25 April 2009

Kes SMS Ugut Bunuh - Bekas SU Politik Idris Jusoh Di cari Polis

KUALA TERENGGANU – Polis sedang mengesan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh, kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata Ahmad Ramzi juga adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen Marang pada pilihan raya umum ke-12 lepas, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

"Ahmad Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.

"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," katanya kepada Bernama semalam.

Wartawan Buletinonline yang hadir pada tengah malam 13 April lalu menyedari kehadiran Ahmad Ramzi bersama dua ADUN BN ketika membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu menjadi persoalan.

Zakaria Abdullah ADUN Paka dan Abdul Halim Jusoh ADUN Permaisuri menerima ‘SMS Ugutan Bunuh’ dan merasakan nyawa mereka terancam lalu membuat laporan polis.

Dalam kenyataannya kepada pihak media, Abdul Halim berkata beliau percaya ia ada kaitan berhubung ‘usul undi tidak percaya’ keatas Menteri Besar Dato Ahmad Said.

Halim turut membuat tuduhan, SMS tersebut adalah dari Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, berdasarkan nombor penghantar SMS yang diterimanya.

Manakala Ahmad Ramzi menjadi tumpuan pihak media yang mahu mengambil gambar ‘ayat ugutan bunuh’ dari paparan telefon bimbitnya

Namun, bagaimana SMS tersebut turut terdapat dalam telefonnya tidak dapat dipastikan kerana beliau bukan ADUN dan tidak disenaraikan sebagai salah seorang penerimanya.

Ahmad Ramzi telah berkeliaran di lokasi tersebut dari awal laporan polis dibuat sehingga tamat sidang media kira-kira jam 1.00 pagi.

Menurut ACP Mohd Fauzi Mohd Fauzi, polis telah mencari Ahmad Ramzi dirumahnya tetapi beliau tidak ada.

Hasil siasatan yang dibuat, beliau berkata, pihak polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor Isnin lepas, 20 April, kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu.

Beliau berkata perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.

"Polis Terengganu juga telah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.

24 April 2009

RPK ; Anak Raja, Blogger yang durhaka, Menjadi Pelarian di Tanah Air Sendiri


Kuala Terengganu – Selepas menulis berita Raja Petra Kamarudin (RPK) ‘membuang dirinya dan tidak hadir ke mahkamah’ semalam, saya menjelajahi ruang maya, mencari seluruh bahan berkaitan ‘Ikon Media Baru’ itu sewaktu beliau berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Mungkin tidak semua diantara kita yang mengetahui bagaimana RPK membantu PAS dan Pakatan Rakyat semasa PRK Kuala Terengganu.

Beliau bersama kumpulan blogawan (bloggers) ‘I am with RPK’ telah berkampung di Kuala Terengganu sejak hari penamaan calon sehingga tamat pengundian.

Sebelum meletakkan sasaran kerjanya, beliau dan kumpulan blogawan hadir ke Markaz Induk PRK Kuala Terengganu dan berbincang dengan kepimpinan jentera pilihanraya.

Kuala Ibai bukanlah asing kepada RPK. Beliau pernah bertahun-tahun tinggal disitu dan menjadi jiran kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali.

Faktor kehadiran RPK dalam PRK Kuala Terengganu telah menyemarakkan gelanggang kempen Pakatan Rakyat, mendapat liputan meluas oleh hampir semua media termasuk media perdana.

Semua usaha kempen dilakukan oleh RPK dan kumpulan blogawannya.

Mereka bukan sahaja berjalan kaki berkempen dari rumah kerumah, mengedarkan risalah dan poster, menghadiri majlis-majlis pertemuan, berceramah dan tidak ketinggalan membuat laporan polis terhadap rasuah yang dilakukan oleh UMNO/BN dalam PRK Kuala Terengganu.

Liputan kempen dan analisa beliau dilaporkan secara terus setiap hari, dipaparkan dalam laman Malaysia Today.

Selepas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di isytiharkan sebagai pemenang, RPK turun ke jalanraya bersama puluhan ribu para penyokong meraikan kemenangan yang manis itu.



Dua minggu selepas PRK Kuala Terengganu, Dato’ Seri Najib Razak telah mengetuai UMNO/BN melakukan Kudeta, merampas kuasa kerajaan negeri Perak.

Apabila krisis perlembagaan Perak bermula dan ia bersangkutan dengan istana Perak, RPK telah menulis surat terbuka kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Nizar Jamaludin.

Kandungan surat tersebut kini dianggap sebagai sebagai satu tindakan menghina Raja-raja Melayu.

RPK telah menulis ; “I speak as a Royal but speak for the Rakyat. And rest assured there are many other Royals who share my view. Don’t allow a handful of those who sit on the throne intimidate you into thinking that you are alone, representing the Rakyat, against the Monarchy. No, we are with you, as are many other Royals”.
(Saya bercakap sebagai kerabat DiRaja, tetapi bercakap mewakili rakyat. Dan sebagai jaminan, ramai lagi kerabat DiRaja yang menyokong pandangan saya. Jangan biarkan mereka yang duduk diatas singgahsana mengugut awak (Nizar) dengan fikiran mereka bahawa awak berseorangan mewakili rakyat menentang Raja-raja. Tidak, kami semua bersama kamu, begitu juga dengan kerabat DiRaja yang lain)

Akibat tulisan diatas dan dua artikel lagi selepas surat terbuka kepada Nizar, RPK telah menghadapi kemurkaan Sultan Selangor dan kaum kerabatnya yang akhirnya mahu meminggirkan beliau sebagai kerabat DiRaja Selangor.

Beliau dianggap durhaka kerana perjuangan menegakkan hak dan keadilan sebagaimana Menteri Besar Perak, Nizar Jamaludin, yang digelar durhaka kerana mahu mengembalikan suara dan mandat rakyat.

Semalam, satu waran tangkap telah dikeluarkan keatas RPK kerana beliau tidak hadir ke mahkamah.

Beliau melalui tulisannya dalam Malaysia Today berkata, antara sebab beliau tidak hadir adalah kerana sudah tidak percaya kepada keadilan sistem kehakiman.

RPK berdepan dengan tuduhan menghasut berhubung satu artikel yang bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' yang membabitkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 RPK menghadapi hukuman denda maksima RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Apabila Hakim Rozina Ayob bertanya peguambela RPK, J Chandra memaklumkan kepada mahkamah Sesyen Petaling Jaya, sebab-sebab RPK tidak hadir sebagaimana tulisannya dalam Malaysia Today.

J Chandra memaklumkan kepada Hakim, menurut tulisan tersebut, RPK berkata beliau kini "hidup dalam buangan" dari Selangor dan oleh itu tidak dapat hadir di Petaling Jaya, tempat mahkamah tersebut berada.

Para penyokong ‘Ikon Media Baru’ yang hadir di mahkamah hari ini berkata mereka juga tidak tahu di mana Raja Petra berada sekarang.

Selepas tiga bulan PRK Kuala Terengganu berlalu, RPK, anak raja keturunan kesultanan Selangor, yang mundar mandir berkempen menghantar risalah dan bertemu pengundi di Kampung Cina, kini menjadi pelarian di tanah air sendiri.

21 April 2009

Golongan Melayu Yang Masih Menyokong UMNO/BN

Kemaman – Tsunami politik hanya berjaya merubah enam wilayah di Semenanjung Malaysia dan gagal menembusi negeri-negeri yang mempunyai ramai penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Walaupun Pakatan Rakyat menang empat dari lima pilihanraya kecil sejak Mac tahun lalu, golongan pengundi masih yang menyokong UMNO tidak berganjak.

Analisa keputusan pilihanraya umum ke 12 dan lima pilihanraya kecil menunjukkan peubahan ketara dikalangan masyarakat Cina dan India namun sebaiknya kepada orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad telah menyenaraikan 16 golongan yang masih menyokong UMNO.

Menurutnya golongan yang pertama adalah rakyat Malaysia yang masih tidak terdedah dengan maklumat dan kurang kemudahan dan tinggal jauh di kawasan pedalaman.

“Sebab itu Kuala (Terengganu) kita menang, Permatang (Pauh) kita menang, Bukit (Gantang dan Selambau) kita menang, (tapi) Batang Ai masih dalam kawalan (UMNO/BN),”katanya dalam Majlis Ceramah Penerangan yang diadakan di bandar Chukai, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau berkata golongan nasionalis Melayu ‘totok’ merupakan golongan kedua yang menjadi pengundi tegar UMNO.

Katanya, golongan tersebut hanya memperjuangkan bangsa semata-mata seperti allahyarham Tun Ghafar Baba dan beberapa tokoh veteran UMNO yang lain.

Ustaz Idris turut mengkategorikan beberapa kelompok lain yang masih menyokong UMNO seperti dibawah;

  1. Orang yang mempunyai kepentingan, berniaga dengan kontrak kerajaan.
  2. Golongan pengampu
  3. Ustaz-ustaz ‘dollar and cents’
  4. Orang yang jarang pergi ke surau
  5. Orang yang tidak minat mempelajari agama
  6. Golongan anti agama
  7. Golongan Perasuah
  8. Orang yang miskin dan jahil
  9. Orang yang mempunyai jiwa yang kerdil
  10. Orang yang keras hati
  11. Golongan yang duduk dalam zon selesa
  12. Orang yang longgar pegangan agama
  13. Golongan yang jauh dengan ulama’
  14. Golongan yang suka memisahkan kehidupan dunia dan akhirat


Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Naib Ketua Pemuda Pusat Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, Yang DiPertua PAS Kemaman Hj Ismail Harun dan Pengerusi MTD Chukai Haji Hanafiah Ramli.


20 April 2009

Tidak Mahu Bertanding di Penanti, Alasan BN Yang Sengaja Diada-adakan


Kuala Terengganu – Tindakan Barisan Nasional (BN) yang mungkin tidak akan bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang, disifatkan sebagai sekadar satu alasan yang sengaja diada-adakan.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali turut menyelar kenyataan yang menyebut bahawa perletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin tidak mengikut perlembagaan.

“ Tidak betul, setiap orang wakil rakyat yang dipilih, dari segi perlembagaan dia boleh hendak meletakkan jawatan,

“tidak ada masalah, bila dia merasakan ada sesuatu yang dia bertanggungjawab untuk berbuat demikian,”katanya yang ditemui pihak media di Pejabat Perhubungan PAS, disini semalam.

Menurutnya, sudah ada kes ikutan (precedent case) dalam UMNO dulu, dimana Dato’ Shahrir Abdul Samad meletakkan jawatan dan bertanding semula.

Katanya, Shahrir yang juga ahli parlimen Johor Baharu, meletakkan jawatan tanpa sebab kecuali mahu menyatakan rasa tidak setuju kepada pemimpin UMNO pada waktu itu.

“jadi dia letak jawatan, serahkan kembali kepada rakyat, pastikan ia sebagai satu suara rakyat, setuju atau tidak dengan pimpinan yang ada,

“dan dia menang dalam pilihanraya kecil itu, nak menunjukkan bahawa rakyat tidak setuju dengan cara pimpinan menangani keadaan politik dan pentadbiran negara pada waktu itu,”jelasnya

Mengulas lanjut isu DUN Penanti, beliau menegaskan, mungkin ada sebab-sebab yang munasabah yang menyebabkan Fairus dan dipersetujui oleh PKR untuk beliau meletakkan jawatan dan bertanding semula.

Katanya, bukannya suatu perkara yang mudah bagi satu-satu parti, bagi seseorang tanpa apa-apa sebab meletakkan jawatan.

“Sebab parti menghadapi risiko bila ada pertandingan ada menang ada kalah, kalau kalah dalam pilihanraya, ertinya hilang satu keusi, kalau menang hanya balik kepada status quo, balik kepada asal, tidak ada untung apa-apa,”ujar beliau

Beliau turut meragui kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, tentang masalah terlalu banyak masa dan kewangan yang dibelanjakan untuk mengadakan satu pilihanraya kecil.



Beliau menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai tidak ikhlas kerana lebih banyak wang kerajaan sebenarnya yang dibelanjakan secara membazir bukan untuk kepentingan rakyat secara langsung.

“Kalau nak dibandingkan berapa banyak, ratusan juta duit kerajaan yang digunakan (secara) membazir bukan untuk kepentingan rakyat secara langsung,

“sebagai contoh di Terengganu, Piala Monsun dan pembangunan Pulau Duyung,”kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Beliau berkata, kos pengurusan pilihanraya boleh dikurangkan jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mahu.

“Saya tidak nampak bagaimana kos (pilihanraya) ini jadi tinggi, misalnya pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu, saya pun terkejut bagaimana SPR dan polis boleh membelanjakan sehingga RM15 juta,

“tak perlu polis ramai-ramai begitu, polis dalam negeri Terengganu pun cukup, tak perlu buat Markaz Tektikal,”tegasnya yang pernah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa situasi pilihanraya kecil Kuala Terengganu adalah selamat dan tidak mungkin berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Katanya apa yang berlaku adalah kerana andaian-andaian yang tidak tepat oleh pihak kerajaan, kecuali pada pilihanraya kecil Batang Ai yang boleh difahami, memerlukan perbelanjaan lebih besar kerana berada jauh di pedalaman.

Beliau merasakan pilihanraya kecil DUN Penanti juga tidak akan berlaku sebarang masalah dan menegaskan kerajaan tidak perlu menghantar petugas keselamatan yang terlalu ramai.

“Kita buat berlebih-lebihan,memberikan andaian yang salah, malah sebenarnya saya rasa mungkin dia (kerajaan) buat demikian ada matlamat, matlamat saikologi, bila polis ramai akan menakutkan orang, lagi tak baik bagi demokrasi,”

“Duit rugi, anggapan salah, dan tak perlu benda-benda macam ini, SPR boleh buat biasa, polis boleh buat biasa,

“tidak perlu bimbang, tidak perlu takut, ini sengaja diada-adakan,”tambahnya

19 April 2009

Cadangan Penubuhan Kerajaan Perpaduan Terhenti?


Marang – Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata beliau menarik balik cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan (unity government) yang beliau tawarkan kepada rakyat Malaysia beberapa bulan sebelum ini.

Beliau berkata ia kerana masih ramai yang tidak faham tentang konsep kerajaan perpaduan yang cuba diketengahkan oleh beliau.

“Saya melihat masih ramai yang tidak faham tentang kerajaan perpaduan termasuk dikalangan ahli dan pimpinan PAS sendiri,

“(mungkin) kerana kesibukkan (mereka) tidak mengetahui istilah-istilah dalam politik, kerana tidak membaca (banyak) buku-buku politik.”katanya di kediaman beliau, disini kelmarin.

Katanya didalam politik ada kerajaan yang sepenuhnya, ada kerajaan perpaduan, kerajaan campuran, kerajaan ‘fron-national’ sebagaimana kerajaan Barisan nasional di Malaysia.

“Di Malaysia adalah kerajaan ‘front-national’ yang ada pembangkang, manakala kerajaan campuran ialah kerajaan yang (bercampur) antara satu parti (dengan parti),

“diajak parti lain untuk memerintah dengan syarat2 yang dibuat biasanya terikat dengan syarat bersama dengan kerajaan dan tidak banyak perubahan yang dibuat,”jelasnya.

Katanya kerajaan perpaduan adalah satu konsep yang berbeza kerana ia bukan berbentuk ‘front-national’ dan bukan dalam bentuk kerajaan campuran.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang melibatkan semua parti politik duduk dalam kerajaan tanpa ‘pembangkang’.

“semua parti ada syakhsiah ada identiti (dan) ada kepribadian sendiri, dan berhak untuk membangkang,

“dimana kerajaan perpaduan ini membolehkan orang dalam UMNO sendiri membangkang kerajaan, membangkang partinya sendiri,” katanya yang menambah, kerajaan perpaduan akan memecahkan tradisi yang dibuat oleh UMNO.

Orang UMNO pada hari ini, katanya, tidak boleh membangkang partinya sendiri dan sekiranya seseorang membangkang, mereka boleh dipecat.

Katanya dalam masa yang sama perubahan mesti berlaku dalam kerajaan perpaduan yang memberikan keadilan kepada semua rakyat.

“Mestilah berlaku perubahan yang adil untuk semua rakyat termasuklah Sutruhanjaya Pilihanraya, badan kehakiman dan pentadbiran negara, konsepnya mesti berubah bukan apa yang ada pada hari ini,

“sebagai contoh apa yang ada di Indonesia, kerajaan perpaduan di sana berlaku pemisahan kuasa diantara badan PEMILU (SPR) dengan badan politik,

“pemisahan kuasa dalam badan kehakiman sehingga badan kehakiman Indonesia boleh menyeret Suharto ke mahkamah,”terangnya lagi.

Katanya kerajaan perpaduan juga boleh menyeret Perdana Menteri dan menteri-menteri ke mahkamah sebagaimana yang berlaku di Israel, sebagai contoh Perdana Menteri Israel boleh disiasat dan dibawa kmahkamah.

Katanya dalam Pilihanraya di Indonesia adalah pilihanraya yang berubah dimana bukan hanya kerajaan yang memerintah mempunyai hak menggunakan kemudahan TV untuk berkempen, bahkan semua parti politik boleh menggunakannya dan rakyat mempunyai kebebasan.

Menurutnya cadangan beliau menubuhkan kerajaan perpaduan kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah mendapat persetujuan daripada komponen Pakatan Rakyat, PKR dan DAP.

“Mereka bersetuju, DAP menyertai beberapa usaha yang dilakukan tetapi oleh kerana orang UMNO sendiri takut untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, mungkin mereka takut kerana ada orang yang akan dibicarakan dimahkamah,

Oleh itu, katanya, beliau menarik balik cadangan beliau berkaitan penubuhan kerajaan perpaduan, namun beliau yakin pada suatu hari nanti, masyarakat akan merima cadangannya.

Apabila ditanya, samada isu kerajaan perpaduan akan menjadi perbahasan hangat dalam Muktamar PAS akan datang, beliau berkata, ia terpulang kepada kefahaman ahli-ahli PAS dan ia akan menjadi kayu pengukur sejauh mana kefahaman ahli tentang kerajaan perpaduan.

“Sekiranya kita tidak faham lebih baik jangan bercakap kerana orang akan nampak kejahilan kita,”katanya.

Dengar Radio Buletinonline Tentang Unity Government


Guru PASTI As-Salam Dinobatkan Dua Anugerah

MARANG- Guru PASTI As-Salam, Padang Midin, Cikgu Nora Abdul Jalil, 55 telah berjaya mengharumkan PASTI Terengganu apabila dinobatkan sebagai...