bilik Gerakan akan dirasmikan pada 31 Disember, kita akan bantu, PAS akan mengetuai, AMK akan menyokong,”kata Shamsul.

Selain itu, katanya, pengaturan telah dibuat oleh oleh PKR Pusat dengan tiga atau empat PKR dari negeri-negeri membantu setiap DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Turut berucap dalam Majlis Pelancaran yang dihadiri oleh 1500 peserta itu adalah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salehuddin Ayob.

Beliau dengan tegas memberikan amaran kepada pemuda-pemuda UMNO dan Barisan Nasional agar tidak menjalankan kempen diluar daripada batas undang-undang.

Katanya pemuda-pemuda Pakatan Rakyat bersedia menghadapi apa jua keadaan demi memastikan Calon PAS dan Pakatan Rakyat memenangi PRK Kuala Terengganu.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemuda PAS Terengganu dan Ketua AMK Terengganu
untuk menggerakkan usaha bersungguh-sungguh memenangkan pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu.



Pemuda PAS Akan Berkampung Di Rumah-rumah Pengundi


Kuala Terengganu - Pemuda PAS tidak memerlukan bilik hotel tetapi akan menetap di rumah-rumah rakyat di seluruh kawasan parlimen Kuala Terengganu untuk menggerakkan usaha bersungguh-sungguh memenangkan pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu.

”Jentera ini (pemuda) akan masuk setiap rumah pengundi-pengundi kita dan ini secara langsung kami yakin akan memberikan manfaat dan impak yang besar untuk mereka (para pengundi) memberikan sokongan kepada kami (PAS),” kata Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayob dalam sidang media yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Kuala Terengganu dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berita yang menyatakan bahawa pemuda UMNO telah menempah sebanyak 1000 buah bilik hotel bagi menempatkan petugasnya sepanjang PRK Kuala Terengganu

Beliau berkata pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda akan diadakan malam ini (20 Disember) dalam satu majlis yang dinamakan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat.

Katanya beliau sendiri, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar dan juga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang akan berucap dalam majlis tersebut.

Salehuddin turut mengumumkan pada sdang media tersebut program Himpunan Menentang ISA, di mana pelancarannya akan diadakan pada 29 Disember depan di Stadum Bangi, Selangor.

”Pelancaran ini adalah merupakan satu pelancaran untuk kita menggerakkan massa seluruh rakyat dalam negara kita ini untuk hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act),”ujarnya.

Menurutnya perhimpunan yang menyamai perhimpunan aman BERSIH yang diadakan pada November tahun lalu itu akan diadakan pada satu tarikh dalam bulan Mac tahun depan.

”Kita (akan) menggerakkan rakyat dalam negara kita ini supaya akta (ISA) ini dimansuhkan dan tidak lagi beroperasi atau berjalan dalam negara kita ini setelah negara kita merdeka lebih daripada 50 tahun,”tambahnya

Inspirasi Dua Suri Hati Mantan MB Terengganu

  Oleh : Azizah Mahmood  KUALA TERENGGANU - Menelusuri   pengalaman kehidupan  dua suri hati mantan Menteri Besar Terengganu cukup menginspi...