Kuala Nerus - Walaupun bajet 2009 dilihat ramai pihak banyak memberikan faedah, namun ia tidak menyelesaikan masalah asas kehidupan masyarakat di kampung-kampung sekarang yang terhimpit dengan kenaikan harga barang.
”Walau bagaimana pun kita ucap terima kasih, sebab tahun lepas kakitangan kerajaan tidak ada bonus,”kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ariffin Deraman ketika berucap dalam majlis ceramah sempena kedatangan Ramadhan di Kampung Lerek, dekat sini.
Menurutnya walaupun pelbagai peruntukan disediakan dalam bajet 2009, tapi tidak ada bajet khas yang diperuntukkan golongan belia dan muda dalam kali ini.
Beliau berkata hanya kakitangan kerajaan yang mendapat banyak faedah, sedangkan sedikit sahaja yang diperolehi oleh rakyat biasa
Beliau berpendapat sepatutnya harga minyak diturunkan lagi kerana menurutnya kenaikan harga minyak pada bulan Jun lalu menyebabkan semua harga barangan dan perkhidmatan melonjak tinggi, termasuk barang-barang ‘kawalan’.
”Barang-barang besi misalnya, asalnya barang kawalan tetapi tidak dapat dikawal oleh kerajaan, sehingga sekarang ni, (para) peniaga walaupun ayam menjadi barangan kawalan, tetapi mereka menjual lebih dari harga syiling,”tambah Ariffin mengulas tentang Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.
Ariffin berpendapat Bajet 2008 tidak akan dapat mengurangkan kadar inflasi yang naik mendadak kesan dari kenaikan harga minyak.
”Asalnya 3.8%, dua bulan yang lalu, sekarang ini inflasi 8.5%, inflasi menjadikan kuasa beli kita menjadi kurang, kalau dulu pitih seratus boleh beli banyak barang, tapi sekarang ni pitih seratus, sikit sahaja barang boleh beli,”jelas Ariffin.
Beliau berkata kerajaan baru-baru ini menurunkan harga minyak secara tergesa-gesa sebanyak 15 sen kerana tekanan politik yang dihadapi dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Namun begitu, menurut beliau, walaupun telah lebih seminggu harga minyak turun 15 sen, tidak ada satu pun harga barang-barang yang turun, sebaliknya hari ini tambang bas mengalami kenaikan sebanyak 30 peratus.
KTerengganu – Dengan kembalinya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen, Pakatan Rakyat (PR) menjadi lebih kukuh dengan membentuk satu gabungan lebih yang kuat.
Kelmarin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Abd Muttalib Embong mencadangkan agar PAS, PKR dan DAP berbincang dengan lebih serius mengenai perkara tersebut demi kebaikan ketiga-tiga parti itu dan lima negeri naungannya.
Menurut beliau, cadangan itu dibuat bagi membolehkan setiap keputusan atau apa juga tindakan yang diambil oleh PR selepas ini dapat diselaraskan di semua negeri yang diperintah pembangkang agar keliha-tan lebih selari.
Justeru, cadangan Wan Muttalib tersebut telah mula kelihatan dengan pertemuan pertama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang telah diadakan di Pejabat Ketua Pembangkang Tingkat 14, Bangunan Parlimen semalam ini.
Pertemuan tersebut telah dipengerusikan oleh Anwar telah dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Karpal Singh.
Pertemuan tersebut menegaskan kembali pendirian parti-parti yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat untuk memperkukuhkan semangat kerjasama masing-masing.
Dalam perkembangan yang sama, dua anggota parlimen dari negeri Terengganu mungkin akan melakukan lompatan, berhijrah meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat.
”Bahkan saya juga terdengar, bahawa kalau ada yang menyeberangi masuk Pakatan Rakyat, maka ada ahli-ahli parlimen negeri Terengganu juga paling kurang dua orang, akan melompat masuk Pakatan Rakyat, “kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ketika berucap di Kampung Tanjung Sabtu semalam.
Beliau berkata program 16 September Pakatan Rakyat menuju Putra Jaya dan mengubah kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat masih atas landasan yang betul.
Menurutnya, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengesahkan perkara tersebut ketika ditemui semasa berkempen dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Tengku Hassan berkata, BN semakin lemah dengan parti-parti gabungan yang bernaung dibawahnya menyatakan hasrat untuk keluar dari BN.
“Di Perak Parti Gerakan meminta supaya keluar daripada BN, di Kedah juga, Parti Gerakan juga membuat cadangan kepada pimpinan (mereka) supaya keluar daripada BN,
“di Pulau Pinang, mereka (Parti Gerakan) merancang untuk juga membuat cadangan dalam kongres (Parti Gerakan) yang akan datang supaya keluar daripada BN, disetengah-setengah tempat MCA juga telah berbisik-bisik untuk jugamencadangkan supaya keluar daripada BN,
”mereka semua (parti-parti tersebut) menyalahkan kepada pimpinan Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad badawi)menyebabkan mereka kalah dalam pilihanraya (umum) baru-baru ini,”ujar Tengku Hassan ketika mengulas tentang kebangkitan rakyat yang sedang berlaku diseluruh negara.
Pada 20 Ogos lalu, tokoh Parti Gerakan Pulau Pinang, Dato' Toh Kin Woon bertindak keluar parti dan menyokong PKR membuktikan bahawa parti itu semakin tidak diterima ramai masyarakat.
Toh pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Koh Tsu Koon kecewa dengan Gerakan kerana terlalu banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dilakukan oleh kepimpinan negara.
Mengulas tentang kunjungan hormat pimpinan PAS Terengganu terhadap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, Dato’ Tengku Hassan berkata Ahmad lebih dilihat sebagai Menteri Besar ‘Yang DiPertuan Agong’ dari dilihat sebagai Menteri Besar UMNO.
”Bukan macam Menteri Besar UMNO, nampak macam Menteri Besar ‘Agong, sebab itu kita pergi ”kata beliau.
Menurut beliau sudah dua kali pertemuan diadakan antara pimpinan PAS dengan Ahmad Said. Kunjungan hormat kali pertama adalah selepas ADUN PAS mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri Mei lalu, manakala secara rasminya pertemuan kali kedua adalah pada 15 Julai lalu. PAS mahu belanjawan 2009 beri tumpuan membantu golongan miskin
KTerengganu - PAS berharap Bajet 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini lebih memberi tumpuan kepada sektor rakyat terutama membantu golongan miskin.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, keadaan hidup rakyat sekarang begitu genting ekoran peningkatan harga minyak dan ia menuntut perhatian lebih daripada kerajaan.
Beliau berkata Bajet 2009 adalah waktu paling sesuai untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) mempamerkan keprihatinan mereka terhadap kebajikan rakyat.
“Belanjawan tahun depan wajar memberi manfaat kepada masyarakat miskin kerana hidup mereka benar-benar terhimpit dan terbeban setelah harga barang keperluan meningkat,”ujarnya kepada Sinar Harian di sini semalam, ketika diminta mengulas tentang harapan PAS kepada Bajet 2009
Menurut Dr Syed Azman, pembentangan belanjawan yang dinanti-nantikan rakyat pada setiap tahun itu juga perlu dilihat lebih telus selain menjurus kepada kepentingan rakyat dan negara tanpa sebarang pembaziran.
Beliau yang juga ADUN Batu Burok menyarankan agar segala projek mega seperti Wilayah Pembangunan Iskandariah (WPI) wajar dihentikan kerana ia tidak memberi manfaat besar kepada rakyat.
Malah katanya, pelaksanaan beberapa projek besar seumpama itu hanya memberi kelebihan kepada pihak tertentu sahaja manakala rakyat biasa pula terus menjalani hidup melarat dengan bebanan tidak berpenghujung.
“Projek mega tidak harus ada dan apa yang lebih penting ialah tumpuan kepada rakyat miskin untuk membantu mereka seperti insentif dalam bidang pertanian misalnya (sektor) padi yang secara tidak langsung meningkatkan bekalan beras negara,” katanya.
Selepas meninggalkan Dewan seketika untuk mengangkat sumpah, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali semasa Dr Mariah Mahmud (PAS - Kota Raja) sedang berucap dan menyertai perbahasan Rang Undang-undang DNA yang sedang berlangsung. Anwar bangun, selepas Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mencelah perbahasan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) untuk bertanya sama ada Majlis Peguam masih merupakan badan yang 'mempunyai kredibiliti' untuk memberikan pandangan tidak menyokong rang undang-undang itu.
“Adakah YB bersetuju dengan saya, pihak yang tidak dipercayai adalah kerajaan yang melakukan rasuah? tanya Anwar mempertahankan pandangan Dr Siti Mariah bahawa pendapat badan peguam itu perlu dirujuk dalam merangka rang undang-undang itu.
"Inilah, kerajaan yang membentangkan rang undang-undang ini Isnin lepas tanpa memberi peluang kepada anggota Parlimen, termasuk rakan-rakan di sebelah sana (BN) untuk mengkajinya, dan membentangkannya dengan tergesa-gesa.
"Rang undang-undang ini dipersetujui oleh orang politik yang rakus tapi dibantah semua pakar, badan bukan kerajaan, bukan sahaja Majlis Peguam tetapi juga badan-badan hak asasi manusia... ternyata kerajaan dan Kabinet hari ini takut benar dengan suara rakyat,"kata Anwar.
Rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan sejak Selasa lepas mendapat tentangan daripada anggota Parlimen pembangkang yang mempersoalkan mengapa ia dibentangkan secara tergesa-gesa selain dakwaan bahawa pembentangan rang undang-undang itu mempunyai motif politik dan berhubung kait dengan kes sodomi yang dihadapi Anwar.
Kata-kata Anwar itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen lain termasuk Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) turut bangun untuk mencelah, sehingga tercetus perang mulut antara Lim dan Tajuddin berhubung isu itu.
Sebelum itu Anwar yang juga telah dilantik ketua pembangkang, telah meluangkan sedikit masa mendengar beberapa pesanan daripada Speaker, Pandikar Amin.
Pandikar dalam ucapan ringkasnya berkata Anwar akan diberikan segala keistimewaan yang dinikmati oleh seorang ketua pembangkang.
Beberapa orang anggota Parlimen BN mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Anwar termasuk Datuk Eric E. Majimbun (BN – Sepanggar), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz pula sebelum menjawab soalan pertama dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.
Bercakap kepada media selepas menghabiskan masa kira-kira 10 minit di Dewan Rakyat, Anwar berkata beliau merasa terharu dapat kembali ke Parlimen selepas 10 tahun.
"Selepas segala yang saya harungi sepanjang tempoh itu, sekarang saya merasa terharu dapat kembali (ke Dewan Rakyat), ia adalah hak saya," katanya.
Anwar memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 15,671 Selasa lepas, memperolehi 31,195 undi, mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang memperolehi 15,524 undi. Seorang lagi calon Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hilang wang pertaruhan selepas memperolehi hanya 92 undi.
Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, dilucutkan dari jawatan dalam kerajaan pada tahun 1998, oleh Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Anwar telah menghadapi tuduhan sodomi, konspirasi pemimpin UMNO/BN 10 tahun lalu, sebagaimana tuduhan yang dihadapinya kini, namun mahkamah tinggi telah memutuskan Anwar tidak bersalah pada2 September, 2004 Pertemuan Pertama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan Pertemuan Pertama jam 11:00 pagi di Pejabat Ketua Pembangkang di tingkat 14, Bangunan Parlimen hari ini, Khamis 28 Ogos 2008.
Pertemuan tersebut telah dipengerusikan Ketua Pembangkang Baru, Dato' Seri Anwar Ibrahim
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Pas, YB Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, YB Karpal Singh.
Selain itu, pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti turut hadir iaitu YB Azmin Ali dan YB Dr Lee Boon Chye dari PKR; YB Nasharuddin Mat Isa, YB Kamarudin Jaafar dan YB Salahuddin Ayub dari PAS sementara YB Lim Kit Siang, YB Lim Guan Eng dan YB Teresa Kok mewakili DAP.
Dalam pertemuan tersebut Dato' Seri Anwar mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat yang telah bertungkus lumus membantu dalam memastikan Parlimen Permatang Pauh kekal di tangan Pakatan Rakyat.
Kemenangan besar dan bilangan pengundi yang tinggi di Permatang Pauh adalah bukti nyata penolakan rakyat terhadap politik perkauman budaya fitnah dan politik wang.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat buat kesekian kalinya mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan semangat kerjasama di dalam Pakatan Rakyat.
Dalam pertemuan tersebut juga semua pihak bersepakat untuk mengadakan Perhimpunan Pakatan Rakyat Sempena Menyambut Hari Kemerdekaan di Permatang Pauh pada 31 Ogos 2008 pada pukul 9:00 malam.
Kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil P44 Parlimen Permatang Pauh, yang diwakili oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah kemenangan mutlaq yang tidak perlu dipertikaikan oleh samada UMNO, Barisan Nasional (BN) atau mana-mana pihak lain.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata semua pihak perlu menerima hakikat kemenangan Pakatan Rakyat tersebut dan ia perlu dilihat sebagai suatu harapan besar seluruh rakyat yang mahu melihat perubahan lanskap politik Malaysia.
“Kemenangan tersebut adalah manifestai rasa tidak puas hati rakyat yang juga pengundi kepada sistem dan ketidakadilan yang sedang berlaku,”kata beliau yang dihubungi Buletin Online semalam.
“Ia bukan soal ahli-ahli UMNO tidak percaya kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan juga bukan soal perpecahan dalaman UMNO sehingga pengundi memberi undi kepada Anwar sebagaimana yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad,”tegas Yahaya mengulas tanggapan Mantan Perdana Menteri itu, berkaitan perkara yang sama.
Beliau yang turut sama berkempen dalam pilihanraya kecil itu berkata, kemenangan Pakatan Rakyat adalah hasil semangat kerjasama dan perpaduan dikalangan petugas Pakatan Rakyat dan sokongan dari para pengundi Permatang Pauh dari pelbagai kaum.
Katanya lagi, kemenangan Pakatan Rakyat itu juga membuktikan bahawa pengundi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh khususnya lebih memilih isu-isu nasional yang melibatkan kepentingan umum seluruh rakyat sebagaimana yang diutarakan oleh pemimpin dan calon Pakatan Rakyat, berbanding isu-isu peribadi yang meragukan sebagaimana yang di jaja oleh pemimpin UMNO/BN.
Kelmarin, Anwar, 61, diisytiharkan menang dengan memperolehi 31,195 undi sementara lawannya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan setelah hanya mendapat 92 undi.
Ekoran kemenangan Anwar banyak pihak terutamanya kepimpinan UMNO/BN menyatkan pelbagai komen dan pendapat.
Rata-rata mahukan BN mengkaji dan membuat ‘post-mortem’ atas kekalahan dengan majoriti yang lebih tinggi dari kemenangan Dato’ Seri Dr Wan Azizah smasa Pilihanraya Umum lalu.
Yahaya yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu berkata kemenangan Pakatan Rakyat juga membuktikan bahawa para pengundi kini lebih bijak dan khususnya pengundi Permatang Pauh telah menolak politik ‘janji-janji pembangunan’ dan ‘umpan ratusan ribu ringgit’ dari projek-projek segera yang menjadi kebiasaan dan amalan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dalam mana-mana kempen pilihanraya.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Anwar serta PKR dengan kejayaan cemerlang meraih undi terbanyak disetiap peti undi.
“Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PKR menang disetiap Peti Undi termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya yang telah dimenangi oleh BN pada pilihanraya lalu,”tambah Yahaya
Draf RKK Tepuh - Batu Enam – Penduduk setuju besarkan jalan, tak setuju ambil balik tanah
Majoriti penduduk di tiga buah kampung yang terlibat dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tepuh-Batu Enam bersetuju dengan pembangunan dan pembesaran jalan tetapi menentang pengambilan balik tanah penempatannya.
Melalui tinjauan yang dibuat, rata-rata penduduk Kampung Tuan Mandak, Kampung Bukit Lapan dan Kampung Banggol Tiang Bulat bersetuju serta menyokong rancangan kerajaan mengatasi masalah kesesakan lalulintas, pembinaan pasar baru serta kawasan parkir yang selesa di Pekan Batu Enam.
Sebaliknya mereka tidak bersetuju jika kerajaan bercadang mahu mengambil balik keseluruhan tanah-tanah serta rumah kediaman bagi menjayakan rancangan RKK tersebut.
Alasannya, jika terlaksananya perancangan mengikut draf RKK yang dipamerkan itu penduduk bakal menjadi ‘pelarian’ di tanahair sendiri meski pun pampasan diberikan oleh kerajaan.
Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tepuh-Batu Enam yang sedang dipamer kepada umum sekarang adalah merangkumi kawasan seluas 97.67 hektar iaitu 241.35 ekar yang terletak di bahagian utara Bandar Kuala Terengganu.
Tiga kampung terlibat bagi kawasan Batu Enam meliputi keluasan 69.97 hektar iaitu 71.64 peratus dan terletak berhampiran Bulatan Batu Enam yang menghubungkan empat persimpangan daripada arah Kuala Terengganu, Gong Badak, Manir dan Kota Bharu.
Sehubungan itu, penduduk mengambil inisiatif awal membantah draf perancangan berkenaan dengan mewujudkan sebuah Jawatankuasa Bertindak Menangani Masalah Pengambilan-balik Tanah Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Batu Enam 2015.
Pengerusinya, Encik Harun Salleh, 56, dari Kampung Batu Enam berkata umumnya seluruh jawatankuasa dan penduduk di yang terlibat dengan pengambilan balik tanah menolak Draf Rancangan Kawasan Khas Batu Enam 2015.
Ini kerana, katanya mengikut draf rancangan tersebut tidak memberi manfaat kepada penduduk tempatan di Batu Enam yang terlibat dengan pengambilan balik tanah mereka.
“Umumnya, kami yang membentuk jawatankuasa bertindak mewakili seluruh penduduk di Batu Enam ini tidak bersetuju dengan pengambilan balik tanah rakyat tetapi bukan menentang pembangunan. “Kami (penduduk) setuju kerajaan hendak besarkan jalan raya, buat pasar baru, sediakan tempat parkir yang selesa dan memajukan Pekan Batu Enam ini,” jelasnya.
Tetapi, menurutnya penduduk setempat tidak bersetuju dan menentang pembangunan yang boleh memudaratkan rakyat.
Katanya, jika draf RKK itu dilaksanakan penduduk asal di Batu Enam tidak mampu membeli serta memiliki bangunan-bangunan yang disediakan kerajaan.
“Kami (penduduk) tidak mahu jadi seperti ‘menang sorak kampung tergadai’ dan akhirnya bangsa lain yang menikmati hasilnya,” tegas beliau ketika ditemui selepas mesyuarat pertama menubuhkan jawatankuasa bertindaknya.
Katanya, rakyat menyokong kerajaan membangunkan Batu Enam tetapi biarlah membangun mengikut keadaan yang munasabah.
Menurutnya, bantahan akan dibuat mengikut keadaan semasa termasuk memungut tandatangan penduduk, borang bantahan serta memorandum kepada kerajaan negeri.
Mengikut perancanagan draf RKK berkenaan seramai lebih 1,200 penduduk di beberapa buah kampung di Batu Enam terlibat dengan pengambilan balik tanah serta rumah masing-masing.
Dimaklumkan, kerajaan negeri hanya menyediakan pampasan mengikut penilaian semasa tanpa penyediaan tanah-tanah penempatan baru penduduk terbabit.
Draf RKK Tepuh-Batu Enam telah dipamerkan selama seminggu di Batu Enam, dan berterusan sehingga pertengahan September di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi membuka peluang kepada penduduk setempat serta rakyat yang bakal terlibat dengan pengambilan balik tanah-tanah penempatan mereka.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang besar dan kembali ke Parlimen setelah meninggalkannya lebih 10 tahun.
Sekaligus PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila calon Pakatan Rakyat itu menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam.
Keputusan rasmi yang diumumkan sekitar jam 10.00 malam, Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara lawannya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan setelah hanya mendapat 92 undi.
Agensi Bernama melaporkan kemenangan Anwar itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Roslan Yahaya di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini.
Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran peletakan jawatan Presiden PKR Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai anggota Parlimen pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, untuk bertanding.
Penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh diputuskan oleh SPR pada 15hb Ogos lalu dan masa untuk berkempen aelama 10 hari sehingga hari mengundi pada 26 Ogos semalam.
Isu yang Dominan
Cabaran getir bagi Anwar menghadapi kempen telah bermula sehari sebelum penamaan calon, apabila Saiful Bukhari yang menuduh Anwar melakukan sodomi keatasnya telah melafazkan ‘sumpah laknat’ dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan.
Majlis itu turut dihadiri sama oleh Imam masjid tersebut, Ustaz Ramlan Porigi yang seolah-olah bertindak sebagai penerima atau orang yang mengesahkan sumpah Saiful.
Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengatakan, ‘sumpah Saiful’ bukan sebuah agenda politik, namun ‘sumpah laknat Saiful’ itulah yang menjadi modal utama setiap kali ceramah diadakan oleh UMNO/ BN dan dilihat menjadi satu isu dominan sepanjang masa berkempen.
Kehadiran Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat bersama-sama puluhan ribu ahli dan penyokong PKR, PAS dan DAP pada hari penamaan calon telah memberikan impak positif dan menjadikan isu sumpah Saiful agak ‘kelabu’.
Ia diikuti dengan kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang dan beberapa ulamak lain, yang tegas menolak sumpah laknat Saiful.
Namun begitu, dengan penguasaan UMNO/BN keatas beberapa akhbar utama dan media elektronik Negara, isu sumpah Saiful diperbesar-besarkan dan hampir-hampir dapat mempengaruhi pengundi Melayu Islam untuk menolak Anwar, sedang undi bukan Melayu tetap padu.
Anwar terus diasak bagi membuktikan dirinya tidak bersalah dengan melakukan sumpah yang serupa, namun beliau dapat bertahan dan terselamat dari perangkap UMNO/BN.
Sehari sebelum hari mengundi, Ramlang Porigi telah mendedahkan segala-galanya tentang apa yang sebenarnya berlaku disebalik peristiwa majlis sumpah laknat Saiful.
Pengakuan ikhlas Ramlang, bahawa Najib yang telah mengaturkan segalanya dalam majlis sumpah Saiful telah meletakkan Najib dalam kandang orang yang bersalah sekaligus tamparan ‘checkmate’ kepada semua langkah serangan UMNO/BN.
Sekali lagi pemimpin spiritual PAS, Tok Guru Nik Aziz yang hadir membantu kempen Anwar dengan melengkapkan program munajat dihari ketiga meninggalkan kesan kedalam jiwa orang Melayu Islam di Permatang Pauh.
Tindakan Ramlan yang berstatus ‘ustaz’ berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz selepas membuat pendedahan tentang keterlibatannya dalam isu sumpah Saiful, memberikan satu pengiktirafan rohani dan membersihkan keterlanjuran beliau.
Pengkuan Ramlan adalah penting dan perlu dianggap sebagai suci dan murni bagi menghilangkan najis kekotoran yang telah dilemparkan kepada imej Anwar sebagai seorang pemimpin besar.
Walaupun ‘klimaks’nya, Najib mengharapkan pendedahan ‘seluar dalam Saiful’ pada hari terakhir akan mampu memutarkan kembali kepercayaan pengundi Melayu Islam terhadap calon BN, namun segalanya sudah terlambat.
Pengundi Melayu Islam di Permatang Pauh telah pun membuat keputusan, Anwar benar dan Najib salah !
Panas Tidak Sampai Ke Petang !
Seramai 26,000 keluar mengundi sehingga 12 tengah hariHampir separuh daripada sejumlah 58,459 pengundi berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sehingga tengah hari 26 Ogos
Setakat jam 12 tengah hari, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata 26,914 pengundi atau 42.98 peratus menunaikan tanggungjawab mereka.
Hujan sejak tengah hari di sekitar Permatang Pauh, seperti di Seberang Jaya dan Sama Gagah, dijangka memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi sebagaimana dilaporkan Bernama.
Pusat Media yang disediakan oleh PKR di bangunan Yayasan Aman Permatang Pauh mula di datangi ramai petugas media menjelang tengahari untuk mengemaskini berita bagi media masing-masing
Hujan telah mula turun di sekitar Permatang Pauh jam 1.00 tengah hari menyebabkan lalu lintas sesak dan dijangka menyebabkan proses pengundian berjalan lebih perlahan.
Setakat jam 12 tengahari, menurut Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, sebanyak 44.8 peratus pengundi telah membuang undi.
Manakala Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula menganggarkan sehingga jam 1 tengahari, peratusnya dijangka meningkat kepada 53 peratus.
Sekitar jam 10.50 pagi, seorang penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan polis di kawasan bawah jejantas di Seri Penanti selepas berlaku sorak menyorak dan berlawan-lawanan antara perayu undi dan penyokong parti kedua belah pihak.
Sumber polis memberitahu, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 186 kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Ekoran peristiwa tersebut, polis telah mengambil keputusan untuk mengarahkan penyokong dari kedua-dua parti yang bertanding beredar dari kawasan tersebut.
Seorang ahli PAS yang memberi sokongan sebagai perayu undi di Sek. Men. Keb. Penanti di sini memberitahu para penyokong Pakatan Rakyat di lokasi pengundian tersebut geli hati melihat Ketua Menteri Melaka, Dato’ Rustam Ali, merayu undi dan memberi semangat kepada petugas BN sehingga melompat-lompat.
Sehingga kini beberapa rakan media memberitahu anggaran sokongan berdasarkan pengundi-pengundi yang masuk ke tempat mengundi adalah memihak kepada Pakatan Rakyat berdasarkan nisbah 3 : 1.
Calon Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar berpaya meraih majoriti sehingga 20,000 undi sekiranya trend pengundi sebagaimana sekarang berterusan
Pengundian Bermula di Pagi Yang Panas !
Pengundian bermula pada awal pagi di seluruh pusat-pusat mengundi di Permatang Pauh dengan cuaca pagi yang panas.
Tinjauan Buletin Online dibeberapa pusat mengundi mendapati kehadiran penyokong dan perayu undi Pakatan Rakyat melebihi Barisan Nasional.
Menjelang tengahari, beberapa lokasi panas antaranya adalah di Peti Undi Kubang Semang dan juga di Pusat Mengundi Sekolah Mennengah Kebangsaan Penanti.
Menurut seorang penduduk tempatan daerah mengundi Kubang Semang memang satu lokasi yang panas bukan sahaja dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh yang berlangsung hari ini, bahkan ia sudah panas pada Pilihanraya Umum lalu.
Calon Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar disambut hangat di Kubang Semang disambut dengan sorakan Reformasi dan laungan Alllahu akbar silih berganti ganti ketika mengadakan lawatan di Kubang Semang sekitar jam 11 pagi.
Kesesakan lalulintas berlaku agak teruk disemua jalan dalam kawasan mengundi parlimen Permatang Pauh.
Pengundi kelihatan keluar mengundi pada awal pagi sebagaimana yang telah diingatkan oleh pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat yang berucap pada ceramah akhir semalam.
Puluhan Ribu Hadir Ceramah Akhir
Semalam, di Jalan Baru Permatang Pauh menyaksikan puluhan ribu orang berhimpun mendengar amant akhir pimpinan Pakatan Rakyat.
Semua wakil-wakil komponen Pakatan Rakyat hadir pada majlis ceramah tersebut, Timbalan Presiden Dato’ Husam Musa, mewakili Presiden PAS memberikan ucapan.
Sehingga kini pengundi bukan Melayu masih memberikan sokongan yang mantap sementara pengundi-pengundi Melayu dijangka memberikan sokongan kepada Anwar setelah pendedahan Ustaz Ramlan Porigi kelmarin.
Sebelum dari itu, pengundi Melayu dikatakan berbelah bagi kerana isu sumpah Saiful yang dijadikan isu utama oleh Barisan Nasional.
Namun apabila Ramlan mendedahkan, seluruh majlis sumpah Saiful di atur oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, berlaku perubahan pendirian dikalangan pengundi bukan Melayu.
Puluhan Ribu orang hadir mendengar ceramah akhir pimpinan Pakatan Rakyat di Jalan Baru Permatan Pauh semalam walaupun hujan turun renyai-renyai. Satu himpunan rakyat Permatang Pauh dan hadirin yang datang berpusu-pusu dari seluruh Negara, merupakan satu himpunan bersejarah dan tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Hadirin dari kaum keturunan India dan Cina telah hadir seawall jam 8.00 malam walaupun ceramah hanya di mulakan pada jam 9.00.
Dua beranak kaum Cina yang hadir sempat ditemui Buletin Online berkata mereka dating dari Sungai Pelek Selangor untuk hadir dan mendengar amanat akhir sebelum hari mengundi.
Sekelompok kaum India yang telah membuka alas tempat duduk sejak jam 8.00 adalah mereka yang juga dating dari Selangor.
Mereka tidak berganjak sedikit pun walaupun hujan mula turun pada jam 10 malam.
Sekitar jam 10.30 malam Naib Presiden PAS Husam Musa hadir dan memberi ucapan. Husam yang mewakili kepimpinan PAS meyakini Anwar akan menang dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Beliau menggesa semua pengundi Permatang Pauh supaya keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
Husam juga mengharapkan para petugas akan terus berjaga sepanjang malam bagi memastikan tidak ada agen-agen UMNO/BN yang akan masuk kampong untuk membeli undi pada saat akhir.
Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, Dato Seri Anwar sampai pada jam 11 malam ketika isterinya Datin Seri Azizah sedang berucap.
Beliau kemudian menyatakan akan memimpin Pakatan Rakyat yang didokong oleh PAS, PKR dan DAP bagi membentuk kerajaan baru yang mengiktiraf Malaysia sebagai negeri orang Melayu dan memberikan hak-hak kepada kaum India dan Cina sebagai rakyat Malaysia.
Beliau menafikan perpecahan dokongan dari DAP dan PAS kepada Pakatan Rakyat yang sama-sama hadir dalam memberikan sokongan kepada beliau sepanjang pilihanraya tersebut.
Beliau menyebut khusus tentang dokongan PAS dan menyatakan kehadiran Mursyidul Am memberikan ceramah dalam program munajat serta Presiden PAS berucap dalam beberapa siri ceramah membuktikan PAS sentiasa komited kepada Pakatan Rakyat.
Beliau berkata akan melaksanakan keadilan untuk semua, menghapuskan rasuah, memperkasakan mahkamah syariah.
Berdasarkan perkembangan terakhir, penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka menang besar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Tidak mustahil majoriti yang diperolehi oleh bekas timbalan perdana menteri itu lebih besar daripada yang diperolehi oleh isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Dr Wan Azizah, yang melepaskan kerusi itu untuk suaminya 31 Julai lalu, mendapat 13,388 undi dengan mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail.
Menurut tinjauan Malaysiakini sepanjang kempen ini sejak 16 Ogos, jentera kempen PKR sangat tersusun dan komited, mereka boleh bekerja siang malam tanpa mengira waktu.
Setiap pelusuk Permatang Pauh terdapat bilik gerakan PKR, malah ada dua atau tiga bilik gerakan di satu kampung.
Petugas-petugas pilihanraya PKR nampak begitu bangga membahagikan risalah perkembangan terbaru pilihanraya kerusi parlimen itu kepada orang ramai.
Isu liwat yang dimainkan oleh BN dalam kempen-kempen mereka juga dijangka tidak berkesan ekoran kejayaan PKR mendapatkan imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi menjelaskan isu itu kepada pengundi mulai malam tadi.
Ramlang muncul di tiga majlis anjuran pembangkang untuk menjelaskan kehadirannya di majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan, 15 Ogos lalu.
Permatang Pauh sememangnya kubu kuat PKR dan ia seolah-olah menjadi kerusi tradisi keluarga Anwar.
Anwar dipilih ahli parlimen Permatang Pauh selama 17 tahun sejak 1982, manakala Dr Wan Azizah mengambil alihnya sejak 1999 setelah suaminya dipenjarakan selama enam tahun mulai 1998.
Malah bapanya Datuk Ibrahim Abdul Rahman pernah menjadi ahli parlimen Permatang Pauh (dulu dikenali Seberang Tengah) selama satu penggal mulai 1969.
Malah pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Pemudanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri mengakui Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR.
Sangat sukar membayangkan kerusi Permatang Pauh gagal dipertahankan di tangan Anwar esok, khususnya tiada seorangpun tokoh BN sepopularnya untuk memberikan cabaran.
Tinjauan di program-program Anwar menunjukkan ribuan orang hadir bukan sahaja di kalangan penyokong pembangkang tetapi juga dipercayai pengundi atas pagar.
Dalam satu majlis di Tenggiri, Seberang Jaya, ribuan hadir mendengar ceramah walaupun kira-kira 100 meter itu ada majlis ceramah Najib dan naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Meskipun jentera BN turut dibantu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sukar untuk calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah mencapai kemenangan.
Keputusan sama ada Anwar atau Arif Shah yang akan menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun bukan semata-mata ditentukan oleh kekuatan jentera dan kempen pilihanraya parti masing-masing.
Kemenangan salah seorang daripada dua calon besar itu hak 58,459 pengundi berdaftar.
Selain mereka, ia turut dimeriahkan oleh calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.
Najib Atur Majlis Sumpah Laknat Saiful
Majlis sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lalu adalah diaturkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak.
Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian apabila ditanya oleh wartawan dalam sidang media yang agak lewat diadakan pada pagi ini.
Apabila dibuka soalan kepada wartwan yang hadir, soalan pertama yang ditanya adalah berkaitan kenyataan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Ramlan Porigi yang telah hadir dan berceramah diatas pentas Pakatan Rakyat semalam.
”Kenyataan Ramlan (Ustaz) membuktikan taktik jahat dan kotor yang dimainkan oleh pemimpin UMNO dalam pilihanraya kecil Permatan Pauh diketuai oleh Dato’ Seri Najib Razak.
Beliau yang juga calon PKR bagi Permatang Pauh berkata Ramlan telah mendedahkan mendedahkan bahawa beliau diarahkan oleh orang atasan untuk ambil sumpah Saiful dan mengatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib yang mengaturkan majlis sumpah tersebut.
Anwar berkata dia tidak perlu bersumpah kerana sebagaimana yang telah diterangkan oleh para ulama termasuk Tuan Guru Nik Aziz dan lain-lain bahawa sumpah adalah sesuatu yang berkait dengan ugama yang tidak boleh dipermainkan.
Anwar telah mengatakan sebelum ini bahawa dbeliau telah merujukkan kes tersebut kepada mahkamah syariah, oleh yang demikian tidak perlu baginya untuk bersumpah.
”Ramlan (Ustaz) sendiri telah mengatakan sumpah itu telah batal,”jelas Anwar menjawab wartwan Berita Harian yang masih menekankan persoalan adakah Anwar akan bersumpah.
Semalam, Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ust. Ramlang Porigi yang mengambil Sumpah Saiful Bukhari pada 15hb. Ogos lalu, telah membuat kejutan dengan muncul diatas pentas ceramah Pakatan Rakyat dan bertemu dengan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi membersihkan namanya.
Dalam perkara yang sama, Ustaz Ramlan semalam juga menyokong pendapatan kebanyakan ulama dan pimpinan PAS bahawa Saiful tidak perlu bersumpah, kerana beliau adalah orang yang membuat tuduhan.
Ramlan yang turut mengadakan sidang media di Yayasan Aman semalam, menjelaskan kepada media, beliau telah diarahkan untuk hadir dalam majlis sumpah Saiful.
Ramlan juga menyifatkan bahawa cara bersumpah Saiful tidak boleh digunakan kerana menurut syarak sumpah demikian bukan kaedah yang diamalkan Islam.
"Sumpah Saiful adalah bertentangan dengan syarak, hanya bersifat persendirian" jelas Ramlan.
Justeru apabila ditanya media apakah peluang untuk Anwar memenangi pilihanraya kecil kali, beliau menjawab, InsyaAllah beliu akan menang.
Beliau menyerus supaya semua pengundi akan keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing esok
Ezam ‘budak yang hingusan’ sudah pandai putar belit.
Pengerusi PKR Kedah, YB Senator Ir. Zamri Yusuf, hari ini menafikan dakwaan Ezam bahawa 10 bahagian dari Kedah telah dibubarkan dan menyertai UMNO.
Beliau menyatakan demikian di Pusat Media, Yayasan Media pagi ini turut dihadiri oleh ketua-ketua bahagian PKR Kedah.
Beliau berkata dakwaan Ezam berkaitan saudara Zamil Ibrahim yang dikatakan keluar dari PKR Kedah sebenarnya telah dipecat.
Tiada Sidang Media Ramlang Pagi itu
Orang ramai menunggu di Yayasan Aman kerana dikatakan Imam Ramlan Porigi akan mengadakan satu lagi sidang mdia pada pagi ini (25 Ogos).
Semalam, Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ust. Ramlang Porigi yang mengambil Sumpah Saiful Bukhari pada 15hb. Ogos lalu, telah membuat kejutan dengan muncul diatas ceramah dan bertemu dengan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi membersihkan namanya.
Ust. Ramlan telah mendedahkan bahawa beliau diarahkan oleh orang atasan untuk ambil sumpah Saiful.
Beliau yang telah mengadakan sidang media di Yayasan Aman semalam, menjelaskan kepada media, beliau telah diarahkan untuk hadir dalam majlis sumpah Saiful.
Dalam sidang media semalam juga Ust. Ramlan menyifatkan bahawa cara bersumpah Saiful tidak boleh digunakan kerana menurut syarak sumpah demikian bukan kaedah yang diamalkan Islam.
"Sumpah Saiful adalah bertentangan dengan syarak, hanya bersifat persendirian" jelas Ramlan.
Menurut sumber-sumber yang dipercayai Ust Ramlan yang menyaksikan Saiful bersumpah itu telah pun diletakkan disatu tempat yang selamat, kerana pihak keselamatan sedang mencari beliau.
Sementara itu Calon Pakatan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga tidak mengadakan sebarang sidang media pagi ini.
Beliau dilihat masuk sebentar ke dalam bangunan Yayasan Aman kemudian meninggalkan bangunan itu untuk meneruskan agenda kempen dihari terakhir
Anwar dijangka hadir untuk besama pengundi di Wat Siam Telok Wang pada jam 10.30 pagi, kemudiannya akan bertemu pengudi di Kg Baru Sungai Lembu, kedua-duanya di DUN Penanti.
Pada sebelah petangnya kempen akan ditumpukan di DUN Seberang Jaya dimana Anwar akan berbuka puasa dan solat maghrib berjamaah di surau Taman Baru.
Ceramah Perdana terakhir sebelum hari mengundi esok dijangka akan diadakan di hadapan bilik gerakan JDN Jalan Baru dalam DUN Seberang Jaya
PAS Terengganu Yakin Permatang Pauh Kekal DiBawah Pakatan Rakyat
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi calon Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh dijangka dapat mengekalkan kerusi parlimen tersebut dibawah Pakatan Rakyat.
Demikian dinyatakan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Tuan Haji Yahaya Ali ketika dihubungi Buletin Online semalam ( 23 Ogos).
Beliau yang kini sedang membantu jentera kempen PKR di DUN Permatang Pasir, yakin Anwar akan dipilih oleh para pengundi Permatang Pauh pada hari pengundian 26 Ogos nanti.
Walaupun serangan jentera Barisan Nasional (BN) dengan bantuan seluruh jentera dan media yang dikuasai kerajaan pusat bertalu arus, namun menurutnya pengundi masih memberikan sokongan kepada mantan Timbalan Perdana Menteri itu.
“Keadaan semasa pada umumnya masih berpihak kepada PKR, sokongan orang ramai kepada Anwar nampak tidak banyak berubah,”kata Hj Yahaya yang dipetik melalui hantaran SMS.
Menurut beliau, walaupun sejak hari pertama kempen bermula, BN telah menyerang Anwar secara peribadi, namun isu-isu peribadi tidak mendatangkan kesan begitu besar kepada para pengundi.
Walupun begitu, menurut beliau, jentera kempen di DUN Permatang Pasir khususnnya memberikan perhatian kepada pengundi Melayu terutamanya di kalangan orang tua.
Perkara yang sama pernah ditimbulkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, YB Mujahid Yusuf Rawa pada 19 Ogos lalu.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar bimbang terhadap golongan pengundi Melayu di Permatang Pasir yang kurang bermaklumat.
Ia adalah kerana menurutnya, walaupun kebanyakan pengundi menganggap isu sodomi tidak menjadi masalah, namun sebahagian pengundi Melayu mungkin akan mengundi kerana percaya dengan tuduhan tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, sebaliknya menurut Yahaya pengundi bukan Melayu lebih kental sokongannya kepada Anwar.
Yahaya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu mengarahkan para petugas dari Terengganu yang akan datang untuk membantu kempen pilihanraya, diminta bertugas samada di UPU Sama Gagah, UPU Permatang Pauh atau UPU Permatang Tengah.
Ketiga-tiga UPU tersebut terletak didalam DUN Permatang Pasir yang telah dimenangi oleh calon PAS pada pilihanraya umum yang lalu.
ADUN PAS Permatang Pasir, Tuan Haji Hamdan Abdul Rahman pada 19 Ogos lalu, berkata jentera pilihanraya Permatang Pasir telah siap sedia sepenuhnya.
PAS sebagai komponen Pakatan Rakyat diberi amanah untuk memberikan tumpuan kempen di DUN Permatang Pasir.
Hamdan berkata semua petugas PAS dari seluruh negara boleh mendaftar di bilik gerakan DUN yang terletak antara pekan Sungai Dua dan Penanti atau di UPU-UPU yang telah ditetapkan bagi negeri masing-masing.
Catatan Hari Penamaan Calon Permatang Pauh - Penyokong BN Yang Kurang Ajar
Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon Parti KeADILan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN) dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Tanda-tanda kemenangan calon PKR yang juga Penasihatnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah kelihatan pada hari penamaan calon.
Tinjauan lapangan mendapati sokongan rakyat serta pengundi kepada calon PKR dinisbah antara satu persepuluh.
Strategi PKR yang meletakkan calon bebas Dr Mansor Othman, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,telah ‘melemahkan’ semangat calon-calon BN dan AKIM apabila Dr Mansor menarik diri.
Perarakan calon BN, Dato’ Arif Shah Omar Shah, bermula jam 9.00 pagi dalam suasana ‘panas’ kerana terpaksa lalu dihadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat.
Walaupun begitu, proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam berjalan lancar tanpa insiden yang melibatkan orang ramai.
Para penyokong Barisan Nasional (BN) yang terdiri dari pelbagai parti termasuk MIC, MCA, PPP dan lain-lain, nyata jauh lebih kecil bilangannya dari penyokong Pakatan Rakyat.
Sikap kurang ajar para penyokong BN jelas dengan perlakuan ‘herdikan’, ‘cacian’ serta ‘makian’ yang dilontarkan khusus terhadap Anwar.
Tindakan tersebut sengaja dilakukan sebagai provokasi terhadap pihak lawan terutama ditujukan kepada anggota dan penyokong PKR.
Antara serangan peribadi anggota dan penyokong BN adalah ungkapan-ungkapan kotor dan jijik seperti ‘Anwar main bontot’,’kaki liwat’, ‘agen Amerika’ dan ‘Anwar al-Juburi’.
Terlalu banyak kata-kata fitnah yang dihamburkan oleh ahli dan penyokong Barisan Nasional dalam kehadiran beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri, yang sedikitpun tidak melarang mereka.
Seorang ahli pergerakan wanita UMNO yang ditemui telah mencabar Dato’ Seri Anwar bersumpah dengan al-Quran .
“Kami (UMNO) sanggup junjung al-Quran, kami sanggup langkah al-Quran.. jika kamu (Anwar) berani buatlah. Anwar pengkhianat, kaki liwat, agen Amerika,” ujarnya dengan nada marah beremosi.
Selain itu, beberapa aksi ‘lucah’ dilakonkan oleh pemuda-pemuda UMNO dengan gaya ‘bersetubuh’ serta ‘gaya gay’ yang memalukan menjadi bahan ketawa para penyokong UMNO/BN sewaktu berhimpun menunggu proses penamaan calon selesai.