01 Januari 2008

Ziarah Mat Sabu dan DPPKT ke Pasar Payang

Mat Sabu bersama Pemuda Kuala Terengganu ‘mesra’ peniaga
Ditulis oleh W Kay
Tuesday, 01 January 2008

Kuala Terengganu, 31 Dis - Sikap semulajadi, mesra rakyat dan bersahaja pemimpin PAS memikat hati para peniaga dan para pengunjung di Pasar Besar Kedai Payang Kuala Terengganu.

Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu(DPPKT) bersama Naib Presiden PAS telah menziarahi komuniti IKS Pasar Payang yang merupakan komuniti peruncit terbesar di Terengganu. Sambil bertanya khabar dan merapatkan silaturRahim, rombongan tersebut mengagih-agihkan buah tangan yang berupa ‘VCD’ serta makalah dwi bulanan ‘Buletin’. Sebanyak 400 keping vcd Insiden Batu Burok bertajuk ‘Demokrasi Yang Tempang’ dan 2000 keping Buletin Isu Pulau Duyong telah diedarkan.

Haji Muhamad Sabu dan Ketua Pemuda Kuala Terengganu, Ustaz Haji Ahmad Kamal Hj Ali, mengetuai rombongan 40 orang pemuda, meluangkan masa lebih satu jam di Pasar Payang dan kawasan sekitarnya.

Ustaz Ahmad Kamal ketika dihubungi Buletinonline kelmarin berkata, beliau berterima kasih kepada para peniaga pasar berkenaan kerana menerima kedatangan Haji Mohamad Sabu dengan suasana yang sangat ceria.

“Masyarakat peniaga sebenarnya menyebelahi kita. Sembilan puluh lima peratus peniaga Pasar Payang ini terima kehadiran ‘Abang Mat Sabu’ dengan mesra dan ceria”.

“Bagi pihak Pemuda Kuala Terengganu, saya bersyukur kepada Allah, dengan sambutan para peniaga dan orang ramai bermakna terdapat kesedaran Islam yang tinggi dikalangan rakyat bawahan” ujarnya.
Menurut Ustaz Kamal, kekurangan pengunjung ke Pasar Payang ketika ini, sedikt sebanyak memberikan kesan para peniaga pasar. Namun, dengan kedatangan kami dan ‘Abang Mad’ seolah-olah mengurangkan dukacita dan mereka, kerana ada pihak yang prihatin terhadap mereka.

Sementara itu, Setiausaha DPPKT, Wan Faizul Wan Abas memberitahu Buletinonline program ‘ziarah komuniti’ akan diteruskan setiap minggu.

”Kita akan menziarahi kelompok-kelompok masyarakat diseluruh Parlimen Kuala Terengganu untuk menyampaikan tawaran PAS dan mesej bahawa kita sedia untuk mengambilalih semula tampuk pemerintahan negeri” jelas beliau.

Wan Faizul yang juga bekas Kakitangan Wisma Darul Iman berkata “sekiranya tidak ada halangan, Wisma Darul Iman juga akan kita ziarahi” bagi menunjukkan komitmen kita untuk memastikan Islam kembali berdaulat dibumi DarulIman.


Selepas Keputusan Mahkamah 30 Dis 2007

Tindakan zalim kerajaan UMNO/BN adalah mukaddimah mencapai kemenangan

Ditulis oleh WartawanBuletinonline
Monday, 31 December 2007

Marang, 30 Dis – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mengatakan bahawa tindakan zalim kerajaan UMNO/BN pada hari ini adalah mukaddimah perjuangan PAS menuju kemenangan.

Beliau mengatakan demikian didalam Ceramah Khas di perkarangan Masjid Rusila yang diadakan sempena perbicaraan Azman dan Suwandi yang dimulakan pada hari ini. Ceramah tersebut telah dihadiri oleh ribuan orang, walaupun diberi notis yang singkat.

Sebelum dari itu, Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Hanipa Maidin, dengan tegas mengatakan bahawa tidak wujud lagi keadilan didalam mahkamah hari ini. Sewaktu berada dimahkamah Sesyen bagi mewakili Suwandi dan Azman pada hari ini, beliau merasakan seolah-olah beliau berada di planet lain dan dinegara lain, dengan undang-undang yang lain, yang tidak difahami.

Beliau merujuk kepada tuduhan yang dibuat oleh kerajaan UMNO/BN terhadap Suwandi dan Azman adalah satu tuduhan yang boleh dijamin. Bukannya kes-kes yang berbahaya yang tidak boleh dijamin, seperti kes bunuh.

"Malahan ada kes-kes bunuh yang juga dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah" jelasnya.
"Saya tidak kisah dikatakan menghina mahkamah. Dengan apa yang berlaku pada hari ini, mahkamah tidak lagi suci, mahkamah telah menjadi hina" tambahnya Hanipah Maidin

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Embong, mendedahkan berkenaan satu pasukan telah ditubuhkan oleh polis pada malam berlakunya Insiden Batu Burok yang dipanggil 'Ops Rapat'. Beliau akan didedahkan berkenaan ‘Ops Rapat’ ini, didalam perbicaraan Suwandi dan Azman nanti. Ops rapat adalah dipercayai berkaitan dengan polis-polis yang dikesan memakai reben di lengan yang mempunyai misi untuk tangkap dan khianat terhadap orang ramai.

“Polis telah mengadakan satu kepungan dijalan besar Kuala Terengganu ke Kuantan, memerangkap orang yang hendak hadir ke ceramah BERSIH. Orang-orang yang terperangkap ini dituduh sebagai menghadiri perhimpunan haram” jelas Wan Mutalib

Sehubungan dengan itu, Muhammad Sabu, Naib Presiden PAS mengatakan kerajaan UMNO/BN menggunakan polis dan akta-akta zalim untuk menutup segala kepincangan pemerintahan mereka. Insiden Berdarah Batu Burok adalah kerana polis menghalang ceramah, begitu juga ketegangan yang berlaku semasa Himpunan Aman BERSIH adalah kerana polis melepaskan pancutan air kimia dan gas pemedih mata.

“Rakyat Malaysia telah sedar, orang Cina telah ditipu oleh pemimpin MCA, orang Melayu ditipu oleh pemimpin UMNO dan orang India ditipu oleh pemimpin MIC. Pemimpin UMNO, MCA dan MIC kaya raya, tetapi rakyat menderita” kata Muhammad Sabu.
“Kerana takut akan kalah pada pilihanraya akan datang, kerajaan UMNO/BN menggunakan akta-akta zalim, menangkap dan memenjarakan rakyat, seperti yang dilakukan kepada Azman dan Suwandi” jelas Muhammad Sabu lagi

31 Disember 2007

Hari Perbicaraan Azman dan Suwandi 30 Disember 2007

Suwandi, Azman kekal tidak dibenar ikat jamin – Mustaffa Ali kesal
Ditulis oleh Wan Kay & AYu
Sunday, 30 December 2007

Kuala Terengganu, 30 Dis – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengekalkan keputusan tidak membenarkan mangsa tembakan polis dalam Insiden Berdarah Batu Burok, Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Aziz di ikat jamin

Hakim Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu kira-kira jam 12.30 tengah hari setelah mendengar hujah daripada pendakwa yang diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak pembela yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas.

Turut berhujah mewakili tertuduh ialah Pengerusi Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Turut mendengar keputusan itu ialah Naib Presiden dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub.

Pada 9 Disember lalu, Hassan memutuskan Suwandi, 38, dan Muhammad Azman, 21, tidak dibenarkan ikat jamin dan ditahan di Penjara Terbuka Marang.

Sehubungan dengan itu Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Dato’ Hj Mustaffa Ali merasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini. Beliau menyatakan demikian didalam kenyataan akhbar beliau yang dikeluar hari ini. Berikut adalah salinan yang di e-melkan kepada Buletinonline :

KENYATAAN AKHBAR

Saya merasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang tidak membenarkan diikat jamin kepada mangsa tembakan peluru hidup dalam insiden Batu Burok pada 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz dan dalam masa yang sama membenarkan penangguhan perbicaraan daripada pihak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pada hari ini, peguam-peguam yang mewakili tertuduh itu yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas telahpun menyatakan mereka bersedia untuk menjalankan perbicaran.

Bagaimanapun, perbicaran tidak diadakan pada hari ini dan kenapakah Peguam Negara hanya pada hari ini memohon penangguhan atas alasan-alasan hendak menjalankan perbicaraan bersama dengan kes yang diadakan di Mahkamah Majistret.

Sepatutnya, semasa pada hari pendakwaan, 9 Disember lalu Peguam Negara sudah boleh membuat permohonan untuk menggabungkan kes itu.

Jadi hari ini kes tidak dapat dijalankan, hanya membuang masa dan tiba-tiba kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Bagi kita, ini suatu tindakan yang menganiaya kedua-dua tertuduh dan seolah-olah mereka ini telah dihukum walaupun belum dibuktikan bersalah. Malah, lebih mendukacitakan lagi mereka telah menjalani keadaan (penjara) tersebut khususnya Suwandi yang masih lagi tidak pulih sepenuhnya daripada kecederaannya.

Muhammad Azman pula dipukul dalam tahanan dan hari ini keluarga mereka membuat laporan polis. Peguam Negara semasa perbicaraan tadi menyatakan akan mempastikan orang yang membuat tindakan tersebut akan didakwa. Kita mahu lihat Abdul Gani mengotakan apa yang dikatakan itu.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peguam yang diketuai oleh Tun Mohd Salleh Abas bersama Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong dan Mohamad Hanipa Maidin serta pasukannya menjalankan tugas dengan cemerlang walaupun keputusan tidak berpihak kepada kita.

Saya berharap kedua-dua keluarga Suwandi dan Muhamamd Azman bersabar dalam menghadapi situasi sekarang. Kita akan terus memberikan pembelaan dalam kes mereka walau berapa lama pun akan mengambil masa termasuk bantuan kebajikan.

Saya juga meminta ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya bertenang dalam menangani isu ini. Kita akan tangani isu ini dengan sebaik mungkin dan ini sebahagian daripada ujian yang terpaksa dilalui.

Dato’ Haji Mustafa Ali,

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu.

Bertarikh: 30 Disember 2007

Azman & Suwandi Saman Polis dan Kerajaan

300 hadir memberikan sokongan Suwandi dan Azman saman kerajaan
Ditulis oleh SM Noor
Thursday, 27 December 2007

Kuala Terengganu, 27 Dis -Tiga ratus orang hadir di perkarangan mahkamah Kuala Terengganu untuk memberikan sokongan kepada Suwandi dan Azman yang memfailkan saman terhadap pihak polis dan kerajaan Malaysia

Saman Suwandi yang difailkan oleh Wan Mutalib & Co dan Azman oleh Tetuan Haris & Co. Kedua-duia peguam tersebut sampai diperkarangan mahkamah Kuala Terengganu sekitar jam 9.15 pagi. Kehadiran mereka disambut dengan seruan 'Allah yang maha Besar' oleh orang ramai yang hadir di situ.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Tuan Hj Yahaya Ali, memberikan sedikit penerangan kepada orang ramai yang hadir, dan meminta Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Hj Azman Shapawi Abd Rani mengetuai doa, memohon supaya Allah memberikan keberkatan dan perkenan.

Selepas berdoa, orang rmai berarak menuju ke pintu pagar mahkamah dan dihalang oleh seorang polis yang telah ada disitu sejak pagi. Polis hanya membenarkan peguam-peguam berkenaan sahaja memasuki pintu mahkamah, yang dikawal oleh Polis Simpanan Persekutuan (FRU). Setelah peguam-peguam masuk, orang ramai menunggu diluar, untuk mendapat maklumat lanjut.

Kira-kira 20 minit kemudian, Yb Hj Wan Mutalib Embong dan Encik Haris Abd Malik, muncul dari pintu pagar mahkamah. Kehadiran mereka semula menemui orang ramai setelah memfailkan saman Suwandi dan Azman.


Wanita Berjiwa Kental Sentiasa Mendepani Cabaran

  Oleh : Aqilah Mohd Jafri / Gambar : Hajar Kamarudin  MARANG - Wanita berjiwa kental dengan semangat perjuangan dalam mendepani cabaran sej...